BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday 9 June 2010

Penyesalan Biarlah Di Sini


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Bertemankan ayat-ayat suci Surah Yusuf, jari jemari ini seiring pantas mencoretkan sesuatu yang dari tadi berlegar-legar dalam fikiran. Secepat mungkin ingin dicurahkan rasa hati kerana takut penyesalan ini tidak sempat berada di sini kerana diri dijemput Pencipta ke sana yang kekal abadi.


Sesuatu yang pasti hari demi hari diri ini tempuhi. Saat ini sudah puluhan tahun menghirup udara dalam taman dunia Allah. Subhanallah Maha Suci Allah betapa masa berangkat begitu cepat sekali. Tiap malam tika mata ingin tertutup, saat tubuh mahu beradu, hati berdetik..moga diberikan satu lagi hari untuk menghidup udara Allah. Takut sungguh andai diri dipanggilNya saat tidur yang pulas itu. Sungguh ketakutan saat memikirkan tempoh penghakiman Malaikat Allah di alam kubur. Betapa diri tidak bersedia menghadapi ketika dan saat itu. Terbayang tempoh perjalanan alam barzakh yang begitu lama tanpa ibu, ayah, adik-adik, sahabat-sahabat baik sebagai peneman. Namun tak pernah sunyi dari seksaan.



Diri mula menyesali masa-masa yang terbuang tanpa amalan yang mampu meringankan seksa ketika Mungkar dan Nakir menjalankan amanah Allah. Alpa diri ini sehari-sehari di muka bumi-Mu. 24 jam putaran masa rupanya masih tidak cukup untuk dipergunakan sebahagiannya untuk-Mu. Kadang cebisan waktu pun tak tersedia untuk-Mu Ya Allah.


Ibaratnya diri ini umpama kacang lupakan kulit. Diri lupa bahawa tubuh yang sempurna ciptaan-Mu ini adalah pinjaman semata-mata. Pinjaman sebagai mengisi tanggungjawab seorang hamba kepada tuannya. Tanggungjawab yang wajib dilakukan itu pun terkadang masih lagi tidak sempurna buat-Mu kerana hati dan fikiran saling bertingkah.


Asalnya hati ciptaan-Mu begitu suci, bila mana hati itu ingin menjalankan tanggungjawab terhadap-Mu, ada masa-masa fikiran mula mengarah hati dengan seribu satu rasa; malas, riak, sombong, bongkak, Ya Illahi, semuanya ini bila disedari, cepat-cepat hati menginjak ke landasan yang betul semula. Sesungguhnya perkiraan pahala-Mu adalah berdasarkan niat. Bila mana niat sudah jauh dari ikhlas, apa lagi yang tinggal sebagai persediaan ke taman akhirat nun di sana... Terkadang ada juga yang tak mampu disedari dengan mata hati ini; riak. Sebesar-besar amalan pun tidak akan membawa apa-apa di sisi-Mu bila penyakit hati yang satu itu wujud.


Mata sudah terpejam. Namun hati masih berkata-kata. Andai esok masih ada, diri ini akan berusaha menjadi hamba-Mu yang terbaik. Bukankah menjadi hamba-Mu itu ialah apabila hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Andai esok masih ada, diri ingin menebus kesilapan-kesilapan di masa lalu. Mahu menampung mana-mana yang kurang agar boleh diperbaiki. Andai esok masih ada, segala janji untuk-Mu akan diri ini laksanakan. Kerana betapa banyak janji yang tak terlunas lagi…dan hati semakin lama semakin senyap dengan harapan yang tinggi ESOK AKAN ADA LAGI…



Azan Subuh membangunkan insan dari tidur yang panjang. Belum lagi mata terbuka namun udara sejuk mula terasa. Tarikan dan hembusan nafas sendiri mampu lagi didengari. Perlahan-lahan sepasang mata pinjaman Allah itu mula terbuka memandang jam di sisi. Rupanya sudah menginjak ke satu hari baru. Sesungguhnya ESOK ITU MASIH ADA. Dan penyesalan semalam masih lagi di sini..Janganlah penyesalan itu saat diri di sana akhirat yang kekal abadi…




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



0 comments: