BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday 26 February 2010

Rezeki akan menjadi luas sekiranya


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Daripada Abu Hurairah r. a berkata : " Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s. a. w lalu bertanya : Ya Rasulullah! Sedekah manakah yang lebih besar pahalanya? Nabi menjawab : Sedekah yang engkau berikan, sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan engkau bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), engkau takut menjadi fakir dan engkau berangan-angan untuk menjadi lebih kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga apabila ruh sampai di kerongkong, lalu ketika itu baru engkau berkata : Untuk si polan harta ini, untuk si polan harta ini, pada hal harta engkau itu memang akan dimiliki (diwarisi) oleh orang lain. Riwayat Bukhari dan Muslim


Pesanan yang selalu ummi ingatkan kepada anak-anak ialah; “Kalau kesempitan rezeki, duit tak cukup, harta tak banyak mana, masa itulah masa paling sesuai untuk bersedekah.” Kenapa begitu? Kerana janji Allah bahawa "Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan 7 tangkai, pada setiap tangkai ada 100 biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki." (Al Baqarah :261).


“Kalau sudah senang setelah sempit, banyakkan lagi sedekah pada masa tersebut. Nescaya Allah akan meluaskan pintu rezeki” .

Pengalaman hidup yang telah dilalui mendidik ummi menyakini amalan ini. Sejak mula berumah tangga lagi, ummi dan zauj membelanjakan rezeki kurniaan Allah hanya secupak untuk kegunaan dalam rumah tangga. Memang dari awal berumah tangga rezeki yang dapat hanya secupak. Dari yang secupak tu, kami bahagi-bahagikan kepada beberapa pecahan agar setiap yang berhak menikmatinya.

Tahun demi tahun, kemurahan rezeki dari Allah makin meningkat, dari secupak Allah menambah menjadi segantang, namun perbelanjaan untuk rumah tangga ummi tetap secupak juga, yang lainnya dibahagi kepada beberapa pecahan. Dan bilangan pecahan-pecahan ini yang bertambah, samada dari segi kualiti atau kuantiti.

Kami menganggap, kami ini hanya sebagai pemegang amanah sahaja, kerana di dalam keluasan rezeki yang Allah kurniakan kepada kami, ada hak orang lain. Maka kami sentiasa menunaikan hak-hak orang lain . Bila hak-hak ini ditunaikan melalui jalan infaq, rupanya rezeki Allah kepada kami semakin luas dan bertambah dari sumber yang tidak diketahui dan tidak terkira.

Selalu juga ummi buat perkiraan, jumlah perbelanjaan adalah lebih besar dari jumlah pendapatan, namun tidak pula kami kelaparan atau hidup dalam kesempitan. Ini semuanya dari pertolongan Allah yang sentiasa melapang rezeki buat kami. Bagaimana yang dikatakan kemurahan rezeki dan keluasan rezeki dari Allah?

Rezeki dari Allah bukan semestinya datang dalam bentuk wang ringgit atau harta benda. Rezeki tu boleh berupa dipermudahkan urusan tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan, contohnya jika kita sepatutnya kena bayar, tetapi kita tidak dikenakan bayaran atau mungkin kita dikenakan hanya sedikit bayaran. Mungkin dalam bentuk diskaun harga.

Boleh juga kemurahan rezeki itu, kita mahu mengadakan walimah atau majlis kenduri, tiba-tiba, ada orang hantar beras, hantar gula, hantar bawang atau apa jua bahan yang boleh digunakan untuk memasak dan menyediakan makanan. Maka kita tidak perlu mengeluarkan kos untuk bahan-bahan tersebut.

Boleh juga kemurahan rezeki tu, katakan apabila sesuatu projek yang sepatutnya dilakukan mengambil masa 2 bulan, tetapi dapat disiapkan dalam tempoh satu bulan, maka kos sepatutnya dibayar untuk dua bulan menjadi satu bulan, maka keuntungan yang diperolehi berganda-ganda.(contohnya, kena buat penyelidikan dengan kos telah dikirakan untuk 2 bulan sebanyak RM 30 ribu, di satu tempat luar kawasan, maka kena bayar kos makanan, kos penginapan , kos upah pekerja, untuk tempoh dua bulan, tiba-tiba, penyelidikan itu dapat disiapkan dalam tempoh satu bulan sahaja, maka jumlah penginapan yang kena bayar hanya satu bulan, begitu juga makanan dan upah pekerja, maka lebihan keuntungan itu dikira rezeki).Dan baki masa yang satu bulan tu, dah boleh buat kerja lain, dan dapat lagi tambahan rezeki.

Bentuk lain kemurahan rezeki, katakan mahu menuju kesuatu tempat, kena keluarkan kos pengangkutan, tiba-tiba ada orang yang sudi menumpangkan kita untuk sampai ketempat itu, maka duit yang sepatutnya kita keluarkan boleh kita gunakan ketempat lain.

Begitulah caranya yang dikatakan Allah mengurniakan keluasan rezeki dari sumber tidak diketahui dan tidak terhingga. Kita memang tidak menjangka akan dari mana sumber rezeki itu, yang pasti rezeki itu adalah halal.

Begitu juga jika sepatutnya harga barang adalah sekian harga, tiba-tiba bila giliran kita mahu membeli harga telah diturunkan sebanyak 50%.( Contonya baru ni, zauj pergi satu kedai, nak beli daging kambing dengan harga sebungkus RM 20.00, bila masa nak bayar, tuan kedai kata oleh kerana hanya tinggal 2 bungkus, ambiklah kedua-duanya dengan harga potongan 50%).Itu pun dikirakan kemurahan rezeki juga. Adakah halal? halal kaedah, barang dan sumbernya.

Bagaimana lagi yang dikatakan kemurahan rezeki? Penggunaan barang-barang yang ada tempoh hayatnya. Mungkin sesuatu barang itu tempoh hayatnya 5 tahun, jadi bila sampai masa tempoh 5 tahun, kita mungkin kena beli ganti semula dan keluarkan kos, tetapi bila dah lepas 5 tahun pun masih elok dan boleh digunakan, maka tidak lah perlu kita ganti dan beli yang lain.

Selain dari itu, keluasan rezeki Allah ialah , apabila kita menternak binatang, binatang kita cepat membiak, tak ada yang berpenyakit, risiko mati rendah dan orang selalu datang membeli tanpa perlu kita mengeluarkan kos mencari pasaran.

Begitu juga jika kita bertani atau berladang,hasil tanaman kita menjadi, kurang risiko pemangsa dan penyakit.

Ini semua dikatakan kemurahan dan keluasan rezeki dari Allah.

Bagaimana boleh memperolehi keluasan dan kemurahan rezeki dari Allah ini? Dengan kita sering melakukan infaq dijalan Allah. Kalau ada orang menjaja ikan kering atau buku-buku datang ke rumah, jangan hampakan mereka walaupun barang tu atau buku tu dah ada, kita beli juga, lepas tu kita beri pada orang lain. Bermakna kita tidak hampakan permintaanya untuk beli barangnya yang mereka kata sebagai jariah pembinaan masjid, surau atau bantuan anak yatim. (maksudnya bukannya beli barang di kedai atau di pasar).

Bila ada orang minta pertolongan , kalau ummi di sini, ialah pelajar, tidak kira pelajar universiti atau sekolah, yang kesempitan duit samada nak bayar yuran atau kadang tu nak makan, maka dengan mudah ummi dan zauj membantu. Tapi bukanlah bantu diberikan tanpa diselidiki kenapa dia tidak berduit atau tidak cukup duit.Kerana ada pelajar yang duit dari tajaan tidak cukup sebab duit tu dia juga guna untuk bantu adiknya sekolah, atau kursus yang dia jalani memerlukan banyak perbelanjaan macam kursus senibina yang banyak projek perlu disiapkan. Bukan mereka habis duit sebab beli top up telefon atau berfoya-foya.

Ada juga pelajar yang tajaan dihentikan atas sebab kegagalan beberapa mata pelajaran, mak ayah pula susah, maka mereka ini perlulah dibantu agar dapat juga menamatkan dalam masa tambahan yang universiti berikan,katakan 1 semester.( kalau 1 semester, tajaan tak diberi, macamana mereka nak teruskan belajar? sedangkan mereka boleh berjaya dalam semester tambahan tu, takkan kerana tak dapat tajaan 1 semester tu, mereka berhenti dan gagal dalam pengajian yang telah dilalui selama 4 tahun.)

Sebab itu, ummi dan zauj hanya suka membantu kepada orang yang ingin belajar tetapi tidak berduit. Bukannya ummi bantu mereka yang tidak cukup duit sebab mengamalkan hidup mewah,katakan tak cukup duit sebab nak isi minyak kereta.

Ummi mulakan mendidik anak-anak agar selalu menginfaqkan duit mereka melalui tabung masjid hari Jumaat. Setiap minggu atau setiap kali ke masjid atau surau, mesti masukkan duit dalam tabung masjid atau surau, paling sedikit 10 sen. Atau di sekolah jika ada kutipan derma, mesti berikan walaupun 10 sen. Biar sedikit asalkan ada, jangan hampakan orang yang memohon bantuan.

Lepas tu anak ummi selalu berpegang pada pesanan ini. Setiap kali rasa kesempitan, bila buka wallet ada RM2 mereka sedekahkan RM1. Kalau ada RM40 mereka sedekahkan RM10. Kalau ada sedikit mereka sedekahkan sedikit. Kalau ada rakan susah nak pinjam duit, mereka pinjamkan dengan niat kalau dibayar alhamdullilah, kalau tidak bayar, anggap sedekah. Alhamdullilah, rezeki Allah memang murah untuk setakat ini dan harapnya pada masa akan datang. Inilah amalan yang ummi lakukan dan didik kepada anak-anak.

Pernah suatu hari seorang rakan ummi seorang guru baru sahaja accident kereta. Dalam masa yang sama kena saman polis. Lepas tu duit dia hilang. Anak pulak sakit, pergi hospital dan kena bayar beberapa ribu. Ummi pesan pada dia, mungkin Allah mahu pesan agar dia memberi sedikit harta yang Allah berikan pada dia. Alhamdullilah lepas dia bersedekah, ummi nampak kehidupan dia nampak mudah dan rezeki dia nampak luas.

Tapi kita kena ingat juga. Rezeki luas tak bermakna akan jadi kaya raya. Kadang tu, bak kata arwah mak, walaupun rezeki luas, makan tetap seperti biasa, tapi rasa lebih kenyang dan puas. Gaji seperti biasa, tapi seolah-olah cukup. Dan paling utamanya kadang-kadang bantuan datang dari sumber yang kita sendiri tak sangka. “Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka pahalanya itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredaan Allah (ikhlas). Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup, sedangkan kamu sedikit pun tidak akan dianiaya.”(Surah al-Baqarah, ayat 272).

Dalam riwayat Ibnu Hibban dan Hakim dari ‘ Uqbah ia mendengar Rasulullah bersabda, “Setiap orang bernaung di bawah perlindungan sedekahnya hingga ditetapkan hisab (perhitungan) di antara manusia di yaumil akhirat.”

Ummi bukan yg terbaik untuk memberikan nasihat hanyalah sekadar memperingatkan sesama insan betapa Maha Pengasihnya Allah kepada hamba-hambaNya yang bertaqwa. Sekadar berpesan. Semoga ada manfaat.

p/s: renung-renungkanlah,semoga menjadi panduan bersama.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: