BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday 4 October 2009

Berziarah dan Beramal Jariah

Semalam Halaqahnet dalam selenggaraan dalam operasi system server menukar dari windows ke linux oleh admin server Adeq_Fauzy. Jangkaan awal cuma mengambil masa 5 jam, namun manusia hanya mampu merancang , lain dari rancangan dan ketetapan Allah SWT. Rupanya mengambil masa yang panjang apabila ada dugaan lain hingga 14 jam kemudian baru Halaqahnet beroperasi semula.

Aku tidaklah kisah sebenar lama mana masa yang diambil itu kerana secara tidak langsung memberi peluang beberapa orang disebalik tabir Halaqahnet berehat. Jika tidak, hari aray atau hari biasa Halaqahnet perlu dipantau setiap masa. Ini adalah tanggungjawap apabila aku terima untuk menjadi ADMIN di sana. Sabda Rasullulah yang bermaksud:

كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته

"Setiap kamu adalah penjaga dan bertanggungjawab ke atas apa yang dijaganya.."
(Hadith Shohih Riwayat Bukhari dan Muslim)

Halaqahnet perlu dipantau sentiasa kerana adanya manusia-manusia yang tidak jujur ketika memberikan komen dan menjawap soalan sesuka hati tanpa merujuk kepada nas atau dalil. Dan yang aku takuti nanti ada post-post luar dugaan yang berniat jahat, menfitnah, mengadu domba atau post-post gambar lucah. Walaupun peraturan Dewan Halaqian dan ETIKA BERFORUM ada di adakan namun manusia ini sentiasa lalai dan lupa.

Tambahan pula Halaqahnet menyediakan ruangan interaksi secara live 'chatbox' yang mana pengguna bebas untuk meluahkan bicara, mengeluarkan apa yang tersirat di minda dan perbincangan terarah. Sekira perbincangan ilmiah, ia juga perlu dipantau agar tidak tersasar dari peraturan Dewan halaqian yang kita telah tetapkan mesti berdasarkan,
aqidah Ahlu Sunnah Wal Jama’ah (Asya’irah dan al Maturidiyyah – Majoriti pegangan Umat Islam di Malaysia) dan Mazhab Syafie kecuali sekiranya perlu kepada pandangan dari mazhab lain atau yang berkaitan dengan hukum hakam yang berbentuk kontemporari yang tiada disentuh oleh Mazhab Syafie mengikut keperluan. Kita juga tidak mahu halaqian sesuka hati menuduh bid’ah sesat, mengkafirkan, menghukum musyrik tanpa hak ke atas Ulamak Muktabar, umat Islam dan jemaah Islam yang lain.


Kebetulan pula masih lagi bulan syawal, aku pun pergi beraya ke rumah sahabat-sahabat. Dengan ditemani oleh Abdullah Mubarak , aku menumpang kereta ustazah Habibah ke rumah ustazah Rahmah di Taman Skudai Indah. Selepas itu berziarah ke rumah Ustazah Zawiyah dan bertemu Ustazah Suriani.

Pada awal paginya, aku bangun jam 3.30 pagi untuk bersolat. Seusai bersolat aku menyediakan bahan-bahan untuk memasak nasi tomato dan ayam masak rose , tempahan dari sahabatku Azila untuk majlis rumah terbuka. Aku menyediakan makanan ini untuk 150 orang seperti yang ditempahnya. Memang aku yang masak, sekadar menumis ramuannya. Kerja yang berat-berat dilakukan oleh pembantu dan ditolong oleh Mahfuz, Omar dan Abdullah. Aku melatih anak-anak memasak untuk tempahan orang agar mereka boleh meneruskan usaha ini kerana rezeki dibidang ini amat murah, hanya memerlukan kemahiran dan tenaga.

Jam 10:00 pagi, semua kerja-kerja memasak sudah siap dan Baihaqi bersama Abdullah menaikkan ke atas trak Toyota Hilux. Selesai aku bersolat dhuha, terus aku pergi memandu trak menghantar makanan ke rumah Azila. Selanjur dah ke sana, aku tunggu majlis rumah terbuka untuk bertemu sahabat-sahabat jemaah. Ramai juga yang datang. Memang lama benar aku tidak bertemu sahabat jemaah ini, iaitu semenjak aku sakit. Ada juga mereka ini datang menziarahi aku ketika di hospital atau di rumah.

Jam 1:00 tengah hari aku balik ke rumah dan jam 2:30 bekas pelajar SMKTUN datang berziarah pula. Norliyana Hashim, Nur Humaira Haron, Iqbal dan 2 orang lagi yang aku lupa namanya. Semua mereka ini masih ingat pada aku, dan ketika ini sedang melanjutkan pelajaran di UTM dalam berbagai kursus. Terima kasih anak-anak kerana masih ingat guru mu ini.

Selepas mereka balik baru aku pergi berziarah ke rumah sahabat sekolah yang di nyatakan di atas tadi bersama Ustazah Habibah, yang bukan sahaja setakat sahabat, tapi juga adalah jiran sebelah rumah dan yang paling utama adalah ikrar yang kami lafazkan sebagai saudara dunia akhirat. Telah lebih 10 tahun aku bersama dengan ustazah Habibah, suka duka, ketawa menangis bersama-sama.

Akulah yang sentiasa berdamping denagnnya ketika suaminya sakit di akhiri maut. Siang malam aku bersama Ustazah Habibah merawat, memicit-micit kakinya yang telah kehilangan deria rasa. Dia mengalami kegagalan fungsi semua organ dalaman seperti hati yang rosak, jantung yang bengkak, buah pinggan juga tidak berfungsi , paru-paru berair dan akhirnya ditempatkan di HDU, hospital Putra Jaya. Masih teringat ungkapan akhir wasiat arwah suaminya, " isteriku ini hatimu bersih, kasih sayangmu ikhlas, aku redha engkau menjadi isteriku".

Wasiatnya pada zaujku,"Ustaz, jika aku mati, tolong kuburkan aku di Banting, ya. Aku tak mahu berseorangan di bumi Johor ini.Terima kasih mengizinkan Muna menemani isteriku, merawat aku yang dah hampir mati. Isterimu ini hatinya seputih kapas."

Kata-kata akhirnya kepada ku , "Muna, hatimu putih seperti kapas, sukar untuk ditemui insan seperti engkau, yang sudi bersama isteriku, merawat aku, menangis bersama isteriku. Nanti bila aku tiada, engkau lah tempat dia mengadu, jagalah dia, bantulah dia. Moga Allah jua yang membalas segala ketulusan hatimu kepada aku dan isteriku ini." Kami bertiga cuba tidak menangis, namun airmata ini ibarat hujan yang turun lebat sepeti empangan pecah. Dan arwah meninggal di HDU Hospital Putra Jaya di saat aku berada di Kompleks Haji untuk berangkat ke Mekah pada 23 November 2008. Jenazah di kuburkan di Banting seperti yang diwasiatkanya.

Semasa di Makkah aku tidak lupa untuk membuatkan tahlil ,Yassin dan doa arwah untuk suami sahabatku ini, ibuku, datuk nenek dan saudara maraku lain telah meninggal dunia. Kebetulan semasa aku berada di Tanah Suci, aku menemui 5 kali Jumaat di Makkah dan sekali di Madinah. Maka dapatlah aku lakukan Tahlil dan Yassin untk arwah ini sebanyak 6 kali bersama-sama rombongan jemaah haji yang lain.

Semoga semua kita berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Catatan ku kali ini bukan lah untuk riak , (sebelum ini aku tidak pernah cerita kata-kata terakhir arwah pada sesaipa melainkan hanya kami betiga sahaja yang mendengarnya)tapi untuk menjadi contoh teladan buat anak-anakku agar selalu beramal jariah, menolong manusia ikhlas, semata-mata kerana Allah. Berjariah tidak semestinya dengan harta, boleh juga melalui tenaga, kata-kata nasihat dan menemani manusia di saat kesukaran. Oleh itu jangan peduli masa yang dibuang semata-mata untuk bersama dengan manusia-manusia yang ditimpa kesusahan dan kesedihan. Sesungguhnya janji Allah itu benar.


Impianku menjadi isteri solehah

0 comments: