BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 27 April 2010

Semanis Ujian

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kehidupan tidak pernah lekang dengan perkataan “dugaan”.Apabila datang dugaan dalam kehidupan,manusia sering kali mengeluh,tertekan dan sehingga sampai satu tahap hilang kawalan diri. Ketahuilah kalian bahawa seandainya dugaan itu kita terima dengan hati yang redha terlalu banyak hikmah dan manfaatnya disebalik dugaan yang menimpa diri.Seringkali diri ini juga lupa akan hakikat dan hikmah dugaaan itu sendiri. Firman ALLAH SWT dalam kitab hikmahNya:


“ Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”(2:286)


Jadi,sangat jelaslah disini bahawa ALLAH SWT  tidak pernah menimpakan suatu ujian,dugaan mahupun cabaran diluar batas kemampuan hamba ciptaanNYA. Siapa kita utk mengatakan ujian,dugaan dan cabaran itu diluar kemampuan kita kerana sesungguhnya yang menciptakan kita itu bukannya diri kita sendiri akan tetapi Tuhan sekalian alam iaitu ALLAH SWT. Sungguh DIA lebih mengenali diri kita daripada diri kita sendiri. 


Jadi,tanamkanlah dalam diri mulai saat ini bahawa ujian ALLAH itu tanda kasih dan sayang dari ALLAH kerana itu bermakna ALLAH ambil tahu dan peduli dengan diri kita. ALLAH menguji kita sebenarnya adalah utk mengukur sejauh mana tahap iman kita sebenarnya. Hadapilah ujian dan dugaan dari ALLAH  dengan keimanan,ketakwaan dan kesabaran. Moga-moga kita sentiasa berada dibawah payung rahmat,redha dan kasih sayangNYA. Mari sama-sama kita amalkan doa ini:


(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.(2:286)


Sama-samalah kita bina kekuatan di dalam diri kita, apabila bermacam-macam dugaan datang didalam hidup kita, kerana Allah dekat dengan kita dikala ujian itu datang, jika kita mengingati NYA.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Monday 26 April 2010

DUGAAN & UJIAN ALLAH

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Memang hidup ini tidak akan pernah sunyi dari setiap dugaan dan ujian. Apa yang boleh saya katakan, sebagai umat Islam seharusnya kita yakin sesungguhnya setiap cabaran dan ujian hidup itu adalah bukti kasih sayang Allah terhadap kita.

Berdasarkan dalil daripada ayat 15-17, surah al-Fijr, kita harus fahami bahawa setiap kenikmatan dan kelapangan yang diberikan itu BUKAN bermakna Allah telah memberikan kemuliaan. Dan setiap orang yang diberikan ujian dan cubaan itu BUKAN bererti Allah telah menghinakannya.

Ibnu Qayyim dalam mensyarahkan dalil daripada ayat-ayat tersebut menyatakan golongan pertama itu sebenarnya telah diuji dengan beberapa kenikmatan dan golongan yang kedua itu pula telah dimuliakan dengan diberinya cubaan dan ujian.

Apa yang penting bersabar dan bermuhasabahlah selalu kepada Allah swt. Setiap orang yang beriman pasti akan menerima cubaan. Yang pasti, setiap ujian itu akan sentiasa kita alami sepanjang hayat, cuma tahap dan bentuknya mungkin berbeza-beza.

Sebagaimana yang diriwayatkan dari sebuah hadis, Saad bin Abi Waqqas pernah bertanya kepada Rasulullah saw., "Siapakah orang yang paling berat cubaannya ?"

Jawab baginda, "Di antara orang-orang yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam agamanya, maka beratlah ujian yang diterimanya.Sekira agamanya lemah, tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian akan selalu datang menimpa seorang hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi, dan sehingga tiada lagi kesalahan padanya.” (Riwayat Tirmizi)

Setiap kali diuji, walau seberat manapun cabarannya, ketahuilah... ianya akan menjadi kayu pengukur yang menentukan keteguhan iman seseorang.

Pelbagai ujian dan dugaan yang diterima itu, adalah bukti kasih sayang pencipta terhadap hambaNya. Dan juga untuk memastikan kita semua memiliki iman yang lebih kuat selepas berjaya menempuhnya dengan penuh kesabaran.

Imam Ghazali ada menulis di dalam kitabnya Mukasyafah Al Qulub, ”Sesungguhnya bala merupakan pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang mukmin dan menghancurkan orang yang lupa. Tidak seorang pun akan mendapat manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar.”

Selain bersabar. Apa yang paling penting ingatlah Allah dan berdoalah selalu. Doa itu adalah ubat yang paling mujarab. Menurut Ibn Qayyim di dalam kitabnya Ad dah’ Wad Dawaa’, “Doa adalah musuh segala bencana. Ianya dapat menolak malah dapat menghilangkannya. Ataupun sekurang-kurangnya doa itu akan dapat meringankan segala bentuk musibah yang datang.”

Sesungguhnya berdoa itu adalah senjata orang mukmin. Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam kitab sahihnya yang berasal dari Ali bin Abi Talib ra., sabda Rasulullah saw,

“Doa adalah senjata orang mukmin, tiang agama dan cahaya langit serta bumi.”

Akhir sekali, cuba baca perlahan-lahan dan hayatilah sabda Rasulullah saw dibawah yang maksudnya cukup indah dan mendalam sekali. Semoga ianya serba sedikit boleh menjadi penawar ataupun sekurang-kurangnya memberi sedikit suntikan kekuatan untuk kita di dalam menempuh apa saja ujian yang datang.

Janji Allah dalam sabda Rasulullah saw,
“Tiada seorang Muslim pun yang ditimpa sesuatu yang menyakitkan berupa penyakit atau lainnya, melainkan kerananya Allah akan menghapuskan keburukan-keburukannya sebagaimana pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Semoga kita semua sentiasa bersabar, mengingati Allah dan berdoa selalu di dalam menghadapi apa saja bentuk ujian yang mendatang.

PERCAYALAH sesungguhnya Allah menyayangimu...




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.


Sunday 25 April 2010

Ujian dan Dugaan Sang PenCIPTA Adalah Anugerah…



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Setiap perjalanan kehidupan yang dilalui manusia di muka bumi ini terdapat banyak cabaran, dugaan, halangan, suka duka, pahit manis dan berbagai macam ragam lagi wujud kerana itu sudah menjadi lumrah kita sebagai hamba-NYA yang sentiasa diuji untuk menilai sejauhmana keimanan dan ketaqwaan kita kepada Sang Pecipta seluruh alam ini. 

Ujian Sang Pencipta adalah berbagai bentuk antaranya sakit demam, hajat dan harapan tidak kesampaian, kegagalan dalam peperiksaan,jodoh tidak berpanjangan,impian tidak tercapai dan sebagainya.

Apabila didatangi ujian yang menimpa diri setiap daripada kita, maka ada yang mengeluh kesah, kecewa malah ada juga yang sanggup menyalahkan Sang Pencipta dengan apa yang menimpa ke atas dirinya. Tahukah kita setiap ujian yang datang itu adalah anugerah yang dikurniakan oleh Sang Pencipta kepada kita? Itu tandanya DIA mengasihi dan menyayangi kita. Bukankah semakin banyak cabaran dan dugaan serta ujian yang dihadapi semakin dekat kita kepada Sang Pencipta?

Bagaimana dikatakan kita dekat dan hampir dengan Allah? Bila hati kita resah, gelisah , kecewa dan hampa, kepada siapa kita mengadu? Kepada siapa kita bermunajat tanpa henti? Adakah kita mengadu kepada manusia? Adakah kita merintih dan merayu kepada manusia?

Sekiranya tidak didatangi pelbagai ujian dalam kehidupan kita, mungkin kita alpa dan lalai dengan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Bukankah Sang Pencipta menjadikan manusia dan jin adalah untuk beribadat kepada-NYA?

“Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu” ( surah Az-Zariyat : ayat 56)


Kalau kita mengetahui hakikat ini, pasti kita akan sentiasa melakukan dan menurut apa yang diperintahkan oleh-NYA. Tetapi masih ramai manusia yang lupa dengan tuntutan dan kehendak ini. Mereka lupa tujuan apa sebenarnya mereka dilahirkan di dunia ini, apa matlamat dan halatuju mereka serta apakah kesudahan kehidupan mereka di akhirat kelak.

Dengan keterlupaan inilah maka wujudlah di muka bumi ini manusia-manusia yang angkuh dan sombong sehingga tidak mempedulikan apa yang dilakukan itu adalah hak ataupun bathil. Sehingga hati-hati mereka tertutup rapat untuk membezakan kebenaran ataupun kezaliman dan kebaikan ataupun kejahatan. Malah ada juga yang merasa bangga dan mendabit dada apabila melakukan kejahatan dan kezaliman terhadap diri sendiri dan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini.

Manusia seperti ini apabila tidak didatangi ujian dan dugaan daripada Sang Penciptanya, maka dia terus alpa dan lalai dengan keangkuhannya. Apabila ujian Sang Pencipta menimpa diri barulah mereka sedar dan insaf serta kembali kepangkal jalan kebenaran.

Maka dengan itulah baru mereka mengakui bahawasanya ujian dan dugaan daripada Sang Pencipta adalah satu anugerah yang paling berharga jika dibandingkan dengan kemewahan duniawi. Justeru itu, setiap yang berlaku terhadap diri kita hadapilah dengan penuh rasa syukur kerana itu adalah satu ANUGERAH DARIPADA SANG PENCIPTA YANG MAHA AGUNG. 



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Saturday 24 April 2010

Memutuskan Silaturahim



Oleh kerana saban malam ummi bangun seawal 3:30 pagi, selalunya lepas saja solat maghrib berjemaah ummi terus rasa mengantuk dan terlena sebaik selesai solat taubat  2 rakaat. Kadang-kadang ummi buat 3 rakaat, solat qada yang lalu, mana tahu ada yang tertinggal tanpa disedari terutama ketika ummi selalu sakit. Mungkin juga kala itu melakukan solat tidak sempurna dalam keadaan berbaring. Ummi jarang melayan diri untuk tidor disiang hari.

Tertidor tak kira tempat, atas sofa depan pintu pun ya. Kalau dah terlena, anak cucu bising pun tak sedar. Suara TV siaran berita Buletin UTAMA pun dah tak dengar. Tapi tak lama, sekitar menghampiri jam 10:00 malam *ummi akan terbangun semula, terutama bila dengar Abdullah buka pintu slidding door ,  Lya balik rumah.

Bila dah terbangun, kadang susah lah tidor semula. Tambah bila teman pula Lya makan malam. Memang sejak Lya tinggal dengan ummi, ummi tunggu Lya balik, baru makan malam. Makin bertambah naik berat badan ummi kerana makan lewat malam. Mula dulu, ummi tak tunggu Lya untuk makan malam, langsung Lya tak makan bila sorang-sorang. Jadi kesiankan dia tak berselera makan sorang-sorang, ummi tunggu Lya balik , baru ummi makan. 

Lepas makan, ummi sambung duduk mengadap laptop ni, membaca apa yang patut. Menulis apa-apa yang tercerna di minda. Tapi sejak akhir-akhir ni, ummi lebih banyak menulis bukan yang tercerna diminda tapi tersirat di hati. Minda jadi lembab disebabkan oleh mengikut runtunan hati yang pilu dan sayu. Air mata sentiasa berada di penjuru mata, sedikit sahaja terusik perasaan, pasti meleleh bagaikan mutiara putus tali.

Tambahan kini, masa lebih banyak di rumah, kurang berkomunikasi dengan sesiapa, lebih melayan perasaan yang sayu. Hiba hati mengingatkan apa yang terjadi. Muhasabah diri , mencari salah dan silap kekurangan diri dalam menguruskan sesuatu. Menyingkap hikmah kepada takdir yang berlaku pada diri.

Berusaha bangun untuk membina kekuatan diri, hingga ummi pernah ditanya oleh seseorang, "ummi tak penatkan menangis hari-hari?" Mata sembab, hidung merah. Sampai Naimah yang kecik tu pun perasan dan selalu tanya, "kenapa opah nangis?" Tak terjawap ummi pertanyaan tu. Ntah la ya...

Memang begitulah kebanyakkan masa jika ummi sendirian, samaada di depan laptop atau di sejadah. Kalau berada di dua tempat ni, pasti ummi lebih banyak menangis sambil hati berbisik-bisik sayu.

Namun begitu, ummi berusaha menahan rasa sayu ini, bila di depan anak-anak dan zauj. Ummi tak mahu mereka tahu kenapa ummi menangis dan bersedih. Sukar untuk ummi terangkan nanti. Kalau hati betul betul sedih dan airmata nak keluar juga, cepat-cepat ummi berwuduk dan bersolat. Jadi kalau menangis ketika di sejadah, zauj tak akan tanya apa sebabnya. Itu saja cara ummi sembunyikan perasaan hati ummi dari diketahui oleh anak-anak dan zauj, orang yang berada di sekitar dan hampir dengan ummi.

Ummi tetap mengharap dan terus berdoa agar keluasan rahmat Allah akan dilimpahkan pada insan yang ummi sayangi. Ummi yakin dengan janji-janji Allah , merayulah penuh tulus,dengan penuh sendu, sayu dan hiba, pasti disampaikan apa yang ummi rayukan itu. Hanya cepat atau lambat permintaan itu disampaikan. Maka sabarlah ibu segala harapan dan impian. Ummi tak ada cara lain, selain berdoa dan bertawakkal, pasrah dengan apa jua takdir yang telah Allah tetapkan. Redha dengan perjalanan hidup ini. Berharap dan terus berharap moga limpahan kurnia Allah dianugerahkan kepada insan yang ummi sayangi.

Ummi ketepikan semua perasaan hati ummi sendiri, rasa merajuk,rasa tersinggung, sakit hati, rasa terkilan semata-mata tidak mahu ujud rasa benci. Ummi buang jauh-jauh semua perasaan mementing diri sendiri kerana jika ummi layan perasaan tu bermakna ummi mengutamakan hati ummi dari urusan mencintai Allah dan RasulNYA. Mengasihi mukmin lain adalah sesuatu yang Allah redha. Menjaga hubungan silaturahim adalah sunah Rasullulah. Demi Allah dan RasulNYA, maka ummi tolak semua kepentingan hati ummi,walaupun ummi dituduh macam-macam yang menyakitkan hati.

Sesungguhnya ummi mengasihi dia kerana aqeedah dan imannya, bukan kerana harta, pangkat, rupa dan keturunan. Cukup hanya Allah yang mengetahui isi hati ummi ini. Semoga ummi terus diberikan kekuatan dalam mentaati Allah dan RasulNYA. Buat renungan dan peringatan bersama kenapa wajib menjaga silaturahim yang telah terjalin...

Memutuskan Silaturahim

Hadis :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim" Riwayat al-Bukhari

Huraian

i) Silaturahim bermaksud menyambungkan tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan serta menjaga keutuhan persaudaraan yang telah terbina terhadap saudara, kerabat, teman dan sebagainya.

ii) Membina dan mengeratkan silaturahim adalah merupakan satu tugas dan tuntutan yang wajib di sisi Islam di mana Rasulullah s.a.w amat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya:" Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari."

iii) Mewujudkan silaturrahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang telah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan malah ia membawa erti yang lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa sahaja menerusi sifat saling membantu, bertolak ansur dan sebagainya.

iv) Biasanya punca permasalahan dan gejala keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan saling menjauhkan diri. Maka adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim yang lain mengajak saudaranya yang bertelagah itu ke jalan perdamaian sama ada dengan cara mendatangi, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.

v) Seseorang yang sedang berada dalam suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. Jangan bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan. Sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan bukanlah boleh diampunkan oleh Allah S.W.T.


Inilah sebabnya mengapa ummi menolak permintaan sesiapa sahaja jika dah merajuk dan minta untuk ummi jangan menghubungi dia . Tidak mungkin, jika hubungan sudah terjalin untuk ummi memutuskannya. Biar bagaimana keadaanya, ummi tetap hubungi dan cari. Cari dengan doa...

Satu peristiwa yang masih terpahat dalam memory, ummi terpisah dengan seorang anak angkat ummi kerana berlaku salah faham antara ummi dan keluarganya, menyebabkan dia terpaksa menjauhkan diri dari ummi. Di mana ummi nak cari jika dia bukan berada di Malaysia? Dengan doa dan harapan tidak putus-putus, 2 minggu selepas ummi balik dari Makkah ummi terjumpa dengan abangnya  yang telah convert. Minggu berikutnya abangnya datang bawa dia berjumpa ummi setelah hampir 2 tahun ummi kehilangan khabar berita dirinya. Syukur, aqeedahnya masih terpelihara walaupun dia tercampak di Kota Metropolitan yang penuh cabaran. Dia datang bertemu ummi masih berbaju kurung, walaupun tudungnya telah tiada. Semoga Allah yang memelihara aqeedah dan maruah dirinya...



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday 23 April 2010

Jangan Biarkan Masa Berlalu

Kadang-kala diri ini,
Terasa ingin melarikan diri,
Ke suatu tempat yang tiada penghuni,
Jauh daripada fitnah duniawi,
Hanya ingin bersendiri,
Tiada siapa di sisi,
Hanya Dia yang sentiasa di hati,
Rabb-ku yang dirindui.

Nak kemana bawa hati yang duka lara? Yang kecewa dan hampa? Walaupun kelemasan, kepada Allah jua tempat kembalinya permasalahan. Segalanya adalah takdir yang telah ditetapkan. Sebagai makhluk kita hanya mampu patuh, akur dan redha. Pasrah dengan perjalanan hidup yang telah Allah aturkan begini.

Hidup ini akan rasa sunyi, kosong bila dilalui dengan membiarkan masa berlalu dengan sia-sia. Mengabaikan sesuatu yang berharga berlalu begitu sahaja. Kita akan rasa bererti bila apa yang kita sayangi dihargai, dipeduli dan dikasihi. Tak kira apa pun perkara dan bendanya. Oleh itu jangan biarkan kekesalan menyeliputi diri suatu hari nanti.

Bila penyesalan tiba dan menghantui diri, makin sukar ketenangan dan kebahagiaan itu untuk diraih kembali. Ayuh ...jangan terlewat atau terlambat.

Hargai lah masa yang ada, masa yang kita miliki sekaranglah yang perlu digunakan dengan sebaik-baiknya. Penggunaan masa hari ini akan menentukan corak masa depan kita.


Penyalahangunaan masa bukan sahaja merugikan kita di dunia bahkan diakhirat. Di akhirat, apabila semua manusia dihadapkan di makamah Allah s.w.t., tiada seorangpun akan dibenarkan bergerak selagi tidak dikemukakan kepadanya lima persoalan berikut:

Sihat sebelum sakit,   Muda sebelum tua,   kaya sebelum miskin,  Lapang sebelum sempit, Hidup sebelum mati...


Demi masa…
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan…
Yang beriman dan beramal saleh


Demi masa…
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan…
Nasihat kepada kebenaran dan kesabaran

Gunakan kesempatan yang masih diberi
Moga kita takkan menyesal
Masa usia kita jangan disiakan
Kerana ia takkan kembali

Ingat lima perkara,
sebelum lima perkara
Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua,
kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum mati

Demi masa…
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan…
Yang beriman dan beramal saleh








Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta’ala menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:


  1. Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan oleh-Nya.


  2. Melaksanakan amal solih. Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang shalih di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibubapa, menghubungkan silaturahim, berbuat baik dengan jiran tetangga, menginfakkan harta, membuang duri dijalanan dan berbagai-bagai lagi amal solih yang dibuat mendatangkan redha Allah.


  3. Berpesan-pesan kepada kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.


  4. Berpesan-pesan kepada kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.

Sebenarnya apabila Allah s.w.t. mengaitkannya dengan masa, bererti masa merupakan faktor utama dalam menentukan sama ada keempat-empat tuntutan tersebut berjaya kita capai atau tidak. Dalam erti kata lain, sesiapa yang memiliki pengurusan masa yang efisyen akan mampu mencapai tuntutan-tuntutan tersebut sehingga akhirnya menjadi orang yang beruntung. Sebaliknya sesiapa yang tidak memiliki pengurusan masa yang efisyen, dia akan gagal sehingga akhirnya menjadi orang yang rugi.


Allah s.w.t. telah bersumpah dengan masa. Lantaran masa itu telah terlalu penting khususnya didalam membuat persediaan untuk menempuhi alam akhirat. Didalam hal ehwal keduniaanpun, penggunaan masa yang cekap akan mendatangkan hasil yang menguntungkan.

Oleh kerana masa tidak dapat ditukar-ganti atau pun diulangi gunakanlah masa dengan sebijak-bijaknya.





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Thursday 22 April 2010

Sekali Ku Melangkah...

Sekali ku melangkah,
pantang undur menyerah kalah,
biar lebur terkena panah,
Hati ku cair tidak mengalah.


Teguh benarkan hati ini sehingga begitu menjadi prinsip diri? Kuat sangatkah hati hingga mahu membakar diri? Tapi kan bagus menjadi lilin, membakar diri buat memberikan suluh kepada manusia lain. Sesuatu amal jariah yang jika mati mendatang manafaat juga. Walaupun hanya sebentar cahaya itu bersinar, sekiranya cahaya yang dimanafaatkan oleh pengguna untuk membaca al-quran di malam hari sudah memadai menjadi bekal di sana nanti.

Semoga aku diberikan kekuatan  dan mendapat peluang itu.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday 21 April 2010

Berikan aku kekuatan...


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Maha suci Engkau Ya Allah, aku ini lemah dan tidak berdaya, tidak berdaya menahan air mata dari berhenti mengalir membasahi pipi tidak kira ketika bertemu dengan MU di dalam solat atau diluar solat kerana hanya Engkau tempat ku merayu dan mengadu. Terlalu lemah diri ini , Ya Allah.

Berilah aku kekuatan, kerana kasih sayang ini adalah anugerah MU juga buat diriku yang lemah. Tidak berhak untuk aku bertanya kenapa rasa ini yang KAU curahkan di hatiku yang lemah. Sesungguhnya ENGKAU yang Maha Mengetahui kenapa kasih sayang itu diletakkan di hatiku, menjadikan aku sendiri rasa resah dan gundah. Semoga apa yang aku rasa, turut dirasakan oleh insan yang dikurniakan rasa itu. Aku ingin menjadikan airmataku sebagai airmata kerinduan dan airmata taubat yang bisa memadamkan api neraka. Aku pohon, kesabaran ku dalam bersedih menjadi ibadah buat ku dan airmata ini menjadi saksi bahawa aku menangis adalah kerana kasih saudara seagama kerana MU Ya Allah. Jika bukan kerana aqeedah dan imannya, tidak akan aku buang masa sia-sia merayu dan mengadu kepada MU Ya Allah.

Berikan aku kekuatan Ya Allah...

"Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan, Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki.”




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday 20 April 2010

Lapangkan dadaku...


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaktian sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca al-kitab? Maka tidakkah kamu berfikir?” (Surah Al-Baqarah : ayat 44)

Tak ada apa yang ingin ummi tulis entri malam ini kerana dah 4 hari ummi tak menulis. Dalam keadaan sakit, lemah dan lelah ummi lebih kan kepada mendiamkan diri. Minda tak mampu untuk berfikir  jauh kerana lemahnya hati dengan runtunan jiwa.

Hanya ummi lumatkan hati ummi beberapa petikan ayat quran, yang ummi tidak bijak menghuraikan. Bukan ayat quran sekadar hiasan ...

Kalam Allah itu sudah sempurna, indah dan dan wajib dibaca dan ditaati. Ummi takut tergolong di dalam kumpulan manusia yang lalai dan leka dan mempermainkan Kalam Allah.

“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan? Amat besar kebencian Allah apabila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan” Surah As-Soff : 2-3)

Orang-orang yang benar-benar rugi menurut neraca Islam di hari Akhirat ialah orang-orang yang rugi dan tidak dapat menyelamat dirinya dari seksaan sekalipun mereka dapat merangkul dunia seluruhnya. Sebaliknya orang-orang yang beruntung mengikut neraca Islam ialah orang-orang yang dapat menyelamatkan dirinya dari seksaan Allah di Hari Akhirat kelak walaupun ia selalu merasa lelah dengan berbagai-bagai ujian.

Sekiranya berlaku sesuatu yang tergolong dalam ‘amal maksiat (dan sudah tentu akan berlaku) mereka hendaklah bersegera memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah swt sebagai menyahut seruan Allah swt yang terkandung di dalam firmanNya:


“Dan berlumba-lumbalah kamu kepada keampunan dari Tuhan kalian dan berlumba-lumbalah mencari syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orng yang bertaqwa” (Surah Ali Imran : ayat 133)

Kecenderungan bertaubat menyerah diri kepada Allah dan memohon keampunan daripadanya adalah sifat utama yang dimiliki oleh orang-orang yang beriman. Firman Allah swt:


“Orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri lantas mereka ingat akan Allah lalu memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka dan siapakah pula yang berkuasa mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedangkan mereka mengetahui” (Surah Ali Imran: ayat 135)


Sehubungan dengan itu para ulama’ berpendapat bahawa bertaubat dari setiap dosa adalah wajib. Sekiranya maksiat dan dosa itu ialah di antara manusia denagn Allah SWT maka taubat memerlukan tiga syarat, manakala dosa terhadap manusia memerlukan empat syarat iaitu:-

i. Meninggalkan dosa-dosa itu dan tidak lagi mengerjakannya.
ii. Menyesali terhadap perbuatan dosa yang telah berlalu.
iii. Berazam tidak akan kembali melakukannya selama-lamanya.
iv. Memohon kerelaan dari orang-orang yang ia pernah zalimi / atau memulangkan hak yang pernah diambilnya. (sekiranya ia bersalah kepada manusia)

 Dan akhir entri ummi kali ini, jadilah kita orang yang suka beribadah. Ruang lingkup ibadah itu amat luas. Bukan semata-mata ibadah khusus sahaja. Membuang duri dijalanan juga adalah dikira beribadah. Apatah lagi kita sebenarnya mudah untuk melakukan ibadah kerana peluang dan ruang itu sentiasa terbuka, hanya kita mahu merebut atau tidak.

Meluangkan masa mendengar masalah seseorang, memberikan senyuman, membuang tisu-tisu yang bersepah di surau-surau juga merupakan ibadah , melayan tetamu dan banyak lagi ibadah-ibadah boleh dan mampu kita lakukan.Terlalu mudah ! Seperti mana jika dosa kecil dihimpun akan menjadi timbunan dosa-dosa seperti bukit, begitu juga ibadah -ibadah kecil yang dilakukan dengan konsisten diiringi ikhlas, maka akan menjadi gunung juga...

Sewajibnya kita beribadah kepada Allah dalam setiap gerak-geri dan tindak tanduk, begitu juga dengan perkataan dan perbuatan  supaya dengan itu kita dapat memenuhi tujuan utama hidup sebagaimana Firman Allah swt:

“Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu” ( surah Az-Zariyat : ayat 56)

Apabila Allah telah menjadi matlamat kita, sasaran ibadah kita, arah dan matlamat hidup kita maka kita akan berpegang teguh dengan segala perintahNya dalam setiap urusan hidup. Dengan tindak tanduk seperti ini memenuhi dan mengisi pengertian untuk menjadikan kehidupan seluruhnya tergolong dalam ibadah kepada Allah Azzawajalla, sesuai dengan pengakuan:

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam” (Surah Al An’am: ayat 162)


Impianku menjadi isteri solehah
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday 16 April 2010

Bertaubatlah sebelum terlambat


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sabda nabi s.a.w


"يا أيها الناس، توبوا إلى الله، فإني أتوب في اليوم إليه مائة مرة

Maksudnya
“Wahai manusia ! bertaubatlah kepada Allah s.w.t, sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah 100 kali sehari”. (riwayat Muslim)


Maka taubat adalah wajib bagi setiap muslim.

Firman Allah s.w.t : an-Nur :31
"dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Wahai orang-orang Yang beriman, supaya kamu berjaya”.

Firman Allah s.w.t : at-Tahrim :8
“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,”.

Semua manusia tidak lepas dari melakukan kesalahan dan tidak boleh merasakan dirinya selamat daripada melakukan dosa kepada Allah s.w.t.

Sabda nabi s.a.w

"كل بني آدم خطاء"

Maksudnya;
“ setiap anak Adam melakukan kesalahan”. (riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majjah)

Walaubagaimanapun tidak ada masalah kalau manusia melakukan kesalahan, sebab memang manusia tidak lepas dari melakukan kesalahan, tapi yang jadi masalah kalau manusia berterusan melakukan kesalahan.

Firman Allah s.w.t : ali-Imran :135
“dan juga orang-orang Yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada Yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji Yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.

Sesungguhnya Adam a.s. melakukan kesalahan dan lalai tetapi segera bertaubat kepada Allah s.w.t, sebagaimana doa nabi Adam dirakamkan dalam al-Quran dalam surah al-A’raf :23

“mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang Yang rugi".

Dan al-Baqarah :37
“kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat Yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; Sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

Manusia melakukan kesalahan dan tergelincir ke lembah maksiat tapi dia mampu membersihkan diri dengan taubat. Taubat adalah penghapus dosa yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia untuk membasuh dan menyucikan dosa dan maksiat.

Firman Allah s.w.t :al-Baqarah :222
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang sentiasa mensucikan diri”.

Sabda nabi s.a.w

"التائب من الذنب كمن لا ذنب له"

Maksudnya;
“ Orang yang sentiasa bertaubat, seolah-olah tidak ada dosa baginya”.
(riwayat Ibnu Majjah, at-Tobrani dan al-Baihaqi)


Tapi apa makna taubat?

Taubat bukan sekadar ucapan lidah, sebagaimana yang sering kita sebut “Aku kembali bertaubat kepada Allah, aku kembali kepada Allah dan aku menyesal dengan apa yang aku lakukan”. Ini tidak dinamakan taubat.


Taubat yang sebenarnya merangkumi beberapa perkara;


1) Menyesal kerana melakukan dosa
Rasa bersalah dengan dosa yang telah dilakukan, rasa bumi ini sempit, rasa tidak ada jalan keluar lagi kecuali kembali kepada Allah s.w.t.


2) Berazam tidak akan melakukan dosa itu lagi
Berazam dengan ikhlas untuk memperbaiki diri dan tidak akan mengulangi kesalahan yang sama lagi,berazam untuk melakukan ketaatan kepada Allah dan tidak akan melakukan maksiat dan tidak akan kembali melakukannya sebagaimana susu tidak kembali lagi ke tempat keluarnya.


3) Melakukan amal soleh
Dengan cara menggantikan perbuatan buruk dengan perbuatan yang baik, kata-kata dusta kepada benar, suasana yang buruk kepada suasana yang baik dan sebagainya. Inilah yang perlu dilakukan kerana al-Quran mensyaratkan selepas taubat ialah iman dan amal soleh.

Firman Allah s.w.t:Maryam :60
“kecuali orang-orang Yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun”.

Allah mengiringkan taubat dengan iman, kerana maksiat lebih- lebih lagi dosa besar boleh menghalau iman keluar dari hati.

Sabda nabi s.aw

لا يزنى الزاني حين يزني وهو مؤمن، ولا يشرب الخمر حين يشربها وهو مؤمن، ولا يسرق السارق حين يسرق وهو مؤمن

Maksudnya;
“ tidak akan berzina seseorang itu kalau dia ada iman, tidak akan minum arak seseorang itu kalau dia ada iman dan tidak akan mencuri seseorang itu kalau dia ada iman”.

Maksiat zina, minum arak dan mencuri menghalau iman keluar dari hati seorang manusia. Oleh itu mesti memperbaharui iman dengan taubat dan melakukan amalan soleh, inilah resepi taubat.


Penghalang taubat

Apakah yang menghalang manusia bertaubat? Apakah yang melambatkan manusia bertaubat, perkara ini perlu diberi perhatian oleh seorang muslim supaya taubatnya tidak terhalang dan dilambatkan.


Antara penghalang taubat ialah


1) Panjang angan-angan

Manusia merasakan dirinya masih muda dan masih kuat dan menyangka umurnya masih panjang maka dia menunggu umur pencen untuk bertaubat.


2) Meremehkan maksiat

Meremehkan maksiat, menganggap dosa itu kecil, menyangka itu perkara biasa sahaja, semua ini tidak perlu ada pada seorang mukmin.

Sabda nabi s.a.w;
"المؤمن يري ذنبه كالجبل، يخاف أن يقع عليه، والمنافق يري ذنبه كذباب وقع على أنفه فقال هكذا وهكذا

Maksudnya;
“ Seorang mukmin melihat dosa itu seperti gunung yang akan menghempapnya, seorang munafik melihat dosa hanya seperti seekor lalat yang bermain-main di hidungnya dan menghalaunya begitu sahaja. (riwayat Bukhari, Ahmad dan at-Tirmizi)

Satu kisah untuk renungan, “Seorang hamba Allah yang soleh sakit tenat, sahabatnya datang menziarahinya dan orang soleh ini menangis, sahabatnya bertanya; “kenapa kamu menangis? Sedangkan kamu tak pernah melakukan dosa besar dan tak pernah meninggalkan suruhan Allah? Maka jawab hamba soleh ini, “ aku menangis bukan kerana itu, tapi aku menangis kerana aku takut kalau aku melakukan dosa dan aku menyangka ia kecil sahaja tapi sebenarnya di sisi Allah adalah besar”.

Kata ulama salaf
“ janganlah kamu melihat kepada kecilnya maksiat yang dilakukan, tapi lihatlah kepada besarnya zat yang kamu melakukan maksiat kepadanya”. Yakni Allah s.w.t.


3) Bertawakkal kepada pengampunan Allah

Manusia yang melakukan dosa kemudian bertawakkal kepada pengampunan Allah, seperti katanya; “tak apalah lakukan dosa, Allah kan maha pengampun dan penyayang,rahmat Allah kan luas?” dan macam-macam lagi. Ingat jangan kita tertipu dengan syaitan, jangan kita hanya melihat kepada keampunan Allah semata-mata, tapi lihat juga kepada azab Allah yang sangat pedih, memang rahmat Allah itu luas, tapi untuk siapa?untuk orang yang bertaqwa, untuk orang yang melakukan kebaikan.

Firman Allah s.w.t: al-A’raf :156
"Dan Tetapkanlah untuk Kami kebaikan Dalam dunia ini dan juga di akhirat, Sesungguhnya Kami kembali (bertaubat) kepadamu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa Yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang Yang bertaqwa, dan Yang memberi zakat, serta orang-orang Yang beriman kepada ayat-ayat kami.

Firman Allah s.w.t: al-A’raf :56
“dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan Segala Yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadanya Dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga Dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang Yang memperbaiki amalannya”.


Akhir sekali orang mukmin perlu berada antara harap rahmat Allah dan takut azab Allah.

Firman Allah s.w.t:az-Zumar :9
“Engkaukah Yang lebih baik) atau orang Yang taat mengerjakan Ibadat pada waktu malam Dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?

Firman Allah s.w.t: al-Isra’ :57
“orang-orang Yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang Yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan azabNya; Sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara Yang semestinya) ditakuti”.

Marilah sama-sama kita menyegerakan taubat dan memperbaiki kesalahan kita, dan mudah-mudahan Allah s.w.t menerima taubat kita sebagai taubat yang nasuha.

Peringatan buat diriku yang selalu lalai dan alpa. Aku tidak pandai, entri ini hanya untuk peringatan diri sendiri sahaja.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.


Thursday 15 April 2010

Berdoa sebagai satu Ibadah




بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Firman Allah di dalam surah Fatir ayat 15 yang membawa maksud, “Wahai manusia, kamulah yang fakir (memerlukan Allah), dan Allah Dialah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) Maha Terpuji.” Memang benarlah kata-kata Allah yang Maha Esa; manusia adalah makhluk yang fakir dan sentiasa memerlukan bantuan. Lihatlah pada diri kita sendiri, dengan adanya nikmat pancaindera yang Allah kurniakan inilah kita mampu melihat, menghidu, mendengar dan sebagainya. Oleh yang demikian, sedarlah bahawa setinggi mana kedudukan dan darjat seseorang manusia itu, ia adalah fakir. Dengan hakikat ini layakkah kita untuk bermegah-megah hidup di atas muka bumi Allah?

“senjata yang paling kuat adalah dengan DOA”

Namun begitu Allah tidak pernah putus-putus memberi nikmat dah rahmatNya kepada makhluk. Bukan begitu sahaja, malahan Allah sudi mendengar dan mengkabulkan permintaan hamba-hambaNya. Ayatullah dalam surah Al- Baqarah ayat 186 bermaksud “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu mematuhi (perintah)Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran.”

“kita hendaklah meletakkan keyakinan yang tinggi 
bahawa Allah akan memakbulkan doa kita”

Terbuktilah kepada kita bahawa senjata yang paling kuat adalah dengan DOA. Apa sahaja hajat yang kita inginkan akan dikabulkan oleh Allah, sekiranya kita memohonnya dengan sepenuh hati. Ada pula yang mengatakan “Mengapa Allah tidak mengabulkan apa yang aku minta sedangkan doaku tidak putus-putus.” Di sini kita harus sedar bahawa doa ini juga mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu:

1) yakin

2) khusyuk

3) tidak tergesa-gesa

4) hendaklah kita seorang yang memelihara dirinya daripada perkara yang haram.

Yakin di sini bererti kita hendaklah meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa Allah akan memakbulkan doa kita. Di samping itu kita haruslah khusyuk dalam berdoa, yakni meminta dan merayu dengan sepenuh harapan. Janganlah sesekali kita menghendaki Allah menunaikan permintaan kita dengan cepat, kerana dengan adanya sikap sebegini akan menyebabkan kita mudah berputus asa untuk terus berdoa kepada Allah. Antara syarat yang utama ialah kita mesti mengelak daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang haram. Tiada gunanya kita meminta dengan khuysuk, namun kita masih diselubungi perkara-perkara yang haram. Wana’uzubillah.

Rasulullah pernah bersabda bahawa “Doa adalah ibadah.“ Maka tidak rugi kita melazimi diri kita untuk sentiasa berdoa, kerana padanya ada ganjaran pahala. Bahkan kita yang mendapat kelebihan dengan berdoa. Maka pembaca sekalian, marilah kita memenuhkan rutin kehidupan kita seharian dengan memohon kepada Allah, dari sekecil-kecil pemintaan sehinggalah sebesar-besar perkara.

“Ya Allah, berilah aku petunjuk seperti orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk. Berilah aku kesehatan seperti orang yang telah Engkau beri kesehatan. Pimpinlah aku bersama-sama orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berilah berkah pada segala apa yang telah Engkau pimpin. Berilah berkah pda segala apa yang telah Engkau berikan kepadaku. Dan peliharalah aku dari kejahatan yang Engkau pastikan. Karena, sesungguhnya Engkaulah yang menentukan dan tidak ada yang menghukum (menentukan) atas Engkau. Sesungguhnya tidaklah akan hina orang-orang yang telah Engaku beri kekuasaan. Dan tidaklah akan mulia orang yang Engkau musuhi. Maha berkahlah Engkau dan Maha Luhurlah Engkau. Segala puji bagi-Mu atas yang telah engkau pastikan. Aku mohon ampun dan kembalilah (taubat) kepada Engkau. Semoga Allah memberi rahmat, berkah dan salam atas nabi Muhammad beserta seluruh keluarganya dan sahabatnya.”


Wallahua’lam.

Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday 14 April 2010

Kewajipan Seorang Muslim Terhadap Saudaranya



Kasih sayang dan persaudaraan ibarat tautan hati ini.

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Semoga kita semua didalam Rahmat Allah dan kasih sayangNya.


Islam merupakan agama yang menuntut persaudaraan. Islam menuntut seseorang muslim supaya bergaul dengan saudara seIslamnya dengan cara yang mampu menjinakkan dan menyatukan hati-hati. Allah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Kerana itu, damaikanlah antara kedua saudaramu.” (al-Hujurat: 10)

Islam melarang umatnya daripada melakukan sesuatu yang menimbulkan perselisihan dan meliarkan hati. Antara faktor utama yang meliar dan menimbulkan perselisihan hati ialah empat perkara iaitu berlaku zalim, meninggalkan teman (tidak menolong), berbohong dan menghina. Seorang mukmin adalah saudara kepada mukmin yang lain. Dia tidak menzalimi saudaranya, tidak membohonginya, dan tidak menghinanya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

Iman seseorang muslim tidak akan sempurna sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Seorang muslim mesti berusaha menghalang sebarang perkara yang boleh menyakiti saudaranya dan mencegah sebarang perkara yang memudaratkannya. Tidak ada perkara yang lebih besar kesakitan dan mudaratnya yang wajib dihindarkan daripada empat perkara yang telah disebutkan di atas.

Haram Menzalimi Saudaranya.

Seseorang Muslim tidak boleh mendatangkan kemudaratan terhadap diri, agama, maruah, dan harta saudaranya. Ini kerana perkara tersebut merupakan suatu kezaliman yang dapat memutuskan hubungan serta membatalkan ukhuwwah Islamiah. Hadis daripada Abu Zar:“Wahai hambaKu! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman terhadap diriKu dan Aku jadikannya haram di kalangan kamu, maka janganlah kamu melakukan kezaliman.”

Haram Membiarkan Saudaranya Tanpa Menghulurkan Pertolongan.

Membiarkan seseorang muslim tanpa pertolongan adalah diharamkan terutamanya ketika perlu dan terdesak.  Allah berfirman: Jika mereka meminta kepada kamu dalam (urusan) pembelaan agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan.” (al-Anfaal: 72)Abu Daud meriwayatkan hadis: Tidak ada seseorang muslim yang membiarkan saudara muslimnya ketika harga dirinya dicerobohi dan kehormatannya dicela melainkan Allah akan membiarkannya (tidak menolongnya) ketika dia memerlukan pertolongan.

Imam Ahmad meriwayatkan: Sesiapa yang berada di sisi orang mukmin yang dihina dan dia tidak menolongnya sedangkan dia mampu untuk menolongnya, Allah akan menghinanya di hadapan semua makhluk pada hari kiamat nanti.

Haram Berbohong Antara hak muslim ke atas saudaranya ialah berkata benar ketika berbicara dengannya dan membenarkannya apabila mendengar percakapannya.


Di antara perkara yang mencacatkan konsep
amanah dalam Islam ialah dia memberitahu perkara yang bercanggah dengan realiti sebenar atau berbicara kepadanya dengan sesuatu yang bersalahan dengan kebenaran terutamanya apabila orang yang diberitahunya mempercayai cakapnya. Dalam Musnad Imam Ahmad daripada Nawwas bin Sam’an , daripada Rasulullah: Amat besarlah pengkhianatan apabila kamu berbicara dengan saudaramu, dia mempercayai kata-katamu tetapi kamu berbohong dengannya.

Berbohong bukan tujuan menjinakkan hati dan menjaga harta atau jiwa adalah penipuan dan pengkhianatan. Diriwayatkan oleh Tirmizi daripada Rasulullah: Apabila seseorang hamba berdusta dengan satu pendustaan, maka malaikat akan melarikan diri daripadanya sejauh sebatu lantaran bau busuk pendustaannya itu.

Haram Menghinanya .

Haram bagi seseorang muslim memperkecilkan dan menghina saudaranya kerana ketika Allah menciptanya, Dia tidak menghinanya bahkan memuliakannya, mengangkat kedudukannya dan memberi tanggungjawab kepadanya. Oleh itu, menghinanya adalah suatu pelampauan kepada batas-batas rububiyah dan ini merupakan satu dosa yang besar. Rasulullah bersabda “Seseorang itu sudah dianggap melakukan kejahatan apabila dia menghina saudara seIslamnya.”


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday 13 April 2010

Hebatnya ALlah : Kisah Sang Lebah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Ada satu ibarat : Jadilah seperti lebah, hinggap di pohon tidak merosakkan rantingnya malah meninggalkan madu menjadi ubat yang manis rasanya. Si comel ini hidup berpindah randah dalam satu koloni dan mempunyai semangat kerjasama antara satu dengan yang lain.



Sememangnya ALlah sudah memerintahkan lebah untuk hidup di kawasan habitatnya yang tersendiri sebagaimana yang disebutkan dalam Surah an Nahl (Lebah) yang bererti :

"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah :"Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-gunung dan pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai) serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhan mu yang diilhamkan dan dimudahkanNya kepadamu. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan ALLah) bagi orang-orang yang mahu berfikir" (Surah an Nahl : Ayat 68-69)




Jasa lebah kepada manusia

Peranan besarnya antaranya adalah sebagai penghisap madu bunga yang memberikan penawar kepada pelbagai penyakit dan yang lebih penting dari itu adalah sebagai agen pendebungaan tanaman.

Tahukah anda ?, kehilangan lebah akan menyebabkan kita kehilangan sumber madu dan juga boleh menyebabkan manusia menghadapi krisis makanan. Kerana jika tiada proses pendebungaan maka tumbuh-tumbuhan tidak dapat mengeluarkan buah dan juga hasilnya. Terdapat 40,000 spesis lebah yang dikenal pasti sebagai agen pendebungaan yang berjaya dan hampir 60 peratus tanaman buah-buahan dan sayuran bergantung kepada agen pendebungaan ini.




Hebatnya Kuasa ALLah

ALlah menjadikan lebah untuk menghasilkan madu 454 gram yang memerlukan sang lebah ini terbang sejauh 880,000 kilometer dan menghisap madu hampir 2 juta pelbagai bunga.

Kematian lebah yang menjadi misteri kepada para saintis boleh menimbulkan kesan besar kepada krisis makanan dan harga makanan. Inilah antara hikmah yang besar kepada manusia dari penciptaan lebah. Semoga kita selalu bersyukur dan jauh dari kekufuran.


Kehebatan Sang LebahLebah madu membuat tempat penyimpanan madu dengan bentuk heksagonal. Sebuah bentuk penyimpanan yang paling efektif dibandingkan dengan bentuk geometris lain.

Lebah menggunakan bentuk yang memungkinkan mereka menyimpan madu dalam jumlah maksimal dengan menggunakan material yang paling sedikit. Para ahli matematika merasa kagum ketika mengetahui perhitungan lebah yang sangat cermat. Aspek lain yang mengagumkan adalah cara komunikasi antar lebah yang sulit untuk dipercaya. Setelah menemukan sumber makanan, lebah pemadu yang bertugas mencari bunga untuk pembuatan madu terbang lurus ke sarangnya.

Ia memberitahukan kepada lebah-lebah yang lain arah sudut dan jarak sumber makanan dari sarang dengan sebuah tarian khusus. Setelah memperhatikan dengan seksama isyarat gerak dalam tarian tersebut, akhirnya lebah-lebah yang lainnya mengetahui posisi sumber makanan tersebut dan mampu menemukannya tanpa kesulitan.


Lebah menggunakan cara yang sangat menarik ketika membangun sarang. Mereka memulai membangun sel-sel tempat penyimpanan madu dari sudut-sudut yang berbeda, seterusnya hingga pada akhirnya mereka bertemu di tengah.

Setelah pekerjaan selesai, tidak nampak adanya ketidakserasian ataupun tambal sulam pada sel-sel tersebut. Manusia tak mampu membuat perancangan yang sempurna ini tanpa perhitungan geometris yang rumit; akan tetapi lebah melakukannya dengan sangat mudah. Fenomena ini membuktikan bahwa lebah diberi petunjuk melalui “ilham” dari Allah swt sebagaimana firman Allah dalam surat An-Nahl ayat 68 di atas.

Sejak jutaan tahun yang lalu lebah telah menghasilkan madu sepuluh kali lebih banyak dari yang mereka perlukan. Satu-satunya alasan mengapa binatang yang melakukan segala perhitungan secara terinci ini memproduksi madu secara berlebihan adalah agar manusia dapat memperoleh manfaat dari madu yang mengandung “ubat bagi manusia” tersebut.




Manafaat MaduTahukah anda tentang manfaat madu sebagai salah satu sumber makanan yang Allah sediakan untuk manusia melalui serangga yang mungil ini?

Madu tersusun atas beberapa molekul gula seperti glukosa dan fruktosa serta sejumlah mineral seperti magnesium, kalium, potasium, sodium, klorin, sulfur, besi dan fosfat. Madu juga mengandung vitamin B1, B2, C, B6 dan B3 yang komposisinya berubah-ubah sesuai dengan kualitas madu bunga dan serbuk sari yang dikonsumsi lebah. Di samping itu di dalam madu terdapat pula tembaga, sodium dan zink dalam jumlah yang kecil, juga beberapa jenis hormon.

Sebagaimana firman Allah, madu adalah “ubat yang menyembuhkan bagi manusia”. Fakta ilmiah ini telah dibenarkan oleh para ilmuwan yang bertemu pada Konferensi Apikultur Sedunia (World Apiculture Conference) yang diselenggarakan pada tarikh 20-26 September 1993 di China.

Dalam konferensi tersebut dibincangkan perubatan dengan menggunakan ramuan yang berasal dari madu. Para ilmuwan Amerika mengatakan bahawa madu, royal jelly, serbuk sari dan propolis (getah lebah) dapat mengubati berbagai penyakit.

Seorang doktor berasal dari Rumania mengatakan bahawa ia mencuba menggunakan madu untuk mengubati pesakit mata katarak, dan 2002 dari 2009 pesakitnya sembuh sama sekali. Para doktor dari Poland juga mengatakan dalam konferensi tersebut bahwa getah lebah (bee resin) dapat membantu menyembuhkan banyak penyakit seperti bawasir, penyakit kulit, penyakit ginekologis dan berbagai penyakit lainnya.

Lebah Madu merupakan serangga yang penting dalam proses pendebungaan pokok. Ia amat berfaedah pada keseluruhan masa hidupnya dan dalam masa satu hari, ia akan melawati bunga-bunga dan menyebarkan debunga dengan banyaknya. Begitu hebatnya ciptaan Allah menjadikan makhluk kecil ini sentiasa berbakti kepada makahluk lain. Bagaimana kita yang memang sedia diberikan akal dan fikiran untuk berbakti kepada makhluk lain?

Manusia adalah sebaik-baik kejadian, sehinggakan Allah memerintahkan malaikat dan jin agar hormat kepada manusia.Firman Allah dalam surah Al-Baqarah , ayat 34

"Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. "

Namun apa yang berlaku hari ini? Semasa Allah mahu menjadikan manusia sebagai khalifah dibumi, malaikat menyatakan...Firman Allah lagi dalam surah Al-Baqarah 30 hingga 33,

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (30)

Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. (31)

Malaikat itu menjawab: Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (32)

Allah berfirman: Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?. (33)

Jelas nyata, bagaimana tingginya darjat manusia, tetapi kenapa bila telah diciptakan kita dengan darjat yang tinggi , kita sendiri yang menurunkan darjat lebih rendah dari syaitan. Kenapa kita tidak mahu jadi lebih baik dari lebah?

Berfikirlah anak-anak ku dengan ilmu, ummi cuma mampu menulis sekadar memberikan peringatan. Peluang untuk menuntut ilmu itu luas , maka tuntutlah demi menjadikan dunia sebagai jalan menuju ke akhirat, tempat kita yang kekal abadi.

Ketahui anak-anak ummi, ummi sayang kepada kalian dan sentiasa berharap kita dapat berkumpul di bawah naungan panji Nabi Muhammad SAW di akhirat nanti didalam rahmat dan kasih sayang Allah. Mak juga amat sayang anak mak, mak mahu kita bersama-sama berada di bawah panji Nabi Muhammad SAW didalam redha dan rahmat Allah.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday 12 April 2010

Syarat Mendapat Pertolongan Allah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Sering kali kita dihadapkan pada suatu masalah. Kita telah berusaha semaksima mungkin namun masalah yang kita hadapi tidak kunjung juga terselesaikan. Ada)rasa lelah, gundah, gelisah, dan lain–lain. Dan berharap–harap datangnya pertolongan dari Allah-Rabb semesta alam Yang bersemayam di atas Arhsy. Bagaimana caranya agar turun pertolongan Allah ?






(Muhammad : 7) “Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”




(Al Hajj : 40)  “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha)Kuat lagi Maha Perkasa”.


  Di ayat ini dijelaskan bahwa syarat mendapatkan pertolongan Allah adalah dengan cara menolong Agama Allah.




Bagaimana caranya menolong (Agama) Allah? ”Maka inilah bentuk pertolongan kepada Allah dengan melakukan perintah–perintah Nya dan meninggalkan larangan–larangan Nya dengan keimanan dan keikhlasan kepada Allah serta mentauhidkan-Nya, juga keimanan kepada Rasul-Nya.... Maka menolong agama Allah adalah dengan mentaati Allah, mengagungkan-Nya dan ikhlas kepada-Nya, serta mengharapkan apa-apa yang ada di sisi-Nya, mengamalkan syariat-Nya karena menginginkan pahala darinya dan untuk menegakkan agama-Nya.”

Selain itu,kita juga perlu bersabar diketika ujian, dugaan dan masalah melanda hidup kita. Bagaimana untuk kita mendapat sabar dan menerima ujian dengan sabar?

Di dalam Al Quran, Tuhan berfirman: Maksudnya:



(Al Baqarah : 153) “Hai orang-orang yang beriman,jadikanlah sabar dan solat sebagai penolonemu, seseungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Ertinya oleh kerana  untuk mendapat sabar itu sangat susah dan berat, para hamba diperintahkan supaya meminta pertolongan Tuhan untuk bersabar.

Mintalah pertolongan Tuhan agar lahir dan batin kita didalam sembahyang dipimpin dan diberi kekuatan oleh Tuhan. Mintalah pertolongan Tuhan untuk dapat kita memiliki sifat sabar.

Disamping itu kita juga selalu mohon ampun kepada Allah atas segala salah silap yang kita sedari atau tidak sedari selama menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini. Lafaz istighfar yang terdapat di dalam kitab Sahih Bukhari:

Rasullullah telah bersabda: Penghulu segala “istighfar” adalah dengan berkata;

اَللّهُمَّ اَنْتَ رَبِّىْ لَاْ اِلَهَ اِلَّا اَنْتَ خَلَقْتَنِىْ وَأَنَاْ عَبْدُ كَ وَأنَا عَلَىْ عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَاْ اسْتَطَعْتُ؛ أَعُوْذْبِكَ مِنْ شَرِّ مَاْ صَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ وَأَبُوْءُ بِذَنْبِىْ، فَاغْفِرْلِىْ فَاِنَّهُ لَاْ يَغْفِرُ الذُنُوْبَ اِلّا اَنْتَ.

Ya Allah, engkau adalah tuhanku, tidak ada tuhan selain MU. Engkau yang menciptakanku dan aku adalah hambaMU. Dan aku berada dalam perjanjian denganMU yang akan kulaksanakan dengan segala kemampuanku, dan aku berlindung padaMU dari segala kejahatan yang telah aku lakukan, aku mengakui dengan sebenar-benarnya nikmatMU kepadaku, dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku kerana tiada yang boleh mengampuni dosa-dosa melainkanMU..

Sabda Rasulullah: sesiapa yang membacanya pada waktu siang dengan penuh keyakinan kemudian dia mati sebelum malam maka dia tergolong daripada ahli syurga. Sesiapa yang membacanya pada waktu malam dengan penuh keyakinan kemudian dia mati sebelum siang maka dia tergolong daripada ahli syurga.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbaq r.a bahawasanya Rasullullah s.a.w besabda:
Mafhumnya: sesiapa yang melazimi istighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya setiap kesempitan ada jalan mengatasinya,  dan setiap kesedihan ada kegembiraan, dan Allah akan kurniakannya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.

Sabda Rasulullah lagi: Allah swt berfirman,(mafhumnya) wahai manusia, walau dosamu sebanyak awan sekalipun kemudian kamu memohon keampunan kepadaKU (istighfar) nescaya akan aku mengampunimu...

Dengan itu jika kita mahu selalu mendapat pertolongan)Allah dalam apa jua urusan hidup kita, selain kita berusaha, berdoa, bertawakkal kita juga perlu memastikan apakah jalan atau laluan menuju keredhaan Allah itu berada di landasan atau jalan yang benar. Bagaimana kita mahu menuju kepada Allah , memohon pertolongan Allah tapi jalan kita salah. (contohnya, mahu berbuat kebaikan seperti bersedekah membantu anak yatim, wang nya diperolehi melalui judi, atau merompak.)

Berdasarkan firman Allah dalam ayat 2 surah al-Maidah yang bermaksud; Hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam kebajikan dan jangan bertolong-tolongan dalam perkara maksiat dan kejahatan, adakah kita akan menerima 'saham' dosa jika apa yang kita lakukan itu boleh mendorong orang melakukan kejahatan? Semestinya jawapan adalah Ya!



Maka jadilah kita "bila orang memandang kita, akan mendorong dia mengingati Allah".

Banyakkanlah berdoa kpd Allah: Ya ALLAH jadikanlah aku dan zuriatku orang2 yang mendirikan solat...berdoalah dengan penuh harapan dan keyakinan kpd ALLAH kerana ALLAH tidak akan menyalahi janjinya...

Mafhum dari firman ALLAH: "berdoalah kepadaKU, nescaya akan aku kabulkan".
Bila, bagaimana, dan di mana itu terletak pada ilmu Allah swt..kita sebagai hambanya teruskanlah berdoa...amin.

Entri peringatan buat diri sendiri, agar terus kuat, tabah dan sabar bila hati diuji dengan kasih sayang yang selalu membuah rasa rindu dihati.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Sunday 11 April 2010

Hargai nilai ibu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kepada sesiapa yang punya mak, hargailah. 

Mak ummi telah 4 tahun kembali ke rahmatullah. Namun rasanya macam semalam saja perginya. Kasih sayangnya masih segar dalam ingatan. Sentuhan tangannya, belaian dipipi terasa masih panas. Masih terbayang lagi senyumannya. Mungkin juga rasa ini masih subur dan diharap tetap subur kerana kasih itu lahir di hati dan dibajai di hati juga.

Ditambah lagi mak sering hadir di dalam mimpi - mimpi yang mungkin dianggap mainan tidor, tetapi bagi ummi itu adalah anugerah Allah untuk ummi mengubat rindu. Tidak pernah ummi melupakan mak walaupun telah bertahun mak pergi.

Mak, bilakah muna akan menyusul mak? Duduk berdua dengan mak seperti dahulu, muna suka mak baring, letakkan kepala mak atas paha muna. Masih muna ingat mak, akhir- akhir waktu muna bersama mak. 2 minggu sebelum mak pergi,muna balikkampung untuk ziarah mak.

Kita tidur berdua, sambil berbual-bual menyingkap kisah lama. Mak ceritakan, macamana susah mak untuk besarkan muna dengan adik-adik. Dengan rumah kita di tepi sawah, orang kata pondok pisang sesikat, beratapkan nipah.

Masih muna ingat mak, kita perlu angkut air guna timba bawa naik ke rumah untuk kegunaan harian. Kita guna air hujan yang ditadah dalam tempayan untuk minuman harian. Tiap petang muna kena cari kayu api, kena angkut bawa naik atas rumah. Orang lain dah guna dapur masak gas, tapi kita masih guna kayu api. Orang lain guna air paip, kita masih guna air parit dan air hujan untuk minuman. Kita mandi guna air telaga, sejuknya tak terkira kala mandi di subuh hari. Basuh pakaian pun guna air parit sahaja.

Jalan untuk sampai ke rumah kita sejauh 3 km, perlu melalui taliair yang bila hujan sangat becak/berlumpur. Sedangkan ke rumah orang lain, dah ada jalan raya, paling kurang batu kelikir supaya tidak becak bila hujan.

Untuk ke sekolah muna perlu berjalan kaki sejauh 3 km untuk sampai sekolah. Pernah ada basikal, abah belikan tetapi kena berkongsi dengan kakak, kadang-kadang saja muna dapat gunakan sebab kakak nak periksa, mesti kena cepat sampai sekolah. Muna perlu beralah. Dan kadang-kadang (sebenarnya selalu) bila naik basikal, muna jatuh parit, hingga tenggelam dengan basikal, habis baju kuyup dan buku basah. Muna tak cekap naik basikal, lagi pun muna berbaju kurung, berkain,jadi payah nak kayuh, kadang tersangkut pada rantai basikal. Tambahan bila berselisih dengan orang-orang tua/lelaki yang tak mahu beralah bagi jalan pada muna.

Kekerapan jatuh parit hingga tenggelam, menyebabkan muna serik nak tunggang basikal ke sekolah. Rela muna berjalan kaki, supaya buku tidak basah. Bila buku basah muna tak dapat menulis, buku kena jemur, untuk beli buku baru, tidak mungkin sebab yuran RM 3.00 setahun pun abah sukar nak bayar,apatah lagi jika nak beli buku baru. Muna tahu, muna ada ramai adik-adik, sedangkan abah cuma kerja buat sawah padi orang saja. Duit cuma dapat bila musim tuai padi. Antara musim mana ada duit untuk abah biayai persekolahan kami adik beradik.Tambahan pula dari kakak sampai anak ke 5 semuanya perempuan, adik ke 6 baru lelaki. Mana boleh bantu abah cari duit. Kami yang perempuan cuma boleh bantu abah buat kerja sawah padi sahaja.

Namun begitu, kita tetap dapat makan nasi tiap hari sebab, kita ada padi,kita tampi dan tumbuk sendiri agar jadi beras. Kita boleh memancing, menjala dan memukat ikan, untuk buat lauk harian. Mak pula rajin tanam sayur, mak tanam atas batas sawah pokok terung, pokok cili,pokok kacang bendi, pokok ubi keledek dan pokok timun. Kat tepi parit pula, mak tanam pokok ubi kayu, pokok jagung , pokok betik dan pokok pisang. Itulah makanan harian kita sehinggalah muna dapat sambung belajar ke KL.

Masih muna ingat, masa sekolah menengah, dah tingkatan 3, bila nak belajar waktu malam, muna guna pelita minyak tanah. Kami adik beradik duduk belajar dekat-dekat sebab cuma ada satu pelita sahaja untuk menerangi kegelapan malam. Lagipun nak jimat minyak tanah. Muna tetap gigih juga buat siapkan kerja sekolah dan ulangkaji. Muna tekad pada masa itu, mahu keluar dari kepompong kemiskinan hidup. Satu caranya hanyalah dengan menuntut ilmu, sebab nak kaya dengan harta tak mungkin kerana kita memang tidak berharta walaupun sekangkang kera.

Idola muna masa itu ialah Mak Teh Azizah, Mak Teh Azizah rajin belajar, dapat masuk UKM. Ketika tahun 2, Mak Teh dilamar orang, dan Mak Teh kahwin juga. Masa tahun 3 Mak Teh dah dapat anak, tapi Mak Teh tetap juga teruskan belajar sampai tamat degree. Mak Teh berjaya bawa keluar keluarganya dari kepompong kemiskinan duduk di kampung. Itu yang muna jadi rajin juga. Muna fikir, kalau muna tak kerja, sapa nak berikan mak duit tiap bulan? Sapa nak bantu mak biaya adik-adik sekolah?

Dan bila adik-adik dah habis belajar, dah kahwin, Allah takdirkan mak sakit pula, maka dengan duit itulah pula mak guna untuk biayai perubatan. 20 tahun mak sakit, akhirnya mak meninggal hanya disebabkan oleh angin ahmar/stroke selama 24 jam sahaja. Begitu mudah mak pergi dihadapan muna seorang diri.

Ketika itu, adik telefon muna khabarkan mak sakit dan di bawa ke Hospital Ipoh kerana angin ahmar, ada pendarahan di dalam otak mak. Masa itu muna masih di rumah muna di Johor Bahru. Bila dengar berita itu, terus Othman hantar muna ke Hospital Ipoh. Semua orang, adik-adik, kakak, abah yang selalu bersama mak, tidak ada depan mak waktu mak pergi. Allah pilih muna sorang saja untuk melepaskan mak pergi. Mereka semua selalu bersama mak, sedangkan muna hanya dapat setahun paling kurang 2 kali saja jumpa mak sejak muna berkahwin. Muna duduk jauh di selatan/abah selalu kata, muna duduk sisi langit, perjalanan nak jumpa mak ambik masa lebih 10 jam ketika belum ada lebuh raya. Mak selalu sebut, agaknya kalau mak mati, muna seornag saja tak sempat mengadap mak. Muna sedih bila dengar mak kata macam tu.

Siang malam muna berdoa, "Ya Allah, berilah aku kesempatan agar dapat bertemu dengan mak, sebelum mak pergi jauh dari dunia ini." Dan itulah yang telah Allah takdirkan buat muna, akhir hidup mak dihadapan muna. Muna sempat bersama mak selama 10 jam sebelum mak pergi. Dari jam 12 malam itu, kita tidur bersama-sama, mak berbaring di katil wad, muna cuma duduk di kerusi, tangan kita bergengaman sepanjang malam itu. Muna tahu walaupun badan sebelah kanan mak telah mati (tak bergerak dan berfungsi), mata pejam, mulut membisu, tapi mak tak tidur. Sebab bila tangan kita terlepas dari gengaman, tangan kiri mak teraba-raba cari tangan muna. Dan bila muna berbisik di telinga mak, muna kata,kalau mak faham apa muna cakap, mak gengam tangan muna, mak buat.

Bila azan subuh berkumandang dari masjid berhampiran, muna minta izin mak untuk berwuduk dan bersolat. Sambil tu, muna bisik kat mak, waktu subuh dah masuk. Kalau mak masih ingat,mak solatlah dalam hati. Selepas solat subuh, muna duduk tepi mak semula, muna buka surah yasin, tengah muna baca, muna dengar mak berdengkur 3 kali, muna ingat mak tidur...........

Tapi rupanya itu tanda mak kelemasan, tapi muna tak tahu, sehingga doktor tegur tanya , berapa lama mak berada di dalam keadaan begitu? Doktor bantu beri CPR pada mak, tapi jantung mak dah lemah sangat, doktor nak pasang mesin bantuan pernafasan, tapi muna tak beri izin, muna tanya , berapa lama masa dijangkakan mak akan pergi jika dipasang mesin itu, doktor jawap sekitar 2,3 jam sahaja. Muna cakap tak payah, sebab nanti akan menyakitkan mak, berikan masa yang ada ini untuk mua bersama dengan mak sahaja. Muna tak mahu mak sakit.

Bila tinggal berdua, mereka masih membiarkan wayar-wayar bersalut dibadan mak, wayar monitor untuk pantau jantung mak, muna lihat di monitor, graf masih tinggi julatnya. Muna gunakan masa itu dengan membisikkan khalimah syahadat di telinga mak. Tangan mak muna gengam, mak masih beri respon pada tangan muna, dan khalimah yang keberapa kali muna ulang-ulang ditelinga mak dengan harapan,hati mak ikut bacaan khalimah itu, akhirnya gengaman di tangan muna dengan mak jadi longgar, dan bahu muna di tepok oleh seorang doktor.

"Kakak, mak kakak sudah tak ada". Muna angkat kepala dari sisi telinga mak, memandang ke monitor, graf telah lurus. Muna pandang wajah mak, putih bersih tersenyum. Waktu itu, setitis air mata muna pun tidak mengalir, sebaliknya muna seakan merasa satu kepuasan yang membahagiaankan kerana dapat berbakti pada mak hingga akhir hayat mak. Rasa bahagia itu masih terpahat hingga hari ini. Mak mati dalam husnul khatimah. Sehingga mak di bawa ke kubur selepas di solatkan di rumah, muna tidak menangisi kematian mak. Muna dengan adik-adik yang mandikan mak, kapan kan mak. Terasa kami dah buat macam mak buat ketika kami baru dilahirkan dulu, mandikan dan pakaikan kami baju agar kami selesa. Begitu lemah lembut kami layan mak sebelum mak di bawa ke tempat persemadian akhir dunia ini.

Muna tak rasa sedih mak pergi, sebab macam dah tahu di mana tempat mak, namun untuk meringankan sekiranya masih ada dosa-dosa mak, muna suka meberikan hadiah pada mak setiap hari, agar keadaan mak aman di sana. Kesabaran mak hidup susah bersama abah, membesar dan mendidik muna dengan adik-adik telah mak dapat balasannya. Mak memang seorang muslimah yang qanaah dengan hidup ini. Dan itu yang mak didik pada muna dan adik-adik semua.Kami hidup seadanya , berusaha dengan gigih untuk hidup selesa pada hari ini. Kami tidak merungut dan merintih atas segala susah payah hidup dimasa lalu, sebaliknya berusaha dengan gigih untuk hari ini. Maka apa yang kami usaha, kami doa dan bertawakkal, itu yang Allah rancangkan buat kami adik beradik semua.

Walaupun tak ada adik-adik yang lepas muna, atau kakak yang berjaya ke Menara Gading, namum mereka berusaha dengan cara mereka untuk mencari rezeki. Ada yang berniaga cendol dan laksa, ada yang menjadi tukang jahit baju, ada yang buka taska, ada yang kerja kilang disamping meneruskan kegiatan mengusahakan sawah padi. Kakak sendiri pun untuk sara hidup hanya dengan membuat kuih sahaja. Namun kerana redha dengan apa yang telah Allah tetapkan , syukur dengan rezeki yang ada, bahagia tetap dapat diraih.

Begitulah sekadar perkongsian dan kenangan buat anak-anak semua...

Dibawah ini ummi ambik petikan dari akhbar, buat santapan.


Hargai nilai pengorbanan ibu


SAYA baru mengenali ibu gigih ini. Namun pautan kasih yang terjalin antara kami seakan-akan sudah lama. Hari pertama bertemu dengan wanita berusia 64 tahun itu, saya disajikan dengan paparan perit jerihnya membesarkan anak-anaknya.

Biar pun kami baru berkenalan, sentuhan kasih sayang keibuannya mudah menyerap, mengundang keselesaan untuk dia tanpa dipaksa mencurahkan rasa kepada insan yang baru beberapa jam hadir dalam hidupnya.

Rasa kagum saya terhadap kisah hidupnya bukan sedikit. Dia bersendirian -- biar pun ketika itu suaminya di sisi - untuk memastikan kesemua anaknya mendapat ilmu.

Bukan bermakna bapa kepada anak- anaknya tidak bertanggungjawab. Cuma dalam soal menentukan kepentingan ilmu, dia lebih peka dan berperanan.

Ketika anak-anaknya masih kecil iaitu sekitar tahun 1960-an dan awal 1970-an, ibu gigih ini berhijrah dari kampung asal bersama suami meneroka hutan membina sebuah dangau untuk berlindung daripada hujan dan panas.

Dangau tidak berbilik itu menjadi tempat mereka lapan beranak bernaung untuk tempoh yang agak lama. Kedudukan 'syurganya' itu juga terasing dan jauh daripada kediaman orang lain.

Dia dan teman hidupnya mengambil upah menoreh getah di kebun berhampiran dangaunya. Sambil merenung kisah silam, ibu yang telah kehilangan suami sejak lama dulu berkongsi kepayahannya.

Keadaan hidup yang sangat miskin sambil menyifatkan dia sekeluarga merempat di tempat orang, menyebabkan dia berhati-hati menjalani hidup.

Kasih ibu kepada anaknya

"Saya pernah membalut pokok-pokok getah dengan kain guni kerana bimbang anak-anak yang sedang nakal ketika itu merosakkan pokok tersebut," luahnya.

Kami bersembang mesra di dapur dan ketika bersama-sama memetik jantung pisang untuk dijadikan ulam hidangan makan tengah hari.

Keperitan hidupnya dirungkai dalam kemesraan itu. Betapa kesempitan hidup hampir saja menutup peluang anak-anaknya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Sememangnya dia ibu bertuah kerana dikurniakan bukan sahaja anak-anak yang pintar malah memahami himpitan hidup ibu gigih ini.

Anak-anaknya hanya ada sehelai pakaian sekolah. Jika basah atau koyak, pakaian itulah yang mereka sarung setiap hari. Tiada rungutan jauh sekali memberontak. Kasut koyak juga dipakai mengharungi denai dan hutan berbasikal ke sekolah yang terletak jauh dari rumah.

Ada kalanya anak-anaknya tidak ke sekolah membantu ibu membanting tulang. Biar pun hidupnya kini semakin selesa, namun paparan perit jerih yang dilalui lebih 40 tahun lalu cukup untuk menggandakan kepercayaan saya tentang pengorbanan seorang insan bernama ibu.

Saya bertuah kerana dalam keadaan masih mempunyai ibu yang menatang saya umpama minyak penuh, saya dipertemukan pula dengan seorang lagi ibu yang sempat menumpahkan sedikit kasihnya kepada saya.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.