BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday 20 September 2010

Kembara Aidil Fitri Siri 1

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kembara Aidil Fitri baru ini membawa ummi sekeluarga menjelajah 7 negeri merentasi Semenanjung Malaysia dari selatan ke utara. Menziarahi saudara mara dan kenalan yang jauh dan dekat.


Bermula dari tarikh 8 September, jam 12:01 am, ummi dan keluarga bergerak meninggalkan rumah di Taman Pulai Utama menuju ke Selangor melalui negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.


Rumah pertama di tuju ialah rumah adik zauj yang bongsu di Dengkil. Kat sini ada mak mentua. Itu sebab zauj menuju ke sini dahulu, keutamaan untuk bertemu dengan ibu nya.


Kami tiba rumah adik jam 3:21 pagi. Berehat seketika, lelapkan mata sementara menanti mereka menyediakan jaudah untuk bersahur. Jam 4:45 am bangun dan melakukan solat malam dan solat witir. Lepas itu makan bersama-sama keluarga adik.


Sementara menanti azan subuh, membaca sehelai dua al-quran. Walaupu zauj dah khatam al-quran dalam Ramadhan ini, tetap zauj buka dan baca lagi. Sebaik selesai solat subuh,kami berangkat meneruskan perjalanan ke kampung mak mentua di Sg. Sireh , Tanjong Karang.


Tiba di Sg Sireh pada pukul 8:15 pagi. Sunyi sepi rumah ini. Dah lama rumah ini tidak di huni sejak meninggalnya arwah ayah mentua. Semua anak sepakat tidak mengizinkan mak mentua tinggal di rumah ini seorang diri.


Mak mentua pula seorang yang memahami keadaan anak-anak. Jika ada anaknya yang berkorban balik kampung dan tinggal menemaninya,mak akan fikir,kerja apa yang ada sesuai di kampung ini buat mencari rezeki? Sedangkan semuanya telah memiliki kerja yang bagus untuk menyara keluarga masing-masing.


Mak pun sedia untuk tinggal bergilir -gilir di rumah mana yang dia sendiri akan pilih. Nampaknya setelah hampir 9 tahun arwah ayah pergi, mak serasi tinggal dengan sesiapa sahaja antara 6 orang anak lelakinya. Mak serasi dengan semua menantu perempuan tak kira dari melayu jawa, melayu banjar atau melayu laut.


Semua menantu menganggap mak mentua seperti mak sendiri. Menyediakan masa dan melayan mak dengan baik. Mak selesa tinggal dengan siapa sahaja antara 6 orang menantu perempuan mak. Anak cucu pun sama,suka jika nenek tinggal bersama-sama.


Bila masuk sahaja rumah mak yang katanya dah 3 bulan tidak dijenguk, rumah agak bersih kerana abang zauj dan isterinya telah datang membersihkan rumah itu pada hujung minggu lepas. Sampah telah disapu dan debu-debu telah di vakum.


Namun,bila ummi ke dapur, dibawah singki dan masuk bilik air,ummi ternampak sarung ular panjang dan berwarna putih. Sarung ular lepas bersalin kulit. Ummi seorang yang penakut, terus lari meninggalkan tempat tu. Minta zauj datang lihat dan bersihkan dulu.


Ummi jumpa 3 tempat ada sarung ular lepas bersalin kulit. Satu lagi ummi jumpa di tempat spin mesin cuci manual. Nampak saja,terus lari ke depan.


Bila sudah dibuang dan dibersihkan,baru ummi masuk dapur untuk berkemas dan menyediakan bahan-bahan untuk memasak petang nanti.


Sempat 2 kali berbuka puasa dan sekali bersahur di rumah mak mentua. Di rumah mana pun,tetap ummi yang masak dan menyediakan makanan untuk zauj, anak-anak dan kali ini ada mak mentua.




Memanggang ayam secara tradisional
Sehari sebelum hari raya, ummi,zauj dan anak-anak menyediakan jaudah berbuka yang menyelerakan. Penutup Ramadhan. Walaupun sedih Ramadhan akan berlalu , namun perpisahannya tetap perlu dihadapi. Ayam panggang, ikan keli bakar, sambal matarang, air asam pisang muda dan pecal tauge pendek dengan pucuk ubi.







'Menggarik' timun betik

Minuman, zauj buat coctail tradisional,  timun betik + gula +  santan + air batu. Enak dan mantap.  Timun betik dicincang halus dan dicampur ke dalam santan yang telah dimasuk gula  dan air batu.


Pada malam 1 Syawal, kebiasaan orang akan menyediakan berbagai-bagai masakan seperti lemang,ketupat, rendang, sambal kacang dan kari daging. Tetapi ummi dan zauj tidak menyediakan apa-apa makanan seperti kebanyakkan orang lain. Kami hanya duduk bersama-sama anak beranak saling bermaafan dan berbual untuk mengeratkan hubungan.


Awal subuh 1 Syawal, selesai mandi sunat Aidil Fitri, ummi terus sibuk di dapur menyediakan makanan di pagi raya. Makanan sebelum mereka pergi menunaikan solat Aidil Fitri.



Di pagi Aidil  Fitri (Abdullah dan Imran)
Ummi cuma mask nasi putih, dan nasi goreng telor. Lauk untuk nasi putih adalah ayam sambal,sambal matarang, ikan keli goreng dan sambal kicap asam. Itu saja jaudah dipagi Aidil Fitri. Tak ada lemang atau ketupat yang ummi sediakan.


Dah macam jadi tradisi pulak. Anak-anak pun tak kisah dan mereka suka dengan cara ummi menyambut Aidil Fitri. Semua makan dengan berselera. Lepas tu pergi solat sunat Adil Fitri di Masjid Sg Sireh.



Ciuman kasih seorang anak (Omar)
Selesai solat, mereka balik rumah, dan kami berkumpul ramai-ramai lagi sambil minum-minum menanti saudara mara yang tiba.Sambil itu anak-anak saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.


Rancangan kami setelah 3 hari bersama mentua, kami mahu pergi ke Perak pula,berhari raya dengan abah dan saudara sebelah ummi. Kami menunggu mana-mana adik zauj yang tiba untuk menggantikan tempat kami menemani mak mentua di rumah itu.




Walaupun anak-anak mendesak agar kami segera meneruskan perjalanan ke Perak,ummi menahan sambil menasihati "jangan tinggal nenek seorang diri, macamana ummi dan ayah jaga nenek, macam itu ummi harap anak-anak ummi nanti. Jangan sekali-kali nanti tinggal ummi seorang diri di rumah terutama di hari raya"



Anak-anak akur dengan nasihat ummi dan menunggu dengan sabar. Jam 11:00 pagi,barulah adik zauj sekeluarga tiba. Bila mereka tiba,setelah bersalaman,teruslah kami semua,ummi dan zauj sebuah kereta, angah dan isterinya sebuah kereta dan Nazihah dengan suaminya sebuah kereta.


Setiap orang mempunyai perancangan berbeza didestinasi seterusnya dalam kembara Aidil Fitri. Sekian entri kali ini...bersambung entri ke dua dan ketiga dilain masa akan datang.






Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



0 comments: