BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday 2 April 2010

Orang beriman yakin akan rahmat Allah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





DARIPADA Jabir, katanya, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah belaka.” (Hadis riwayat Muslim)


Orang beriman sangat yakin akan rahmat dan pertolongan Allah. Oleh itu, mereka tidak pernah berputus harap dari rahmat-Nya kerana kasih sayang Allah tidak bertepi.


Antara syarat untuk memperoleh rahmat Allah seperti dinyatakan hadis Rasulullah yang diriwayatkan al-Dailami dari Ibnu ‘Abbas yang bermaksud: “Allah merahmati orang yang dapat menjaga tutur katanya, mengenal masa (ketika dia hidup) itu dan istiqamah dalam hidupnya.”


Sebenarnya kita tidak boleh sekali-kali berputus asa dengan rahmat Allah. Rahmat Allah itu luas. Setiap diantara kita di datangkan ujian bagi menguji seteguh mana iman yang ada di dalam hati. Kita kata kita beriman, jadi bagaimana kah untuk memastikan adakah kita ini benar-benar beriman jika tidak di datangkan ujian.


Seperti mana dalam urusan dunia, pengiktirafan sesuatu sijil, diploma atau ijazah, mestilah melalui beberapa tahap ujian. Semakin tinggi pengiktirafan itu, ujian dan dugaan untuk melaluinya semakin sukar dan payah. Perlu kepada usaha, ikhtiar, doa dan tawakkal. Tidak boleh sekadar doa, sekadar tawakkal tanpa usaha dan ikhtiar.


Begitu juga jika kita ingin berubah kepada sesuatu yang lebih baik di dalam hidup dan kehidupan kita, perlu ada usaha untuk kita berubah. Tidak boleh kita bergantung semata-mata kepada orang lain untuk membantu kita berubah. Untuk berubah perlu ada usaha di dalam diri kita, dan usaha itu perlu istiqomah / berterusan.


Kini ummi buntu bagaimana usaha ummi mahu membantu seseorang untuk berubah. Seseorang yang hampir berputus asa dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Apa yang mampu ummi lakukan hanyalah dengan doa sahaja. Setiap detik masa dengan doa. Keyakinan yang tinggi di dalam hati ummi, bahawa doa adalah senjata orang mukmin.


Ummi akui, ummi lemah, ummi tidak berdaya, ummi tidak tahu lagi bagaimana untuk membantu. Ummi tidak dapat berkomunikasi di dalam dia keadaan tertekan. Tertekan dengan banyak dan beratnya ujian-ujian yang dilalui dan diduga oleh Allah.


Ujian ini bermula dengan rasa dan keingina hidup sempurna seperti orang lain. Ingin memiliki sebuah keluarga. Lagi pun berkahwin itu sunnah, menjadi wajib apabila ada keinginan dan nafsu kepada perempuan. Hanya usaha untuk mendapatkan jodoh itu melalui kesukaran dan kegagalan. Berbagai usaha telah dibuat dengan jalan yang betul namun usaha ini masih gagal. Disinilah ujian-ujian yang berat ditemui. Sehingga dia meluahkan " patutkah memperjudikan iman yg tak seberapa utk usaha mencari jodoh?"


Ummi pula seorang yang jenis belas hati, mudah tersentuh, mudah rasa hiba, mudah sayu bila berkomunikasi mendengar rintihannya. Ummi jadi buntu, kerana segala usaha ummi membantu untuk mendapatkan jodoh buatnya menemui kegagalan.


Luahan hatinya, semasa mula convert dulu, dia kuat beramal, sholatnya kyusuk, hatinya tenang dan lapang, dan bila sampai keinginan untuk berumahtangga, disampaikan hasrat melalui ummi,ummi usaha menbantu mencarikan jodoh melalui baitul muslim, namun dua kali usaha ummi menemui kegagalan walaupun peringkat awal jalannya dipermudahkan oleah Allah.


Memang mudah kita yang tidak menghadapi berkata, bukan jodohmu kerana Allah mahu berikan yang lebih baik lagi, tetapi berat bagi yang memikulnya. Dia rasa terbuang, rasa terhina, rasa tidak berkelayakan, rasa tidak bererti dan rasa kosong. Ummi amat memahami apa yang dia rasa. Ummi hanya mampu menangis sahaja, merayu kepada Allah agar diberikan keteguhan iman, kekuatan dan kesabaran di dalam dirinya. Ummi hanya mampu berdoa agar diberikan kelapangan fikiran , ketenangan di dalam hati dan dibersihkan jiwa dan sukmanya. Apa yang mampu ummi buat lagi?


Bagaimana ummi mahu membantu agar dia kembali kuat, tabah dan sabar? Apabila ketenangan di dalam hatinya berkocak, bagaimana kekyusukkan di dalam sholat dapat di raih kembali? Bagaimana untuk membantu agar imannya teguh semula. Dia berbeza dengan kita yang mendapat didikan secara sedar atau tidak dari kecil akan keyakinan kepada ujian dan dugaan.


Imannya adalah hidayah dari Allah.Adakah ummi mahu membiarkan dengan beranggapan , jika Allah mengurniakan hidayah kepadanya, maka Allah juga yang akan memelihara imannya? Apakah usaha kita untuk membantu bagi meneguhkan iman yang telah dipertaruhkan semasa ingin mendapatkan jodoh? Tidak adakah muslimah yang ikhlas membantu dengan sedia dan rela menjadi isterinya?


Janganlah kita lihat zaman silamnya yang belum dikurniakan hidayah, tetapi lihatlah selepas itu kerana sebaik dia mengucap 2 khalimah syahadah, semua dosa lampaunya gugur, dia ibarat bayi yang baru dilahirkan. Hanya iman yang sedikit itu yang dijaganya agar bertambah kuat.


Bagaiman dia mahu berubah totally didalam sikap, dan tabiat kehidupan harian, jika tidak ada usaha untuk membantu? Hidayah yang Allah kurniakan dihati, pada keyakinan didalam aqeedah dan pegangan hidup, tetapi bagaimana dengan sikap dan akhlak? Ini perlu kepada didikan dan bimbingan. Dari kecil dia tidak dapat bimbingan dan kasih sayang sewajarnya, hanya kasih dan sayang dari seorang ibu, dan apabila telah convert, ibu yang seorang itu pun terpaksa dia berjauhan kerana hatinya tidak tega untuk mengkhabarkan perbezaan pengangan yang dianutinya sekarang ini.


Dan sikap, sifat setiap manusia berbeza. Kaedah pendekatan untuk kita berdakwah juga berbeza.Dia lebih mudah berkomunikasi dengan seseorang yang bersifat keibuan. Rasa hormatnya tinggi kerana mengingati kasih dan sayangnya pada ibu sendiri. Jadi siapa yang boleh bantu untuk dia berubah. Ummi juga mempunyai keterbatasan juga kerana hukum mahram. Makanya apa yang ummi nampak hanya muslimah solehah sahaja yang dapat membantu dia. Muslimah yang ingin meraih ganjaran di akhirat. Muslimah yang rela dan redha untuk menjual dunia dengan membeli akhirat dengan menyerahkan diri untuk mendidik dan membimbing dia, tapi adakah muslimah yang begini?


Kebanyakkan perempuan zaman ini mahu sesuatu berbentuk dunia, mahu jaminan pekerjaan yang bagus, jaminan mahu suami yang sempurna untuk dia taati. Habis tu siapa pula yang mahu mendidik dan membimbing dia? Mengharapkan gadis jalanan terdesak sudi berdampingan dengan nya. Kalau gadis itu, makin jauhlah dia dari kekuatan untuk meraih kemanisan iman.


Maka nya, ummi hanya berharap kepada rahmat dan kasih sayang Allah membantu dia. Dengan kasih sayang yang Allah anugerahkan di hati ummi untuk mengasihi dirinya, dengan niat dan tekad untuk mendidik dan membimbing dirinya dalam batas-batas tertentu perlu ummi jaga, kerana ummi mahu apa yang ummi lakukan didalam redha Allah,hanya doa sahaja dapat ummi panjatkan setiap detik dan saat ini. Merayu dengan penuh harapan kepada Allah, mengadu kepada Allah agar dibantu dirinya untuk berubah kepada yang lebih baik, memantapkan aqeedahnya, menguatkan, menyempurnakan imannya , dimuliakan akhlak dan pekertinya.


Ummi tidak nampak ada jalan lain walaupun ummi berharap terhadap sesuatu keajaiban untuk ummi sendiri membantu dia tanpa melanggar batas dan hukum mahram. Makanya hanya doa dan tawakkal sahaja ummi dapat buat. Usaha dan ikhtiar bagaimana untuk ummi bantu dirinya yang rasa terbuang, tersingkir dan terhina itu? Dia bukan tak ada harga diri, dia bukan tidak bermaruah tetapi dugaan yang dihadapi itu telah mepertaruhkan iman nya yang sedikit sehingga dia rasa dirinya lemah, tidak berharga dan bermaruah kerana penolakkan gadis yang mementingkan dunia. Dia bukan tidak berduit, dia bukan tidak memiliki rupa, dia bukan tidak berdaya namun sebagai manusia dia juga memiliki kelemahan diri. Tidak ada manusia yang sempurna, maka tidak adakah gadis yang boleh terima dia seadanya? Gadis yang qana'ah dan redha dengan ketidaksempurnaan setiap manusia.


Saban masa ummi merayu kepada Allah kerana kasih sayang yang Allah campakkan di hati ummi terhadap dirinya , bagai kasih sayang ibu kepada anak kandung sendiri. Tidak ada apa yang mampu dan terdaya ummi lakukan melainkan hanya menangis dan berd0a.

"Ya Allah, bantulah hamba MU yang lemah ini, aku mengharap sepenuh rahmat dan kasih sayang MU dikurniakan kepada anak yang amat aku kasihi. Bantulah dia Ya Allah, lapangkan fikirannya, kurniakan dia nikmat berkasih sayang sama seperti yang ENGKAU kurniakan kepada manusia lain. Rahmat MU Maha Luas YA ALLAH."



Harapan ummi jika ada anak-anak kandung ummi yang membaca luahan hati ummi ini, jangan lah kamu rasa iri dan cemburu kerana kasih sayang ummi kepadanya, kerana kamu telah mendapat perhatian dan kasih sayang ummi dari kecil lagi, janganlah tamak, berikan lah peluang kepada orang lain untuk menikmatinya sama. Islam itu bersaudara, maka ikatlah persaudaraan itu kepada yang dahagakannya. Namun semua rasa itu adalah anugerah dari Allah dan bukan semua dapat merasainya. Anakku,ummi sangat sayang kepada kamu semua dan berharap di akhirat nanti , kita dapat berada bersama-sama di bawah naugan panji Nabi Muhammad SAW.







Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

2 comments:

Anonymous said...

biarkan je dia...

Menyelami Lautan Hati Seorang Wanita said...

Subhannallah, tidak terukir walau sezarah untuk saya membiarkan dia begitu sahaja. Saya amat hargai kasih sayang kurniaan Allah ini.

Apakah layak seorang manusia mengabaikan sesuatu anugerah yang diberikan kepadanya? Menjadi rahsia Allah kenapa anugerah itu diberikan kepada saya. Kenapa Allah tidak berikan rasa itu kepada wanita-wanita lain, kenapa dengan saya? Adakah sebelum ini tidak wanita yang menemuinya?

Kenapa saya yang Allah pilih untuk menyayangi dirinya? Bila saya lihat dia, seseolah saya melihat anak kandung saya sendiri, rasa kasih sayang padanya ibarat saya mengasihi diri saya sendiri.

Mana mungkin saya mengabaikan rasa itu sebab bukan semua orang dapat merasainya. Lagipun adakah tega saya mengabaikan diri saya sendiri?


Walaupun saya tak mampu berbuat apa-apa, saya masih ada Tuhan yang mendengar bisikan hati saya, meletakkan dan menyuburkan hatinya dengan kasih sayang saya dihatinya.

Sepnjang masa, saya mendoakan dia agar terpelihara dari segala perkara mungkar dan maksiat,jauh dari kemurkaan Allah dan sentiasa berada di dalam rahmat Allah.