BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday 1 November 2010

Pada MU ku Bersujud


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



"Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa." (Al-Quran | Yunus | Ayat 5:)
 

Sajdah (Arab: ُسجدة‎), atau sujūd (Arab: سُجود‎,) merupakan perkataan Arab yang boleh disama ertikan dengan perbuatan meletakkan dahi, hidung, kedua-dua telapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua perut anak jari-jari kaki pada keadaan serentak di lantai dengan tujuan tertentu kerana Allah pada waktu dan masa-masa tertentu. Ketika sujud, kita boleh membaca bacaan tertentu .


Aku diperintah (oleh Allah) bahawa aku sujud di atas tujuh anggota, di atas dahi dan diisyarat dengan tangannya di atas hidungnya,dan dua tangan dan dua lutut dan perut-perut anak jari dua kaki. (Hadis Muttafaqun Alaih)


Sewaktu bersujud, kita berada amat hampir dengan Allah. Katakanlah apa sahaja di dalam hati hajat kita sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s. a. w. yang biasa memanjangkan sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa didalamnya.


Sabda Rasulullah s. a. w : “Saat yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya.”


Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah untuk kita ikuti. Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat.




“Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, imam yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar.”


Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredhaan Allah dunia dan akhirat. Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya. Rasulullah s. a. w biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya baginda bersujud.


Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebut oleh baginda dalam sabdanya yang bermaksud:-


“Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat”


Mendengar itu para sahabat bertanya: “Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?”


Jawab baginda: “Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pula terdapat sekor kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?”


Sahabat Menjawab: “Bahkan ” Rasulullah menyambung: “Kerana sesungguhnya pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berser- seri) disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka ( terutama anggota wudu’) putih berseri-seri oleh cahaya wudhu’ ”




KEISTIMEWAANNYA

Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya. Rasulullah s. a. w. bersabda yang bermaksud:


“Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah menegah neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud”


Begitulah Allah memuliakan hamba-Nya yang bersujud. Orang yang sujud mendapat   keistimewaannya apatah lagi di dalam sujud itu kita berdoa. Sudah tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba yang benar-benar mendapat rahmat.



Firman Allah berkenaan kewajipan sujud:


"Wahai orang-orang yang beriman! rukuklah dan sujudlah kamu kepada Tuhan kamu(Allah) dan perbuatlah kebaikan mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan". (Surah Al-Hajj ayat: 77)

FirmanNya lagi:


"Maka hendaklah kamu sujud tunduk kepada Allah dan beribadahlah sekalian kamu". (Surah Al-Najmi ayat 62)

Firman Allah:


"Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu (Allah) dan jadilah kamu dari golongan orang-orang yang sujud".

Firman Allah:


"Dan sebahagian dari malam,maka sujudlah kepadaNya (Allah) dan bertasbihlah(beribadah)di malam yang panjang".


Kenapa Malaikat Sujud Kepada Adam?


Sujud para malaikat adalah kerana menghormati Nabi Adam a.s. dan bukan menyembah. Iblis tidak mematuhi arahan Tuhan ini kerana merasa dirinya besar dan mempunyai kelebihan berbanding manusia.


Imam Al-Maghari berkata di dalam tafsirnya, selepas Allah s.w.t. mengkhabarkan kepada malaikat berhubung kedudukan Adam yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi, lantas Allah memerintahkan mereka sujud sebagai tanda hormat, bukan ibadat sebagai mengiktiraf kemuliaan Adam dan sebagai pernyataan bersalah terhadap apa yang mereka katakan sebelumnya.


Di antara keistimewaan Adam ialah kurniaan ilmu yang banyak, sehingga melemahkan prestasi tahap capaian keilmuan maksimum Malaikat. Allah menambahkan pada ayat-ayat berikut, dengan kemuliaan lain, iaitu arahan kepada sekalian Malaikat supaya bersujud kepadaNya. Ini menambahkan lagi tanda-tanda kemuliaan dan kelebihan pada makhluk bernama manusia yang berasal daripada Adam a.s.


Ibn Jarir di dalam tafsirnya, At-Thabari berkata, seolah-olah ia merupakan peringatan kepada kaum Yahudi yang mendiami Kota Suci Madinah bersama Nabi s.a.w. Kepada mereka diberikan pelbagai nikmat dan peringatan, sebagaimana Firman Allah yang bermaksud:

Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para Malaikat, sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka, kecuali iblis. Ia enggan dan takbur, dan adalah ia termasuk dalam golongan orang kafir. (Surah al-Baqarah Ayat 34)


Allah menyebut, `Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para Malaikat'. Iaitu, ingatlah wahai Muhammad, kepada kaummu, ketika Kami berkata kepada Malaikat. Syeikh Abdur Rahman As-Sa'di berkata dalam tafsirnya, Taisir Al-Karim, ayat ini mengandungi banyak pengajaran, di antaranya ialah mengisbatkan kalam Allah.


Ibn Jauzi mentafsirkan di dalam kitabnya, Zad Al-Masir, bahawa terdapat dua pendapat tentang Malaikat: Pertama, semua Malaikat. Inilah pendapat As-Suddi daripada guru-gurunya. Kedua, mereka segolongan daripada malaikat, seperti riwayat Ibn Abas, tetapi pendapat yang pertama lagi sahih.


`Sujudlah kamu kepada Adam'. Iaitu sujud sebagai penghormatan dan membesarkannya, bukan sujud untuk beribadat. As-Syaukani di dalam Fath al-Qadir berkata, maksud sujud di sini ialah hina dan merendahkan diri, dan kemuncaknya ialah meletakkan wajah di bumi. Inilah juga pendapat Imam an-Nasafi di dalam tafsirnya yang menaqalkan pendapat jumhur ulama.


Terdapat dua pendapat berhubung sifat sujud para malaikat kepada Adam: Pertama, iaitu seperti sifat sujud di dalam solat. Inilah pendapat yang lebih zahir. Kedua, iaitu merendahkan kepala seumpama rukuk. Al-Imam al-Fakhru ar-Razi di dalam kitab, Tafsir al-Kabir berkata, telah ijmak sekalian orang Islam, bahawa sujud tersebut bukan sujud ibadat, kerana sujud ibadat selain Allah boleh membawa kufur.


Al-'Allamah Thahir `Asyur melalui tafsirnya, At-Tahrir Wa At-Tanwir berkata, sujud merupakan penghormatan pertama yang diterima oleh manusia daripada makhluk alam. Dan disandarkan sujud kepada Adam dengan perkataan `lam' yang bermaksud `bagi' menunjukkan bahawa mereka ditaklifkan bersujud dengan zatnya dan ia merupakan asal penunjuk `lam ta'lil', iaitu apabila dikaitkan dengan maksud sujud.


Kemudian beliau menambah, pada ayat ini juga dapat dikeluarkan permasalahan yang cukup menarik tentang penghormatan kepada ilmu dan kelayakan ulama untuk menerima penghormatan dan kemuliaan tersebut, kerana ketika Allah mengajar kepada Adam ilmu-ilmu yang tidak dimiliki oleh malaikat, ia menjadikan Adam contoh utama dalam penguasaan penciptaan kajian dan ilmu yang zahir pada manusia selepasnya, dan pasti akan zahir penciptaan baru, begitu juga ilmu sehingga binasanya alam ini.


`Maka sujudlah mereka, kecuali iblis'. maksudnya, lantas mereka iaitu para malaikat semuanya sujud, kecuali iblis. Ulama menyebut, pengecualian ini ditafsirkan dengan dua pendapat: Pertama, iaitu pengecualian daripada jenis yang sama. Pendapat ini menggolongkan iblis termasuk dalam kumpulan malaikat, seperti pendapat Ibn Mas'ud dalam satu riwayat dan Ibn Abas, kecuali Allah menukar rupanya menjadi syaitan. Kedua, ia bukan jenis malaikat, tetapi jenis jin. Inilah pendapat Al-Hasan Al-Basri dan Az-Zuhri.


Justeru itu, jadilah pengecualian ini sebagai pengecualian yang terputus. Penulis menyokong pendapat kedua berdasarkan ayat Al-Quran yang lain, di dalam surah al-Kahfi ayat 50 maksudnya:


Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada para malaikat : Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah daripada golongan jin, maka ia menderhaka kepada perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain Aku, sedangkan mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang-orang yang zalim.


Berhubung nama iblis, terdapat dua pandangan ulama, seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Mawardi di dalam kitabnya, an-Nukat Wa al-'Uyun. Pertama, ia merupakan nama a'jam (bukan Arab). Inilah pendapat Abu Ubaidah, iaitu Mu`ammar bin al-Musanna at-Taimi, az-Zajjaj dan Ibn al-Anbari. Kedua, ia diambil daripada perkataan iblas, yang bermaksud putus asa seperti riwayat Abi Soleh.


Ini kerana, `Ia enggan dan takbur', iaitu melanggar apa yang diarahkan kepadanya. Syeikh Rashid Redha di dalam tafsirnya, al-Manar berkata, iblis tidak mematuhi arahan Tuhan kerana merasa dirinya besar dan mempunyai kelebihan berbanding manusia. Sifat takbur dan suka menunjuk-nunjukkan sifat kesombongan ini, merupakan tanda-tanda perasaan tinggi diri. Terdapat huruf `sin' dan `ta' pada permulaan kalimah takbur, ia menunjukkan bahawa takbur bukanlah tabiat iblis, tetapi ia mampu dan bersedia melakukannya.




Allahu a’lam.



 Aku rindu  untuk bersujud, mencecah dahi ke lantai,  namun  apa kan daya, tiada daya upaya melainkan dengan qudrat dan iradat Allah jua. Kenapa?  Baca  kisahnya  di sini :  Sujud Sendirian di Hijir  Ismail


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: