BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday 5 December 2009

Memandikan bayi baru lahir

Tersenyum pagi ni tengok menantu memandikan bayi yang berumur 16 hari. Memang sejak dari anak sulong lagi, Nurul Naimah, dia yang memandikan setiap hari. Masa mula-mula dahulu, hari pertama di bawa balik ke rumah,zauj memandikan cucu tu. Dipanggilnya menantu suruh tengok cara-cara memandikan bayi baru lahir.

Hari kedua, menantu yang memandikan, dan zauj perhatikan sambil menunjuk ajar cara yang betul. Bayi ni terlalu fragile, pergerakkan mesti lemah lembut. Penjagaan kulit perlu rapi sebab mudah jangkitan kuman dan dapat ruam.

Macam ummi juga, jika selepas bersalin, ummi dijaga bagai ratu. Makan minum semua dilayan oleh zauj selama dalam tempoh berpantang selama 40 hari tu. Bayi yang baru lahir pun dimandikan oleh zauj.

Bagaimana memandikan bayi yang baru lahir?

Seorang ayah atau ibu perlu membuat persediaan yang secukupnya untuk memandikan bayi dan jangan gementar untuk memandikan bayi, sebaliknya rasa yakin dengan kebolehan diri sendiri dalam menguruskan bayi.

Bagi yang baru bergelar ibu, atau ayah mungkin ada perasaan takut untuk memandikan bayi kerana bukan saja ia kecil, tetapi tubuhnya lembik. Jadi, ibu dan ayah lazimnya bimbang dia akan terkasar dengan bayi itu. Tetapi percayalah, bayi baru lahir sebenarnya lebih kuat tubuhnya. Apa yang perlu kita buat ialah dekati bayi itu dengan lembut dan penuh kasih sayang. Bayi tentunya akan berasa selamat dan selesa dengan belaian kasih ayah dan ibunya.

Perkakasan untuk mandian pula hendaklah disediakan terlebih dulu, antaranya menyediakan tab mandian , tuala, sabun atau syampu mandian dan pakaian yang bersih.

Pakaian yang bersih perlu disediakan lebih awal supaya sebaik saja bayi siap dimandikan, ia sudah pun tersedia dan tidak perlu lagi tercari-cari sehingga menimbulkan masalah.



Bayi yang baru lahir akan hilang panas dengan cepat, oleh itu, mandikan bayi di dalam bilik yang tidak sejuk. Kawal suhu dalam bilik dan pastikan lantai kering dan selamat. Sekiranya bayi perlu dimandikan di dalam bilik mandi, sebagai langkah keselamatan, pastikan lantai kering dan sediakan segala keperluan serta tempatkan barangan berkenaan di tempat yang mudah dicapai. Zauj lebih mudah memandikan bayi di dalam sebuah besen yang kecil, di atas singki dapur. Katanya lebih mudah, dan tidak perlu duduk.



Isikan air 5 cm hingga 8 cm atau cukup dalam untuk bayi berada di dalam air dengan bahunya di bawah paras air.Isikan tab mandi dengan air sejuk dulu, kemudian barulah diikuti dengan air panas. Periksa suhu air dengan siku atau pergelangan tangan dan pastikan air mandi itu suam.

Dan asingkan sedikit air mandian suam dalam bekas kecil untuk tujuan membilas apabila telah siap mandi di dalam besen.

Selepas itu, tuangkan sabun mandi atau mandian kedalam besen atau tab dan kacau menggunakan tangan untuk memastikan tiada air yang panas. Apabila air sudah siap, barulah bawa bayi ke tempat mandi dan tanggalkan semua bajunya.Jangan masukkan bayi terus ke dalam air.

Sebelum memasukkakn bayi ke dalam besen, perlu cuci segala kotoran di kemaluan bayi melalui air mengalir supaya air tidak jadi mutannajis.

Kemudian basuh bahagian mukanya dulu dan seterusnya pada bahagian lain hingga kakinya. Selesai mandi, balut tubuh bayi dengan tuala segera dan jangan biarkan terlalu lama terdedah kerana ia tidak baik untuk kesihatannya. Selesai mandi, tiupkan bacaan selawat nabi ke telinga kanan dan kiri bayi.Bayi mesti dikeringkan sepenuhnya dengan memfokuskan pada bahagian bawah leher, tali pusat, bahagian punggung, paha dan ketiak, sementara bagi bayi yang belum tertanggal tali pusatnya, ibu perlu lebih berhati-hati.




Gunakan kapas dan air masak lain yang sudah disejukkan di dalam mangkuk yang bersih dan lap matanya, muka, bahagian di bawah dagu dan bahagian tali pusat. Semua bahagian itu perlu dibersihkan dengan betul kerana jika tidak, ia boleh membawa jangkitan pada kulitnya.




Bagi mengelakkan jangkitan dan pulih dengan cepat adalah penting untuk membersihkan bahagian pusat setiap hari (walaupun sebelum tali pusat tertanggal) dengan kapas dan air masak yang sudah disejukkan. Keringkan secara lembut dan menyeluruh menggunakan kapas atau tuala lembut serta sapukan ubat diberikan doktor di bahagian berkenaan.

Kebanyakan ibu takut untuk membersihkan tali pusat kerana bimbang bayi akan berasa sakit dan ada juga berasa geli kerana keadaannya yang sedikit hitam. Lazimnya, tali pusat bayi akan tertanggal dengan sendiri dalam jangka masa empat hari hingga dua minggu dan meninggalkan luka kecil yang mungkin mengambil masa beberapa hari untuk pulih.

Selesai dipakaikan baju bayi dan dibedung bayi akan merasa amat selesa dan terus tertidur.Begitulah cara-cara memandikan bayi yang baru lahir. Kaedah inilah yang zauj ajar pada menantu agar pandai menguruskan isteri bersalin.



Impianku menjadi isteri solehah

0 comments: