BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 22 June 2010

Lepas Berkahwin

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Seminggu lepas kahwin, dah balik rumah mak mertua, menantu-menantu dah diberikan tunjuk ajar buat kerja di dapur. Pagi minggu pertama selepas walimah,mereka ditunjuk ajar membuat kuih donut,pau dan popia untuk sarapan pagi dan minum petang.


Ketika masak untuk makan tengah hari, mereka di tunjukkan juga memasak lauk pauk. Sebenarnya mereka memang dah tahu dan pandai,ummi cuma membimbing cara -cara memasak beberapa jenis masakan lagi seperti asam pedas, kari dan masak lemak.


Apabila siap memasak makanan, mereka juga telah siap berkemas rumah, ummi mulakan sessi belajar menjahit pakaian. Oleh kerana adik ummi,mak teh Saleha dari Perlis,masih ada, (belum lagi balik rumahnya selepas majlis walimah rumah ummi)dia memberikan tunjuk ajar dan bimbingan cara-cara membuat ukuran, memotong dan menjahit baju kurung.


Jika minat memang ada, bakat menjahit itu terserlah dengan sendirinya. Mudah sahaja mereka belajar. Masing-masing menghasilkan sepasang baju kurung.


Ummi dulu pun begitu,lepas sahaja SRP,terus belajar menjahit baju kurung. Apabila lepas kahwin,mudah sahaja ummi menghias rumah. Hadiah pertama Zauj, selepas berkahwin ialah sebuah mesin jahit. Sangat berguna untuk menjahit pakaian anak-anak dan baju zauj.


Masa anak-anak kecik dahulu, memang ummi rajin menjahit pakaian untuk anak-anak dan zauj. Banyak pakaian kerja zauj yang ummi jahit sendiri. Begitu juga dengan cadar,langsir,sarung kusyen, selimut dan alas meja,semunya ummi reka dan jahit sendiri.


Bakat dan minat menjahit ini lahir secara semulajadi. Mungkin diwarisi dari arwah mak. Bukan ummi seorang sahaja, tetapi kebanyakkan adik beradik ummi pun sama, suka menjahit. Selain ummi, mak jang Jesmin, mak lang Suhana, mak teh Saleha dan mak dak Salbiah. Yang langsung tak ada minat dan bakat menjahit ialah mak long Salmah dan mak cik Suzana.


Rupanya ia juga telah menurun kepada anak cucu. Sekarang bakat menjahit itu telah diwarisi oleh Suhaini (anak mak long Salmah) dan Najdah. Cuma kekangan masa sahaja, Najdah kurang dapat meluangkan masa untuk menjahit. Najdah masih sibuk belajar, tambahan pula kursus perubatan memerlukan comitment sepenuh masa.


Memang ummi galakkan anak menantu belajar menjahit, kerana ia amat memberikan manafaat dan kebaikan terhadap pengurusan rumah tangga. Sekurang-kurangnya, pakaian sendiri dan anak-anak tidak perlu ditempah. Melainkan jika mereka memang tidak berminat dan tak ada bakat, maka kita tidak boleh untuk memaksa mereka menjahit.


Dua perkara ini memang ummi beratkan anak-anak perempuan belajar sebab,sekiranya terdesak, kedua-dua ilmu menjahit dan memasak boleh dijadikan sumber pendapatan. Selain belajar bidang akademik, ilmu dunia, ilmu akhirat turut ditekankan. Namun semua kita tahu bahawa ilmu dunia yang dipelajari ini juga boleh menjadi ibadah dan bekal di akhirat kelak.


Katakan terdesak tanpa pekerjaan, tiada tempat bergantung, mereka boleh menyara diri dan anak-anak melalui kemahiran memasak dan menjahit. Ini merupakan pekerjaan yang baik dan halal tanpa sampai perlu menunggu bantuan dan sumbangan orang lain.


Dengan rajin memasak,boleh menjamu saudara mara, jiran tetangga dan sahabat-sahabat untuk tujuan mengeratkan silatur rahim. Rasullulah juga amat menggalakkan kita kerap menjamu tetamu dan jiran tetangga. Jika kita masak makanan sendiri, kos nya tidak terlalu tinggi. Hanya kos bahan sahaja. Kalau kira penat nak meyediakan bahan memasak dan berkemas, memanglah penat tetapi bila kita anggap ianya suatu ibadah kepada Allah maka, hilang segala penat lelah itu.


Begitu juga dengan menjahit, suatu ketika dahulu, ummi memang rajin menjahit, sehinggakan pakaian kerja zauj ummi yang jahit. Zauj suka pakai baju yang ummi jahit. Bila ummi menjahit baju zauj saja,zauj pasti tunggu disebelah sebagai 'quality control' agar baju yang dijahit itu kemas dan bagus jahitannya. Zauj merasa dekat sangat dengan isteri kerana pakaian yang dipakainya adalah hasil jahitan isteri sendiri. Bukan hanya setakat dicuci, digosokkan pakaiannya. Nasihat ummi,mana-mana isteri,jika sibuk sangat pun,harapnya pakaian suami diuruskanlah sendiri, jangan beri suami yang gosok bajunya. Jadi suami akan rasa belaian tangan isteri pada pakaian yang dipakainya.


Maka inilah panduan, bimbingan dan tunjuk ajar yang ummi turunkan kepada anak menantu ummi. Entri akan datang,panduan mengemas rumah dan memasak untuk suami dan anak-anak.





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

 

Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.

0 comments: