BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday 9 June 2010

Jangan tangisi apa yang bukan milik kita..


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Alhamdulillah, Kesyukuran yang tak terhingga dirafa’kan pada Allah Yang Maha Kuasa. Subhanallah Maha Suci Allah yang menjadikan segala-galanya hatta yang terlindung dalam hati makhluk-Nya.




Dalam tempoh sebulan yang begitu mencabar, kehidupan ibarat terputus dengan dunia luar. Tiada lagi masa terluang bersama anak-anak halaqian, walaupun hanya sekadar untuk berchatting.



Begitu masa sungguh mencemburui kerana ummi sangat sibuk dengan urusan pernikahan anak-anak. Dari awal bulan Mei, berlarutan hingga ke bulan Jun. Hinggakan tiada ruang masa untuk ummi berkarya, meluahkan hati untuk berbicara.


Namun pantas lagi jari jemari ini menekan keyboard komputer kerana inilah luahan yang paling berkesan buat masa ini. Ada masa-masa tertentu saat bersendiri dan tanpa gangguan itu lebih diperlukan.


Terasa kerdilnya diri. Berpagi-pagian bersama La Tahzan karya Dr. ‘Aidh Abdullah AlQarni yang sudah pun dua tahun dalam jagaan memang bisa mengalirkan air mata. Entah kenapa kenangan yang sudah lama ditinggalkan makin menyerbu-nyerbu kotak memori. Sememangnya itulah buku yang paling disayangi.

Sesekali terfikir dikala sendirian, tetapi segera dipujuk diri dengan Surah Dhuha.  Surah itulah peneman di kala hati sebak terkenang masa lalu. Itu kisah silam, tak perlu diungkit.


Tak pernah mengungkit namun selagi bernama manusia yang waras, kotak memori akan sentiasa berjalan merentas masa silam. Ya Allah, janganlah didatangkan lagi kesedihan yang satu itu. Allah tak akan membebankan hamba-Nya dengan sesuatu yang tak mampu ditanggunginya.

Manusia merancang, Allah jua merancang, namun perancangan Allah lebih teliti. Ada hikmah di sebalik semua yang telah berlaku.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, sedang ia baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedang ia buruk bagimu. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” –AlBaqarah:216

Janji Allah yang satu itu dipegang erat-erat saat hati benar-benar tersungkur. La tahzan, semuanya ini dugaan kecil. Berkasih tak semestinya bersatu. Yang berkahwin lagi kan bercerai. Inikan pula hanya setakat menzahirkan perasaan. Belum terlambat lagi untuk merasa bahagia. Kebahagiaan perlu dicari kesedihan silam perlu dilupakan. Kebahagiaan perlu diusahakan dan usaha itu perlu seiring dengan redha Allah. Teringat pesan seorang sahabat. Untuk apa masih lagi bersedih? Kerana sayang tak sampai matlamat? Atau berasa kehilangan? Atau berasa cemburu sedang diri masih lagi mencongak-congak berbahagia? Atau mungkin hanya dibuai perasaan sedih semata?

Jangan tangisi apa yang bukan milik kita..

" Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya…” –AlHadid:22-

Berdoalah moga Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. ‘Sesuatu’ itu tak semestinya didatangkan orang lain sebagai pengganti tetapi cukuplah diganti dengan rimbunan ketenangan dalam hati. Itu yang lebih utama. Moga hati dipenuhi dengan cinta Allah kerana nanti Dia pasti akan memberi yang lebih baik.

Tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Itu janji Allah. Semoga Dia akan gantikan dengan yang lebih baik. Tetap sabar menunggu janji Tuhan yang satu...




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




4 comments:

Anonymous said...

Mohon share kak..

Anonymous said...

Mohon share kak..

Anonymous said...

Mohon share kak..

Anonymous said...

Mohon share kak..