BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday 11 September 2009

Melayan tetamu

"wah! hari ini saya dapat banyak hadiah. Gembiranya hati ini dengan hadiah yang Allah kurniakan. Mungkin Allah ingin memberi peluang kepada aku untuk menebus dosa-dosa silam.

Sejak aku berpindah rumah ini,tetamu tidak henti datang menumpang rehat dan bermalam. Selain menziarahi aku yang selalu uzur ini, tetamu tetap datang terutama apabila UTM ada konvokesyen atau pendaftaran pelajar baru.
Memang menjadi kelaziman rumah ini, setiap tahun juga akan mengadakan rumah terbuka tidak kira masa aidil fitri, aidil adha dan ramadhan. Memang aku suka dan memberatkan agar tiap tahun di bulan ramadhan menjemput pelajar atau sesiapa sahaja datang berbuka puasa dirumah.Selalu aku berpesan pada anak-anak, Rasullulah suka jika kita selalu menjamu orang makan.

Untuk menjamu makan, tidak semestinya perlu kita berbelanja besar .Sekadar kemampuan kita dalam meraikan tetamu makan, kita menjamu ala kadar mengikut kebiasaan sahaja. Nasi dengan lauk pauk seimbang pun sudah memadai. Yang penting adalah keikhlasan kita menjamu kerana ini juga merupakan ibadah yang Allah redha dan Rasullulah sukai.

Pernah suatu ketika, aku masih dalam rawatan didalam wad di hospital kerana menjalani rawatan sakit organ hati,zauj datang membawa khabar yang ibu saudaranya dari Selangor mahu datang ke rumah kerana adik ipar anak tirinya akan mendaftar sebagai pelajar baru di UTM.

Aku tanya, "bila mereka nak datang bang?"
"Hari Jumaat ini."
"Tak pe, nanti muna cakap dengan doktor minta cuti hari Sabtu Ahad ni, balik rumah sekejab, hari Isnin masuk semula wad untuk teruskan rawatan."

"boleh kah macam tu?"

"nantilah muna cuba tanya doktor."

Bila pagi esoknya (Jumaat) doktor datang membuat pemeriksaan kesihatan, aku ajukan permohonan untuk balik ke rumah dengan alasan, mahu bersama-sama anak semasa hujung minggu. Setelah pujuk rayu dan ikrar aku janji, akhirnya doktor membenarkan balik selama 2 hari dengan syarat hanya berehat tanpa melakukan sebarang aktiviti yang memudaratkan diri, walaupun berjalan atau menaiki tangga.


Aku pun dengan gembira, terus pada malamnya meminta zauj ambik, dan pulang ke rumah. Esoknya pada petang sabtu, tetamu pun tiba. Rupanya bukan satu keluarga ini sahaja yang datang menumpang bermalam untuk urusan pendaftaran pelajar baru UTM, tetapi 2 keluarga lain sama. Aku dengan senang hati menerima mereka. Aku memang mempunyai pembantu rumah, maka zauj dan pembantu yang menyediakan makanan untuk mereka. Zauj memang pandai dan rajin memasak.

Masakan zauj memang sedap dan anak-anak pun suka.
Setiap kali zauj berkunjung mana-mana restoren atau jemputan, zauj akan memerhatikan makanan yang dihidangkan. Sekiranya makanan itu lain dari kebiasaan aku masak , maka dia akan 'merasa-rasa' apakah bahan yang terkandung dalam makanan itu. Atau jika restoren atau gerai, zauj akan memerhatikan cara makanan itu dimasak. Apabila zauj balik saja ke rumah, zauj akan mencuba dan masak makanan itu untuk dijamu kepada isteri dan anak-anak.

Sebab itu resepi makanan arab pun aku jadi pandai kerana zauj dah ajar cara masak menggunakan 'tahinah', laban dan buah zaitun.
Buah zaitun pula menjadi kegemaran anak-anak ketika makan nasi. Tiap kali ke Makkah, buah yang banyak dibawa balik selain kurma ialah buah zaitun. Kalau nak beli di Malaysia, harga buah zaitun sangat mahal. Cuma boleh beli sekali sekala saja. Selama kami berada di Makkah kami kerap makan 'to'miah' (entah betul ke ejaan ni) yang diperbuat dari roti pitadan dalamnya diisi dengan kuih dal, terung goreng,kentang,daging kisar dan salad. Letakkan sos cili dan makan ketika panas. Memang menyelerakan...minum pula dengan asyir sejuk...

Kembali kepada melayan tetamu, aku memang tiada masalah bila menerima tetamu datang. Sebab aku memang suka sangat menerima tetamu. Bagi aku samada tetamu diundang atau tidak diundang, layanan aku sama sahaja. Jika tetamu datang sebentar , sekurang-kurangnya air minuman akan dijamu, jika mereka tiada urusan penting untuk segera beredar, maka aku akan menjamu mereka makan, dan jika mereka ada urusan dan perlu bermalam, maka aku akan sediakan tempat untuk mereka tidur. Sebab itu, ada hikmahnya Allah memberikan aku rezeki sehingga mampu memiliki rumah ini, agar aku dapat menumpangkan tetamu dan bermalam dengan selesa.


Pernah juga suatu ketika aku mendapat panggilan telefon dari seseorang remaja, pernah berkawan dengan anak ku Ali Mahfuz semasa belajar tahfiz di Kubang Bujok,minta di jemput dari terminal bas Johor Bahru. Aku fikirkan dia datang seorang diri, maka aku minta zauj yang jemput. Bila zauj balik ke rumah, zauj bawa 5 orang remaja berumur dari 13 tahun - 17 tahun, 4 remaja lelaki dan 1 orang remaja perempuan.

Terkejut aku. "Siapa mereka , bang?"

"muna , tanyalah, abang pun tak tahu siapa, katanya kawan-kawan yang menelefon tadi."

Aku pun bertanya setiap mereka, rupanya mereka ini semuanya remaja lari dari rumah di Kelantan datang ke Johor Bahru,konon nak cari kerja tetapi tidak ada kenalan. Salah seorang yang aku kata kawan anakku itu, pun rupanya telah dibuang dari Maahd tahfiz kerana masalah displin.

Rupanya masa dia berada di maahad, anakku Ali Mahfuz perbah buat promote, "kalau kau orang ada masalah, pergi saja jumpa mak aku, mak aku suka tolong orang. Ini nombor phone mak aku." Adoi!, rupanya si Ali Mahfuz yang berikan nombor phone tu.

Maka aku pun menumpangkan mereka bermalam sambil menyiasat latar belakang setiap orang dari mereka.
Oleh kerana mereka ini remaja bawah umur, terutama yang perempuan, maka aku cari maklumat dengan pertolongan kawan yang berada di Kelantan. Selama mereka berada di rumah aku, aku layan mereka dengan baik , menganggap mereka ini tetamu kurniaan Allah. Setelah 4 hari, maklumat yang aku perlukan diperolehi, 4 remaja ini aku berikan pilihan samada mahu pulang ke rumah mereka semula atau tinggal dengan aku tetapi bersyarat. Syarat aku mudah sahaja, sesiapa pun boleh tinggal bersama aku, asalkan mahu bersekolah semula.

Remaja lelaki tidak mahu tinggal bersama aku kerana displin untuk tinggal di rumah aku sangat ketat. Mereka tidak boleh bebas kemana-mana. Memang pun, aku memang sentiasa memantau kemana jua anak-anak mahu pergi termasuk mereka. Jadi mereka tidak tahan, lalu minta dihantar pulang.


Yang remaja perempuan, setelah disiasat , rupanya telah lari dari rumah sebanyak 3 kali. Aku mendapat tahu, bapanya telah membuat report polis. Maka aku pun berhubung dengan balai polis berkenaan minta dimaklumkan kepada warisnya.

Apabila waris remaja ini tahu, terus datang ke rumah aku dari Kelantan. Bila tiba di rumah aku, bukan bapanya nak jemput pulang, bahkan, ditinggalkan kad pengenalan dan surat beranak kepada aku, dan katanya
"cikgu, saya tak nak bawa anak saya balik rumah dah, ini kali ke 3 dia lari, umur baru 13 tahun, tiap kali dia lari saya kena cari, sebab itu tanggungjawap saya, kali ini dia lari hingga sejauh ini, saya tetap datang juga. Mujur cikgu jumpa, nanti kalau saya bawa balik dia lari, entah kemana pula, macamana saya nak cari. Kalau cikgu sudi, cikgu ambiklah dia jadi anak cikgu, didiklah dia, saya dah tidak mampu lagi nak didik anak macam ni. saya tidak tahu apa masalah dia yang tak suka belajar dan tak suka duduk di rumah."

Maka aku pun dengan rela hati memelihara dia bagai anak sendiri dengan syarat perlu ke sekolah. Alhamdullilah dia mahu ke sekolah ditempat aku mengajar dan akhirnya menjadi pelajar yang baik. Walaupun tinggal di rumah aku agak terkongkong kerana aku memang tidak membenarkan anak-anak keluar rumah tanpa kawalan,namun dia tetap mampu bertahan dan betah. Memang aku mendidik dia bagai anak sendiri. Dan ketika itu, aku memang sudah ada 2 orang anak angkat perempuan lain yang tinggal bersama. Cuma bezanya anak angkat yang ini memang diberikan oleh ibu mereka kepada aku ,minta di sekolah kan. Mereka diberikan kepada aku kerana masalah kewangan.

Syukur, sekarang semua anak-anak ini berjaya melanjutkan pelajaran ke institute pengajian tinggi.
Samada mereka masih ingat atau tidak kepada aku, aku tidak kisah, aku telah melaksanakan tanggung jawap aku walau sebagai ibu angkat, agar mereka menjadi manusia, cumanya setelah bertahun -tahun tinggal bersama aku, pasti aku rindu pada mereka...



Keutamaan menjamu tetamu dan adabnya


"Menjamu makanan kepada tetamu-tetamu adalah seperkara yang baik dan mempunyai banyak kelebihan. Berkata al-Hasan: Setiap nafkah yang dibelanjakan oleh seseorang akan diperkirakan di kemudian hari melainkan nafkah yang dibelanjakan kepada teman dan rakan yang berupa makanan yang dihidangkan kepada mereka, maka Allah Ta’ala lebih mulia daripada mahu bertanya mengenainya."


"Berkata Ali r.a: Jika aku dapat mengumpulkan rakan-rakanku atau satu sha’ dari makanan, lebih utama lagi bagiku daripada aku memerdekakan seorang hamba sahaya."


"Berkata Ibnul Umar r.a: Antara tanda kemuliaan seseorang ialah makanannya ketika dalam pelayaran dan tidak lokek memberikannya kepada rakan-rakannya. Para sahabat dahulu kala sering berkumpul untuk majlis bacaan al-Quran al-Karim, dan mereka tidak akan berpisah melainkan sesudah menjamah sedikit jamuan, walaupun ringan."


Buat renungan aku sendiri, bagaimana Rasullulah memuliakan tetamunya, bagaimana sahabat sanggup berlapar semata-mata mengutamakan tetamu makan.


Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
"Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata: Aku sangat menderita kebuluran. Rasulullah s.a.w menghantarkannya kepada salah seorang isteri baginda, tetapi dia (isteri baginda) berkata: Demi Zat yang mengutuskanmu dengan kebenaran! Aku hanya mempunyai air. Rasulullah s.a.w menyuruh menanyakan kepada isteri baginda yang lain, tetapi mendapat jawapan yang sama. Kesemua isteri baginda memberikan jawapan yang sama: Tidak, demi Zat yang mengutuskanmu dengan kebenaran! Aku tidak mempunyai satu apapun kecuali air. Rasulullah s.a.w lalu berkata: Sesiapa yang memberi makan orang ini, Allah akan merahmatinya. Seorang lelaki dari golongan Ansar berdiri dan berkata: Aku, wahai Rasulullah. Lalu diajaknya orang itu ke rumah beliau. Lelaki itu menanyakan kepada isterinya: Adakah kamu mempunyai sesuatu (dimakan)? Jawab isterinya: Tidak ada! Kecuali makanan untuk anak-anak sahaja. Dia berkata lagi: Sibukkanlah mereka dengan sesuatu. Apabila tetamu kita masuk, padamkanlah lampu dan tunjukkanlah yang kita seolah-olah sedang menghadapi makanan. Apabila dia hendak makan, maka hampirilah lampu dan matikanlah. Merekapun duduk, sementara tetamu mereka makan. Pada keesokan harinya mereka bertemu dengan Nabi s.a.w dan baginda bersabda: Allah benar-benar bangga terhadap perbuatan kamu berdua terhadap tetamu kamu malam tadi."

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3829

0 comments: