BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday 7 November 2009

Adil terhadap Anak-anak

Dalam sebuah keluarga, ibu bapa perlu bersikap adil kepada anak-anaknya. Bukan sahaja adil dalam pemberian harta benda yang nampak tetapi dalam kasih sayang juga. Sebenarnya , jarang terdapat ibu bapa yang membezakan kasih sayang, hanya anak-anak sahaja yang merasakan mereka itu dibeza-bezakan.

Katakan dalam sebuah keluarga tu ada 10 anak, semua anak tu pasti akan di sekolahkan, semua anak tu akan diberikan peluang belajar yang sama, samada sekolah rendah, agama dan menengah. Cumanya bila selepas SPM atau yang setarafnya,peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran tu jadi berbeza. Berbeza disebabkan oleh usaha diperingkat rendah dan menengah. Asalnya Allah kurniakan kecerdikan akal tu sama pada semua orang, hanya ianya bergantung kepada rajin atau tidak seseorang itu berusaha mencari ilmu.

Jika rajin belajar dengan tekun, menumpukan perhatian terhadapa ajaran guru, mengulangkaji ilmu yang baru dipelajari, ingatan makin kuat , doa yang berterusan, taat kepada ibu bapa, melaksanakan solat dengan sempurna,berakhlak mulia maka pasti akan berjaya. Jika ini yang dilakukan, kejayaan dalam peperiksaan akan di gapai jua.

Jadi jika berbeza peluang belajar di peringkat lanjutan ini, bukan kerana salah ibu bapa atau ibu bapa membezakan kasih sayang, tetapi bergantung kepada usaha anak-anak itu tadi.

Walaubagaimana pun tawakkal perlu ada juga kerana, mungkin juga Allah mahu menguji, setelah semua usaha telah dibuat, doa, solat hajat, namun tidak juga berjaya, itu namanya ujian. Sebab itu jika mahu tawakkal, mesti ada usaha dan doa terlebih dahulu. Jangan tawakkal
tanpa usaha.

Mengapa harus menyerah diri kepada Allah (tawakkal)? Sebab apabila kita telah beriman kepada qadha dan qadar Allah SWT, maka hakikatnya Allah telah mengatur segala-galanya.Tetapi apabila kita berfikiran sempit, dan melihat hanya sepintas lalu, maka keadaan ini menjatuhkan diri kita dari mengatur hidup ini secara baik sesuai dengan keridhaan Allah.

Apabila kita hanya berpangku tangan tanpa merancang sesuatu dalam hidup, kita akan menjadi malas untuk berusaha dan bekerja. Disebabkan kemalasan ini akan mendatangkan berbagai masalah dalam kehidupan, maka tanpa disangka datanglah pula syaitan dan iblis membawa rasa was-was dan keraguan-keraguan di dalam hati. Ia akan menghembuskan macam-macam persoalan dalam kehidupan kita dan secara tidak langsung fikiran kita akan menerawang dan memikirkan perkara-perkara yang bukan-bukan.

Barang siapa yang tidak bertawakkal kepadaNya berarti dia tidak memerlukan bantuan Allah SWT dalam hidup dan kehidupannya.

Dalam ilmu tasawwuf, orang yang tidak bertawakkal kepada Allah menganggap seseolah Allah itu tiada, bila Allah tiada;

* apa perlunya hukum Allah,
* apa perlunya melaksanakan segala hukum-hukum Allah.
* apa perlunya buat apa yang Allah suruh dan tinggal apa yang Allah larang.


Inilah kesannya jika orang itu tidak mahu bertawakkal kepada Allah.

Panjangnya mukaddimah mengenai tawakkal...ok, seterusnya sambung berkaitan keadilan dalam sebuah keluarga.

Seorang ayah harus menyamakan antara anak-anaknya dalam pemberian, sehingga dengan demikian mereka akan berbuat baik kepada ayah .

Di samping itu seorang ayah dilarang mengistimewakan pemberiannya kepada salah seorang di antara mereka tanpa ada suatu kepentingan yang sangat perlu, sebab yang demikian itu akan menjengkelkan hati yang lain dan akan mengobarkan api permusuhan dan kebencian sesama mereka.

Ibu dalam hal ini sama dengan ayah.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda sebagai berikut:

"Berlaku adillah kamu terhadap anak-anakmu." 3 kali. (Riwayat Ahmad, Nasa'i dan Abu Daud)

Kisah timbulnya hadis ini adalah sebagai berikut: Isteri Basyir bin Saad al-Ansari meminta kepada suaminya supaya memberikan harta dengan istimewa kepada anaknya yang bernama Nu'man --berupa kebun dan hamba-- dan ia bermaksud akan mengkukuhkan hibah ini dan ia minta kepada Basyir supaya disaksikan oleh Nabi s.a.w. Kemudian pergilah Basyir kepada Nabi dan berkata:

"Ya Rasulullah! Anak perempuan si fulan (isteriku) minta kepadaku supaya aku memberikan hambaku kepada anaknya. Kemudian Nabi bertanya: Apakah dia mempunyai saudara? Ia menjawab: Ya. Nabi bertanya lagi: Apakah semuanya kamu beri seperti apa yang kamu berikan kepadanya? Ia menjawab: Tidak! Kemudian Nabi bersabda: Yang demikian ini tidak baik, dan saya sendiri tidak akan mau menjadi saksi kecuali pada hal yang baik." (Riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

Dalam satu riwayat dikatakan oleh Nabi:

"Jangan kamu jadikan aku untuk menyaksikan sesuatu dosa. Sesungguhnya anakmu mempunyai hak yang harus kamu tunaikan, yaitu hendaknya kamu berlaku adil di antara mereka; sebagaimana kamu mempunyai hak yang harus ditunaikan oleh anak-anakmu, yaitu hendaknya mereka itu berbuat baik kepadamu." (Riwayat Abu Daud)

Dan dikatakan pula oleh Nabi:

"Takutlah kepada Allah dan berlaku adillah terhadap anak-anakmu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat, bahwa melebihkan itu diperbolehkan jika ada sebab, misalnya si anak sangat membutuhkan karena suatu kesengsaraan dan sebagainya yang tidak diderita oleh saudara-saudaranya yang lain.

Ingin ummi berikan contoh dalam kehidupan harian berkaitan keadilan dalam sebuah keluarga selain dari peluangan pendidikan ialah dalam soal perkahwinan pun sama. Jika anak lelaki,dalam mencari calon isteri, jika seorang anak, dibenarkan mereka memilih calon yang mereka suka dan memaklumkan pada ibu-bapanya, maka anak lain pun kita perlu samakan. Lainlah jika anak tu minta kita carikan. Jika seorang kita adakan walimah, maka yang lain pun perlu di adakan. Kalau material, jika seorang anak dibelikan seluar, anak yang lain pun kena belikan seluar juga. Mungkin bentuknya tidak sama, mungkin nak pilih sendiri, maka kita berikan saja duit dalam nilai yang sama. Jangan sekali-sekali, anak ini dihadiahkan sesuatu, anak ini tidak diberikan apa-apa.

Begitu juga dari segi makan minum.Masih ingat lagi, masa kecil2 dulu, mak abah orang sawah,hidup miskin, susah nak dapat sesuatu, bila tiba musim buah, terutama musim buah rambutan atau langsat, kalau abah beli rambutan (dah tentu belinya setakat 1 kg sahaja) sampai rumah, mak akan kira berapa biji buah rambutan tu dan akan bahagikan kepada berapa bilangan anak yang ada di rumah. Kami 6 beradik akan diberikan sama banyak, mungkin seorang 4 biji sahaja merasa makan buah rambutan dalam tahun itu.Tapi kami puas kerana dapat makan sama banyak sesama adik beradik. Jika sekali sekala, abah belikan mak mee goreng, mak akan suapkan seorang satu sudu, bagi semua merasa, mak kata "sikit seorang sikit, banyak seorang banyak". Yang pasti semua merasa, dan tidak ada di dalam hati rasa tidak puas hati, iri hati dan dengki.

Jadi bila ummi berumah tangga, pengalaman ini yang ummi ingat, dan ini yang ummi terapkan pada anak-anak ummi. Jangan berebut makanan, atau apa sahaja. Hinggakan jika beli buah epal satu kotak (ada lebih kurang 100 biji buah epal)anak-anak ummi sanggup buat matematik, jika dalam rumah ada 10 orang, maka seorang dapat makan 10 biji sahaja. Nak makan sehari ke atau nak makan berapa hari tu terpulanglah atas masing-masing, jika makan sehari sebiji, dapat lah dia makan epal 10 hari.Tapi mereka tidak akan ambik hak orang lain, walaupun epal itu terhidang sahaja di dalam peti sejuk kerana awal-awal mereka dah membahagikan epal itu berapa biji seorang.

Ntahla, mungkin setengah orang anggap benda ni remeh, sebab mungkin anak-anaknya seorang dua, boleh makan seberapa banyak suka, atau ada anaknya yang suka makan, ada yang tidak suka makan, tetapi bagi ummi, ini semua penerapan awal di rumah untuk bertindak adil dalam sesuatu urusan apabila besar nanti. Mungkin suatu hari nanti anak itu dikurniakan kelebihan dibidang kepimpinan,atau berwibawa dalam sesuatu organisasi pentadbiran, siapa yang tahu?

Sekian, entri untuk kali ini, moga mendapat manafaat buat pembaca semua...

Buku Rujukan :
Halal dan Haram dalam Islam
Oleh Syekh Muhammad Yusuf Qardhawi
Alih bahasa: H. Mu'ammal Hamidy
Penerbit: PT. Bina Ilmu, 1993


Impianku menjadi isteri solehah

0 comments: