BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday 2 November 2009

Kesabaran adalah buah iman.

Kesabaran adalah buah iman. Ungkapan ini yang ummi lafaz semasa menunggu giliran daftar untuk ambik nombor semasa memulakan menjalani rawatan di Jabatan Kardiologi HSAJB. Entah kenapa, hari ini di kaunter pendaftaran tu, nampak ramai yang bertugas, tetapi nombor yang dipanggil tidak bergerak dari tadi. Nampak mereka bergerak ke hulu ke hilir, tak tahu apa yang di cari. Dalam kesabaran , sambil membaca novel 'Hijab Sang Pencinta' akhirnya nombor 0345 terpapar juga untuk pendaftaran.(ni baru kaunter pendaftaran untuk dapat fail).

Kemudian di arah pergi ke bilik S6 untuk jalani ujian EKG. Apa itu EKG? Nak buat ujian ini, sekali lagi ummi kena tunggu giliran , dapat nombor 41. Tunggu lagi sambil membaca. Selalu kalau pergi jumpa doktor Orthopedik, ummi bawa laptop dan mobile broadband, kali ini disebabkan pergi seorang diri, semua anak-anak sekolah, Naziha pula ada kelas memandu kereta, zauj hantar sampai depan pintu poliklinik pakar tu sahaja. Pastu terus zauj balik ke pejabat semula.

Elektrokardiogram (EKG)

Ujian EKG merakam aktiviti aliran elektrik yang terdapat dalam jantung.

Pengecutan dan pengembangan otot jantung yang normal dihasilkan oleh aktiviti pengecutan dan penegmbangan yang berkordinasi daripada dorongan elektrik. EKG dirakam oleh elektrode yang diletakkan di dada, tangan dan kaki.

Dengan memerhatikan hasil ujian EKG ini, doktor dapat mengesan gangguan ritma jantung, penyakit arteri koronari dan pembesaran mana-mana bahagian jantung.

Ini rupa hasil dari ujian itu. Keluar keputusan di atas kertas graf. Hanya yang pakar sahaja boleh membaca dan mengenal masalah pada jantung berdasarkan catatan di kertas graf. Tanya ummi, ummi pun tak reti dan faham. Ummi dengar sahajalah apa yang doktor pakar tu cakap.


Ini bukan keputusan ECG ummi, contoh sahaja.

Setelah selesai jalani ujian ini, ummi kena pergi ke bilik doktor membawa kertas graf ini. Kena tunggu giliran lagi. Tunggulah sambil tersengguk-sengguk. Mujur sebelum ummi keluar rumah jam 9:30 pagi tadi, ummi dah buat solat dhuha. Kalau tidak terlepas dhuha ummi. Jam 12:15 baru giliran ummi tiba dan dipanggil masuk ke bilik Dr. Tieh Siaw Cheng, Pakar Kardiologi HSAJB. Setelah diperiksa, dan perbincangan dibuat berdasarkan beberapa ujian, ummi perlu jalani ujian Koronari Angiogram pada Januari 2010. Apa lah pula Koronari Angiogram ini?

Koronari Angiogram

Angiogram adalah satu pemeriksaan yang menggunakan imbasan sinar-x untuk memperlihatkan salur darah dengan menggunakan bahan kontras. Angiogram digunakan untuk mendiagnos penyakit arteri koronari. Ia juga boleh digunakan untuk mengenal pasti lokasi sebenar dan keterukan CAD.

Imej angiografi dapat memperlihatkan dengan tepat tahap penyumbatan penyakit arteri. Angiogram juga dapat membantu doktor memilih rawatan yang sesuai bagi pesakit yang mengidapi serangan jantung (myocardial infection) atau angina. Rawatan ini mungkin mengandungi ubat-ubatan, belon angioplasti, stenting, artherectomy, rotablator atau pembedahan jantung (bypass).

Prosedur Arteri Kononari dan PTCA/stents banyak dilakukan di Pusat Perubatan HSC (lebih kurang 500 kes setiap tahun). Kebanyakan pesakit selalunya dirawat sebagai pesakit luar dan boleh balik pada hari yang sama selepas pemeriksaan. Hanya segelintir kes di mana pesakit dirawat sebagai pesakit dalam sekiranya bantuan klinikal diperlukan.

Pesakit diminta berpuasa selama enam hingga lapan jam sebelum prosedur dijalankan.

Doktor dah tetapkan perlu mendaftar masuk wad pada 12 Januari 2010 (lama tunggu giliran ni sebab pesakit ramai).Prosedur Arteri Kononari akan dilakukan pada 13 Januari 2010, itu pun jika doktor tidak menghadapi kes-kes kecemasan. Kebetulan pula ummi masih demam, dah seminggu demam, terus doktor buat pemeriksaan. Disediakan senarai ubat-ubat untuk dimakan.

Selesai itu, ummi dikehendaki ambik darah pula. Kena ambik nombor lagi. Ikut saja peraturan yang telah ditetapkan. Akan tiba juga giliran tu nanti. Kali ini nombor 0594. Tiba nombor dipanggil, masuk dalam bilik dan, 3 botol darah ukuran tabung uji masa belajar di makmal dulu tu darah diambik. Kali ni, mudah sahaja, jururawat cucuk, terus dapat sedut darah.

Lepas ambik darah, kena pergi pula bahagian farmasi untuk ambik ubat. Berjalan lah ummi dengan bantuan sebatang tongkat menuju ke bahagian Farmasi. MasyaAllah, ramainya orang. Nombor giliran ialah 6342. Tunggu lagi sambil membaca. Bila giliran ambik ubat selesai, jam menunjukkan angka 1:00 tengah hari. Terus telefon zauj, minta jemput. Jam 1:30 zauj sampai dan balik ke rumah dengan letih dan kelaparan. Makan dan solat zuhur. Makan ubat dulu sebab kepala dah kena migrain, barulah buka laptop menghadap Halaqah dan menulis di laman ini.

Semoga aku terus diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian dan anugerah dari Allah.

سُوۡرَةُ البَقَرَة

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ‌ۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ‌ۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِى وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِى لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ

Bermaksud :
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." (al-Baqarah , 186)


Impianku menjadi isteri solehah

0 comments: