BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday 25 August 2010

Jangan Makan terlalu kenyang

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Teringat masa kecil-kecil dulu yang hidup tidak seperti hari ini. Hidup kais pagi, makan pagi,kais petang makan petang.Bila nak makan,perlu di cari bahan dan dimasak agar dapat di isi kedalam perut yang lapar.


Mak abah cuma mengerjakan sawah padi tanah milik orang lain. Sementara menunggu padi berbuah dan dituai,mak menjahit pakaian. Bila siap sepasang, cepat-cepat bagitahu tuan punya,baju dah siap dan mereka datang ambik. Bila mereka ambik baju dah siap, terus bayar upah menjahit pada mak. Upah sepasang baju kurung bukannya mahal mana pun, tetapi cukuplah untuk beli makanan hari itu.


Duduk di kampung pun, jika tanah bukan milik sendiri tetap susah juga. Bukan kita bebas untuk bercucuk tanam tanah milik orang lain. Lepas itu kami ini perempuan belaka,tidak lah sebebas lelaki untuk ke sana kemari mencari ikan buat lauk. Beras memang tak payah beli sebab sudah simpan padi hasil tuaian setiap musim.


Susah benar hidup kami dahulu. Dapur setakat dapur kayu api sahaja. Gunakan pelepah kelapa untuk api menyala. Untuk dijadikan bara, guna tempurung dan sabut kelapa. Untuk hidupkan api , gunakan umpan daun kelapa yang kering. Balik sekolah,selepas siap makan,kemas rumah dan buat kerja sekolah,mesti kena cari kayu api. Bantu mak. Ummi ada adik kecil yang ramai.


Mana mak nak menjahit, nak masak dan menyusukan adik lagi. Jadi ummi mesti bantu mak buat kerja rumah. Abah pula cari duit juga untuk persekolahan kami. Makan setakat apa yang ada sahaja.


Kalau musim tanam padi, banyaklah anak ikan yang boleh ditangguk. Jika berlebihan dari biasa untuk dibuat lauk,mak akan keringkan. Zaman dulu mana ada letrik dan peti sejuk nak simpan ikan. Masih lagi gunakan air telaga. Petang-petang juga ummi kena angkut air guna baldi,penuhkan tempayan air di dalam rumah untuk kegunaan mak memasak dan mencuci pinggan.


Bila musim kering,anak padi membesar,ikan pun dah besar, abah rajin menjala,mengagau ikan atau menimba. Sampai sekarang abah memang suka tangkap ikan gunakan tempirai atau bubu. Kalau ikan tu banyak,mak akan keringkan atau buat 'wadi'. Satu kaedah mengawet ikan zaman dulu. Ikan di masukkan garam,asam keping dan beras goreng yang telah ditumbuk. Jika diperam ikan dengan bahan-bahan ini,bila digoreng baunya sangat harum.


Mujur semasa ummi di sekolah menengah, ummi dapat biasiswa persekutuan. Syukur,walaupun tak banyak sekurang-kurang duit tu boleh digunakan untuk beli buku rujukan dan peralatan persekolahan. Betapa susahnya dahulu,untuk buat cermin mata pun ummi perlu mohon  bantuan subsidi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Bila cuti sekolah atau hujung minggu, ummi buat kerja sawah padi. Menuai padi guna pisau pengerat adalah kemahiran ummi. Ummi bekerja ambik upah di sawah orang lain. Begitulah rutin ummi dari ummi sekolah rendah hingga menengah. Buat kerja sawah padi. Pendek kata jika diberikan kepada ummi sebidang tanah sawah,memang ummi boleh kerjakan dari awal hingga padi dituai.


Masa nak ambik SPM, zaman tu kena bayar yuran SPM hampir RM 100. Bayaran dikenakan ikut jumlah matapelajaran yang diambil. Oleh kerana ummi dari aliran Sains, maka yuran agak mahal sedikit iaitu sebanyak RM 120. Ummi adalah orang yang paling lewat bayar yuran kerana menunggu wang bantuan Baitul Mal.


Masa SRP, kini setaraf PMR, ummi bersekolah di SMK Seri Perak, Parit Buntar. Jauhnya dari rumah kira-kira 15 km. Terpaksa naik basikal untuk keluar dari kawasan rumah sejauh 1.5 km pada jam 5.45 pagi seusai solat subuh.Tunggu bas sekolah pula untuk menunju ke sekolah menengah. Basikal tu ummi tinggalkan dibawah pokok sahaja di kuala kampung. Hari-hari macam itu,keluar rumah subuh-subuh naik basikal tak ada lampu. Sudahlah jalannya cuma susunan simen sekeping di tepi parit, basikal tak ada lampu, pakai agak-agak sahaja berdasarkan samar-samar fajar subuh.


Alhamdullilah semasa keputusan peperiksaan SRP diumumkan,  ummi menjadi calon pelajar terbaik SRP tahun itu. (terbaik untuk sekolah di kawasan luar bandar). Masih dalam kenangan, nama ummi hingga kini terpapar di piagam SMK Seri Perak. Pelajar terbaik SRP tahun 1980. Masa hari penyampaian hadiah dan anugerah cemerlang, ummi diberikan sebuah kamus Dewan Bahasa bernilai RM 25. Pada masa itu kamus itu sangat mahal dan amat berharga. Hingga kini kamus itu masih digunakan untuk rujukan anak-anak di rumah.


Berdasarkan keputusan SRP itulah ummi dapat melanjutkan pelajaran ke SGGS, St. George's Girl School, Pulau Pinang. Di sini ummi ambik aliran Sains Tulen. Pada mulanya ummi tinggal menumpang di rumah Tok Cik,Tok saudara ummi belah mak. Rumahnya di Sg Nibung. Berulang alik setiap hari ke sekolah, naik bas hingga ke Jelutung dan tukar naik bas ke Botanical Garden. SGGS terletak di Jalan Macalister.


Di sini pun sama, ummi perlu keluar rumah subuh-subuh. Cumanya ummi tidak perlu naik basikal untuk ke tepi jalan tunggu bas. Ummi cuma jalan kaki lebih kurang 1/2 km melalui tepi kubur setiap hari. Sebab itu ummi tidak takut dengan kubur. Ummi perlu tunggu bas gelap-gelap setiap hari di tepi kubur, hingga ummi rasakan semua ahli kubur itu sahabat ummi. Bila lalu sahaja tepi kubur, ummi akan ucap salam dan mendoakan mereka. Ummi seseolah berkomunikasi dengan mereka.


Bila naik tingkatan 5,ummi diberikan peluang untuk tinggal di asrama. Setiap bulan abah cuma beri wang belanja sebanyak RM 5 sahaja. Tinggal di asrama,ummi dapat subsidi makan. Jadi ummi berjimat dengan duit yang abah beri untuk tambang pergi balik setiap bulan ke rumah di Parit Haji Tahir, Parit Buntar. Tambang feri ketika itu cuma 40 sen sahaja sehala dari Pulau Pinang ke Seberang Prai.


Tamat SPM, ummi balik rumah mak. Sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM diumumkan, abah carikan ummi kerja. Kerja sebagai pembantu rumah kepada seorang guru. Mahu tak mahu, ummi mesti kerja bila memikirkan ummi perlu duit untuk sambung belajar jika keputusan peperiksaan SPM bagus. Ummi jadi tukang masak,kemas rumah, cuci pakaian dengan tangan. Walaupun duduk di pekan, ada letrik dan air paip, dan tuan rumah ada memiliki mesin basuh, ummi tetap di suruh mencuci pakaian guna tangan. Sedih,penat dan lelah. Gaji yang ummi dapat setiap bulan cuma RM 70 sahaja. Redha atau tidak , itu sahaja yang ummi dapat.


Makan makanan seadanya walaupun duduk rumah orang kaya. Jadi ummi sudah biasa dari kecil hidup susah. Bila berkahwin dengan zauj, zauj juga dari kelurga yang susah, maka kami mudah menyesuaikan diri dengan hidup seadanya. Tidak mewah makan minum. Bila ada anak-anak,kami didik anak-anak juga begitu.


Bukan mudah untuk berbelanja tanpa sebab. Nak membeli barang perlu lihat keutamaan dan keperluan. Tapi zaman ini semuanya perlu guna duit. Hingga mahu hantar anak rumah orang pun perlu sediakan duit dan keperluannya.


Ummi ajar anak-anak makan seadanya. Lauk tidak perlu banyak jenis, cukup sekadar seimbang untuk zat tubuh badan. Bila ke sekolah,anak-anak bawa bekal. Memang anak-anak jarang berbelanja. Bayangkan hingga sekarang,anak orang ibu bapa berikan RM 3 sehari untuk belanja sekolah, tapi anak ummi masih lagi RM 1 dari zaman along hingga ke Imran yang bongsu ini. Sama sahaja duit belanja ke sekolah. Sebab mereka bawa bekal makanan dan air minuman setiap hari. Duit yang diberikan mereka kumpul dalam tabung. Bila cukup setahun, ummi hantar ke bank.


Hasil duit yang dikumpul dari kecik ni, berbaloi juga sebabnya, masa anak-anak nak kahwin, duit inilah yang dijadikan hantaran buat isteri mereka. Terkejut juga anak-anak bila ummi tunjukkan buku akaun simpanan mereka di tabung haji.


Begitu jauh ummi bercerita, asalnya nak cerita bab makan sahaja. Bila makan jangan terlalu kenyang. Ikut sunnah, makan ketika lapar dan berhenti makan  sebelum kenyang. Jadi bila makan jangan terlalu kenyang. Macam ummi dengan zauj, kami memang hidup susah dari kecik, jadi tak ada masalah bab makan ini. Ummi pun hingga sekarang , masak makanan bila lapar. Masak apa yang ada sahaja. Jarang berlaku pembaziran kerana lebihan makanan.


Kenapa dilarang makan terlalu kenyang? Menurut catatan yang ummi ambik dari Laman Web Pondok Pasir Tumbuh, makan terlalu kenyang ini bahaya. Apa bahayanya?

Abu Sulaiman ad-Darani telah berkata bahawa sesiapa yang kenyang maka masuklah pada dirinya 6 macam bahaya :

1. Kehilangan rasa manisnya bermunajat kepada Allah.

2. Kehalusan memelihara hikmat ( bertindak gopoh-gapah tanpa bijaksana).

3. Terhalang rasa kasih sayang kepada makhluk lain kerana bila kenyang maka lupa pada orang lapar.

4. Berat dan malas untuk berbuat ibadat kepada Allah.

5. Bertambah keinginan nafsu.

6. Orang mukmin sebenar mengelilingi masjid manakala orang kenyang mengelilingi tandas.


Cuba lihat video ini,tak kasihankah mereka yang miskin dan hidup kelaparan?  klik saja tajuk dibawah, akan dapat lihat videonya nanti.






Semoga kita mendapat iktibar dan pengajaran, bahawa ramai yang tidak dapat makanan, hidup susah. Maka jangan dibazirkan makanan yang ada , jika terlebih simpan di peti sejuk dan panaskan bila nak makan,  makan semula bila lapar.


Bulan puasa ini pun,ummi sediakan jaudah berbuka dan sahur semudah yang mungkin. Hanya satu jenis makanan sahaja. Samada laksa  atau mihun sop atau mee rebus @ bandung@ lakna. Kalau nasi dengan satu jenis lauk sahaja seperti nasi ayam  atau ikan kukus. Untuk sahur,walaupun ummi masak setiap hari, ummi cuma sediakan lauk-lauk yang mudah juga seperti telor dadar, ikan kukus, ikan asam pedas, ikan bakar dan sayur. Bermakna satu jenis ikan  atau telor dan  sayur. Ada dua jenis lauk sahaja untuk waktu sahur. Itu pun anak-anak sangat berselera untuk makan. Yang penting makanan panas dan dari air tangan ummi mereka. Masa ada bibik dahulu pun,bila masa masak tetap menjadi kerja ummi sediakan makanan untuk zauj dan anak-anak. Kalau ummi sakit,  zauj yang akan ambik alih tugas sdiakan makanan untuk anak-anak. zauj akan masak sendiri.

Sahur jika kita lakukan dikira ibadat dan faedah sains membuktikan dalam tempoh 24 jam, makanan paling penting ialah sarapan pagi. Sahur mengambil tempat sebagai sarapan pagi dan jika tidak makan 12 jam selepas itu pun kita tak ada apa-apa. Nabi galakkan kita bersahur pun sudah cukup saintifik, sebab itu di anggap ibadah.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.





4 comments:

Rin said...

Alhamdullilah bersyukur dengan rezeki yang dikurniakanMu ya Allah...

Ummi Munaliza said...

Bersyukurlah dengan apa yang ada. Bersabar terhadap pujian kerana pujian boleh melalaikan kita dari mensyukuri nikmat Allah.

iXoRa_sKRu said...

baca kisah ummi rasa sayu sangat hati ni... Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah beri... Moga dapat diguna sebaiknya... terima kasih atas perkongsian...

Ummi Munaliza said...

Berhemah lah dalam berbelanja.Jangan pula bakhil. Harta yang jadi milik kita ialah yang dibelanjakan pada jalan yang Allah redha.