BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday 26 May 2010

Kenangan lalu,kini anakku sudah berkahwin


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


Mengimbau kenangan lalu,
Rindu-rindu di jalanan,
kini anakku sudah berkahwin (bahagian 2)

Camana nak bersalin ni, tanda-tanda nak bersalin dah ada. Darah dah keluar, sakit dah makin kerap, tapi masih belum buat keputusan di mana nak bersalin. Masih di rumah lagi. Kebetulan hari tu, lepas maghrib, ada usrah di rumah. Zauj tak sempat nak batalkan usrah tu, maka kawan-kawan zauj datang selepas maghrib.


Ummi dengar dari dalam bilik mereka memulakan bacaan zikir al-mathurat. Selepas itu solat isya' berjemaah dan diringi bacaan quran membuka majlis. Mungkin sakit ummi hanya datang sekejap-kejap ummi sempat terlena.

Tiba-tiba jam 10:30 malam,ummi tersedar apabila terasa banyak air keluar dari rahim ummi.Segera ummi khabarkan pada zauj. Zauj pun turun ke bawah, dan berbual dengan seorang pomen yang tinggal di depan pangsapuri ummi. Rumah pomen itu cuma rumah setinggan dan mempunyai 10 orang anak yang kecik-kecik. Zauj tanya, selalu isterinya bersalin di mana? Beliau cadangkan bersalin melalui khidmat bidan terlatih yang telah bersara bernama Mak Pah, tinggal di Ampang.

Zauj pun pergi dengan pomen tu menjemput bidan Mak Pah. Mujur Mak Pah ada di rumah. Terus Mak Pah mahu ikut datang ke rumah ummi. Sebenarnya ummi dan zauj tinggal di asrama Kolej Kedua UTM , Kg Baru sebagai warden asrama. Sekarang pangsa puri tu merupakan pangsa puri yang telah berusia lebih 30 tahun. Terletak di tepi Sg Ampang. Kawasan sini kerap dilanda banjir termasuklah rumah pomen tu. Bila rumah mereka di naiki air, ummi akan ajak mereka tinggal di rumah ummi sementara air banjir surut.

Bila Mak Pah sampai di rumah, terus Mak pah buat pemeriksaan dan di dapati memang sudah masa untuk ummi bersalin. Mak Pah tiba di rumah jam 12:30 malam. Malam itu adalah Ahad malam Isnin. Kiranya dah masuk hari Isnin, 23 September 1985. Sakitnya tidak terkira, contractions makin kerap berselang 5 minit sahaja.

Air yang ummi rasai sehingga terjaga dari tidor jam 10:30 malam tadi adalah air ketuban(water bag) yang telah pecah. Sebab itu sakit makin kerap dan kuat. Menunggu detik-detik terbukanya jalan untuk melahirkan anak amatlah sakit. Menitis air mata ummi menahan kesakitan tu. Ditambah pula sakit diiringi darah. Darah makin banyak keluar tetapi bayi belum kelihatan.

Sambil ummi baring di bilik tidor, zauj masak air untuk persiapan memandikan bayi nanti. Yang ada ketika itu cuma mak, zauj dan Mak pah sahaja. Mak Pah sentiasa disebelah ummi. zauj juga ada disebelah ummi, membaca doa dan menenangkan ummi. Walaupun ummi langsung tidak bersuara merintih kesakitan, tetapi zauj tahu ummi berada di dalam keadaan yang amat sakit kerana dipenjuru mata ummi, airmata sentiasa meleleh. Zauj kesat air mata ummi sambil berbisik agar ummi tidak lepas dari berzikir memohon pertolongan Allah.

Menjelang jam 3:30 pagi, dengan satu tarikan nafas, dengan sepenuh tenaga, ummi dapat melahirkan anak lelaki seberat 3.1 kg. Semasa kepala bayi dah kelihatan, Mak Pah panggil zauj, dan tunjukkan cara untuk sambut bayi lahir. Kiranya anak sulong ummi ini zauj sendiri yang sambut dengan tunjuk ajar Mak Pah. Sebaik terdengar saja suara tangisan bayi, ummi terasa amat lega dan seluruh kesakitan kerana melahirkan anak hilang sekelip mata.

Zauj bungkus bayi dengan kain pelikat, Mak Pah potong tali pusat, bersihkan darah dari tubuh, dan bawa bayi kepada ummi. Zauj tunjukkan bayi kepada ummi sementara Mak Pah menunggu uri keluar. 10 minit selepas itu barulah uri keluar bersama darah nifas. Tali pusat bayi agak panjang. Mak Pah bagitahu, syukur ummi dapat melahirkan bayi ini secara normal kerana bayi menghadapi masalah tali pusat terlilit dileher dan tali pusat itu terselimpang dari bahu kepunggung bayi. Jika tidak bijak atau tidak mahir kaedah mengeluarkan bayi , kemungkinan leher bayi akan terjerut dengan tali pusat dan lemas semasa lahir.

Alhamdullilah, ummi dapat melahirkan bayi ini dengan selamat.Memang semasa di dalam kandungan,ummi tidak pernah putus-putus berdoa, moga dipermudahkan melahirkan anak ini. Membaca quran menjadi amalan ummi tidak kira surah apa pun. Ummi tidak mengkhususkan bacaan surah tertentu seperti yang selalu orang lain amalkan. Bagi ummi, semua surah adalah Kalam Allah maka bagus dibaca tidak kira masa.

Selepas Mak Pah mandikan bayi,barulah zauj azankan bayi di depan ummi menghadap qiblat. Apabila bayi telah diazankan, Mak pah membersihkan ummi dari kesan-kesan darah. Zauj terus ambik nasi panas, dikepal-kepal dan suapkan nasi ke dalam mulut ummi. Tujuannya agar tenaga ummi cepat pulih kesan dari kepenatan dan keletihan berjuang untuk melahirkan zuriatnya. Setiap kepalan nasi, zauj bacakan selawat ke atas Rasullulah. Selepas itu zauj minumkan air suam agar ummi dapat berehat dan lena.

Menjelang subuh, zauj solat dan mengajikan quran di sisi ummi dan bayi seketika sebelum menghantar Mak Pah pulang ke rumah. Selepas itu zauj mandikan ummi dengan air panas. zauj pimpin ummi ke bilik air dan mandikan dengan air suam. Ummi terasa segar. Selepas mandi, berpakaian dan zauj suapkan nasi lagi. Masih juga nasi panas putih yang dikepal-kepal. Zauj bawa bayi pada ummi supaya ummi belajar menyusukan anak.

Ummi tanya zauj, nak namakan apa anak ini? Dan zauj sebut nama Ahmad Ali Aqbar. Ahmad yang terpuji, Ali yang tertinggi dan Aqbar yang besar. Sebab itu kini, adik-adiknya memangil Aqbar sebagai abang besar.

Suatu peristiwa yang lucu dan menjadi iktibar ialah membersihkan uri dan menanamnya.  Selepas uri dibersihkan dari kesan-kesan darah, dan zauj bungkus dengan kain putih.  Apabila hari telah siang, oleh kerana kami  berdua ini memang tidak berpengalaman, tinggal di pangsapuri pula, tak ada kawasan untuk tanam uri, zauj terfikir tanam uri dalam pasu besar yang ada di balkoni rumah kami. Selepas ditanam dalam tanah, atasnya zauj tanam dengan pokok kakus yang berduri. Seminggu lepas itu, kami tercium bau hanyir yang tidak menyenangkan. Zauj cari punca bau dan di dapati dari pasu bunga itu.

Zauj bertanya pada seorang orang tua, dan orang tua tu bagitahu,  pindahkan uri tu ke tanah, jangan tanam dalam  pasu kerana dalam tempoh proses pereputan, memang mengeluarkan bau yang tidak enak. Tak kan kami nak cium bau tu. Itulah iktibarnya, jika tidak bertanya,  bagaimana cara menanam uri yang betul.

Rasa macam baru semalam melahirkan Aqbar, hari ni ummi hadiri majlis nikahnya. Dengan sekali lafaz sahaja, akad nikah mereka sah.Suara Aqbar menyambut lafaz nikah dengan terang dan jelas sekali.Mereka dinikahkan sendiri oelh ayah Azyla. Dah kahwin rupanya anakku ini, anak yang aku lahirkan 25 tahun lalu di rumah Kg Baru, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebaik selepas akad nikah selesai, terus Aqbar menyalami dan mencium pipi ummi. Diringi oleh Azyla, isteri Aqbar.

Sambungan nanti bagaimana pendidikan dan pengasuhan Aqbar ketika ummi masih belajar. Masalah Aqbar tidak mahu menyusu menggunakan botol susu dan puting tiruan...

Jangan putus dari mengharap rahmat Allah, sentiasa membantu manusia sebagai jalan mudah beramal jariah.



Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.


0 comments: