BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 27 October 2009

Ujian Tetap Ada

APABILA seseorang itu tiba-tiba mendapat kesusahan, kegagalan dalam perkara tertentu atau ditimpa musibah berat dalam kehidupan, mereka menganggap Allah sudah tidak sayangkan mereka. Lebih jauh daripada itu, ada berani mengatakan Allah telah berlaku zalim kerana diberikan kesusahan.

Anggapan demikian tidak benar. Mereka tidak sepatutnya berprasangka tidak baik terhadap Allah. Sesungguhnya Allah tidak pernah sekali-kali menganiaya atau berlaku zalim kepada hamba-Nya.

Allah sentiasa bersifat Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Allah tetap memberi kurnia dan rahmat-Nya kepada semua umat Nabi Muhammad SAW. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.” (Surah Yunus, ayat 44)

Firman Allah lagi yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seorang pun walaupun sebesar zarah.” (Surah An-Nisa’, ayat 40)

Sebenarnya jika ada kepayahan dan kegagalan berdepan dengan sesuatu perkara yang mungkin membuat kita kecewa dan putus asa, itu adalah pengajaran. Ada sesuatu yang perlu kita renungkan dan sekali gus pelajari daripada kepayahan atau kegagalan itu kerana pasti ada hikmah di sebaliknya.




Selagi dinamakan hidup, ujian belum berakhir, banyak cerita dan banyak dugaan. segala paparan di topik ini bukanlah meraih simpati tapi sekadar berkongsi cerita dan pengalaman, agar bila kita rasa di uji, kita akan melihat ada orang lain yang lebih hebat ujiannya dan dia tetap tabah, sabar dan kuat serta redha .

Jadikan kesakitan dan penyakit yang didatangkan pada kita itu sebagai anugerah, redha dan sabar. Jangan sesekali kita merintih dan mengeluh, sebaliknya berdoalah agar Allah jadikan kita hamba yang redha di atas segala apa yang ditakdirkan kepada oleh Allah itu.

Namun selagi dinamakan manusia, dan mungkin Allah mahu mengangkat darjat seseorang di sisiNYA, sekali lagi aku di uji apabila usia bayi bongsu aku 1 tahun. Kali ini ujian yang datang lagi hebat dari sebelumnya. Jika sebelum ini, aku di uji dengan sakit fizikal yang boleh dilihat dengan mata dan diuji di makmal melalui ujian-ujian darah, tapi kali ini aku diuji dengan sakit dalaman yang cuma mata melihat tetapi tidak dapat membantu.

JIka di lihat kronologi keadaan diri dan peristiwa yang berlaku, untuk aku menolak yang aku terkena ilmu hitam agak sukar juga. Beberapa peristiwa aneh yang berlaku semasa aku sakit , masa ini aku ibarat mayat hidup sahaja, ingatan hilang selama 5 bulan. Bab ini aku hanya cerita berdasarkan apa yang suami dan anak-anak sampaikan. Hari pertama aku sakit, aku ditemui pengsan oleh suami ketika mahu menyuruh aku solat zuhur. Bila aku dapat disedarkan , suami suruh solat zuhur, aku dipimpin ke bilik air untuk berwuduk. Suami merasa hairan kenapa aku tidak tahu berwuduk. Lepas itu, suami suruh aku solat, tapi aku menangis, dan tidak mampu untuk mengangkat takbiratul ihram. Suami dah rasa pelik.

Terus suami memanggil sahabat-sahabat Darus Syifa'. Keadaan aku makin teruk, antara sedar dengan tidak, aku tidka bercakap lagi. Menjadi seorang yang pendiam. Tidak pandai makan sendiri, tidak pandai mandi, tidka pandai memakai pakaian dan semuanya suami yang menguruskan. Aku dimandikan, disuapkan makan, diberikan minum dan dipakaikan baju oleh suami. Suami ambil cuti untuk menguruskan aku dan anak-anak. Ada masa aku menangis dan ketawa. Bila malam aku tidak tidur. Beberapa kejadian aneh berlaku ketika ini.

Hari ke 3 aku sakit begitu, suami menemui 3 ekor kucing mati di depan pintu dapur rumah. Kucing itu di tutup dengan kotak polisterin putih di depan pintu dapur, dalam pagar kawasan rumah. Ketiga-tiga ekor kucing ini berwarna hitam. Hari ke 4, ditemui burung warna hitam mati di atas tangga di pintu belakang rumah juga. Hari ke 5, ditemui anjing warna hitam pula mati di depan pagar rumah. Dalam tempoh ini, aku sering bermimpi, padahal aku tidak tidur, kata suami, aku bercerita dibawa ke satu tempat yang asing, jauh dan samada menemui mayat, jumpa orang berkafan dan jumpa patung kayu diri aku. Setiap kali aku bermimpi, di akhir mimpi , pasti aku akan menemui air dan dipimpin balik oleh seorang sahabat baik aku.

Mimpi -mimpi aku ni pelik kata suami. Suami jadi tahu kerana, bila aku dapat tidur, walaupun sekejap, pasti aku tidur seakan mengigau dan suami aku akan tanya kenapa. Dan tiap kali keadaan itu berlaku, aku akan bercerita apa yang aku jumpa dalam mimpi itu. Selain aku diberi rawatan Darus Syifa aku juga diberikan rawatan perubatan islam secara aura dan rawatan perubatan Islam Manarah. Aku juga dibawa mendapatkan rawatan Psikatri di HSAJB. Disebabkan aku adalah kakitangan kerajaan , maka aku perlu mendapat cuti secara mengikut procedur yang betul. Suami aku yang uruskan semua ini. Tiap kali ada temu janji di Jabatan Psiaktri, suami aku yang bawa. Dia tidak malu pun, jika orang kata isterinya sakit jiwa, sebab suami tahu apa jenis yag dialami oleh isterinya.

Lagi pun doktor pakar psiaktri yang merawat aku pun ada memberikan cadangan pada suami , perlu aku ini diubati secara alternatif. Pihaknya akan bekerjasama untuk memberikan sijil cuti sakit selama mana aku dalam masih keadaan begitu dan diberikan rawatan. Banyak lagi kejadian aneh berlaku. Salah satu perubatan, (suami aku tidak percaya bomoh, dukun atau pawang) dimaklumkan aku ini terkena sihir membunuh. Sebenarnya banyak lagi haiwan-haiwan mati ditemui disekitar rumah aku dalam tempoh aku sakit itu. Bola api ( yang sebenarnya syaitan) yang dihantar dengan tujuan untuk membunuh aku, tetapi tidak dapat masuk ke dalam rumah, sebab itu haiwan-haiwan bernyawa lain yang kebetulan berada berhampiran rumah aku terkena bola api itu dan mati. Memang sepanjang tempoh aku sakit, suami tidak benarkan aku keluar rumah. Dan memang jelas berbeza jika aku ini mengalami sakit jiwa, pasti aku akan memberontak jika kebebasan aku di sekat atau kehendak aku dilarang.Tapi semasa aku sakit, aku jadi pasif, diam , menurut kata dan tidak pernah memberontak. Aku hanya duduk mendiamkan diri sahaja.

Pernah suatu malam, tiba-tiba, kamar tidur kami, berbau sangat busuk, suami aku terus melaungkan azan,bau itu beransur-ansur hilang. Pernah juga ketika maghrib, tanpa disedari aku membuka pintu balkoni di kamar tidur, tiba-tiba suami nampak satu makhluk hitam yang besar menerpa masuk. Terus suami membaca ayat qursi,dan manzil. Makhluk itu menhilangkan diri. Pada malam berikutnya, di kamar tidur itu dibacakan ayat al-Fill sebanyak 1000 kali secara beramai-ramai. Manzil dibaca setiap hari oleh anak-anak dan suami.

Pernah aku dibawa berjalan semasa sakit, ada kawan yang hadir pada masa itu melihat belakang aku ada makhluk yang mengikut kemana aku pergi. Memang masa aku sakit, aku rasa seperti di intai orang. Aku juga sering mendengar suara, yang perubatan moden kata halusinasi. Tetaapi aku tidak menurut apa yang disuruh. Cuma aku tidak boleh melihat senjata, samada pisau ,parang atau gunting. Bila melihat senjata itu, aku seperti teruja untuk mengambil , menggunakan sepeti seorang pahlawan untuk membunuh. Suami memang berhati-hati dengan perkara ini.

Bagaimana akhirnya aku sembuh, aku sendiri tidak tahu dan sedar, perubatan terakhir yang suami ikhtiarkan ialah mandi air campuran tujuh kolah dari masjid berbeza. Saranan ini diberikan oleh seorang tok guru dari Terengganu, minta ambil air dari 7 kolah dan dibacakan yasin dan manzil. Bukan senang mahu cari air kolah masjid, air bekas wuduk para jemaah sebelum solat Jumaat. Sekarang ini, kebanyakkan masjid telah gunakan air paip, jadi memang susah nak cari masjid yang masih gunakan kolah. Mesti dari 7 masjid pula tu. Namun kerana mahu melihat isterinya sembuh, suami aku tetap berusaha mencarinya hingga ke Melaka, Terengganu, Kedah, Perak. Setelah dapat air dari tujuh kolah itu, suami pun membacakan Ayat yassin dan manzil . Dimandikan aku selama beberapa hari.

Setelah seminggu , baru suami nampak perubahan diri aku, yang mula berselera makan, bersolat tidak lagi perlu dipimpin. Selama aku sakit itu, rupanya solat aku dijaga oleh suami, agar aku tidak terlalai. Aku sering dibacakan Al-Quran ketika aku tidur. Bila aku sedar, aku seseolah seperti baru bangun dari lena yang panjang. Bila aku lihat kalender, rupanya aku kehilangan masa selama hampir 5 bulan. Ketika aku ditemui pengsan ialah pada 18 Ogos 2003, aku tersedar sepenuhnya ialah pada 28 Disember 2003. Dan untuk aku pulih sepenuhnya bukan mengambil masa yang singkat, sebab dalam tempoh hampir 5 bulan itu, perwatakkan aku bertukar dan yang amat ketara, ingatan aku juga hilang. Aku jadi seperti pelupa samada lupa apda wajah orang atau lupa pada ayat atau perkataan untuk diucapkan.

Proses pemulihan ini sahaja mengambil masa selama hampir 1 tahun. Anak-anak mengadu, mereka seperti kehilangan ummi. Mereka merindui ummi mereka walaupun hakikatnya aku ujud depan mereka. Untuk aku pulih seperti hari ini, (keadaan hari ini sama seperti aku sebelum sakit ) mengambil masa 3 tahun. Syukur, anak-anak amat memahami keadaan ketika aku sakit dahulu.Mereka lah yang membantu ayah mereka menjaga dan menguruskan aku .

Dan ujian Allah belum berakhir selagi nyawa dikandung badan. Dugaan sakit ini , makin membuatkan aku kental dan tabah. Jangan fikir, walaupun kita sering bangun bertahajud, Allah tidak menguji kita. Sebenarnya, ketika sakit itulah Allah makin dekat dengan kita. Aku seperti disayangi dan dikasihi Allah. Bila aku sembuh, kawan -kawan ada menceritakan apa yang suami aku nyatakan pada mereka, membuat aku rasa cukup terharu dan menghargai pengorbanan suami ku ini. Sebab itu kasih sayang kami adalah disimpulkan oleh Allah. Cinta kami di dalam rahmat ,kasih sayang dan redha Allah.



Impianku menjadi isteri solehah

0 comments: