BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday 30 June 2010

Gerak Hati ~Iktibar abaikan Pesanan


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

MasyaAllah...
Ingin menulis,tapi apa kudrat yang ada? Kalau diikutkan rasa sakit, bermakna ummi mengalah...


Tidak sekali...

Ummi tetap perlu berjuang melawan rasa sakit ini,mesti berbuat sesuatu yang bermanafaat.



Apa yang boleh dilakukan dikala sakit begini? Harapnya otak jangan lah beku dan mohon minda tetap cerdas agar ada idea yang ingin digarap pada laman ini.

Namun seluruh tubuh ni sakit-sakit...kalau ada orang picit pun dah kira nikmat dan melegakan. Tapi memang sifat ummi, kalau boleh orang-orang yang hampir dengan ummi jangan tahu pun,ketika ni ummi sakit. Ummi akan bersunyi-sunyi di dalam bilik macam tak ada apa-apa berlaku.


Dipanggil makan, pun kata kenyang, bila menangis cepat-cepat ambik wuduk...


Untunglah bila kesakitan ni datang ,kita boleh lelapkan mata.Ni dari tadi,sejak tengah hari, lepas saja tunjukkan menantu-menantu masak asam pedas, terus naik ke atas, masuk bilik bersunyi-sunyi. Zauj dan anak-anak balik tengah hari ni pun tak sambut.


Abdullah datang menjenguk sekejap cari umminya, terus minta picitkan kaki. Bahagian kanan abdomen yang sakit ni, tetap digosok-gosok, agar rasa lega.

Sebenarnya 2 hari lepas dah terdetik hati nak mulakan semula rawatan untuk hati ini. Dah banyak kali ummi tangguhkan,asyik buat ujian Fungsi hati, tapi tak buat rawatan apa-apa. Sampai dah mula menganggu perjalanan darah ke jantung.


Sebab tu bulan Januari hari tu dah buat angiogram. Tapi masih tak mulakan rawatan puncanya. Bila ada temujanji dengan Pakar Ortho, ummi pergi awal ke HSAJB, nak mulakan ambik rawatan hati.MasyaAllah, ramainya orang beratur ambik nombor giliran. Tak sanggup rasanya beratur panjang camtu. Kansel...


Terus ummi ke jabatan Orthopedik dan ambiknombor di sana. Sementara tunggu giliran, ummi ke cafe, makan laksa dengan mee rebus. Banyak nya makan. Nak buat camana dua-dua teringin. Tapi makanan kat cafe ni, bukanya banyak pun,mangkuk tu kecik je, harga mahal. Harap kuah saja penuh, isinya sikit.

Lepas je makan,baru nak onlinekan laptop, (selalu orang ramai,giliran lambat,nak dekat jam 12:30 baru dapat giliran jumpa doktor)dah dipanggil jumpa doktor. Rupanya Mr Masjudin tak ada, pakar orthoedik yang pegang kes ummi cuti.Jadi jururawat beri jumpa doktor ortho biasa sahaja. Doktor berikanlah ubat sebagai simpanan, supaya bila sakit bolehlah bertahan.


Bila pergi ke kaunter ubat, masyaAllah pun ramai orang. Tak sanggup menunggu lagi,terus cabut balik rumah. Sampai rumah ,kepenatan. Tapi tetap tak boleh tidor siang. Tak larat nak buat apa-apa dah. Kebetulan hari Isnin tu zauj puasa. Jadi ummi masak petang. Buat daging goreng kunyit,sup tulang dan goreng ikan kering sepat saja. Tak tahu pula Angah rajin, masakkan sayur dan along masak daging blackpaper.


Maka petang tu beramai-ramai meraikan zauj buka puasa. Makan malam bersama-sama. Lepas makan solat maghrib berjemaah dan terus solat berjemaah isya' juga. Lepas solat isya' baru naik ke atas berehat di katil. Ingatkan tak sakit apa-apalah...


Namun manusia ni lemah dan tak berdaya,sakit ni tak berbau, boleh datang bila-bila masa tanpa amaran. Cumanya,hari Isnin dah terdetik hati nak mulakan semula rawatan hati, hari ni dah sakit.Itu lah gerak hati yang tidak boleh ditipu, tapi ummi abaikan. Selalu zauj pesan sebelum ini, buat sesuatu ikut gerak hati, bersegera lakukan apa yang terdetik di hati tu. Jangan tangguh, nanti Allah tarik semula petunjuk yang dah diberikan. Betul pun, sedikit ummi abaikan ...hari ni ummi terima akibatnya atas kelalaian ummi sendiri.

Zauj selalu pesan,dalam kitab Al-Hikam , Karangan Imam Ibnu Ata'illah Askandary, sebarang lintasan hati atas perkara yang baik,bersegeralah bertindak. Jangan sekali-kali melenggah-lenggahkannya. Lintasan yang baik itu hanya datang sekali. Bila kita melenggahkan,kesibukkan urusan dunia akan melupakan kita dengan lintasan hati yang baik tadi. Itulah pesan zauj pada ummi, tak kala mengadap belajar dengannya sejak bertahun-tahun lalu. Dan selama ini,itu lah yang sering dibuat,bertindak segera mengikut gerak hati. Tapi kali ini, ummi leka,orang ramai tu cuma alasan, kenapa selama ini ,ummi boleh bersabar beratur,kali ini,tidak pula? Allah nak uji ummi lagi...


Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim...
Engkau yang Maha Mengasihani...


Ni ummi dapatkan dari info sihat:



Apakah maksud Hepatitis B


Hepatitis B adalah disebabkan oleh virus Hepatitis B, HBV. Virus ini boleh didapati di dalam darah dan cecair badan orang yang telah dijangkiti dan boleh merebak jika anda terdedah kepada darah, cecair darah(serum) atau cecair dari alat kelamin mereka. Ini boleh berlaku jika anda berkongsi jarum dan picagari atau melalui hubungan kelamin. Wanita yang dijangkiti boleh menyebabkan bayi mereka terdedah kepada virus ini. Namun,virus ini bukan sahaja boleh di dapati melalui hubungan kelamin, tetapi melalui pemindahan darah, melalui makanan yang tercemar dengan virus ini.

Pengalaman ummi sendiri,ummi mendapat virus ini bukan melalui pasangan. Ummi pernah menerima darah, pernah jalani pembedahan, pernah jalani rawatan gigi, dimana di situ juga ummi terdedah untuk mendapat virus hep B ini. Pasangan ummi sendiri tidak ada virus ini, sebab itu sebaik sahaja ummi disahkan dijangkiti virus hep B, semua anak-anak dan zauj menjalani ujian pengesahan dan mereka bebas dari jangkitan virus hep B. Bila di dapati bebas, mereka perlu mendapat pelalian hep B.

Allah Maha Kuasa, anak yang ummi kandung pun tidak mendapat jangkitan virus ini. Ketika ummi hamil anak ke 10,ummi sudah 2 tahun disahkan sebagai pembawa virus Hep B. Sebab tu ummi pernah buat biopsy hati. Dah berulang kali keluar masuk hospital.



Bagaimanakah seseorang itu tahu bahawa dia telah dijangkiti Hepatitis B?

Anda akan mengalami tanda-tanda penyakit ini dalam masa 45-160 hari dari hari anda mula dijangkiti. Jika dijangkiti, orang dewasa adalah lebih cenderung untuk mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit ini jika berbanding dengan kanak-kanak. Tanda-tanda awal dijangkiti Hepatitis B adalah :

* Penat
* Sakit kuning
* Gatal-gatal
* Hilang selera makan
* Hilang berat badan
* Sakit perut
* Sakit-sakit sendi




Apakah perjalanan semulajadi jangkitan kuman ini?


Kebanyakan orang yang telah dijangkiti akan pulih sepenuhnya. Sebilangan kecil akan menjadi lebih teruk dan boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati yang boleh membawa maut. Ada juga yang akan menjadi pembawa virus Hepatitis B yang kronik selepas pulih dari jangkitan awal Hepatitis B.


Pembawa virus hepatitis B yang kronik adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti berikut:

* Radang hati yang kronik (Chronic hepatitis)
* Cirrhosis hati (Liver cirrhosis)
* Kegagalan fungsi hati (Liver failure)
* Barah hati


Adakah jangkitan Hepatitis B boleh dirawat?

Tiada rawatan khusus untuk jangkitan awal hepatitis B. Langkah-langkah yang boleh diambil termasuk:

* Rehat yang secukupnya dan minum air dengan banyak
* Diet rendah lemak dan dan kurang perisa/tawar
* Elakkan arak/alkohol (sudah tentu ummi tak ambik ini)
* Dapatkan nasihat doktor mengenai ubat-ubat yang diambil untuk penyakit kronik yang lain

Pesakit radang hati yang kronik (chronic hepatitis) mungkin boleh dibantu dengan ubat interferon atau lamivudine.


Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan dari dijangkiti hepatitis B?

1. Hepatitis B boleh dielakkan dengan :

* Menghindarkan aktiviti berisiko tinggi contohnya menagih dadah secara suntikan dan seks secara rambang.  (Oooo..ini tak ada )

* Menghindarkan berkongsi barang-barang persendirian (contohnya pisau pencukur).

* Mengecualikan pembawa virus Hepatitis B sebagai penderma darah (betu tu, ummi tak tahu, pernah la derma darah,akhirnya darah tu dimusnahkan)


2. Hepatitis B boleh dicegah dengan efektif melalui vaksin Hepatitis B. Di Malaysia, semua bayi diberi pelalian untuk HBV.



Pelalian Hepatitis B juga digalakkan untuk kumpulan umur dan populasi masyarakat yang tertentu. Contohnya:

* Mereka yang belum pernah mendapat pelalian hepatitis sebelum ini
* Mereka yang terdedah kepada orang yang dijangkiti dengan Hepatitis B di rumah atau secara seksual
* Mereka yang terdedah kepada darah atau produk darah
* Kakitangan kesihatan
* Pesakit-pesakit dialisis

Untuk ibu mengandung yang dijangkiti hepatitis B, anak anda perlu diberi immunoglobulin Hepatitis B secepat mungkin setelah lahir dan ini diikuti dengan pelalian vaksin.( Anak ummi yang bongsu, Muhamad Imran terselamat dari jangkitan virus, sebaik lahir terus di suntik immunoglobulin Hepatitis B, tak ada disediakan di hospital, kena beli siap-siap di farmasi, harganya mahal, bila nak bersalin je, terus berikan pada doktor, agar disuntik pada anak yang lahir.)


Begitulah...semoga Allah terus memberikan ummi kekuatan, ketabahan dan kesabaran yang berganda-ganda... (adakah ini bermakna Allah tak dengar doa ummi, minta di sihatkan tubuh badan? Tidak, sakit ni ujian, dugaan untuk menguji keimanan hambaNYA.)


Maka teruslah berdoa,  dalam doa itu kita mendapat nikmat, bahawa Allah sangat hampir, Allah sangat sayang pada kita.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Tuesday 29 June 2010

Amal yang paling disukai Allah SWT


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Allah SWT menyukai manusia yang selalu berusaha untuk taqarrub ke pada-Nya, dengan menggunakan semua kenikmatan yang diberikan, baik nikmat zahir maupun nikmat bathin. Semua perbuatan yang dilakukannya semata-mata ditujukan untuk meraih redha Allah.








Dalam suatu kesempatan seorang sahabat Rasullullah SAW yang bernama Ibnu Mas’ud ra bertanya kepada Nabi SAW:

Ya Rasullullah SAW, amalan apa yang paling disukai Allah SWT ?
Rasullullah SAW menjawab, "sholat tepat pada waktunya".
Ibnu Mas'ud bertanya lagi, " kemudian apa lagi ?".
Rasullullah SAW menjawab "berbakti kepada Ibu bapa".
Ibnu mas'ud bertanya lagi, "kemudian apa lagi ya Rasullullah ?"
Rasullullah SAW menjawab "Berjihad di jalan Allah". Hadist diriwayatkan oleh mutafaqalaih.

Mari membahasnya satu-persatu


1. Solat tepat pada waktunya.

Perintah menegakan solat di sebut dalam lebih 10 ayat dalam al-Qur’an. Menegakan solat tepat pada waktunya terutama solat lima waktu. “solat adalah tiang agama” demikian yang disampaikan Rasullullah SAW dalam hadist yang lain. Begitu pentingnya solat, hingga amal pertama yang akan dihisab di hari akhir nanti adalah solat.


Menegakkan solat tepat pada waktunya, itulah amalan manusia yang paling disukai Allah SWT. Allah SWT berfirman dalam salah satu ayat yang artinya “sesungguhnya solat itu mencegah pada perbuatan keji dan munkar”.


Setelah solat wajib, ada solat malam atau tahajud juga merupakan solat yang dianjurkan untuk selalu dilaksanakan. Rasullullah SAW sendiri menghidupkan malam dengan melakukan solat.




2. Berbakti kepada kedua ibu bapa.

Ibu bapa menempati kedudukan yang tinggi. Redha Allah kepada seorang hamba juga bergantung pada redha kedua Ibu bapanya. Sekaya apa pun, sepintar apa pun, serta apa pun keadaan hamba, ingatlah apa yang telah dicapai itu juga berkat sokongan dan doa kedua Ibu bapa. Manusia terlahir di dunia berkat campur tangan kedua Ibu bapanya. Allah SWT sangat tidak menyukai orang yang berlaku kasar kepada Ibu bapa. Ibu bapa kita menduduki tempat ketiga yang harus kita hormati setelah Allah SWT dan RasulNya.



3. Berjihad di jalan Allah.

Berjihad dalam makna yang seluas-luasnya. Ada pemahaman keliru yang sengaja dibiarkan dalam mengartikan kata jihad. Jihad hanya dipahami sebagai berperang mengangkat senjata melawan orang-orang kafir yang memusuhi Islam. Padahal jihad adalah berjuang dengan segala kemampuan untuk menegakan ajaran agama. Sekali lagi jihad jangan difahami sebagai berperang saja.


Allah SWT menyuruh kita untuk berjihad dengan menggunakan harta dan jiwa kita. Jihad dengan apa yang kita miliki baik berupa ilmu, harta dan apapun yang ada pada diri kita. Jika kita sudah berumah tangga, mencari nafkah dengan jalan yang halal untuk keluarga kita juga termasuk bentuk jihad di jalan Allah. Allah SWT menyukai orang-orang yang selalu berjihad dijalan-Nya.


Demikian 3 amalan yang paling disukai oleh Allah SWT, solat tepat pada waktunya, berbakti kepada ibu bapa dan berjihad dijalan Allah.





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Monday 28 June 2010

Menjariahkan Masa

"Kring..kring..."
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
"Hello,siapa bercakap?"


"Ya, saya Munaliza...
Kematian?
Siapa?
Bila?
Di mana?"


"Oh...insyaAllah saya datang membantu. Berikan alamat rumah,sekejap lagi saya sampai untuk memandikannya. Sediakan kain putih dan kapas. Tak apa, cukup saya seorang menguruskannya."




Malam itu, sekitar jam 9:15 malam,ummi terima panggilan telefon dari seorang sahabat yang tinggal satu taman perumahan dengan ummi. Dia memohon pertolongan, jiran sebelah rumahnya mengalami keguguran janin yang berusia 23 minggu.


Jiranya ini baru kematian suaminya dalam tempoh 2 bulan lalu. Oleh kerana haidnya datang seperti biasa, dia tidak tahu dirinya hamil sehinggalah dia mengalami keguguran kerana bekerja berat yang terpaksa dilakukan untuk menyara diri dan anak-anak yang lain.


Ummi pun terus pergi ke rumahnya. Dan di dapati janin itu masih kecil sebesar hp nokia 3315 tetapi semua anggota tubuh badan telah lengkap dan sempurna.Tetapi ummi tidak dapat memastikan jantina janin itu. Dia mengalami keguguran itu pada tengah hari lagi. Sebaik berlaku pendarahan, dia telah di bawa ke hospital dan diperiksa. Bila pihak hospital mendapati kelahiran bayi itu sempurna bersama uri,ibu ini dibenarkan pulang pada malam itu bersama janin.


Bila sampai di rumah, barulah dia memaklumkan pada jiranya,bagaimana untuk menguruskan janin tersebut. Itu yang sahabat ummi telefon memaklumkan pada ummi. Ummi ke sana dan memandikan janin tersebut seorang diri. Dengan berhati-hati kerana kulit janin ini sangat lembut, ummi memandikannya. Selepas itu ummi kapan janin ini secara ringkas sahaja. Untuk janin seusia begitu,tidak perlu lah menggunakan kapur barus atau lain-lain keperluan memandikan jenazah.


Ini kerana janin ini bersih,hanya ada kesan diselaputi darah. Ummi mandikan supaya tidak berbau hanyir. Sempurna dimandikan ,ummi kapan dengan kain putih dan di alas dengan kapas. Ummi kapan dengan menggunakan 3 lapisan kain putih.


Selesai di kapan,terus zauj dan suami sahabat ummi tu menyembahyangkan janin itu. Janin itu telah berusia 23 minggu di dalam kandungan, dan pasti telah ditiupkan roh ke atas jasadnya. Maka wajib kita untuk memandikan, mengkapan,menyembahyangkan dan mengebumikan janin tersebut dengan sempurna.


Oleh kerana hari telah melepasi 11:30 malam,selesai di solatkan, ummi dan zauj terus balik ke rumah. Saudara ibu telah sampai dan mereka menguruskan pengkebumian janin pada malam itu juga.


Ini adalah kisah pertama ummi memandikan janin yang berusia dalam lingkungan 5 bulan dalam kandungan.


Selang 5 bulan kemudian,ummi mendapat lagi panggilan telefon dari seorang sahabat baik ummi yang telah berkahwin selama 15 tahun. Dia hamil anak yang ke 8. Telah 7 kali sebelum itu mengalami keguguran di dalam usia kandungan 3 bulan.

Kali ini dia dapat bertahan dan hamil hanya setakat 5 bulan atau 20 minggu sahaja. Dia menjaga kandungan ini dengan baik dan berhati-hati. Amat berharap agar dapat melahirkan seorang zuriatnya sendiri. Namun kuasa dan kehendak Allah tidak mengizinkan perkara itu terjadi.


Setelah 2 minggu tinggal di wad,akhirnya kandungan itu gugur juga. Kenapa ummi istilahkan gugur kerana pengikut terma perubatan sendiri,usia kandungan yang lahir sebelum 22 minggu dikira bukan bersalin dan tidak mendapat cuti bersalin. Mereka hanya diberikan sijil cuti sakit selama 2 minggu sahaja.


Sekali lagi ummi diminta untuk menguruskan janin ini. Dari memandikan dan mengkafan. Ummi juga telah menghubungi tempat perkuburan untuk urusan gali kubur dan mengebumikan. Untuk janin usia 20 minggu ini,mengebumikan tidak perlu permit, hanya tunjukkan kad ibu hamil dan surat pengesahan dari doktor.


Janin ini pun serupa dengan janin yang pertama, masih kecil, sebesar tapak tangan ummi. Anggotanya lengkap tapi jari-jari belum terpisah antara satu sama lain. Ummi tidak dapat pasti apakah jantinanya kerana tidak mahu terlalu kuat meraba bahagian itu.Walaupun janin,kita tetap menghormatinya. Roh telah ditiupkan,maka selepas ummi mengkapankan,janin ini di bawa ke Masjid UTM untuk disolatkan.


Selepas itu barulah, bapanya membawa ke perkuburan di Kg Melayu Kangkar Pulai untuk dikebumikan. Sahabat baik ummi ini masih lagi di wad untuk menerima rawatan. Ketika ini, ummi masih bercuti sakit kerana baru lepas menjalani pembedahan TKR. Ada sahabat-sahabat lain berkata, walaupun ummi di rumah tetapi ummi tetap diperlukan oleh orang lain, dan sentiasa berusaha menolong orang yang dalam kesusahan.


Sebenarnya kita boleh memanafaatkan diri kita tidak kira apa jua keadaan dan situasi diri kita. Kita perlu berusaha menjariahkan diri mengikut kebijaksaan kita di dalam kemahiran dan pengurusan masa agar masa dan hidup kita ini sentiasa bermakna dan di dalam kategori beribadah. Kita juga boleh membantu orang lain, tidak semestinya hadir bertemu, tetapi menggunakan teknologi sedia ada seperti memberikan khidmat nasihat melalui telefon dan menulis yang bermanafaat buat bacaan masyarakat.


Begitulah antara aktiviti yang ummi buat selama ummi di rumah kerana cuti sakit dan sekarang ini telah bersara dari perkhidmatan pendidikan.Semoga ummi, zauj, anak-anak dan keluarga serta pembaca semua berada di dalam redha, rahmat dan kasih sayang Allah.



66:6 "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan."


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Sunday 27 June 2010

Khas Buat Embunku


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته







Mata,usahlah kau menangis,
Hanya kerana urusan dunia,
Jika mahu menangis,
Menangis kerana urusan akhirat.


Rindu, usahlah kau rindu,
Hanya kerana urusan dunia,
Jika terasa rindu,
Pupuklah ia agar menuju akhirat.


Sayang, usahlah kau sayang,
Hanya kerana urusan dunia,
Jika sangat menyanyangi,
Sayangi dia membawa ke akhirat.


Sayang Embunku,
Bila aku telah tiada,
Tunggulah waktu dinihari,
Ketika embun turun,
Kasih sayangku bersamanya,
Tadah tanganmu,
Agar merasai hadirnya aku,
Titisan embun itu,
Sarat bersama kasih sayangku,
Ibarat juga airmata yang sentiasa,
Merindui hadirmu,
Didalam dakapan kasih,
Seorang ibu.


Pandanglah bintang di langit,
Aku juga ada di situ,
Carilah bintang yng terang sinarnya,
Itu lah aku,
Ibu yang amat kasih kepada mu.
Semoga kita bertemu di akhirat nanti.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Saturday 26 June 2010

Silaturahim Kerabatku

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Bukanlah saja mata ni nak menangis kat Majlis Walimah tadi tu di Bandar Baru Sg. Buloh,tetapi sebaik bersalam-salaman dengan saudara mara sebelah arwah mak,air mata ni terus gugur bak mutiara putus dari karangan.



Hiba sangat hati ni,melihat semua mak-mak dan bapa-bapa saudara, adik beradik arwah mak datang ke majlis walimah sepupu tu. Masa muna buat majlis walimah perkahwinan anak-anak muna baru ni,seorang pun tak datang. Tertanya juga hati ni, kenapa?

Namun lepas tu, bila hati dah tenang, tersedar dengan ketentuan Allah, bahawa jika mereka berikan alasan pun, itu cuma sebab musabab sahaja. Sebenarnya memang tidak ada di dalam perancangan Allah mereka hadir di majlis walimah anak muna hari tu.


Emosi yang muna lahirkan ketika bersalaman dengan mereka itu adalah fitrah hati yang seorang berduka dan hiba. Lama tak bertemu mereka dan kerana kasih sayang dan persaudaraan seagama. Tak mungkin silaturahim antara kerabat ini mudah putus begitu sahaja.


Semua saudara mara sebelah arwah mak datang di majlis walimah anak Pak Lang tadi.Kalau ikutkan Pak lang lebih dahulu meninggal daripada mak. Pak Lang adalah adik lelaki selepas mak. Pak Lang meninggal disebabkan oleh kanser usus. Mak meninggal disebabkan oleh angin ahmar. Lama juga arwah Pak Lang menderita sakit sehingga badan Pak Lang kurus kering. Pak Lang meninggal lebih dahulu dari atok, nenek dan mak. Masa Pak Lang meninggal,anak-anak Pak Lang masih kecil lagi.

Isteri Pak Lang,Mak Lang Azimah yang bekerja sebagai pengasuh,menyara anak-anaknya seramai 6 orang disamping sedikit duit persaraan tentera. Kini anak-anak arwah Pak Lang dah besar. Majlis walimah ini merupakan majlis walimah anak yang ke 4. Majlis walimah anak ke 3 bernama Fendi, dibuat di Ipoh sempat muna hadir bersama-sama arwah mak.

Hubungan kekeluargaan antara kami masih erat dan saling ziarah menziarahi. Sebab tu tadi muna menangis bila bersalaman dengan setiap orang kerana sedih lama tak bertemu. Bukan semua orang masih mengutamakan menjaga hubungan kerabat ini. Memang sejak berkahwin, muna suka menziarahi mereka yang lebih tua seperti mak-mak dan bapa-bapa saudara. Tetapi sejak 5 tahun kebelakangan ini,muna sendiri uzur dan sering keluar masuk hospital menyebabkan muna lama tidak menziarahi mereka yang tinggal jauh-jauh.

Lagi pun mereka pun dah tua-tua. Harap mereka mahu datang menjenguk muna,tentu payah sebab mereka nak kemana pun,mengharap bantuan anak-anak membawa/memandu kereta,sedangkan anak-anak sebuk bekerja.

Ya Allah berikan lah aku kekuatan, agar hubungan kerabat ini sentiasa erat antara kaim semua dan mengharap agar sentiasa di dalam redha, rahmat dan kasih sayang Allah.


Silaturrahim Menurut Kaca Mata Islam

Definisi bahasa menterjemahkan kalimah ( الصلة ) sebagai penyambung atau hubungan manakala kalimah ( الرحم ) diterjemahkan sebagai kaum kerabat . Terkadang terdapat kekeliruan di kalangan umat Islam yang menanggap Silaturrahim adalah hubungan umum umat Islam sedangkan hakikatnya yang dikehendaki pada kalimah ini adalah hubungan kaum kerabat .


Namun ada juga ulamak yang meletak hubungan persahabatan orang Islam di bawah Silaturrahim namun di tingkatan yang lebih rendah daripada hubungan kerabat .

Siapakah yang dimaksudkan dengan al-Arham atau kaum kerabat ini ? Menurut kitab Mughni al-Muhtaj mereka terdiri daripada kaum keluarga.


Silaturrahim sememangnya merupakan satu agenda yang penting dalam membentuk komuniti masyarakat Islam yang harmoni . Ini berdasarkan untaian peristiwa – peristiwa yang berlaku di hayat Rasulullah SAW yang menggambarkan betapa Rasulullah SAW menekankan para sahabatnya ketika itu untuk tidak mengabaikan kaum kerabat mereka . Pernah diriwayatkan, seorang lelaki datang menemui Rasulullah saw, katanya, "Aku ada seorang kerabat, aku mengekalkan silaturrahim dengannya tetapi dia memutuskannya. Aku maafkan dia tetapi dia menzalimi aku. Aku berbuat baik kepadanya tetapi dibalasnya dengan perbuatan jahat. Apakah aku patut membalasnya dengan kejahatan juga?". Rasulullah menjawab, "Jangan ! Engkau mesti bersatu dengannya. Ambillah yang baik. Hubungilah dia. Di belakangmu ada pertolongan daripada Allah, selagi engkau tetap dengan sikap dan tindakan yang demikian".



Ternyata, mewujudkan silaturrahim itu adalah satu tuntutan dan menjadi kewajipan kepada umat Islam melaksanakannya selari dengan amalan- amalan lain. Kalau silaturrahim itu belum wujud, hendaklah diwujudkan; kalau ada apa-apa masalah atau kesulitan, hendaklah diselesaikan; kalau hampir putus, hendaklah dipulihkan dan kalau sudah baik keadaannya hendaklah dipelihara atau dikekalkan.


Seperti amal ibadah yang lain, melaksanakan kewajipan dalam hal yang berkaitan dengan silaturrahim juga bukanlah merupakan satu urusan yang sukar atau terlalu membebankan. Rasulullah saw bersabda, mafhum- nya: "Hubungkan rahim di antara kamu walaupun hanya dengan salam". Demikianlah betapa mudahnya pelaksanaan silaturrahim itu. Dengan salam sahaja kepada kaum kerabat, dikira telah menunaikan kewajipan menghubungkan silaturrahim.


Islam meletakkan Silaturrahim ini pada satu mauqif atau kedudukan yang penting kerana sesungguhnya kaum kerabat merupakan satu-satunya wasilah dakwah yang berkesan sebagaimana firman Allah Ta’ala :

فأنذر عشيرتك الأقربين

Kaum kerabat akan menjadi dalil kepada masyarakat terhadap keperibadian seseorang yang mengaku dirinya sebagai seorang pendakwah dan pemimpin Islam bahkan mereka iaitu kaum kerabat ini juga bertindak sebagai perisai kepada para pendakwah sebagaimana yang kita perhatikan betapa bapa saudara Baginda SAW , Sayyidina Hamzah begitu prihatin akan keselamatan anak saudaranya . Justeru , nilai dan kedudukan mereka dalam Islam telah dimuliakan dengan perintah-perintah Allah Ta’ala ini .


Di samping itu ada beberapa pilihan lain dalam pelaksanaannya. Ulamak mengatakan, "Seseorang yang mempunyai kerabat wajiblah menghubungi kerabatnya dengan hadiah dan ziarah, jika tidak berkemampuan dengan harta (hadiah), hubungilah dengan ziarah sahaja dan berilah apa-apa bantuan yang diperlukan. Jika kerabat itu berjauhan, hubungilah dia dengan surat. Pelaksanaan amalan silaturrahim di tahap yang lebih tinggi dan akan mendapat ganjaran yang lebih besar ialah sebagaimana sabda Rasulullah saw yang mafhumnya: "Sedekah yang paling afdhal ialah kepada kerabat yang bersakitan hati (tidak baik perhubungan)".


Menghubung dan mengekalkan silaturrahim adalah satu tuntutan dalam agama Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 1 :

و اتقوا الله الذى تساءلون به والارحام

Maksudnya :
“ Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan ( menggunakan ) nama-Nya kamu saling meminta antara satu sama lain dan ( peliharalah ) silaturrahim "

Firman Allah , ayat 22-23 daripada Surah Muhammad :

فهل عسيتم إن توليتم أن تفسدوا في الأرض و تقطعوا أرحامكم . أولئك الذين لعنهم الله فأصمهم و أعمى أبصرهم

Maksudnya :

“ Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan merosakkan hubungan kekeluargaan ? Mereka itulah orang-orang yang dilaknati Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka dan dibutakan-Nya penglihatan mereka “

Nabi SAW telah bersabda :

لا يدخل الجنة قاطع

“ Tidak akan masuk syurga bagi mereka yang memutuskan ( silaturrahim ) ”

Nabi SAW bersabda :

من كان يؤمن بالله واليوم الأخر فليصل رحمه

“ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturrahim ”

Nabi SAW bersabda :


إن الله خلق الخلق , حتى إذا فرغ منهم قامت الرحم فقالت : هذا مقام العائذ بك من القطيعة . قال : نعم , أما ترضين أن أصل من وصلك و أقطع من قطعك قالت : بلى .

“ Sesungguhnya Allah telah mencipta sekalian makhluk sehingga apabila selesai dari urusan tersebut maka berdirilah ar-Rahim maka berkata kepada Allah : Aku berlindung dengan ini dari pemutus ( silaturrahim ) . Allah berfirman : Ya , adakah kau tidak redha jika aku hubungkan mereka yang menghubungkan kan kau dan aku putuskan sesiapa yang putuskan kau . Berkata ar-Rahim : Bahkan aku redha “


Firman Allah Ta’ala dalam Surah ar-Ra’du , ayat 25 :


والذين ينقضون عهد الله من بعد ميثاقه و يقطعون مآ أمر الله به أن يوصل و يفسدون في الأرض أولئك لهم اللعنة و لهم سوء الدار


Bermaksud :
"Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, mereka itu beroleh laknat dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya." (25)



Firman Allah Ta’ala lagi dalam Surah an-Nahli , ayat 90 :




۞ إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَـٰنِ وَإِيتَآىِٕ ذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَيَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنڪَرِ وَٱلۡبَغۡىِ‌ۚ يَعِظُكُمۡ لَعَلَّڪُمۡ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya :

"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya." (An-Nahl, 90)


Seterusnya Allah Ta’ala turut berfirman dalam Surah an-Nisa’ , ayat 36 :


۞ وَٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَلَا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡـًٔ۬ا‌ۖ وَبِٱلۡوَٲلِدَيۡنِ إِحۡسَـٰنً۬ا وَبِذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِينِ وَٱلۡجَارِ ذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡجَارِ ٱلۡجُنُبِ وَٱلصَّاحِبِ بِٱلۡجَنۢبِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُكُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن ڪَانَ مُخۡتَالاً۬ فَخُ

Maksudnya :

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri." (An-Nisa,36)


Selain itu Allah juga berfirman dalam Surah al-Baqarah , ayat 177 :


۞ لَّيۡسَ ٱلۡبِرَّ أَن تُوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ قِبَلَ ٱلۡمَشۡرِقِ وَٱلۡمَغۡرِبِ وَلَـٰكِنَّ ٱلۡبِرَّ مَنۡ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ وَٱلۡمَلَـٰٓٮِٕڪَةِ وَٱلۡكِتَـٰبِ وَٱلنَّبِيِّـۧنَ وَءَاتَى ٱلۡمَالَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ ذَوِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَٱلسَّآٮِٕلِينَ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّڪَوٰةَ وَٱلۡمُوفُونَ بِعَهۡدِهِمۡ إِذَا عَـٰهَدُواْ‌ۖ وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِى ٱلۡبَأۡسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلۡبَأۡسِ‌ۗ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُتَّقُ


Maksudnya :


"Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa." (Al-Baqarah,177)


Rasulullah saw pernah ditanya, "Siapakah manusia yang paling utama?". Rasulullah lalu bersabda, mafhumnya: "Yang paling utama ialah orang yang paling kuat bertakwa kepada Allah, yang paling erat (akrab) perhubungan dengan kaum kerabatnya dan paling suka menyuruh berbuat kebajikan dan menegah kemungkaran".


Pada masa yang lain, Rasulullah saw telah ditanya, "Katakan kepada- ku, apakah amal yang membawa aku ke syurga dan menjauhkan aku daripada neraka?". Rasulullah saw menjawab, mafhumnya: "Engkau sembah Allah, jangan sekutukan Dia dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan hubungkan antara rahimmu".


Rasulullah saw juga pernah bersabda, mafhumnya: "Tiada langkah seorang hamba yang paling dikasihi oleh Allah melainkan langkah untuk mengerjakan shalat fardhu dan langkah kepada kaum kerabat (menghubungkan rahim). Berkata Abu Thalhah kepada Rasulullah saw, "Kebunku itu adalah untuk fi sabilillah dan untuk sekalian fakir miskin". Lalu Rasulullah saw bersabda, mafhumnya: "Sudah wajiblah (pastilah) pahalamu daripada Allah, dan sekarang engkau bahagi-bahagikan kebun itu di kalangan kaum kerabatmu".


Diriwayatkan, di dalam Taurat tersurat firman Allah yang bermaksud:
"Takutlah kepada Tuhanmu, berbaktilah kepada ibu bapamu dan hubungkanlah rahimmu, nanti Aku lanjutkan umurmu, melaksanakan segala kemudahan dan menyelesaikan segala kepayahanmu".


Sabda Rasulullah saw, mafhumnya: "Ketahuilah, bahawa rahmat Allah tidak turun ke atas kaum yang ada di kalangan mereka orang yang memutuskan silaturrahim". Sabda Rasulullah saw maksudnya: "Bahawa bau syurga itu dadapt dihidu dari sejauh lima ratus tahun perjalanan.Tidak dapat tercium bau syurga oleh orang yang derhaka kepada ibu bapanya dan orang yang memutuskan sillatul- rahim".


Hadis-hadis berikut adalah tentang kelebihan menghubungkan sillatul-rahim : Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: "Sedekah kepada orang miskin itu mendapat pahala satu sedekah, sedangkan sedekah kepada kaum kerabat itu mendapat dua pahala: pahala sedekah dan pahala menghubungkan silaturrahim".


Rasulullah bersabda lagi, mafhumnya: "Takutlah kamu kepada Allah dan hubungkan rahim kamu, maka itu terlebih baik bagi kamu di dunia dan di akhirat".


Diceritakan, bahawa Qarun yang ditelan bumi, setiap hari semakin dalam itu, tiba-tiba terhenti, apabila dia bertanya khabar tentang Musa , anak bapa saudaranya. Cerita ini menunjukkan kelebihan membuat hubungan kekeluargaan, sehinggakan orang yang melakukan kemungkaran besar dan sedang menerima pembalasan seperti Qarun itu pun mendapat kelonggaran, apabila dia bertanya khabar tentang diri ahli kaum keluarganya.


Terjemahan Kitab al-Kabair ( Dosa-dosa Besar )
Bab Dosa Besar ke-43 , Muka Surat 116
Disusun oleh al-Imam Shamsuddin Muhammad bin Ahmad bin Uthman az-Zahabi
Cetakan pertama 1999 oleh Darul Faiha’ , Damsyiq

1. Mengikhlaskan niat hanya kepada Allah
Maksudnya:
"Dan tidaklah mereka itu diperintahkan melainkan supaya semua menyembah Allah, dengan tulus ikhlas menjalankan agama untukNya semata-mata, berdiri lurus dan menegakkan solat serta menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang benar."
(Al-Bayyinah : 5)


Sabda Rasulullah s.a.w
"Hanya segala amal itu dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang dia niatkan." (Muttafaq ‘alaih)

Maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara…"

Dan Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya:
"Orang yang beriman dengan orang yang beriman yang lain laksana satu binaan, saling kuat-menguat di antara setengah dengan setengah yang lain."


Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:
Maksudnya:
"Kami mengasihi saudara kerana dia adalah saudara pada jalan Allah."


Di samping itu sikap mahabbah mesti dibuktikan dalam amalan dan penghayatan bukan sekadar teori semata-mata.

Maksudnya:
"Sesungguhnya seseorang kamu pergi menunaikan sesuatu keperluan saudaranya lebih baik baginya daripada beriktikaf dimasjid aku ini selama sebulan."


Dan sabdanya lagi:
Maksudnya:
"Sesiapa yang telah memasukkan kegembiraan iaitu menghilangkan kesusahan dan kesukaran kepada keluarga muslim, maka Tuhan tidak melihat balasan kepadanya selain daripada syurga."


Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang berbunyi:
Maksudnya: “ Orang Mukmin itu mengasihani saudaranya seperti mana ia mengasihani dirinya sendiri. “


Maksudnya: “ Orang Mukmin ibarat sebuah bangunan yang masing-masing berpaut satu sama lain. “

Sebab – sebab Keretakan Silaturrahin

- Niat
- Wujud Faktor Dalaman & Luaran


Faktor Dalaman …
1. Diri sendiri – niat dan tindakan
2. Keluarga – mementingkan status
3. Kepentingan diri
4. Pengaruh diri akibat rasa dengki dan dendam serta sebagainya
5. Tiadanya sifat toleransi dan pemaaf sesama insane
6. Tahap keimanan yang rendah
7. Kurangnya didikan agama ( akhlaq )

Faktor Luaran …
1. Pengaruh : Persekitaran – Materialistik
Pergaulan Seharian – Fitnah
Politik Kehidupan – Perbezaan Kefahaman

2. Wujudnya : Sifat Batu Api , Kroni , Dendam , Tidak berkasih sayang dalam
pergaulan .

3. Iri hati dan Cemburu

Secara keseluruhannya :

Bergantung kepada diri sendiri dan tahap keimanan dalam menghadapi hidup di dunia ini yang penuh dengan tribulasi , ujian , dugaan dan mehnah .






Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Thursday 24 June 2010

Cinta dan Rindu ~ 2

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Dalam sistem otak, kita sering bertanya itu, ini, dan sebenarnya  ada satu titik atau spot yang disebut 'God Spot'. ‘God Spot’ dalam sistem otak manusia yang sentiasa mencari makna kehidupan – asal-usulnya, apa maksud kedatangannya ke dunia, dan ke mana akan pergi selepas mati. Dan di hujung semua persoalan itu pasti manusia akan menemui kewujudan Tuhan. Inilah hakikatnya pencarian dan kembara manusia. Inilah asas segala kerinduan dan cinta.


Bila kita resah, bila kita rasa gundah, bila kita kesempitan, bila kita berada di dalam persimpangan, siapa yang kita cari? Pasti kita menghendaki sesuatu yang Maha Kuasa,Maha Besar, Maha Agung untuk membantu kita. Kita memang sedar, diri kita lemah, tidak berdaya dan kita juga tahu kita sebenarnya berada di dalam suatu gengaman kuasa yang sangat hebat dan agung.


Apabila hati kita resah dan gelisah inginkan pembelaan, hakikatnya pada ketika itu hati kita sedang merindui yang Maha Adil. Ketika kasih-sayang terputus atau cinta terkandas, kita inginkan sambungan… maka ketika itu sebenarnya kita sedang merindui Ar Rahman dan Ar Rahim (Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang). Ketika bersalah, kita merintih inginkan keampunan dan kemaafan, maka pada saat itu kita sebenarnya merindui Al Ghafar (Pengampun) dan mencintai Al Latif (Maha Lembut).


Semua keinginan itu hanya akan dapat dipenuhi apabila manusia merapatkan dirinya kepada Allah. Allah yang punya segala-galanya itu. Allah sentiasa mahu dan mampu memberi apa yang diinginkan oleh setiap manusia.

Firman Allah:
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan dimasukkan neraka Jahanam dalam keadaan hina.” Al-Mukmin : 60


Menerusi nama-nama Allah yang baik inilah seharusnya kita merintih, merayu dan memohon kepada Allah.

Firman Allah:
“Allah memiliki Asmaa’ ulHusna, maka memohonlah kepadaNya dengan menyebut nama-nama yang baik itu…” Al A’raaf : 180


Manusia hakikatnya tidak punya apa-apa yang diingini oleh manusia lain. Mereka mungkin mahu memberi, tetapi tidak mampu. Ada pula yang mampu memberi tetapi tidak mahu melakukannya. Mungkin hartawan punya harta, tetapi dia tidak punya sifat pemurah. Mugkin ada si miskin punya hati yang pemurah, tetapi tidak memiliki harta yang dipinta oleh si miskin yang lain. Tegasnya, manusia tidak sempurna. Hanya Tuhan yang mempunyai segala apa yang diinginkan oleh seluruh manusia.


Ya, ditegaskan sekali lagi bahawa keinginan manusia kepada satu kuasa yang Maha sempurna ini adalah lanjutan daripada ‘perkenalan’ dan ‘percintaan’ manusia dengan Allah di Alam Roh lagi (yakni alam sebelum alam dunia ini) . Bukankah sejak di alam roh lagi manusia telah mengetahui dan mengakui akan kewujudan dan keagungan Allah.

Firman Allah:
“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.” Al-A’raf : 172

Itulah pertanyaan Allah sekaligus keakuran roh manusia atas pertanyaan itu. Ya, ketika itu semua roh manusia telah mengenali Allah. Bukan itu sahaja, bahkan roh manusia telah mengakui Allah sebagai pemilik, pentadbir dan pengatur alam ini. Inilah yang dimaksudkan cintakan Allah itu adalah fitrah setiap hati. Tetapi soalnya, mampukah cinta itu terus suci dan abadi di dalam hati setiap manusia?


Sungguhpun begitu, perkenalan dan percintaan manusia dengan Allah di alam roh itu kerap tercemar. Sebaik sahaja lahir ke alam dunia, manusia yang dulunya begitu mengenali dan mencintai Allah mula dipisahkan daripada kecintaan dan kerinduannya itu. Yang sejati luntur, yang ilusi muncul. Perkenalan dengan Allah mula dicemari. Manusia mula dipisahkan dari Tuhan. Dan amat malang, kerapkali yang memisahkan anak-anak daripada Allah ialah ibu-bapa anak-anak itu sendiri. :
“Setiap anak-anak dilahirkan putih bersih, kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani.”

Justeru, untuk mengelakkan agar cinta yang suci itu tidak terus dikotori… maka awal-awal lagi apabila seorang bayi dilahirkan, dia terlebih dahulu diazankan dan diiqamatkan. Inilah usaha awal untuk meneruskan perkenalan bayi itu dengan Allah. Tidak cukup sekadar itu sahaja, malah para ibu-bapa juga wajib mengenalkan kepada anak-anak mereka segala sifat kesempurnaan Allah secara mudah tetapi konsisten.

Sabda Rasululah:
“Awal-awal agama ialah mengenal Allah.”


Alangkah indahnya jika semua itu berjalan lancar. Sejak kecil lagi putik cinta dan rindu Allah itu tumbuh, berbunga dan akhirnya berbuah apabila menjelang dewasa. Malangnya, ramai anak tidak diperkenalkan kepada Allah oleh ibu-bapanya. Sebaliknya, didedahkan kepada unsur-unsur yang melindungi kebesaran Allah. Seringkali, didikan, ajaran, malah lagu, filem, bahan bacaan yang didedahkan kepada anak-anak menggugat perkenalannya dengan Allah.



Akibatnya, kerinduan dan kecintaan yang sedia ada di alam roh itu tidak bersambung, bahkan tercemar. Cinta terputus di tengah jalan. Setiap manusia memiliki hanya satu hati, tidak dua, tidak tiga. Bila cinta Allah dicemari, cinta yang lain datang mengganti. Dua cinta tidak akan berkumpul di dalam satu hati. Hanya satu cinta akan bertakhta di dalam satu jiwa. Bila cinta Allah terpinggir maka terpinggir jugalah segala kebaikan dan kesuciannya. Maka yang tumbuh selepas itu ialah cinta selain Allah seiring suburnya segala kejahatan dan kekejiannya...




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Wednesday 23 June 2010

Buat Siapa Cinta dan Rindu Ini?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Berbicara tentang rindu dan cinta, tidak dapat lari daripada soal hati dan rasa. Ya, rindu dan cinta letaknya di hati – raja dalam kerajaan diri manusia. Sabda Rasulullah saw:

“Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati.” Riwayat Al-Bukhari



Ini bermakna, rindu dan cinta yang harus bersemi di hati mestilah rindu dan cinta yang ‘baik’. Barulah hati akan menjadi baik, dan seluruh anggota jadi baik. Tapi jika rindu dan cinta itu ‘jahat’ maka jahatlah hati. Akibatnya jahatlah seluruh anggota. Kata orang, “berhati-hatilah menjaga hati.” Jangan dibiarkan hati itu penuh dengan rindu dan cinta yang salah… akibatnya terlalu buruk.


Hati yang jahat, akan menyebabkan seluruh diri kita terarah kepada kejahatan. Jadi, berhati-hatilah menjaga hati dengan berhati-hati memberi cinta dan rindu.   Sebenarnya, pada siapa kita harus cinta? Pada siapa kita mesti rindu? Mungkin ada diantara kita yang tertanya-tanya. Pada kekasih hati? Atau si dia yang sentiasa diingati.



Sebenarnya hati setiap manusia secara fitrahnya mencintai dan merindui Allah. Kenapa dikatakan begitu? Dan benarkah begitu? Baiklah, mari kita fikirkan dan renungkan bersama…

Setiap hati inginkan kasih-sayang, keadilan, kekayaan, keindahan dan lain-lain sifat yang mulia, baik dan sempurna. Tidak ada seorang manusiapun yang tidak inginkan kebaikan, kemuliaan dan kesempurnaan. Ketika dilanda kemiskinan, manusia inginkan kekayaan. Ketika dipinggirkan, kita inginkan kasih-sayang. Ketika dizalimi, kita inginkan keadilan. Baiklah, hakikat itulah bukti yang sebenarnya manusia cinta dan rindukan Tuhan. Justeru, Tuhan sahaja yang memiliki segala-gala yang diingini oleh manusia.



Bukankah Allah memiliki kekayaan yang diingini oleh si miskin? Allah mempunyai kasih sayang yang diidamkan oleh mereka yang terpinggir. Allah Maha Adil dan mampu memberi keadilan yang didambakan oleh yang tertindas. Oleh kerana itulah Tuhan mempunyai nama-nama yang baik (Asmaul Husna), yang menggambarkan keindahan, keadilan, kasih-sayang yang segala sifat kesempurnaan-Nya. Diantara nama-nama Allah itu ialah Al Adil (Yang Maha Adil)? Al Ghani (Maha Kaya)? Ar Rahman (Maha Pengasih)? Dan Ar Rahim (Maha Penyayang)?


Sebutlah… apa sahaja keinginan manusia tentang kebaikan dan kesempurnaan, maka di situ sebenarnya (secara langsung ataupun tidak), manusia sedang merindui dan mencintai Allah. Inilah rasa yang tidak dapat dihapuskan. Selagi manusia punya hati dan perasaan. Rasa bertuhan inilah yang menurut Imam Ghazali, tidak akan dapat dinafikan oleh hati sekalipun kerap dinafikan oleh sifat keegoan manusia.


Inilah benih rindu dan cinta yang telah dibina (‘install’) secara fitrah (tabie) dalam diri setiap manusia sejak di alam roh lagi. Firman Allah:
“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.” Al-A’raf : 172


Bahkan, pakar-pakar psikologi manusia juga turut mengakui. Manusia sebenarnya mempunyai keinginan kepada suatu kuasa yang dapat mengatasi segala kekurangan dan kelemahan. Ini memang satu naluri yang semulajadi.


Bila Allah telah hadiahkan kasih dan rindu-Nya kepada kita, kita akan merasa kebahagiaan dan ketenangan yang tiada taranya lagi. Dalam apa jua keadaan kita akan mendapat ketenagan. Susah, kita sabar. Senang, kita syukur. Kita bersalah, mudah meminta maaf. Jika orang meminta maaf, kita sedia dan rela pula memaafkan. Alangkah bahagianya punya keikhlasan hati yang sebegini?


Itulah hakikatnya syukur – pada lidah, hati dan amalan. Syukur dengan lidah, mengucapkan tahmid (pujian) kepada Allah. Syukur dengan hati, merasakan segala nikmat hakikatnya daripada Allah bukan daripada usaha atau ikhktiar diri kita. Tadbir kita tidak punya apa-apa kesan berbanding takdir Allah. Dan akhirnya syukur dengan tindakan, yakni menggunakan segala nikmat daripada Allah selaras dengan tujuan Allah mengurniakan nikmat itu.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.
 
 
 
 

Membimbing Anak Menantu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kesian menantu ku,baru seminggu dah kena buat macam-macam. Hari Isnin, 2 hari selepas majlis walimah, menantu sulong kena buat kuih donut. Cuti sekolah, dan kebetulan anak-anak buah masih belum balik ke rumah mereka selepas walimah tu. Lagi pun mereka masih tinggal di rumah ummi , sementara masih lagi cuti semester dan seorang lagi menunggu untuk diberikan penempatan kerja.



Ummi ajar mereka cara buat kuih donut. Dengan menggunakan 1 kg tepung gandum, sepeket yis mauripan dan bahan-bahan lain, menantu ummi mengulinya menjadi doh. Ajar cara sukatan air dan bahan-bahan lain untuk buat donut tu supaya lembt dan gebu.


2 jam saja selepas adunan doh di bentukkan bulatan, doh telah naik dan kembang, sesuai masa untuk digoreng. Donut digoreng dengan warna keemasan, tak boleh terlalu kuning sebab nanti bila sejuk jadi keras.


Tak sampai sejam, donut tu licin di makan oleh anak-anak ummi dan anak-anak buah. Suka mereka makan kuih donut.


Donut



Sementara tu menantu kedua belajar mengukur kain untuk buat baju kurung.


Hari keesokkannya pula, menantu kedua kena buat adunan pau sambal. Ummi tunjukkan juga caranya,sukatan bahan-bahannya sehingga adunan menjadi doh. Adunan tu diterapkan ke papan potong dan dibulat-bulatkan. Sama masanya,2 jam adunan yang dah naik dan kembang digoreng, kemudian dibelah diletakkan sambal bilis. Cepat saja kuih ni habis.


Pau sambal





Donut dan Pau Sambal

Bahan-bahannya:

1 kg tepung
1 peket yis mauripan
400 cc air
3/4 cawan gula
1 cawan minyak masak atau marjerin
1 biji telor
2 sudu makan krimer manis./susu
1 sudu kecil garam

Cara membuat doh...

Gaul tepung dengan yis sehingga rata. Masukkan gula ke dalam air dan kacau sehingga gula larut. Campurkan garam ke dalam air gula.


Pada tepung,buat bulatan ditengahnya,pecahkan telor,masukkan susu /krimer manis, minyak/ marjerin. gaulkan rata sebelum masukkan semua air gula. Uli adunan menjadi doh sehingga sebati. Kemudian bentukkan bulatan. Jika donut, bentukkan seperti huruf 0.


Supaya tidak melekat doh yang dibentuk tu, letakkan sedikit tepung di atas dulang dan letakkan ada jarak antara kuih yang telah dibentuk tu supaya bila kembang,ia tidak melekat antara satu sama lain. Biarkan sehingga doh itu naik dan kembang, mungkin ambil masa lebih kurang 2 jam. Dah kembang, boleh lah goreng dalam minyak yang banyak.


Selamat mencuba...



Sementara tu menantu sulong pula belajar mengambil ukurna baju kurung , memotong kain, dan menjahitnya.


Bila memasak tengah hari mereka berdua bekerja sama di dapur. Begitu juga dengan mengemas rumah, buat kerja sama-sama. Rupanya ada hikmah ummi kahwinkan anak-anak serentak. Anak perempuan ummi dibawa suaminya tinggal bersama mertua, anak lelaki ummi bawa pula isteri tinggal bersama ummi.


Bukan tinggal selamanya pun tidak mengapa,sekurang-kurangnya baru-baru kahwin ni, ummi berpeluang untuk membimbing dan memberikan tunjuk ajar berkaitan rumah tangga dan pengurusan keluarga. Supaya nanti bila jauh, dah tinggal di rumah sendiri  tahu dan ingat bagaimana nak buat itu ini. Memang sepatutnya setiap ayah ibu dan ayah ibu mertua membimbing anak menantu mereka di permulaan hidup berkeluarga. Jangan sekali-kali lepas tangan.


Ambil tahu bukan bermakna mencampuri urusan keluarga dan rumah tangga mereka. Kita cuma memerhatikan, mana-mana yang baik ditegur, dibimbing sejak awal-awal lagi. Ada ilmu rumah tangga yang tidak ada di dalam buku, sebaliknya diperolehi melalui pengalaman hidup yang dilalui.



Moral entri ini, ialah mendidik anak-anak dan anak menantu kerana mereka merupakan orang baru yang akan tinggal bersama-sama kita. Mereka telah jadi sebahagian dari keluarga kita. Dengan selalu bersama-sama meluangkan masa dan memberikan tunjuk ajar,  ini akan mengujudkan kemesraan dan kasih sayang bertambah erat antara mertua dan menantu...






Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.



Tuesday 22 June 2010

Masakan pertama~ Asam Rebus Keladi

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Pokok dan bunga Keladi air
Semasa berhenti di Pekan Tanjung Karang semalam,ummi beli sayur -sayur kampung seperti pucuk keladi air,jantung pisang, serai, bunga kantan dan batang keladi berserta ubinya.


Ummi nak ajar menantu masak asam rebus keladi hari ni. Setelah batang dan ubi dibersihkan, di cuci dan direbus dengan asam keping. Tujuan di rebus dengan asam keping adalah untuk menghilangkan gatal-gatal pada keladi.


Setelah mendidih,keladi itu di toskan. Dengan menggunakan cili kering, sedikit belacan, bawang merah, bahan ini dikisar. Setelah dikisar, dimasukkan dalam periuk dan direbus dengan air sehingga mendidih. Masukkan asam keping, garam dan serbuk perasa. Ummi minta menantu masukkan ikan kering sepat ke dalam masakkan ini agar lebih sedap.


Setelah mendidih,barulah sayur keladi, batang dan ubinya dimasukkan ke dalam periuk. Biarkan seketika dan masukkan hirisan bunga kantan. Ini adalah pilihan dengan daun kesum. Jika salah satu ada pun dah cukup.


Bila dah benar-benar ,mendidih,barulah diangkat dari dapur. Biarkan seketika agar rasa asam,garamnya sebati.Makan dengan nasi panas dan ikan goreng. Pucuk keladi air tu di rebus dan cicah dengan sambal, memang sedap...
Asam rebus keladi


Batang Keladi untuk di masak sayur



Sambil membimbing memasak, ummi turunkan juga petua-petua. Ummi bagitahu apa masakan yang digemari oleh suami mereka. Cara dan kaedah memasak yang selalu ummi amalkan. Begitulah caranya mendidik anak menantu, sama seperti mendidik anak sendiri...








Resepinya : Asam  Rebus keladi

Bahan untuk dikisar
15 tangkai ~ cili kering
6 biji ~ bawang merah
5 ulas ~ bawang putih
belacan dibakar (sebesar duit 50 sen)

Bahan2 lain
keladi
daun kesum
bunga kantan 2 kuntum
 5 keping asam keping
Cara-caranya
Masukkan  bahan kisar ke dalam periuk yang berisi air, didihkan. Masukkan keladi, daun kesum, bunga kantan berserta asam keping. Perasakan garam. Setelah mendidih, masukkan keladi yang telah direbus tadi dan biarkan mendidik sekali lagi. Biarkan seketika sebelum dihidangkan supaya rasa asam dan garam mesra.




Petua:

Bagi mengelakkan terasa gatal keladi, sediakan periuk berasingan untuk merebus keladi apabila air sudah mendidih baru dibasuh keladi dan terus masukkan ke dalam air didihan tadi biarkan sehingga keladi dan ubi keladi empuk baru di masukkan ke dalam periuk yang berisi bahan kisar yang sedang mendidih. Keladi yg terendam lama sebelum masak akan menyebabkan lelangit dan tekak terasa gatal.












 
Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Lepas Berkahwin

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Seminggu lepas kahwin, dah balik rumah mak mertua, menantu-menantu dah diberikan tunjuk ajar buat kerja di dapur. Pagi minggu pertama selepas walimah,mereka ditunjuk ajar membuat kuih donut,pau dan popia untuk sarapan pagi dan minum petang.


Ketika masak untuk makan tengah hari, mereka di tunjukkan juga memasak lauk pauk. Sebenarnya mereka memang dah tahu dan pandai,ummi cuma membimbing cara -cara memasak beberapa jenis masakan lagi seperti asam pedas, kari dan masak lemak.


Apabila siap memasak makanan, mereka juga telah siap berkemas rumah, ummi mulakan sessi belajar menjahit pakaian. Oleh kerana adik ummi,mak teh Saleha dari Perlis,masih ada, (belum lagi balik rumahnya selepas majlis walimah rumah ummi)dia memberikan tunjuk ajar dan bimbingan cara-cara membuat ukuran, memotong dan menjahit baju kurung.


Jika minat memang ada, bakat menjahit itu terserlah dengan sendirinya. Mudah sahaja mereka belajar. Masing-masing menghasilkan sepasang baju kurung.


Ummi dulu pun begitu,lepas sahaja SRP,terus belajar menjahit baju kurung. Apabila lepas kahwin,mudah sahaja ummi menghias rumah. Hadiah pertama Zauj, selepas berkahwin ialah sebuah mesin jahit. Sangat berguna untuk menjahit pakaian anak-anak dan baju zauj.


Masa anak-anak kecik dahulu, memang ummi rajin menjahit pakaian untuk anak-anak dan zauj. Banyak pakaian kerja zauj yang ummi jahit sendiri. Begitu juga dengan cadar,langsir,sarung kusyen, selimut dan alas meja,semunya ummi reka dan jahit sendiri.


Bakat dan minat menjahit ini lahir secara semulajadi. Mungkin diwarisi dari arwah mak. Bukan ummi seorang sahaja, tetapi kebanyakkan adik beradik ummi pun sama, suka menjahit. Selain ummi, mak jang Jesmin, mak lang Suhana, mak teh Saleha dan mak dak Salbiah. Yang langsung tak ada minat dan bakat menjahit ialah mak long Salmah dan mak cik Suzana.


Rupanya ia juga telah menurun kepada anak cucu. Sekarang bakat menjahit itu telah diwarisi oleh Suhaini (anak mak long Salmah) dan Najdah. Cuma kekangan masa sahaja, Najdah kurang dapat meluangkan masa untuk menjahit. Najdah masih sibuk belajar, tambahan pula kursus perubatan memerlukan comitment sepenuh masa.


Memang ummi galakkan anak menantu belajar menjahit, kerana ia amat memberikan manafaat dan kebaikan terhadap pengurusan rumah tangga. Sekurang-kurangnya, pakaian sendiri dan anak-anak tidak perlu ditempah. Melainkan jika mereka memang tidak berminat dan tak ada bakat, maka kita tidak boleh untuk memaksa mereka menjahit.


Dua perkara ini memang ummi beratkan anak-anak perempuan belajar sebab,sekiranya terdesak, kedua-dua ilmu menjahit dan memasak boleh dijadikan sumber pendapatan. Selain belajar bidang akademik, ilmu dunia, ilmu akhirat turut ditekankan. Namun semua kita tahu bahawa ilmu dunia yang dipelajari ini juga boleh menjadi ibadah dan bekal di akhirat kelak.


Katakan terdesak tanpa pekerjaan, tiada tempat bergantung, mereka boleh menyara diri dan anak-anak melalui kemahiran memasak dan menjahit. Ini merupakan pekerjaan yang baik dan halal tanpa sampai perlu menunggu bantuan dan sumbangan orang lain.


Dengan rajin memasak,boleh menjamu saudara mara, jiran tetangga dan sahabat-sahabat untuk tujuan mengeratkan silatur rahim. Rasullulah juga amat menggalakkan kita kerap menjamu tetamu dan jiran tetangga. Jika kita masak makanan sendiri, kos nya tidak terlalu tinggi. Hanya kos bahan sahaja. Kalau kira penat nak meyediakan bahan memasak dan berkemas, memanglah penat tetapi bila kita anggap ianya suatu ibadah kepada Allah maka, hilang segala penat lelah itu.


Begitu juga dengan menjahit, suatu ketika dahulu, ummi memang rajin menjahit, sehinggakan pakaian kerja zauj ummi yang jahit. Zauj suka pakai baju yang ummi jahit. Bila ummi menjahit baju zauj saja,zauj pasti tunggu disebelah sebagai 'quality control' agar baju yang dijahit itu kemas dan bagus jahitannya. Zauj merasa dekat sangat dengan isteri kerana pakaian yang dipakainya adalah hasil jahitan isteri sendiri. Bukan hanya setakat dicuci, digosokkan pakaiannya. Nasihat ummi,mana-mana isteri,jika sibuk sangat pun,harapnya pakaian suami diuruskanlah sendiri, jangan beri suami yang gosok bajunya. Jadi suami akan rasa belaian tangan isteri pada pakaian yang dipakainya.


Maka inilah panduan, bimbingan dan tunjuk ajar yang ummi turunkan kepada anak menantu ummi. Entri akan datang,panduan mengemas rumah dan memasak untuk suami dan anak-anak.





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

 

Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.

Monday 21 June 2010

Catatan Perjalanan dan Ziarah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Bermula 22 hb Mei,setiap minggu ummi sibuk menguruskan walimah anak-anak. Selesai sahaja pernikahan setiap anak-anak, ada  lagi  majlis walimah yang ummi hadiri.


Selama 5 minggu ini hingga semalam, baru ummi terasa keuyuhannya. Selesai majlis sambut menantu di rumah Zubairy, menantu lelaki anak perempuan ummi di lekir Perak,barulah ummi terasa lega.


Syukur kepada MU Ya Allah, memberikan aku kekuatan untuk aku melaluinya dengan mudah. Memang aku tidak pernah putus di dalam hati dari berdoa, agar segala urusan-urusan yang dijalankan mendapat pertolongan Allah dan dipermudahkan.


Bermula dari 15 Jun, Selasa pagi, kami telah bersiap-siap menuju Port Dickson. zauj ada Bengkel Penulisan Modul anjuran Fakulti. Selama 3 hari 2 malam kami di sana. Semua anak menantu pergi bercuti dan tinggal di hotel yang sama.

Telatah anak menantu
Ramai-ramai kat dalam bilik, ada yang tengok CD, 
ada yang menjahit...


Memang ummi suka bercuti beramai-ramai dengan anak-anak. Kali ini bertambah ramai, apabila 3 menantu, adik ummi bernama Saleha dan 3 orang anak-anaknya turut serta. Yang tak ada cuma Nazihah dan suaminya. Mereka tak ada sebab suami Nazihah tak dapat ambik cuti,lagi pun majlis sambut menantu di Lekir belum di adakan lagi. Mereka tengah sibuk membuat persediaan.

Kat kolam renang, sesuai untuk yang berumur 4 hingga 8 tahun





Walaupun bilik hotel ini kecil,kami tetap tinggal bersama-sama dalam satu bilik. Kami tak ambik bilik extra, kerana pada waktu malam,oleh kerana rumah besan menantu sulong tinggal berhampiran dengan hotel jadi apabila waktu malam,Aqbar dan isteri, mak teh saleha dan anak-anak tidor di sana.

Yang tinggal tidor di bilik hotel cuma ummi,zauj dan anak-anak yang kecil. Bila siang mereka akan datang ke bilik hotel untuk bantu ummi sediakan makanan. Anak-anak ummi dan anak Saleha akan mandi di kolam renang seharian. Bila penat dan lapar,baru mereka naik dari kolam untuk makan dan solat.

Jemu berenang di kolam mandi,mereka akan pergi ke pantai pula, tetapi mesti ditemani oleh abang atau angah atau Baihaqi. Ada orang dewasa yang ikut serta untuk awasi mereka yang berenang di laut.


Ummi, Saleha dan isteri Mahfuz pula sentiasa berasa di bilik untuk menyediakan makanan. Ummi bawa periuk nasi,periuk serbaguna dan bahan-bahan untuk memasak. Hari pertama, ummi masakan ayam sambal. Pasti terkejut orang dengar, duduk hotelboleh masak-masak. Memang ummi buat begitu, tiap kali ikut zauj bekerja dan anak-anak bercuti di mana-mana hotel sekali pun. Tak kiralah samada hotel 2 bintang atau hotel 5 bintang.


Pasti ummi akan sediakan makanan sendiri untuk zauj dan anak-anak. Ummi tak suka membeli makanan di luar. Jika sekali sekala makan di luar sempena meraikan sesuatu, tak mengapalah. Tetapi jika untuk makanan hari-hari, rutin setiap waktu, ummi memang tak suka. Biarlah makanan itu seringkas seperti menyediakan ikan bilis goreng dan nasi putih, tetap anak-anak suka.


Dalam kepala ummi ni memang banyak idea masakan ringkas yang anak-anak suka dan gemar. Anak-anak amat suka makan masakan dari air tangan ibu mereka.


Cuti kali ni agak berbeza sedikit kerana, kebetulan besan tinggal di Port Dickson,maka 2 hari sarapan pagi,mereka sediakan. Pagi petama ,nasi lemak dan pagi kedua,bihoon goreng. Petangnya popia basah. Untuk hari kedua Mak teh masah ayam kicap. Dan ummi pula sediakan spaggethi bolgsana. Hari ketiga sebelum balik masak telor dadar, ikan sadin serta ulam timun. Memang amat menyelerakan anak-anak dapat makan makanan ringkas begini.


Hari Khamis, 17 Jun, selepas solat jamak takdim,kami teruskan perjalanan ke Perak. Melalui lebuh raya Plus Utara Selatan, kami singgah di rumah sepupu di Pekan Bidor. Setelah berbual selama 1 jam, kami teruskan perjalanan ke Bagan Serai, Perak.


Kami menziarahi mak saudara ummi, adik perempuan abah tok yang baru balik umrah. Tujuan ummi menziarahi mereka adalah untuk memperkenalkan menantu perempuan, isteri along dan angah yang merupakan orang baru dalam keluarga ummi. Ummi mahu anak menantu kenal orang-orang tua yang menjadi saudara dekat di dalam keluarga.


Tiba di rumah arwah mak ummi di Kg Parit Haji Tahir , jam mencecah 10:30 malam. Baru terasa penatnya. Setelah membersihkan diri, masing-masing mencari tempat untk beradu. Seronoknya bila tiba di kampong, tak ada sapa pun sibuk nak cari bilik, mudah saja tidor di ruang-ruang mana yang lapang samada depan TV, ruang solat atau ruang makan. Selalunya rumah di kampong ,luas dan lapang, tak sesak dengan perabot jadi amat selesa nak bergolek di mana-mana. Bilik selalunya hanya diberikan kepada anak-anak gadis dan orang perempuan sahaja.


Hari Jumaat 18 Jun, kami ke Relau, Sg Bakap. Kawasan dusun durian dan petai. Seronok pula ke kampong ini sebab kawasan berbukit yang sentiasa sejuk dikelilingi dengan pokok-pokok buah-buahan dan pokok getah. Musim durian gugur...




Hari Sabtu, 19 Jun, bersarapan di Pekan Batu 5, makan nasi lemak orang kampong di warung. Sedap beras baru, murah pulak tu. Sebungkus cuma 40 sen sahaja. Tehnya pun sedap,sebab tu agaknya orang tua-tua kat kampong suka minum teh di gerai dan warung-warung. Ada gulai sembilang juga. Ikan sembilang segar yang baru di ambil dari sungai dan di masak gulai. Sedapnya tidak terkira.


8:30 pagi,kami meneruskan perjalanan ke Lekir, Setiawan. Kami tidak lalu jalan lebuh raya. Kali ini, nak tunjukkan anak-anak jalan-jalan melalui dusun,ladang getah dan kampong-kampong. Kami teruskan perjalanan melalui Jalan Trong, Pekan Beruas, Ayer Tawar, Setiawan, Manjung dan akhirnya Lekir.


Bila melalui jalan perbandaran, had laju hanya sekitar 60 - 90 km sahaja. Tak berana nak pandu laju, sebab banyak sekatan jalan raya. Begitu juga perangkap had laju yang tidak diketahui dimana-mana dipasang oelh polis trafik.


Jam 12 : 00 tengah hari kami sampai di rumah ibu bapa Zubairy. Bila lihat sahaja taman perumahan itu, dengan bumbung rumah ala minangkabau, ummi teringat masa anak-anak masih kecik, ummi sering melalui jalan ini apabila berulang alik dari Tg.Karang ke Parit Buntar. Masa dulu-dulu,lebuh raya belum ada.


Tak sangka jodoh Nazihah di situ, kawasan perumahan yang ummi sering lalui semasa Nazihah kecil dahulu. Hanya bila ayah mertua sudah meninggal, lebuh raya telah ada, ummi tidak lagi melalui jalan ini bila berulang alik dari Tg.Karang ke Parit Buntar. Hampir 10 tahun juga ummi tidak melalui jalan ini.


Walaupun Nazihah lahir di Johor,ummi selalu kata Nazihah orang Perak, sebab selalu setiap tahun Nazihah akan ikut ummi balik ke Perak dan Selangor bertemu saudara mara terutama bila hari raya dan cuti sekolah. Bila dah temu jodoh, tak sangka dengan orang Perak juga.


Kami tiba terus disambut oleh pihak pengantin lelaki dan diiringi makan di meja santapan. Ummi janggal nak makan di meja khas macam tu,tapi menghormati tuan rumah,ummi duduklah juga di situ, sebelah pengantin lelaki. Makan beradat bersama pengatin. Rasa segan dan malu. (ummi makan tak banyak , sebab malu)


 Bergambar dengan Nazihah dan suami


Selepas tu, masuk ke rumah untuk acara bergambar bersama keluarga. Berbual dan beramah mesra dengan keluarga pihak lelaki. Jam 3 :30 petang, teruskan perjalanan ke Sg Besar, Selangor.


Kami bercadang untuk bermalam di sana, rumah mak saudara zauj yang terletak di tepi tali air di tengah sawah. Seronoknya... pemandangan hijau sawah padi.

Sawah padi

Pagi Ahad, 20 Jun,kami teruskan perjalanan ke selatan, dan singgah di rumah mak saudara zauj di Pekan Tanjung Karang. Memang niat ummi untuk memperkenalkan menantu kepada saudara mara belah zauj pulak. Semua saudara mara belah ummi telah diperkenalkan semasa di Perak hari semalamnya.






Selepas di Tg Karang,kami singgah lagi di Kuala Selangor, rumah abang zauj. Dalam perjalanan,jumpa sejenis molaksa bernama mentarang. Oleh kerana anak-anak tak penah merasi sedapnya mentarang ini, zauj beli 5kg mentarang di gerai tepi jalan. Harga sekilo lebih kurang RM 8. Sampai rumah abang, zauj masak mentarang dan tunjukkan pada anak-anak cara makan mentarang ni. Memang sedap,manis sebab masih segar,baru diambil di tepi laut.


Jam 3:30 petang meneruskan perjalanan ke Bandar Tasik Puteri, Rawang Selangor. Singgah rumah mak saudara zauj yang bongsu pula. Memperkenalkan menantu dan minum petang. Lepas tu hantar Omar ke asrama di SBPI, Rawang.




Lepas hantar Omar, barulah kami meneruskan perjalanan balik ke JB. Oh..penatnya tidak terkira, bermusafir selama 6 hari ni. Tiba di rumah jam 10 :30 malam selepas berhenti solat jamak takhir di Plaza Tol Skudai.


Moral cerita ummi ini ialah,jika anak-anak lepas berkahwin,bawa mereka menziarahi kaum keluarga untuk diperkenalkan. Tujuannya ialah memelihara dan mengeratkan silaturahim. Adat ini telah ramai ibu bapa dan pengantin baru,  tinggalkan. Bagi ummi adat ziarah menziarahi ini ada dalam syariat, maka ummi didik anak-anak agar meneruskan. Utamakan menziarahi saudara-saudara yang telah tua, mohon doa dan keberkatan dari mereka.

Semua mak-mak saudara zauj yang ummi ziarahi ini berusia dalam lingkungan 60- 75 tahun. Mereka dah tua dan dengan anak-anak ummi,pangkat datuk saudara.


Sekian entri kali ini,sebagai panduan dan merupakan sebuah catatan perjalanan keluarga.





Aku hidup dalam kenangan,
Imbauan rindu sering bertandang,
Sumber kekuatan di akan datang.



Pilihan Jalan Yang Kita Tempuh

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Setelah 5 hari bermusafir, ummi sangat kelelahan. Ummi kira akan ummi temui ceria dihujungnya, namun kiranya sukar diperolehi ceria itu. Memang ummi sedar dalam setangkai padi, bukan semuanya akan menjadi padi yang bernas, ada yang kosong, yang jadi hampa.






Naluri seorang ibu, hanya ibu yang memahaminya. Manusia tetap dengan sikapnya yang ingin memuaskan keinginan hati sendiri. Ingin mencapai apa yang dia inginkan walaupun syariat tidak memberatkan hingga begitu. Kerakusan dengan dunia yang mahu indah dipandang mata dan masyarkat memandangnya mulia.


Pernah zauj berkata,  "seluruh kehidupan ini adalah ibadah jika kita mahu menuruti. Jika peluang dan jalannya terbuka didepan mata. Jangan kita sia-siakan jalannya,  jalan  yang mudah itu. Apa contohnya ? Berkahwin dengan mualaf merupakan jalan yang penuh ibadah ,  setiap langkah bersama dengannya adalah ibadah kepada Allah. Jika mampu rebutlah peluang itu, jika jalan dan peluangnya terbentang di depan mata. " Ramai yang mencari peluang itu, tetapi bukan semua manusia dijumpakan jalan nya.


Ummi kasihan pada manusia-manusia yang mengutamakan hati dan ingin memuaskan hati hingga melawan fitrah yang telah Allah tetapkan.


Jika kita menolak sesuatu kerana hati dan nafsu, maka hati kita akan tertutup untuk melihat kebenaran. Hati tertutup untuk melihat apa yang Allah syariatkan. Alasan apa pun yang kita reka ia tetap berlandaskan nafsu. Nafsu mahu yang bagus-bagus dan indah-indah yang kita pun belum tahu adakah ia dari jalan syariat Allah atau pun hanya indah diluar sahaja.


Jika kita melihat dunia dari pandangan yang sukar, maka sukarlah jalan yang kita tempuh, tetapi jika kita melihat dunia dari jalan yang mudah,maka mudahlah kita untuk meniti menuju ke akhirat di dalam jalan yang Allah redha.



Maka pilihan jalan menuju ke akhirat/menuju kepada Allah adalah ditangan kita sendiri. Bukan ditangan orang lain, hatta jalan seorang anak perempuan, bukan di tentukan oleh ayah atau walinya tetapi di tangannya sendiri. Namun bagi anak yang taat kepada ibu bapanya, apa yang ibu bapanya kata baik,maka dia turuti selagi tidak melanggar syariat,itulah jalan yang baik buat dirinya.


Permulaan hidupnya telah dimulai dengan mentaati ibu bapa sebelum dia mentaati suaminya. Semoga kita semua berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Jadilah wanita solehah...






Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Thursday 10 June 2010

Hidupnya Insan

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Kenapa saat ini, perasaan ini lain benar rasanya. Hati merasakan sesuatu yang makin hampir dan pasti terjadi setiap manusia. Hati berkata-kata telah sedia dan berharap pada keluasan rahmat Allah untuk menghadapi saat itu.


Kelesuan di dalam tisu-tisu jasad makin terasa walaupun zahirnya kelihatan sihat dan ceria. Tersedu seperti lepas menangis masih kerap terjadi. Seperti terdapat suatu kesedihan dalaman yang tidak kelihatan.



Setiap urat nadi,tisu-tisu di jasad ini sakit, terasa nyaman bila ada yang memicit-micit. Allah telah sampaikan hajatku, maka aku juga telah bersedia untuk dijemput pada bila-bila masa walaupun tidak ada manusia yang tahu bila saat dan ketikanya.


Maha Suci Mu Ya Allah, aku telah bersedia dan hanya berharap pada keluasan rahmat dan kasih sayang MU yang Maha Agung...


Kurniakan aku keluasan rahmat MU sebelum, di saat ketika dan sesudah kematian ku. Limpahkan aku dengan kasih sayang MU dan redha MU.Letakkan aku bersama-sama dibawah naungan panji syafa'at Rasul MU bersama ibu bapaku,anak-anak menantuku , embunku dan kaum keluargaku dihari pengadilan nanti dan seterusnya bersama-sama menuju syurga firdaus MU.








Hidupnya Insan Tiada Yang Abadi
Menunggu Saat Panggilan Azali
Hilanglah Nafas Tak Bergerak Lagi
Tanah Perkuburan Kita Bersemadi

Ya Tuhan Ya Allah Ya Rahmat Ampuni Kami

Mayat Terbujur Telah Dikafan
Dibawa Pergi Sanak Saudara
Di Kubur Tempat Akhir Pesanan
Tinggal Di Dalam Gelap Gelita

Ya Tuhan Ya Allah Ya Rahmat Ampuni Kami

Talqin Dibaca Ingatan Diberi
Kepada Semua Yang Hidup Lagi
Jadikan Tauladan Kesedaran Diri
Kubur Yang Sempit Siksa Sekali

Ya Tuhan Ya Allah Ya Rahmat Ampuni Kami





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.