BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday 1 October 2009

Buah Hatiku, Permata Hatiku

Hari ini genap usia Abdullah Mubarak 11 tahun. Lahir pada jam 3:00 pagi,pada hari Khamis 1 Oktober 1998 bersamaan 9 Jamadil akhir 1419 H. Abdullah Mubarak lahir di Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu. Aku telah di masukkan ke wad pada hari Selasa 29 September 1998 kerana telah lewat 10 hari dari tarikh jangkaan doktor. Aku sendiri membuat kiraan berdasarkan tarikh suci terakhir , 280 hari. Jangkaan doktor aku sepatutnya bersalin 18 September 1998. Aku masih ingat tahun ini, adalah tahun di adakan sukan Komanwelth di Malaysia. Malaysia telah mendapat memperolehi pingat emas yang memberangsangkan, maka bila selesai upacara penutup, di istiharkan hari Isnin 28 September sebagai cuti umum.

Pada kebiasaannya sakit bersalin akan bermula dengan spontan tanpa paksaan atau desakan dari faktor-faktor luaran. Pada kehamilan yang normal, bayi menentukan tarikh lahirnya sendiri yang biasanya akan jatuh di sekitaran tarikh jangkaan lahir (E.D.D.) yang dikira mengikut hari pertama haid yang terakhir dicampur dengan sembilan bulan tujuh hari iaitu tempoh penuh bagi kehamilan ialah 40 minggu. Walau demikian kita anggap bayi sudah sampai ke cukup bulan apabila mencapai 37 minggu kehamilan.


Walaupun telah di masukkan ke wad, doktor masih memberikan masa untuk aku cuba bersalin secara normal, menunggu detik contraction sendiri berlaku. Melepasi tempoh 24 jam, tiada juga tanda kelahiran akan berlaku, aku diberikan procedur
'diinduce' dengan memasukkan ubat untuk rahim terbuka dan contraction berlaku. Apakah procedure kelahiran paksa ini?


Paksaan proses kelahiran bayi atau lebih dikenali sebagai “induction of labour – (IOL) adalah proses buatan bagi memulakan kesakitan atau pengecutan otot rahim (uterine contractions) sebelum ianya bermula secara tabii. Sakit akibat pengecutan otot rahim ini akan membuka pintu serviks untuk kelahiran bayi.

Dalam perubatan, lazimnya proses paksaan kelahiran ini hanya dinasihatkan kepada ibu yang mempunyai kehamilan yang bermasalah. Penerusan kehamilan boleh menjejaskan kesihatan ibu ataupun bayi yang dikandung. Paksaan proses ini lazimnya dibuat apabila bayi telah mencapai kematangannya, iaitu apabila sudah cukup 37 minggu. Bayi yang belum mencapai kematangan juga kadangkala dipaksa kelahirannya jika penerusan kehamilan akan menjejaskan keselamatan ibu. Dalam hal ini kemaslahatan ibu adalah lebih penting.

Keadaan masalah perubatan yang memerlukan kelahiran secara paksa ialah;

a) Kandungan melebihi jangkaan masa, iaitu melebihi 40 minggu. Kira-kira 10 peratus daripada kandungan melebihi dari masa yang dijangka apabila dikira daripada tarikh akhir haid. Lazimnya proses paksaan ini dilakukan apabila kandungan mencapai umur 41-42 minggu. Inilah sebab kenapa aku diberikan ubat agar kelahiran paksa berlaku.

Antara sebab-sebab lain kenapa kelahiran dilakukan ialah:
b) Ibu-ibu yang berpenyakit darah tinggi atau kencing manis. Penyakit ini lazimnya menjadi lebih teruk dan lebih susah dikawal apabila kandungan menghampiri tempohnya. Lazimnya dalam keadaan sebegini, kelahiran akan dipaksa apabila janin yang dikandung sudah matang iaitu pada usia 37 minggu.

c) Ada masalah pada bayi yang dikandung seperti pergerakan bayi tidak aktif.

d) Pembesaran janin terjejas ataupun pembesaran janin terbantut - intrauterine growth restriction (IUGR), padahal ianya sudah matang.

e) Ibu mempunyai sejarah kehamilan yang tidak memuaskan seperti kematian janin dalam kandungan sementara menunggu kesakitan secara tabii berlaku.

Ada juga kategori “social induction” yang dilakukan apabila pasangan meminta bayi dilahirkan pada waktu ataupun hari tertentu atas faktor sosial seperti suami akan berpergian atau pesakit akan mengambil peperiksaan. Kes puan terjatuh dalam kategori ini jika tiada petunjuk masalah perubatan yang lain untuk memaksa kelahiran itu. Lazimnya doktor akan membuat pemeriksaan dalaman untuk menganalisis kedudukan serviks. Jika ada ciri-ciri pada serviks yang menandakan ia bersedia untuk melalui proses kelahiran, maka kadar kejayaan paksaan kelahiran lebih tinggi. Antara ciri-ciri itu ialah kelembutan tisu serviks, ketebalannya dan pembukaan pintu serviks. Jika ciri-ciri pada serviks tidak memuaskan, kadar kegagalan IOL adalah lebih tinggi dan memerlukan masa yang lebih lama untuk mencapai kelahiran.

Namun begitu bagi ibu yang terpaksa melahirkan anak secara paksa ini akan menghadapi beberapa risiko.

Risiko kelahiran secara paksa:

a) Bayi lemas disebabkan oleh pengecutan rahim terlalu rapat dan kuat kerana ubat-ubatan (seperti prostaglandin) yang digunakan bagi tujuan ini. Oleh itu ia perlu diawasi dengan teliti untuk memastikan kesihatan bayi. Jika bayi lemas disebabkan keadaan ini, ada ubat-ubatan untuk mengurangkan kekerapan pengecutan rahim ataupun kelahiran perlu dilakukan secepat mungkin melalui pembedahan caesarian.

b) Kekerapan melahirkan yang rapat dan kuat boleh menyebabkan otot rahim pecah terutamanya bagi ibu yang sudah melahirkan ramai anak melebihi enam kelahiran ataupun pernah melahirkan anak melalui pembedahan caesarian walaupun sudah dilakukan beberapa tahun yang lalu.

c) Serviks gagal menjadi nipis dan membuka sehingga menyebabkan kelahiran perlu dilakukan secara pembedahan.

Sebab itu mengapa, Ibu yang mencapai tempoh kematangan kandungan digalakkan aktif seperti banyak berjalan dengan harapan proses kelahiran lebih cepat dan senang, Insya-Allah. Begitu juga, dengan melakukan hubungan seks. Secara teorinya, air mani mengandungi sedikit prostagladin yang boleh membantu proses melembutkan serviks serta boleh menyebabkan otot rahim mengecut.

Bagaimana kita lakukan induction ini?

Terdapat banyak kaedah yang boleh mencetuskan kuncupan rahim bagi memulakan sakit bersalin. Ubat-ubat yang sering digunakan ialah ubat Oxytocin atau Pitocin yang diberikan secara drip melalui saluran darah, mulai dari dose yang rendah dan seterusnya ditingkatkan bergantung kepada reaksi kuncupan rahim. Di samping itu satu tatacara untuk memecahkan selaput karung bayi akan dilakukan dengan menggunakan satu alat melalui faraj. Proses ini digelar dengan nama A.R.M. atau 'Artificial rupture of membrane'.Air ketoban akan mengalir keluar dan dari warna air ini doktor boleh mengetahui tentang keadaan bekalan oksijen kepada bayi.

Dengan melakukan tatacara ini, biasanya ia akan mencetuskan kuncupan rahim dan memulakan proses sakit bersalin. Cara lain ialah dengan menggunakan ubat yang dimasukkan ke dalam saluran faraj. Diantara ubat-ubat ini ialah daripada hormon Prostaglandin dan terbaru sekali ialah ubat Cytotec yang biasanya digunakan untuk merawat sakit perut. Kita dapati dengan cara memasukkan ubat ini ke dalam saluran faraj, kuncupan rahim boleh dicetuskan.

Memantau sakit bersalin

Pada kebiasaannya proses ‘induction’ untuk mecetuskan sakit bersalin dimulakan pagi hari setelah pesakit diberi julap atau enema untuk mengosongkan saluran najis agar ia tidak menggganggu kelahiran kelak. Setelah ‘induction’ dimulakan, ibu tersebut akan disambungkan kepada bilik kawalan jururawat melalui komputer.

Kebanyakan pesakit akan lahir pada waktu petangnya atau awal malam, tetapi ada juga setengah wanita khususnya mereka yang melahirkan anak sulong akan mengambil masa agak lama sedikit, mungkin ada yang sampai keesokan harinya. Perlu diingat bahawa proses ‘induction’ ini hanyalah untuk mencetuskan sakit bersalin yang agak sama kualitinya dengan sakit bersalin yang berlaku secara spontan. Jangka waktu sakit biasanya tidaklah melebihi dengan sakit bersalin secara spontan dan ia dilakukan atas sebab-sebab tertentu dan yang memang ada asas untuk melakukan induction ini.

Oleh itu tidaklah perlu bimbang bahawa dengan melakukan 'induction' ini kemungkinan untuk lahir secara pembedahan atau forceps akan meningkat. ‘Induction’ adalah untuk mengurangkan risiko bayi mati dalam perut. Mengikut kajian perangkaan, kaedah ini memang telah dibuktikan faedahnya dalam mengurangkan kadar kematian bayi.

Selepas di masukkan ubat pada pagi Rabu, 30 September, aku menunggu jika berlaku contraction sehingga petang. Selepas asar barulah aku mengalami tanda-tanda untuk melahirkan anak. Lendir bercampur darah. Jadi mulai waktu maghrib itu,aku telah tidak mengerjakan solat hinggalah aku melahirkan Abdullah Mubarak pada jam 3 :00 pagi.

Bagi penduduk Malaysia yang bermazhab Syafie, bolehlah bertaqlid dengan pendapat mazhab Syafie dalam hal ini. Iaitu ia darah haid. Pendapat mazhab Syafie ini boleh dirujuk dari kata-kata Imam An-nawawi di dalam kitabnya :-

فإذا رأت الحامل دما يصلح أن يكون حيضا فقولان مشهوران قال صاحب الحاوي والمتولي والبغوي وغيرهم : الجديد أنه حيض , والقديم : ليس بحيض , واتفق الأصحاب على أن الصحيح أنه حيض

Ertinya : "Apabila seorang wanita yang sedang hamil melihat darah (keluar), yang sesuai untuk dihukum sebagai darah haid maka terdapat dua pendapat yang masyhur (dalam mazhab Syafie), berkata pengarang kitab Al-Hawi (Al-Mawardi), Al-Mutawalli dan Imam Al-Baghawi dan lain-lain :

"Pendapat Syafie yang baru adalah ia Haid, pendapat Syafie yang lama, ia bukan haid. Telah sepakat ulama Syafie pendapat yang paling sohih ia adalah DARAH HAID" (Al-Majmu', 1/412) sumber petikan artikel dari Zaharuddin net.


Selepas darah bercampur lendir ini keluar, proses melahirkan anak berbeza antara setiap ibu. Namun sama antara tiap anak-anak. Aku sendiri telah mengalami beberapa kali proses melahirkan anak, maka aku selalu jadikan pengalaman lalu sebagai panduan untuk diri aku.

Sejak anak pertama, kedua dan ketiga, dari tanda-tanda kelahiran bermula, akau hanya mengambil masa lebih kurang 10 jam sahaja, dan masa itu makin berkurang mengikut pertambahan bilangan kelahiran. Anak sulong, aku mula mengalami tanda kelahiran dari jam jam 5 petang, melahirkan anak jam 3 pagi. Anak kedua, tanda kelahiran keluar jam 3:00 pagi, melahirak jam 9:00 pagi dan anak ke tiga, tanda kelahiran jam 12:00 tengah hari, melahir pada 2:40 petang.Ke tiga-tiga anak ini, aku bersalin di rumah sahaja.

Mulai anak ke empat aku bersalin dihospital Sultanah Aminah, 1 Jun 1991, aku telah ada tanda untuk melahirkan anaktetapi tidak sakit. Bila merujuk kepada doktor, aku terus dimasukkan ke wad bersalin dan berehat di katil. 3 Jun 1991 baru aku bersalin secara normal, dan 2:00 petang aku mula sakit kuat, jam 5:00 petang dimasukkan ke dewan bersalin, jam 5:05 anak lahir. Sekadar 5 minit sahaja masuk dewan, aku terus melahirkan anak. Memang mudah sangat.

Anak ke lima, pagi Hari Depavali 1993, 13 November 1993,tanda melahirkan dah ada. Tengah hari aku dihantar zauj ke hospital Sultanah Aminah, dan ditempatkan wad 4 timur, kelas 1 sebilik 2 orang. Oleh kerana hari itu cuti umum, hospital lenggang, doktor pun tak ada, yang ada cuma doktor 'oncall'.Selepas maghrib barulah aku ada rasa sakit nak bersalin, disebabkan dalam bilik aku tinggal seorang saja, jururawat bimbang berlaku sesuatu, aku di letakkan dibilik bersalin lebih awal lagi. Sambil berbual-bual dengan doktor oncall masa itu, Dr Jaidon.Dalam masa berbual, aku telah mengalami contraction , namun bila dibuat "UV", buka servik baru 2cm, bermakna ikut teori lambat lagi baru aku melahirkan anak. Ikut Teori perubatan bukaan servik 1cm mengambil masa 1jam, dan anak hanya boleh dilahirkan bila bukaan servik lebih 6 cm.

Itu teori perubatan berdasarkan kajian ilmiah kepada kebanyak perempuan. Yang berbezanya aku, kemudahan dan keringan yang Allah kurniakan kepada aku,dalam dok bersembang dengan doktor, tiba-tiba aku terus rasa nak mengalami contraction yang kuat, dan pintu servik terbuka hingga menampakkan rambut bayi yang akan lahir. Keam kabut doktor nak memakai sarung tangan, masa itu bayi lahir. Jam 8:40 Ahmad Baihaqi lahir dengan mudah sekali.

Anak ke6, Omar Abdul Aziz, lagilah mudah, sama dengan proses melahirkan Ahmad Baihaqi, mulanya aku diperiksa di bilik bersalin bukaan serviks cuma 2 cm pada pukul 3:40 pagi, oleh kerana bilik bersalin di Hospital Kulai itu amat sejuk, jururawat mengarahkan aku balik semula ke katil untuk menunggu bukaan serviks. Sampai saja di katil, aku sempat berbaring, anka pun keluar. Mujurlah aku ditempatkan bilik kelas 1 , seorang sebilik. Masa aku masuk, memang aku tak tutup pintu, sekadar aku tarik langsir sahaja, jadi bila aku menjerit memanggil jururawat, mereka dapat mendengarnya, tapi tak sempat mereka bawa troli untuk memindahkan aku ke bilik bersalin.Berwarnalah cadar dan selimut yang berwarna putih itu dengan darah merah.

Jadi bila tiba waktu melahirkan Abdullah, aku terus memaklumkan pada jururawat yang memeriksa bukaan serviks bahawa aku ini mudah untuk melahirkan anak. Mulanya masa bukaan 2cm tu, jururawat berkeras tidak mahu menghantar aku ke dewan bersalin, sebab jururawat pun takut dimarahi oleh jururawat dan doktor di dewan bersalin keran tidak ikut prosedur, menghantar ibu yang bukaan servik selepas 6 cm.Namun bila aku bercerita pengalaman lalu, dia pun menghantar juga aku ke dewan bersalin. Sampai di sana mereka memang meletakkan aku diluar bilik bersalin, baring atas katil. Tak sampai satu jam , aku terus mengalami contraction yang kuat, dan sempat memanggil jururawat, tergesa-gesa mereka memindahkan aku dari katil ke troli, untuk berjalan menuju ke ruang bersalin, aku sudah tidak mampu lagi, kerana kulit kepala bayi telah kelihatan untuk lahir. Tapi aku tak sempat juga ditolak masuk ke ruang bersalin dan melahirkan Abdullah di atas troli itu juga.

Begitulah mudahnya aku bersalin anak-anak secara normal. Kemudahan dan keringanan ini adalah kurniaan Allah. Sakit memang sakit, hingga menitis airmata menahannya, tapi kesakitan yang Allah berikan ini tidak lama, sekitar 30 minit hingga 1 jam sahaja.Setiap kali contraction berlaku, sakitnya terlalu kuat diiringi airmata, mulut dan hati ku tidak lepas dari berdoa, agar anak ini menjadi anak yang soleh.Aku berdoa setiap detik dan masa hinggalah aku selamat melahirkan anak.Aku mohon ampun pada Allah, minta digugurkan dosa-dosa ku bersama kesakitan yang datang itu.

Oleh itu wahai anak-anak, sayangilah ibu kamu selepas Allah dan rasul, bagi anak lelaki dan selepas Allah, rasul dan suami bagi anak perempuan. Tidak ada yang lebih untuk kamu cintai selain ini. Melahirkan anak ibarat menyabung nyawa hidup atau mati.Sebab itu kenapa, syurga anak lelaki di bawah telapak kaki ibu, mengapa Rasullulah sebut ibumu,ibumu,ibumu dan ayahmu bila ditanya siapakah yang perlu disayangi oleh seorang anak. Seorang ayah hanya memberikan nafkah, kasih sayang dan pendidikan, tapi seorang ibu mengandungkan dengan susah payah, melahirkan dengan penuh kesakitan, menyusukan, mengasuh, merawat dengan kasih sayang, mendidik dan membelai anaknya dengan tangan sendiri.

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata:

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan bertanya:

“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ibu kamu.”

Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”

Baginda menjawab: “Ayah kamu.”[1]


Seorang sahabat bernama Jahimah radhiallahu 'anh datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta pandangan baginda untuk dia ikut serta dalam ekspedisi Jihad.

Rasulullah bertanya: Adakah kamu masih mempunyai ibu?

Jahimah menjawab: Ya.

Lalu Rasulullah bersabda:

“Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.”[2]


Di antara ibu dan ayah, ibulah yang lebih berhak untuk menerima perhatian daripada seorang anak. Tidak sekadar itu, ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah sepertimana terbukti melalui hadis di atas. Syurga juga terletak di bawah kaki ibu, sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis kedua di atas. Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga telah mengkhususkan beberapa ayat-Nya di dalam al-Qur’an untuk ibu. Ini tidak lain menunjukkan betapa besar dan mulia kedudukan ibu di sisi Allah dalam peranannya melahirkan anak dan membesarkannya.[3] Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

[Luqman 31:14]

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. [al-Ahqaf 46:15]


Terdapat beberapa sebab mengapa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah:

  1. Ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandung seorang anak. Allah mengkhabarkan kesusahan ini dengan firman-Nya yang bermaksud: …ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah… [al-Ahqaf 46:15]

  2. Kesusahan ketika mengandung semakin bertambah selari dengan pembesaran janin. Kesusahan yang semakin bertambah mengakibatkan seorang ibu menanggung kelemahan demi kelemahan: …ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan…

  3. Kesusahan ini mencapai tahap paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut: …dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Kesusahan ini diungkap oleh Allah dalam kisah Maryam ketika beliau hendak melahirkan ‘Isa:

(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” [Maryam 19:23]

Berkenaan kesusahan yang amat berat saat hendak melahirkan, Abi Burdah radhiallahu 'anh pernah melihat Ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma dan seorang lelaki dari Yaman sedang tawaf di sekeliling Ka’bah.

Lelaki tersebut sedang mendukung ibunya lalu mengeluh: Saya baginya bagaikan tunggangan yang hina.

Lalu dia bertanya: Wahai Ibn ‘Umar! Apakah sudah aku balas budinya?

Ibn ‘Umar menjawab: Tidak! Walaupun setarik nafasnya (yakni ketika ibunya sedang melahirkannya).[4]


4. Setelah melahirkan, ibu benar-benar memberi perhatian kepada anaknya. Seandainya anaknya tidak

sihat atau hilang sekejap daripada perhatiannya, nescaya dia menjadi bimbang. Apatah lagi jika anaknya dijauhkan daripadanya, seorang ibu akan teramat berdukacita sehingga hatinya menjadi kosong, sehinggalah anaknya dikembalikan kepadanya.


Kenalilah perhatian seorang ibu terhadap anaknya berdasarkan kisah berikut daripada al-Qur’an, ketika Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintah ibu Musa untuk menghanyutkan anaknya (Musa) agar dia (Musa) tidak ditangkap dan dibunuh oleh Fir’aun:

Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: “Susukanlah dia; dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan)

lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang daripada Rasul-rasul Kami.

Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh

dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-orangnya

adalah golongan yang bersalah.

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Fir’aun:

“(Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya;

mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak.”

Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).

Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong; sesungguhnya dia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu dengan berterus-terang jika tidaklah Kami kuatkan hatinya (dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah dia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

Dan berkatalah dia kepada kakak Musa:

“Pergilah cari khabar beritanya.” (Maka pergilah dia) lalu dilihatnya dari jauh

sedang orang ramai tidak menyedarinya.

Dan Kami jadikan dia (Musa) dari mulanya enggan menyusu kepada perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya; (melihatkan halnya itu), kakaknya berkata (kepada isteri Fir’aun):

“Mahukah aku tunjukkan kamu kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya?”

Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya supaya tenang tenteram hatinya

dan tidak berdukacita (disebabkan bercerai dengannya); dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui

(yang demikian itu). [Maksud surah al-Qasas 28:7-13]


5. Sekalipun dengan segala pengorbanan ibu daripada saat mengandung hinggalah kepada membesarkan,

seorang anak lazimnya akan lebih cenderung untuk meremehkan ibunya berbanding ayahnya. Faktor penyebab adalah sama ketika menjelaskan bab sebelum ini berkenaan mengapa ibu dikhususkan daripada ayah dalam larangan menderhaka. Sifat kewanitaan seorang ibu yang lemah lembut dan peranannya yang “hanya di rumah” menyebabkan sebahagian anak-anak tidak menghormati ibu mereka dan justeru melecehkan tuntutan berbuat baik kepadanya.


Lima sebab di atas, paling kurang, menjelaskan mengapa Allah dan Rasul-Nya mengkhususkan seorang ibu di atas seorang ayah. Malah hadis yang asal dalam perbincangan ini memberi hak tiga kali ganda lebih besar kepada seorang ibu berbanding seorang ayah. Oleh itu dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa, hendaklah kita memberi perhatian dan keutamaan kepada ibu.

Mengambil iktibar daripada kisah para sahabat Rasulullah, seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma, Saya meminang seorang wanita tetapi dia menolak pinangan aku. Setelah itu datang orang lain meminangnya lalu dia menerimanya. Saya menjadi cemburu kepadanya dan saya membunuhnya. Apakah ada taubat untuk saya?

Ibn ‘Abbas bertanya:Apakah ibu kamu masih hidup?

Dia menjawab: Tidak.”

Ibn ‘Abbas berkata: Bertaubatlah kepada Allah dan mendekatlah kepada-Nya semampu mungkin.

Atha’ bin Yasar (yang hadir sama saat itu) bertanya kepada Ibn ‘Abbas: Mengapa engkau bertanya kepada lelaki tersebut sama ada ibunya masih hidup?

Ibn ‘Abbas menjawab:Saya tidak tahu perbuatan yang paling mendekatkan (seseorang) kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala melainkan berbakti kepada ibu.[5]



[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5971 (Kitab al-Adab, Bab siapakah manusia yang paling berhak untuk dilayan dengan baik).

[2] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasai dan dinilai hasan sahih dalam Shahih Sunan al-Nasai – hadis no: 3104 (Kitab al-Jihad, Bab kelonggaran daripada berperang bagi orang yang memiliki ibu).

[3] Sayang sekali kebanyakan wanita sekarang ini tidak lagi memandang mulia terhadap peranan mereka untuk melahir dan membesarkan anak. Apa yang dipandang mulia oleh Allah kini dipandang hina oleh manusia. Semua ini berlaku kerana manusia kini mengejar kemuliaan mengikut ukuran mereka sendiri. Mereka tidak sedar bahawa apa yang dianggap mulia oleh sebahagian manusia dianggap hina oleh manusia yang lain. Apa yang dianggap mulia pada masa kini akan menjadi hina pada masa akan datang. Ringkasnya, kemuliaan mengikut ukuran manusia sentiasa bersifat nisbi manakala kemuliaan mengikut ukuran Allah sentiasa bersifat hakiki.

[4] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dan sanadnya dinilai sahih dalam Shahih al-Adab al-Mufrad – hadis no: 9.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad








Impianku menjadi isteri solehah

2 comments:

Ummi Munaliza said...

Alhamdullilah, berjaya juga untuk setting agar pembaca boleh komen. Selama ini ummi tak tahu nak buat macamana...

Anonymous said...

Terima kasih tidak terhingga dengan maklumat yg padat ini..selma mlyri n mncr2 mklumt tntg prosedur pksa brslin ni saya x bpuas hti..tp stlh mmbc entri ini, ktkutan dan kbmbangan sy hilng..mlh lbh yakin..esok sy akn masuk wad tuk dpksa brslin..doakn ksjhteraan sy dn bby comel ni ya..(^^,)amiin

dayang,sabah