BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday 8 November 2009

Simpton serangan jantung

Maaflah kepada sahabat, rakan , taulan, anak-anak yang menjadikan laman ummi untuk mendapatkan ilmu,maklumat, perkongsian pengalaman hidup, tetapi akhir-akhir ni, post ummi lebih banyak bercerita berkaitan sakit jantung.

Mungkin situasi ummi sekarang ni,maka ummi suka berkongsi cerita, meluahkan apa yang ummi lalui. Moga dengan doa dari semua pembaca dapat menyalurkan sedikit sebanyak semangat kepada ummi untuk melalui hidup dan kehidupan ini dengan lebih tabah, ceria dan semestinya sabar serta berserah kepada Allah.

Ingin ummi kongsikan pengalaman pertama yang ummi lalui ketika serangan jantung terjadi. Memang ummi tidak pun sedar akan simpton2 serangan jantung sehingga ummi mendapat serangan jantung itu pada pertengah tahun ini.

Sebenarnya sebelum ummi mendapat serangan jantung, ada dua pengamal perubatan telah memaklumkan ummi,bahawa ummi ada masalah jantung.Pengamal perubatan pertama,Pada bulan Februari 2009,melalui seorang pengamal perubatan alternatif, masa ummi buat pemeriksaan dan ujian menggunakan rambut dan darah dan dianalisa melalui alat khas berteknologi tinggi dan canggih, laporan yang dikeluarkan menyatakan status kesihatan jantung agak terganggu. Jantung ada masalah, tahap kesihatan hati kronik...

Pengamal perubatan kedua yang memaklumkan ummi ialah semasa ummi tinggal di wad HSAJB untuk jalani rawatan orthopedik pada bulan Mac 2009, sewaktu doktor itu mahu mengambil darah dari urat-urat tangan ummi. Doktor tu tegur, "kakak, dari kuku kakak ni, kakak macam ada masalah jantung, nanti dah keluar wad, kakak jalani pemeriksaan jantung, ya."

Namun, selepas sahaja balik rumah, ummi tidak pun ambik kisah dan buat tak kisah. Tak ada langsung masa tu ummi cuba nak cari maklumat atau info simpton-simpton serangan jantung, hinggalah ummi merasainya. Setelah melalui pengalaman serangan jantung, barulah ummi mencari maklumat, dan apa yang tertulis di bawah ini, sama dengan apa yang ummi rasai...


Bagaimana mengesan serangan jantung?

Kebanyakan serangan jantung terjadi secara perlahan-lahan. Ia menyebabkan ada pesakit yang tidak pasti, adakah mereka patut mendapatkan pertolongan atau tidak?

Namun umumnya, jika anda merasakan ketidakselesaan di bahagian dada (rasa tertekan, senak atau dipicit) yang berlangsung beberapa minit dan kerap berulang, dapatkan rawatan segera.

Selain itu anda mungkin merasa sakit di bahagian atas badan misalnya lengan, bahagian belakang, rahang atau perut. Ada kala rasa sakit itu disertai nafas pendek dan sakit dada.

Jika anda berhadapan dengan mereka yang diserang sakit jantung tiba-tiba, satu jam pertama selepas serangan jantung adalah masa yang cukup penting. Membantu mangsa dalam masa itu boleh menyelamatkan nyawa.

Terdapat pelbagai simptom masalah jantung. Justeru serangan jantung yang dialami oleh individu mungkin berbeza. Misalnya di kalangan pesakit wanita, mungkin mengalami rasa sakit di bahu berbanding lelaki yang rasa dada seakan remuk.

Ada kala, serangan jantung kali pertama boleh anda harungi. Namun, ada yang tidak bernasib baik, serangan jantung kali pertama menyebabkan kematian.

Justeru, jalani pemeriksaan kesihatan untuk mengetahui situasi semasa kesihatan anda dan mengamalkan gaya hidup sihat.

FAKTA: Simptom awal serangan jantung

# Rasa sakit di dada (senak, seakan dipicit/ditekan) selama dua minit atau lebih.

# Sakit di bahu, tengkuk, rahang, lengan atau bahagian belakang

# Pening, berpeluh, muntah, nafas pendek atau lemah.

Apa puncanya? Selalunya apabila seseorang itu terkena serangan jantung, mereka akan dikaitkan dengan amalan hidup seharian.


“Faktor risiko paling biasa adalah diabetes dan tekanan darah tinggi. Tetapi di kalangan orang muda, faktor atau punca masalah pembunuh senyap ini adalah disebabkan merokok, kolesterol yang tinggi, bekerja dalam suasana yang tertekan serta diet yang tidak seimbang,” katanya.

Adakah ummi berada di dalam lingkungan begini? Ummi bukan perokok atau hidup dilingkungi orang merokok, bukan pesakit diabetes, malah ummi selalu mengalami kurang gula dalam darah hingga menyebabkan 'hypo', bukan juga selalu mengalami tekanan darah tinggi. Ummi lebih kerap diserang tekanan darah rendah, hingga kadang-kadang selalu pitam kerana masalah tekanan darah rendah. Bila ujian darah menguji tahap kolestrol dijalankan, julatnya berada di paras normal.

Mahu dikatakan bekerja dalam suasana tertekan, jauh sekali kerana kerjaya yang ummi ceburi adalah kerjaya yang sangat membahagiakan hati, jiwa dan perasaan. Diet tidak seimbang? Tahun lepas sahaja, ummi berusaha mengurang berat badan dan berjaya mengurangkan hingga 15 kg dengan diet seimbangan. Namum serangan jantung tu nak kena, kenalha juga.

Jadi kesimpulannya, bila kita didatangi penyakit, tak payah kaji puncanya, anggap sahaja itu anugerah Allah untuk menguji keimanan kita, tanda kita dalam perhatianNYA dan kerana Kasih SayangNYA. Banyakkan doa, mohon jadi hamba yang redha di atas segala takdirNYA. Tak payah keluh kesah, ada usaha dan ikhtiar untuk mencari penawar dan rawatan. Semasa menajalni rawatan , perlu banyak bersabar...

Betapa banyak rahmat Allah, menahan sakit dalam kasih sayangNYA, berusaha mencari penawar, ada hikmahNYA,bersabar, berdoa dan bertawakal, ini semua adalah jalan-jalan untuk hampir kepadaNYA. Jadi jangan risau dan bimbang jika kita diberikan sakit dan kesakitan...

Dan ujian itu bukan untuk yang sakit sahaja, untuk orang yang bersama pesakit itu juga...



Impianku menjadi isteri solehah

1 comments:

sue said...

Semoga Allah berikan kekuatan pd ummie mengahrungi ujian yg diberi.Semoga diberi kesihatan lbh baik insyaallah