BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 29 December 2009

Di Sebalik Hari Asyura


Bercerita mengenai Hari Asyura, dari ummi kecik lagi dah biasa jumpa. Di kampong ummi, setiap tahun pasti diadakan sambutan hari asyura dengan membuat bubur asyura. Masa kecik ummi tak tahu apa itu hari asyura, yang tahu hanya buburnya sahaja. Ceritanya pun tak tahu sekadar cerita dari arwah mak, kata, masa zaman Nabi Noh, selepas banjir besar surut, mereka campur semua bahan makanan yang ada untuk dimasak dan makan beramai-ramai. Di kampung, Hari Asyura ini ini seperti menyambut perayaan hari kebesaran Islam.

Selalunya di kampung ummi, bubur asyura dibuat dari beras, kekacang, ubi -ubi dan sayur-sayuran. Semuanya dicampur, direbus dan akhir sekali masukkan rempah tumis dan santan. Rasanya macam orang sekarang buat bubur lambuk.

Kalau di rumah ummi sekarang, memang selalu buat bubur asyura. Anak-anak dan zauj suka makan bubur asyura ni. Ringkas. lagi pun memang zauj dan anak-anak makan apa yang ada dan tidak banyak komen jika hanya itu yang ummi masak. Selalunya,jika ummi buat bubur asyura, ummi buat pagi-pagi dan masak dalam 4 pot sukatan beras sahaja. Tapi bila dah siap jadi bubur, akan jadi satu periuk yang besar. Kiranya boleh makan untuk sarapan  pagi, makan tengah hari dan makan malam. Jika ada tamu, lagi baik. Hantar pada jiran tetangga. Selagi bubur ayura tu tidak habis, selagi itulah ummi tidak akan masak makanan lain. Jadi zauj dan anak-anak sudah terbiasa dengan cara ummi, selagi makanan yang ada tidak habis, tidak akan masak makanan lain.




Memang zauj dah didik dari awal perkahwinan, masak ketika lapar, tidak semestinya kita masak ikut masa pagi, tengah hari dan malam. Jadi bila lapar kita masak, makan pun ketika lapar. Kembali cerita bubur asyura....

Ummi bawakan sedikit cerita dari kisah sejarah dan masyarakat berkaitan sambutan hari asyura ini.

MAJORITI umat Islam Malaysia tahu mengenai bubur Asyura. Ada yang menyatakan bahawa bubur Asyura ialah bubur khas yang terdiri daripada sepuluh jenis bahan. Ada tepung, ada ubi, ada pelbagai kekacang dan sebagainya. Apa yang pasti ia ialah bubur daripada 10 bahan masakan. Kalau lebih atau kurang, itu bukan bubur Asyura. Jenis rasanya mungkin juga berbeza di antara satu negeri dengan negeri lain.

Ada juga anggapan bahawa bubur Asyura ialah bubur khas sempena 10 Muharam. Kebetulan perkataan Asyura diambil daripada bahasa Arab iaitu Asyarah yang bermakna 10. Maka ramailah yang bergotong-royong atau bersendirian menyediakan bubur Asyura pada tanggal 10 Muharam.

Ia adalah satu aktiviti masyarakat yang harmoni. Masyarakat akan mengutip derma beberapa ringgit setiap rumah untuk keperluan membeli barang yang diperlukan untuk memasak. Petangnya mereka akan memasak beramai-ramai sambil berbual, bergurau-senda dan bertanya khabar. Ini boleh menjalin dan mengeratkan silaturahim sesama jiran tetangga. Tempat menjalankan aktiviti ini selalunya di surau atau masjid-masjid kariah.




“Sudah tentu aktiviti ini satu kerja kemasyarakatan yang baik. Malamnya pula mereka berkumpul untuk mendengar ceramah agama berkaitan Asyura. Habis ceramah dan solat Isyak berjemaah, para hadirin bersama-sama menjamu selera bubur Asyura. Hakikatnya, bubur Asyura bukanlah satu amalan ibadah yang wajib. Ia hanya sekadar adat tradisi yang nampaknya tidak mempunyai apa-apa tegahan dalam agama.

Namun , ada sedikit kealpaan apabila kita melupakan suatu sunah yang baik untuk diamalkan iaitu berpuasa pada hari Asyura. Dalam satu hadis Nabi s.a.w. disebut maksudnya :
"Puasa hari Arafah (9 Zulhijjah) menghapuskan dosa dua tahun iaitu setahun sebelumnya dan setahun selepasnya, dan puasa hari Asyura (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun sebelumnya."  (Riwayat Abu Daud).

Kenapa hari Asyura kurang kelebihannya berbanding hari Arafah?  Hikmahnya mungkin berbalik kepada asal ibadat. Ini kerana hari Arafah berkait langsung dengan ibadat haji di mana wukuf di Arafah adalah rukun haji yang paling utama. Oleh itu puasa pada hari Arafah khusus untuk umat Nabi Muhammad s.a.w..

Peristiwa Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Musa a.s., Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari).

Ada juga anggapan bahawa hari Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Nuh. Selepas diselamatkan daripada banjir besar, maka dibuatlah makanan daripada apa yang ada. Makanan yang dimasak itu ialah bubur. Lalu terbitlah satu makanan namanya bubur Asyura. Mungkin ada sumbernya mungkin juga tidak ada. Apa pun yang pasti hari 10 Muharam berkait dengan peristiwa Nabi Musa dan ada anggapan ia berkaitan dengan juga dengan Nabi Nuh.

Berpuasa hari Asyura adalah sunah Nabi Muhammad s.a.w. Ini ditegaskan dalam satu sabda maksudnya: Sesungguhnya hari ini hari Asyura dan tidak diwajibkan atas kamu puasa padanya. Sesiapa yang mahu maka berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka berbukalah. (Riwayat Bukhari).

Elok juga jika dapat berpuasa pada hari sembilan Muharam atau disebut hari Tasua'.Sabda Nabi s.a.w., " Jika aku hidup pada tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari sembilan dan 10 Muharam. (Riwayat Ibnu Majah).

Hikmahnya mungkin bagi menyalahi perjalanan orang Yahudi yang memuliakan hari 10 Muharam sebagaimana yang disebutkan sebelum ini. Maka umat Islam digalakkan juga berpuasa pada 9 Muharam di samping 10 Muharam.

Oleh itu, amatlah wajar jika program masyarakat sekitar bubur Asyura disekalikan dengan program puasa sunat. Mungkin elok jika dapat sama-sama berbuka dengan bubur Asyura.

Hari asyura pada kali ini jatuh pada hari Sabtu, 26 Disember 2009, dimana terdapat 3 undangan majlis perkahwinan. Maka bertembung dua keadaan di sini, meraikan jemputan dengan berpuasa di hari asyura. Ummi memilih untuk meraikan undangan perkahwinan. 

"Apabila seseorang di antara kamu diundang ke majlis walimah, hendaklah dia menghadirinya." (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5173)

Pendapat yang menjelaskan wajibnya menghadiri undangan walimah juga turut dijelaskan oleh Ibnu Abdil Barr, imam asy-Syafie, Imam Ahmad, Ibnu Hazm, Imam an-Nawawi, dan pendapat inilah yang telah menjadi kesepakatan para ulama.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu anhu, Rasulullah Shallalalhu alaihi wa Sallam bersabda: "Dan barangsiapa yang meninggalkan undangan, maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya." (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 5177)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu anhu, Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam bersabda: "Apabila seseorang di antara kamu diundang, hendaklah dia memenuhi undangan tersebut, jika dia sedang berpuasa hendaklah dia mendoakan, dan jika dia tidak berpuasa, hendaklah dia makan." (Hadis Riwayat Muslim, no. 1431)

Menurut Imam ash-Shanani, hadis ini menunjukkan wajibnya memenuhi undangan walaupun dia sedang berpuasa. (Imam Muhammad bin Ismail ash-Shanani, Subulus Salam, jil. 2, Bab Nikah, m/s. 732, Darus Sunnah)

Dan sebenarnya tidak ada perbezaan akan kewajiban untuk memenuhi undangan walimah sama ada dia sedang berpuasa atau pun tidak. Akan tetapi dibolehkan bagi mereka yang berpuasa untuk menghadirinya sahaja tanpa menyantap hidangan dan dianjurkan mendoakan orang yang mengundangnya.

Namun, jika dia mahu, dia boleh untuk memakannya, atau tidak memakannya. Dan jika dia membatalkan puasanya, puasa sunat yang ditinggalkannya tidak wajib diganti.

Dari Jabir radhiyallahu anhu, Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam bersabda:
Jika salah seorang dari kamu diundang makan, maka hendaklah dia menghadirinya. Jika mahu, dia dibolehkan makan, jika tidak mahu dia boleh untuk meninggalkannya.(Hadis Riwayat Muslim, no. 1430)

Begitulah entri ummi hari ini...semoga bermanafaat buat semua pembaca budiman.


Impianku menjadi isteri solehah

0 comments: