BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday 4 September 2010

Iftar dan Sedekah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



MasyaAllah, rupanya semakin meningkat usia,kudrat dan stamina tubuh apabila melakukan aktiviti semakin berkurang. Tak boleh bertahan lama untuk berdiri apatah lagi untuk berjalan.


Walaupun di rumah sahaja, bukan pergi shopping pun, tetap banyak berjalan ke depan ke belakang. Dari belakang, angkat pakaian nak disidai di depan rumah, 3 kali ulang alik dah penat dan berpeluh-peluh.


Kalau memasak di dapur, tengah masak tu,peluh dah merintik di dahi hingga meleleh membasahi muka. Bukan ketika masak untuk berbuka,masak ketikabersahur pun sama juga. Masak ketika sahur , lagilah kepenatan sebab sebelum tu 'merempit'.


Alhamdullilah , sehingga hari ini, puasa hari yang ke 25, tak ada makanan berbuka yang dibeli di Bazaar Ramadhan, kecuali hari tu ada 4 kali berbuka ditempat lain.


Puasa hari yang ke 15,   FTI buat Majlis Khatam Quran dan iftar. Makan di sana sebab jemputannya sekeluarga.


Ketika puasa hari yang  ke 17, dalam perjalanan ke KL. Keluar dari rumah jam 5 petang, niat mahu berbuka diperjalanan sahaja. Dalam kereta bawa bekal air oren dan kurma. Rancangannya nanti waktu buka akan tiba di R & R Ayer Keroh, berhenti di sana untuk berbuka puasa dan makan.


Tapi siapa yang tahu apa yang di dalam perancangan Allah. Sebaik selepas persimpangan bertingkat Ayer Bemban, di km 180, kereta bergerak perlahan. "JEM". Kereta berhenti terus. Lepas tu bergerak dalam kadar yang sangat perlahan selama 1 jam. Dalam masa itu, di laluan sebelah kanan,kelihatan beberapa buah kereta bomba,ambulance dan kereta polis. Oh...ada kemalangan rupanya.


Bila tiba di KM 189 baru nampak kesan kemalangan, kesan terbakar, masih ada ahli bomba yang tunggu. Sebuah lori dan sebuah kereta. Tak tahu cerita penuhnya samada ada nyawa terkorban.


Masa melewati kawasan kemalangan dah lepas jam 8:00 malam, kebetulan Naimah tidor, jadi zauj malas nak berhenti makan. Masa azan di kawasan Melaka, jam 7:19, berbuka dengan buah tamar dan minum air oren yang memang ummi bawa dari rumah.


Sampai Ampang,jam 10:00 malam, baru makan nasi. Tidor dua malam di rumah Najdah, sempat 2 kali bersahur dan sekali berbuka puasa bersama-sama dengan Najdah dan Omar. Buka puasa hari Sabtu, ummi masakkan kerabu jantung pisang, ikan siakap kukus, ikan selayang goreng, ayam madu(suami Nurhumaira' beli kat bazaar Ramadhan) dan asam pedas mangga. Najdah buat kuih popia.


Ummi jemput Nurhumaira' Lau, anak angkat ummi berbangsa cina. Nurhumaira' datang bersama dengan suami dan anak-anaknya. Lama ummi tak jumpa cucu 2 orang ni, Amir Arshad dan Adi Farhan. Kali terakhir jumpa masa walimah rumah ummi di Johor pada 5 Jun 2010.


Selepas solat isya', Nur humaira' balik rumahnya. Angah dan isterinya pula sampai. Angah tak dapat berbuka puasa dengan ummi sebab, jadi imam solat tarawikh sepanjang Ramadhan ini di surau tempat dia tinggal di Setia Alam. Nak berulang jauh sangat. Angah  datang bawa laksa utara. Itu saja jaudah berbuka angah hari tu, sama macam ummi didik di rumah,berbuka dengan satu jaudah.  Angah cuma dapat bersahur sekali sahaja dengan ummi pada bulan puasa tahun ini.  Sahur tu, ummi masak simple juga, sup kambing dan sayur campur.


Hari Ahad 29 Ogos, sebaik zauj habis kelas jam 3 petang, berehat seketika, jam 5:00  petang, baru  ummi dan zauj bergerak balik ke Johor Bahru. Sekali lagi berbuka puasa di perjalanan. Kali ini perjalanan lancar. Ketika azan maghrib berkumandang jam 7:15  malam, kami dah melewati Yong Peng. Zauj malas nak berhenti di mana-mana R & R, sebab selalunya makanan di R & R tak sedap. Kami berbuka dengan air dan kurma lagi di dalam kereta. Sampai Plaza Tol Skudai,baru buat solat jamak takdim. Lepas tu singgah di Taman Sri Skudai, cari warung yang zauj suka makan 'mee kungfu'. Dah jam 9:00 malam baru kami makan. Itupun zauj dan Imran makan mee kungfu, ummi makan mee hong kong dan Naimah makan mihun sop. Lepas makan balik rumah.


Sampai rumah, mengemaskan kereta. Zauj mandi dan terus rehat, kerana kepenatan mengajar dari pagi  dan  memandu perjalanan yang jauh. Ummi pun rehat juga sebab nanti nak bangun awal. Solat Tarawikh belum buat lagi. Alhamdullilah,jika tiada keuzuran syarie, ummi dapat melaksanakan solat terawikh walaupun solat sendirian.


Tak tahu kenapa stamina ummi memang dah jauh lemah. Sebab itu selepas solat maghrib , ummi perlukan rehat dan tidor awal. Selepas rehat  selama 4 jam, baru ummi mempunyai tenaga semula dan dapat mengerjakan solat tarawikh di tengah malam seorang diri. Seawal jam 2:00 ummi dah bangun. Selesai semua urusan 'merempit' barulah ummi masak. Ummi jarang mahu tidor diwaktu siang. Kadang-kadang memang mata sangat mengantuk hingga tersengguk-sengguk, tapi tak juga berbaring.


Ummi menggelak tidor waktu siang kerana bila ummi bangun dari tidor, badan jadi lesu,tak bermaya, letih dan macam orang mamai. Tenaga hilang, langsung tak boleh buat apa-apa. Itu sebab ummi tidak mahu tidor di waktu siang.


Hari ini, ummi cuma nak masak bakso saja. Semalam ummi masak mee kari. Simple sangat jaudah berbuka ummi. Hanya satu jenis makanan dan satu jenis minuman. Air karot susu.


Pada 31 Ogos,puasa hari  yang ke 21, ummi buat iftar di rumah ummi. Zauj jemput beberapa pelajar yang mengikuti kelas Pemurnian Hati (kelas AL-Hikam) dan pelajar SPI yang ikut Program ke Kemboja tahun lepas. Ummi juga jemput beberapa orang halaqian yang tinggal sekitar Johor Bahru dan Skudai datang berbuka bersama-sama.



Kelebihan menjamu orang berbuka puasa

1) Daripada Anas telah berkata: telah ditanya Wahai Rasulullah! apakah sedekah yang lebih afdhal? sabda S.A.W yang bermaksud : "Sedekah pada bulan Ramadhan" [Riwayat imam Tarmizi, Al-Baihaqi, Ibn jauzi dan Al-Baghawi]

2) Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhni telah berkata: talah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :  " Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa adalah baginya pahala sebagaimana orang yang berpuasa tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang berpuasa sesuatu, dan sesiapa yang menyiapkan untuk orang yang pergi berperang atau mengalihnya pada ahli keluarganya adalah baginya seperti pahalanya tanpa berkurangan daripada pahalanya sesuatu." [ Riwayat imam Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Habban, Ahmad dan Al-Baihaqi]


Pengajaran hadis:

1. Memberitahu kita mengenai kelebihan bersedekah pada bulan Ramadhan.

2. Bagi mereka yang membuat jamuan berbuka maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa menjejaskan pahala orang yang berpuasa itu(tetamu).

3. Digalakkan agar kita membuat jamuan kepada orang yang berpuasa.

4. hadis juga menekankan berkenaan kelebihan bagi mereka yang menyiapkan segala kelengkapan bagi mereka yang keluar berperang iaitu dia akan mendapat pahala sebagaimana mereka yang keluar berperang.

5. Dalam mengadakan jamuan, kita dilarang membazir malah kita hendaklah melakukannya mengikut kemampuan yang ada.


Rujukan :

1. Fadhailul Awqat oleh imam Baihaqi

Sumber hadith dari Pondok Pasir Tumbuh.


Memang dari hari pertama Ramadhan kali ini,ummi pastikan ada makanan berbuka untuk dijamu kepada orang berpuasa selain dari keluarga sendiri. Ummi masih meneruskan tradisi memberikan makanan kepada jiran sebelah. Oleh kerana sebelah kana ada lah keluarga cina, jadi hanya jiran sebelah kiri sahaja yang diberikan jaudah berbuka.


Semoga apa yang ummi tulis kali ini akan menjadi teladan kepada anak-anak ummi apabila ummi telah tiada lagi nanti. Banyakkan bersedekah tidak kira ketika kaya atau miskin, ketika ada duit atau tiada. Jika tiada duit, sedekahlah apa-apa yang mampu. Terutama orang-orang yang datang berjaja di depan rumah, menjual ikan kering atau kitab kecik, belilah barang 1 atau 2 bungkus/buah. Anggapkan sedekah sahaja jika nilai wang diberikan lebih dari nilai iakan kering atau kitab kecik tu.
Kalau ketika tu benar-benar tak berduit, berikan makanan atau minuman kepada mereka yang sedang kehausan menjaja barang-barang itu.


Begitu juga jika ada orang dalam kesusahan ingin berhutang atau meminjam duit. Jika tak ada banyak,berikan seadanya, jangan menghampakan permintaan orang. Jika kita hampakan harapan orang, suatu hari nanti mungkin Allah hampakan harapan kita pula.

Kenapa ganjaran lebih besar diberikan kepada orang yang memberikan pinjaman atau memberikan orang berhutang:



BerhutangNabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesuatu yang dipinjamkan oleh seseorang Muslim kepada Muslim yang lain sebanyak dua kali seperti bersedekah sekali (riwayat Ibn Hibban)."

Daripada Anas bin Malik r.a berkata Rasulullah SAW bersabda: "Aku melihat di malam aku diisrakkan ke langit tertulis di pintu syurga, digandakan sedekah dengan sepuluh gandaan dan digandakan al-qard dengan 18 gandaan, lalu aku bertanya kepada Jibril, adakah al-qard lebih afdal dari sedekah? Jibril berkata: peminta akan meminta walaupun ketika dia memiliki (sesuatu barangan) dan peminjam tidak akan meminjam kecuali kerana keperluan. (riwayat Ibn Majah, 2/812)

Kedua-dua hadis di atas menunjukkan Allah SWT akan memberi ganjaran pahala bagi mereka yang memberi pinjaman untuk membantu dan bagi menghulurkan pertolongan kepada mereka yang memerlukan.


Mereka tidak akan berhutang atau meminjam jika keadaan tidak mendesak.
Sumber dari Halaqahnet.

Sekian...entri ummi kali ini,  semoga bermanafaat.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: