BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, 28 July 2010

Rindu - Rinduan

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Imran dan bibik Harti

Ummi tak mahu menangis, tapi sebak juga hati ini melihat Imran menangis teresak-esak dengan muka ditutup dengan bantal. Ummi tahu Imran rindukan pengasuhnya. Sebelum menangis tu dia duduk memeluk kaki ummi sambil bertanya, bibik balik Indon lama atau sekejab?


Ummi kata,"bibik balik 2 bulan. Nanti lepas hari raya,baru bibik balik semula ke rumah kita."


Tu yang Imran menangis tu, mulutnya menyebut "nak bibik". Ummi pujuk pun tak mahu berhenti tangisnya. Badannya panas. Serupa dengan Naimah. "nak mbah", merengek-rengek.


Akhirnya mengalir gak air mata ummi melihatkan anak dan cucu hiba kerinduan. Ummi dapat rasakan beban rindu yang ditanggung oleh anak dan cucu ini. Dipujuk macamana pun tak mereka hiraukan.


Bagaimana akal ummi lagi nak pujuk mereka melainkan dengan berdoa sahaja. Hiburkan hati mereka dengan bacaan surah Yaasin. Ajak mereka berdua ni mengaji. Akhirnya terlena...


Tekak tak sedap, perut lapar, selera tak ada. Bila makan muntah,begitu lah yang ditanggung oleh anak cucu yang demam ini. Walau apa pun,ummi kena kuat juga untuk merawat mereka, kalau tidak akan menambah masalah kepada zauj pula nanti.



Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud, "Setiap suami pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya, dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab." (Riwayat Bukhari).



Petang semalam sempatkan juga lagi bawa anak cucu ke Klinik Norila sekali lagi. Dr Norila adalah doktor keluarga ummi. Mengenali Dr Norila lebih kurang 15 tahun yang lalu. Setiap kali sakit, sebelum di rujuk ke hospital, pasti akan berjumpa dan dapatkan khidmat nasihat daripadanya dahulu.


Abdullah dan Imran ditambah lagi dengan ubat tahan muntah sebab sebaik selepas sahaja, makanan masuk ke dalam perut, 1 jam selepas itu akan dimuntahkan semula. Begitu juga dengan Naimah. Imran masih teruk lagi. Balik sahaja klinik,mujur sempat turun kereta apabila tiba di pintu pagar rumah, Imran sudah muntah di tepi jalan. Memuntahkan segala isi kandungan yang ada dalam perut. Tentu perit rasanya bila segala isi perut nak keluar, sebab ummi lihat sampai meleleh air matanya. Lepas muntah, ummi mandikan Imran, beri makan ubat dan Imran tidor.


Imran dan Naimah


Waktu makan malam, ajak Abdullah dan Imran makan pun mereka tak mahu. Lepas makan, ummi berkemas dapur. Selepas tu keletihan,jam 9:00 malam ummi minta izin zauj untuk berehat di atas sambil mengadap laptop. Menunggu Baihaqi balik juga. Baihaqi keluar semasa ummi ke klinik, tak pula tinggalkan pesanan mahu ke mana.


Jam 10:00 malam, ummi dengar bunyi Imran muntah. Cepat ummi turun ke bawah, rupanya bukan muntah sahaja tercirit dalam seluar kerana sakit mengeluarkan isi perut. Selepas di bersihkan Imran,dia lena semula keletihan.


Jam 10:30 malam, jiran sebelah telefon, nak berikan nasi,nasi bungkus lebihan program sempena Nisfu Sya'ban di SMKTUN. Rupanya Baihaqi pergi ikut program sempena Nisfu Sya'ban di sekolahnya. Tak lama kemudian Baihaqi sampai rumah.


Sambil ummi makan nasi, kebetulan memang ummi belum makan malam,tadi tu cuma teman dan layan zauj makan, waktu tu masih kenyang, ummi membebel pada Baihaqi dan along. "Lain kali nak kemana - mana tinggalkan pesanan, zaman dah canggih, boleh sms,atau email ,atau PM di halaqahnet atau fesbuk. Gunakan kemudahan yang ada, bukan kena bayar pun!" "Supaya ummi ayah tak tertanya-tanya, tercari-cari kemana pergi. Begitu juga jika adahal, lewat balik rumah, maklumkan,jadi ummi tak risau." Panjang bebelnya...


Gambar masa Imran usia 3 tahun

Lepas makan, berkemas semula, tengok Imran dan Abdullah dah lena, ummi letakkan basin tepi mereka berdua, supaya kalau rasa nak muntah tak sempat berlari ke bilik air, muntah sahaja di situ. Ummi tak mahu muntah tu terkena lantai, sebab akan menambah kerja untuk membersihkan muntah.


Muntah adalah najis, kena bersihkan betul-betul sebab bagi ummi semua ruangan dalam rumah boleh didirikan solat. Jadi kebersihan rumah amat dititik beratkan. Tambahanan rumah tamu di hadapan adalah ruangan solat berjemaah. Luas dan selesa. Itu yang utama perlu ada di sebuah rumah. Ummi tak mampu sediakan bilik khas dijadikan bilik solat kerana kekurangan ruang. Alhamdullilah dapat jadikan ruang tamu utama sebagai tempat solat berjemaah pun dah syukur.


Sebelum melelapkan mata pada jam 11:43 malam, sempatkan juga ummi lihat halaqahnet, tengok fesbuk , email dan terus berbaring. Dah tak mampu badan ni bertahan lagi. Tambahan subuh tu ummi bangun jam 3 :00 pagi hingga 11:43 malam, ummi langsung tak ada terbaring merehatkan badan. Ini pun menulis sementara menunggu solat subuh. Hari ni pun tetap sama, walaupun tidor lewat, jam 3:00 pagi pasti terjaga dan terus duduk , bangun dan bersihkan diri. Perkara rutin yang sukar untuk diubah...


Semoga Allah melimpahkan redha,rahmat dan kasih sayangnya kepada semua anak-anak, saudara mara, sahabat handai, pembca budiman dan kaum kerabat warga halaqah. bertemu kita di dalam jemaah yang berjalan menuju Allah di jalan yang lurus.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Tuesday, 27 July 2010

Jururawat Tak Bertauliah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Naimah dan Nu'man


Sudah 3 hari  ummi  menjadi jururawat tidak bertauliah. Sejak bibik balik Indonesia, sorang-sorang jatuh sakit. Bermula Abdullah, diikuti Naimah dan hari ini Imran pulak demam.


Pada hari bibik berangkat naik 'pesawat terbang' (Naimah dan Imran sebut) Abdullah dan mula tidak sedap badan dan muntah-muntah. Petangnya Naimah masih lagi merengek-rengek "nak Mbah", terus panas badan juga.


Diberikan paracetamol hanya sekadar menurunkan suhu badan.Walaupun begitu, Naimah tetap juga masih boleh menyanyi lagu kegemarannya,"nenek,nenek sibongkok tiga" dan nasyid "nama-nama Nabi" Mudah Naimah menghafal lagu-lagu ini.


Hari ini Imran pulak. Pagi tu,Imran ke sekolah kebangsaan seorang diri,sebab Abdullah masih kurang sihat, baliknya, selepas makan tengah hari,bersiap pergi sekolah agama pula. Masa zauj jemput balik sekolah agama tu, nampak Imran lain macam je.


Bila dipegang badannya, rasa panas. Terus ummi berikan Imran paracetamol juga untuk menurunkan suhu badan. Selalu kalau balik sekolah, Imran akan makan nasi, ni semalam, tak selera nak makan nasi, terus sahaja tidor dengan pakaian sekolah agama.
Imran

Memang sejak bibik tak ada ni,Ummi lihat Imran dalam diam akan masuk bilik bibik dan menangis teresak-esak. Rindu seorang anak kepada pengasuhnya. Antara ramai-ramai anak ummi,Imran yang paling rapat dengan bibik. Dari umur 1 tahun 9 bulan bibik menjaga Imran. Dan kasih sayang tu boleh terjalin kerana bibik pun sayang dan kasih pada Imran sampai dia ajar Imran panggil dia mak.


Naimah pun sama,kadang panggil mbah,kadang panggil mak. Naimah pun di jaga bibik dari kecil juga selepas Naimah berumur 3 bulan. Masa Naimah lahir, 3 tahun lalu, bibik balik bercuti di kampungnya juga.


Maka jadilah ummi jururawat tak bertauliah, merawat anak cucu yang sakit rindu. Kalau budak rindu diluahkan melalui rengekkan dan tangisan. Orang tua pun sama juga,kalau rindu terbeban di hati akan diluahkan melalui tangisan dan diiringi dengan doa.


Sentiasa di doakan agar orang yang dirindu berada di dalam keadaan selamat sejahtera, berharap agar ada suatu ketika nanti dapat bertemu. Rindu akan menjadi bebanan dalam hati yang tidak dapat diterjemah melalui kata-kata. Kalau yang mahir membaca bahasa tubuh, memang akan tergambar pada wajah, bahawa orang itu di dalam kerinduan.


Zauj belikan mereka air hundred plus sebab muntah-muntah. Ummi masakkan bubur nasi. Tapi orang sakit, mana ada selera nak makan. Nasi goreng yang dibuat oleh menantu pun tak ada sapa yang sentuh. Selalunya kalau nasi goreng, sekejap sahaja dihidangkan licin semuanya.


Bekalan ubat masih ada, sebab lepas hantar bibik ke airport hari tu,terus ke Klinik Norila, ambik ubat-ubat paracetamol,ubat sakit tekak,ubat batuk dan ubat selsema. Jadi mereka makan ubat tu dulu,belum dibawa jumpa doktor,kecuali Abdullah dan Baihaqi dah jumpa doktor.

Abdullah yang tembam


Hari ini nampaknya, semua tak ke sekolah. Semua terlantar baring di katil. Ummi masih macam biasa,harap sihat untuk merawat mereka. Moga migrain tak datang menyerang ummi di waktu-waktu begini. "Think Postif,ummi perlu sihat" Kalau ada apa-apa pada ummi,kesian kat zauj.


Walau sibuk mana pun,ummi masih tetap ada masa untuk berhalaqah walaupun sekadar memantau dan membaca post, masih sempat menulis laman blog dan update fesbuk. Sambil tu ummi masak, mencuci pakaian dan menggosok baju-baju kerja zauj dan baju sekolah anak-anak. Memang fully suri rumah sepenuh masa.


Semalam lepas saja berbuka, ummi tergolek lena di sofa. Kepenatan juga akhirnya. Ummi memang mudah letih , tambahan kekuatan/stamina kaki yang tak berupaya. Kaki sakit bila berjalan lebih dari limit yang dibenarkan. Nak melangkah pun terasa payah dan sakit. Namun ummi perlu hadapi hari-hari mendatang dengan tabah,sabar dan redha.


Wahai anak mak, insan yang ummi rindu, semoga berada di dalam redha,rahmat dan kasih s ayang Allah walau di mana berada. Sikit pun mak tak pernah lupa pada anak mak.  Sesibuk mana, mak tetap ingat anak mak.


Sekian entri kali ini, ini kali kedua ummi tulis, semalam dah tulis kemudian shut down komputer masa turun bawah nak masak untuk berbuka puasa, ingatkan dah saved, tengok subuh ni, nak edit sambung tulis dan hilang. Ntah apa kenanya,selalu autosaved, semalam tak ada pula tulisan ummi tu. Ketemu lagi, semoga kita semua sentiasa berada dibawah payung rahmat Allah dan selamat sejahteran di dalam menjalani kehidupan harian.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.





Monday, 26 July 2010

Anak ku Lahir sebelum Nisfu Sya'ban

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Malam itu jam 8:30 malam mak dengan adik bongsu tiba di Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Zauj pergi jemput mak. Mak datang dari Parit Buntar untuk menziarahi ummi yang telah cukup bulan hamil anak yang ke dua.


Rindu seorang ibu pada anaknya, walaupun tak ada pengangkutan sendiri, sanggup naik keretapi untuk melihat keadaan anaknya yang sarat hamil. Mak datang hanya ditemani oleh adik bongsu yang berusia 6 tahun.


Seharian mak naik keretapi. Bertolak dari Parit Buntar jam 8:30 pagi. Mak datang bawa buah mangga ranum. Buah pelam tengah masak elok,kuning dan harum baunya. Oleh kerana dah malam,ummi simpan buah tu untuk makan esok siang.


Lepas sahaja hidangkan mak,adik dan zauj makan malam,ummi terus baring untuk berehat. Orang sarat hamil mudah letih. Lagipun ikutkan tarikhnya, esok 'due date'  lahir anak kedua ini.


Oleh kerana esok adalah 14 Sya'ban, ummi berniat nak berpuasa. Bercadang untuk bangun awal bersahur.


Kira-kira jam 2:00 pagi , ummi tersedar untuk bangun buang air kecil. Ibu hamil yang sedang sarat memang kerap kencing sebab kandungan yang besar telah menekan pundi kencing. Dah bangun buang air, ummi akan terus berwuduk untuk bersolat malam.


Tapi malam itu, ketika nak buang air,ummi terlihat ada tanda darah pada kain ummi. Terus tersentak ummi, dan bila ingat tarikhnya due,  "oh...nak bersalin rupanya aku ini."


Ummi teringat buah pelam yang mak bawa. Kalau ummi tak makan sekarang, dah bersalin,mana boleh makan buah pelam lagi, tambahan pelam kuinin. Baunya cukup harum semerbak. Kalau orang jenis alahan,akan mudah batuk. Tapi ummi jenis orang kampung,semua benda boleh telan tanpa ada pantang larang.


Nak gelak bila teringatkan semula,kerana dah tahu akan bersalin tak lama lagi,terus ummi kupas buah pelam tu dan makan sorang-sorang pada jam 3:00 pagi. Mana ada orang makan pelam dinihari.


Sedap dan nikmatnya tidak terkira. Walaupun darah tanda nak bersalin dah keluar,tapi belum ada rasa sakit lagi. Tak jadi ummi nak bersahur dan berpuasa. Lepas sahaja solat subuh,baru ada rasa resa nak bersalin. Baru ada "contractions" dibahagian abdomen tanda kelahiran akan berlaku.


Bila selang masa makin kerap,baru zauj pergi ke rumah Mak Pah, bidan bersara yang bantu sambut kelahiran along dahulu. Selepas sarapan, cepat-cepat ummi berkemas rumah. Selagi belum bersalin, ummi akan baut kerja yang patut untuk meringankan zauj. Ummi cuci pinggan mangkuk,cuci pakaian dan sapu lantai.  Lagi pun berjalan ketika hampir melahirkan akan memudahkan proses kelahiran anak.


Bila bidan Mak Pah dah sampai baru ummi baring di atas tilam dalam bilik. Tak sampai 30 minit, jam 9:30 pagi , hari Isnin bersamaan 14 Sya'ban 1407 H,anak kedua ummi lahir dengan selamat. Berat anak kedua ini 3.3 kg,lelaki.Zauj juga yang sambut dibantu oleh bidan Mak Pah. tali pusat dipotong oleh Mak Pah. Sementara menunggu uri keluar,Mak Pah bersihkan bayi, mandikan dengan air suam dan dipakaikan pakaian bersih.


Setelah bersih,barulah zauj azan dan iqamatkan bayi itu. Mak Pah menguruskan ummi pula. Setelah pasti semua uri telah keluar,ummi dibersihkan dan ditukarkan pakaian. Kemudian Mak Pah berikan ummi minum air suam agar badan bertenaga setelah bersabung nyawa untuk melahirkan anak.


Walaupun rezeki dan anugerah Allah ummi mudah untuk bersalin,tetapi kesakitan untuk melahirkan anak tetap sama. Sakitnya tidak terucapkan dengan kata-kata.Hanya hati sahaja berbicara dengan Allah memohon keredhaan dan rahmatNYA. Disamping tu,air mata mengalir lesu di penjuru mata. Zauj akan kesat air mata tu menunggu "contractions" seterusnya agar bayi dapat keluar.


Seorang suami, walaupun dia tidak merasai kesakitan tu,tetapi dia memahami. Sebab itu suami yang soleh,tidak tergamak untuk menganiya isterinya. Usahkan untuk melukakan hati isteri,nak menguris atau mencalarkan pun dia tidak mahu. Akan ditatang isterinya, kerana isterinya telah berjuang antara hidup dengan mati untuk melahirkan zuriatnya.


Dari awal kehamilan, mabuk, loya, pening, muntah, tak berselera makan dan macam-macam keadaan yang tidak menyelesakan dirasai oleh ibu hamil. Suami cuma boleh tengok dan bantu untuk meringankan keadaan sahaja.  Bila dah sarat pulak,bawa kandungan lebih kurang 10kg kesana-kemari. Pertambahan normal berat ibu hamil ialah sekitar 10 kg. Maka 10 kg itu akan hilang bila anak lahir. Walaupun berat anak cuma dalam 3++ kg sahaja,lain-lain seperti darah,uri,air mentuban yang menyebabkan pertambahan dalam 10 kg kepada ibu hamil.


Zauj pernah tanya ummi,macamana beratnya bawa perut tu kesana-kemari. Ummi jawap,"kalau nak tahu,macama mana rasanya, ambik sekampit beras 10 kg,ikat dipinggang dengan kain dan pergi jalan sana sini."


Sapa saggup bawa beras 10kg dipinggang, tak kira siang atau malam,samada dalam tidor atau sambil buat kerja?


Sebab itu ibu hamil,ummi lah,tak tahu pula orang lain, bila kandungan dah mencecah 5 bulan,ummi sudah tidak boleh tidor telentang. Bila baring telentang,ummi rasa lemas. Jadi sepanjang kehamilan,ummi hanya boleh baring mengiring kiri atau kanan dan perut di alas dengan bantal kecil supaya selesa. Bila ummi berjalan, ummi perlu ampu perut ummi agar dapat berjalan lebih pantas dan selesa.


Kalau ikutkan doktor yang merawat ummi,sarankan ummi gunakan kain sokongan yang dipaut ke leher untuk ampu perut. Ini disebabkan sewaktu hamil,urat-urat dari paha ke betis ummi bengkak dan berpintal-pintal warna biru seperti biji guli. Kalau tengok pun mengerikan. Dokotr sentiasa berpesan,agar ummi berhati-hati jangan sampai luka pada urat itu, sebab kalau luka,darah yang keluar akan memancut-mancut. Itulah azabnya seorang isteri untuk melahirkn zuriat suaminya.


Sebab itu kenapa zauj tatang ummi bagaikan ratu. Selalu zauj sediakan makan minum untuk ummi. Tetapi walaupun zauj begitu,ummi tidak ambik kesempatan untuk menyuruh itu ini,sebab ummi pun nak gelaran isteri solehah yang menyediakan khidmat kepada suaminya. Berbakti kepada suami dalam hal-hal yang boleh mengeratkan kasih sayang.


Selesai urusan kelahiran,ummi pun telah nampak sihat,barulah zauj hantar Mak Pah balik rumah. Tengah hari tu,zauj tak lupa suapkan ummi 3 ketul nasi panas yang dikepal dengan jari-jarinya. Agaknya itu petua kasih sayang suami isteri.


Malamnya nisfu Sya'aban, zauj dan mak baca Yassin depan ummi dan anak yang baru lahir ini. Baru ummi teringat niat nak berpuasa tetapi terbatal sebab melahirkan anak.


Hari ke 7,zauj namakan anak yang kedua ini dengan nama Ahmad Ali Mahfuz. Ummi tanya apa maknanya? Zauj kata,"kan ummi selalu baca doa tu,minta Allah pelihara kandungan dan ummi." Mahfuz = terpelihara.


Mahfuz lahir pada tarikh due yang dijangkakan oleh doktor. Tepat harinya. Kalau along dahulu,lewat 7 hari dari tarikh jangkaan doktor. Syukur semuanya selamat walaupun keadaan Mahfuz lahir sama keadaan abangnya dahulu di mana tali pusat membelit dan terselempang di badannya. Alhamdullilah Allah menyelamat dan memudahkan kelahiran Mahfuz tanpa sebarang komplikasi.


Setiap tahun pada hari ini,14 Sya'aban,pasti ummi teringat akan kelahiran Mahfuz. Pada tahun itu juga ummi tidak berpuasa 1 bulan Ramadhan kerana nifas. Lepas bersih nifas sahaja, ummi beransur-ansur mengqada' puasa Ramadhan yang tertinggal selama sebulan. Ummi dapat selesaikan mengqada' puasa sebelum menjelang Ramadhan tahun berikutnya. Tak adalah fidyah yang perlu dibayar. Cumanya ummi berselang hari puasa kerana ummi menyusukan anak dengan susu ummi sendiri, maka tidak dapat berpuasa secara terus menerus atau hari-hari.


Masa ummi hamilkan Mahfuz,ummi telah tamat belajar di UTM. Sementara menunggu panggilan penempatan guru, umm berehat di rumah mengasuh dua orang anak ummi ini. Alhamdullilah kedua-dua anak ini di asuh dan dididik oleh tangan ummi sendiri sehingga berusia 6 tahun sebelum ummi dipanggil untuk bekerja sebagai guru.


Sekian entri kali ini, semoga bermanafaat buat pembaca. Mana yang baik itu dijadikan teladan yang kurang sempurna dijadikan iktibar.

Wassalam.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Sunday, 25 July 2010

Tugas adalah tanggungjawab bukan bebanan

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Pagi itu,ummi dapat surat bertanda "URUSAN SERI PADUKA BAGINDA". Sampul surat coklat itu segera ummi buka untuk mengetahui isi kandungannya. Rupanya surat permohonan pertukaran sekolah diluluskan. Ummi memohon pertukaran sekolah  dari  SMK Kulai Besar, Kulai ke SMK Taman Universiti, Skudai.


Jarak antara 2 sekolah ini tidak lah jauh sangat, sekitar 25 km sahaja. Tetapi jarak SMK Kulai Besar dengan rumah ummi yang jauh sekitar hampir 30 km dan jarak antara SMK Taman Univerisiti hanya 7km sahaja. Oleh kerana ummi tidak pandai memandu, tak ada lesen, dan tak pernah memandu kereta maka sukar untuk ummi berulang alik dari rumah ke sekolah SMK Kulai Besar. Perlu naik bas 2 kali. Jika bersekolah di SMK Taman Universiti,mudah untuk zauj hantar dan jemput ummi setiap hari, tanpa perlu ummi menaiki bas lagi.


Tarikh melapor diri ke SMK Taman Universiti ialah pada 1 Disember 1994. Ummi memulakan kerjaya sebagai guru, bermula tarikh melapor diri di SMK Kulai Besar pada 4 Disember 1989. Kiranya 5 tahun telah ummi bertugas di SMK Kulai Besar sebelum dapat bertukar ke SMK Taman Universiti.


Sebaik melaporkan diri pada 1 Disember, 2 Disember telah di adakah mesyuarat guru-guru kali pertama sessi persekolahan 1994/1995. Ummi diamanahkan sebagai Penyelaras Pusat Sumber Sekolah.


Bila dapat tugas tu, ummi terdiam sebab pengetahuan tentang pusat sumber yang merangkumi perpustakaan,alat bantu mengajar, alat pandang dengar, peralatan siar raya dan PA System zero. Tidak pernah ada pengalaman selama 5 tahun di SMK Kulai Besar di dalam bidang ini.


Oleh kerana SMK Taman Uniersiti adalah sekolah baru, baru dibuka, kumpulan ummi bersama guru-guru lain yang mendaftar merupakan kumpulan guru perintis. Keadaan sekolah ketika itu belum siap sepenuhnya. Perabut bilik darjah belum ada,kemudahan infrastruktur belum siap sepenuhnya. Ingin lihat gambar dulu-dulu,sila klik  di sini. http://smktunjb.com/DULUKINI.htm




Dataran untuk dijadi tapak perhimpunan masih bertanah merah, tangga untuk naik ke bangunan atas mesih tiada pemegang. Tetapi kerana terdesak, bilangan pelajar yang ramai, sekolah untuk penempatan mereka tiada, terpaksa sekolah itu dibuka di dalam serba kekurangan.




Bila sahaja ummi dapat tugas dan dipertanggungjawapkan untuk mengendalikan sebuah Pusat Sumber yang merangkumi bahagian seperti yang tersenarai di atas, ummi pun mula mengali ilmu dari guru-guru sekolah lain. Pergi menuntut, pergi melawat sekolah-sekolah disekitar JB. Ummi tidak segan atau malu untuk belajar dari A.


KPM telah memperuntukkan sebuah sebuah sekolah yang dilengkapi ruang pejabat,bilik mesyuarat,  kantin,  bilik guru, bilik darjah,  makmal  sains dan bengkel-bengkel seni serta kemahiran hidup. Ruang paling besar dan luas ialah Pusat sumber. Satu aras atau satu tingkat bangunan Blok A diperuntukkan sebagai pusat sumber. MasyaAllah, besarnya tetapi kosong sahaja tanpa seketul perabot pun ada di dalamnya.



Apa ummi nak buat dahulu dengan tempat ni? usahkan peralatan, atau buku perabot pun tak ada lagi. Dalam diam ummi berfikir dan merancang. Apa yang ummi fikir,ummi bawa berbincang dengan pengetua sekolah. Alhamdullilah, apa sahaja yang dirancang untuk pembangunan sebuah pusat sumber sekolah mendapat kerjasama dan sokongan daripada pengetua.



Bermula dengan memohon sumbangan buku-buku dari Dewan Bahasa Pustaka (DBP) hinggalah kepada memohon sumbangan buku-buku dari pelajar dan ibu bapa. Kemudian barulah buku-buku dari peruntukkan kerajaan beransur-ansur tiba menambah koleksi buku-buku diperpustakaan.


Pernah ummi pergi ke gudang DBP Kuala Lumpur, memilih buku-buku bacaan dan rujukan yang sesuai untuk pelajar sekolah menengah. Setelah buku-buku ummi pilih di dalam anggaran 300 naskah, ummi masukkan ke dalam kotak dan kirimkan melalui keretapi ke Johor Bharu. Itulah peringkat awal usaha ummi mendapatkan buku-buku untuk perpustakaan sekolah yang baru dibuka sementara menunggu peruntukkan KPM tiba.


Bermula dari senaskah buku sehingga 10 tahun kemudian ketika ummi menamatkan khidmat di perpustakaan sekolah, bilangan buku yang tercatat di dalam nombor perolehan adalah sebanyak 28,000 naskah.


Alat siar raya beroperasi dengan baik, alat pandang dengar bermula dari sebuah TV dan akhirnya memiliki beberapa projektor lut sinar (OHP) dan projektor legap. Segala apa yang dinamakan alat pandang dengar ada di dalam bilik APD. ABM bermula dengan sebuah peta kini di lengkapi dengan beratus-ratus ABM lain yang membantu guru-guru mengajar.


Genap 10 tahun ummi dibidang Pusat Sumber, setiap tahun dalam tempoh itu,ummi sentiasa berusaha meningkatkan kualiti diri di dalam ilmu pusat sumber hingga di tahun- tahun terakhir ummi masih sempat lagi menghadiri kursus Literasi Maklumat yang dianjurkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, KPM di Kuala Terengganu.


Kursus di peringkat negeri dan daerah,memang kerap ummi hadiri. Begitu juga tahun-tahun pertama kempen Program Nilam, nadi ilmu amalam membaca,iaitu program menggalakkan pelajar membaca buku dan mencintai buku-buku. Bebrgaia aktiviti perlu dirancang dan memsatikan pula aktiviti dilaksanakan.


Setelah genap 10 tahun,tiba-tiba ummi ingin menceburi sesuatu bidang yang lain ,bidang yang lebih mencabar. Semua dugaan dan rintangan di dalam pengurusan pusat sumber dapat ummi lalui dengan tabah dan sabar. 10 tahun bersama-sama pusat sumber,telah ummi lalui segala pahit manis dan sepak teranjang yang ada di dalam bidang pengurusan pusat sumber. Selama berkhidmat dibidang ini,ummi rasa seronok dan ketika meninggalkan bidang itu ummi telah rasai kepuasan menjalankan tugas dan telah menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.



Suatu hari selesai solat zohor,tiba-tiba ummi diilhamkan untuk berbakti di bahagian pendidikan khas, mendidik anak-anak istimewa. Terus keesokkannya ummi bertemu Penolong Kanan sekolah menyatakan hasrat untuk menjalahi kursus asas Pendidikan Khas. 3 bulan selepas itu, ummi dipanggil untuk menjalani kursus asas dan tahun berikutnya kursus peringkat pertengahan Pendidikan Khas. Alhamdullilah awal tahun 2005, pada 1 januari 2005,ummi dilantik menjadi guru Pendidikan Khas,bagi mendidik anak-anak istimewa. Memang benar,cabaran di sini sangat besar dan kesabaran diperlukan adalah sangat tinggi dan berharga.


Sekian entri kali ini,dilain kali akan ummi sambung untuk entri mendidik anak-anak istimewa.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Saturday, 24 July 2010

Virus Denggi Membunuh Janinku

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Subuh itu,terasa sakitnya kepala tak terkira, tetapi bila kenangan anak-anak murid yang nak ambik peperiksaan PMR tak lama lagi,ummi gagahkan diri untuk bangun juga bersiap-siap untuk ke sekolah.


Kelas 3ES 1, ada 2 masa bersama mereka, dari jam 7:30 hingga 8:50. Kelas ini pelajarnya sederhana tetapi rajin-rajin belaka. Dah banyak kali ummi tertinggal mengajar kelas ini. Ye lah,sebelum  ni ummi tinggalkan kelas ini selama 40 hari, pergi menunaikan haji ke Makkah.


Balik dari Makkah,  baru 2 minggu ke sekolah semula, HSAJB, telefon ingatkan,hantar surat 'urgent' suruh jalani pemeriksaan berkaitan hati. Lepas buat ujian darah,kena masuk wad selama 2 minggu.

Sebelum masuk wad, ummi buat banyak lembaran kerja untuk kelas-kelas yang terpaksa ditinggalkan sekali lagi, sedang mereka mahu menduduki peperiksaan PMR pada tahun itu.


Oleh kerana doktor dah inform awal-awal kena masuk wad,maka ummi pun buat persiapan dengan menyediakan bahan-bahan yang bakal dibuat ketika di wad nanti. Kali ni macam orang nak pergi berkursus sahaja,beg besar yang dipenuhi dengan buku-buku.


Buku rekod mengajar pun ummi bawa,jururawat dan doktor geleng kepala memerhatikan ummi yang sibuk membuat kerja-kerja sekolah di wad. Selebihnya ummi membaca buku. Ummi kurang gemar berbual-bual ketika tinggal di wad, sebab bagi ummi kalau ummi sakit,ummi perlukan rehat dan tak mahu minda dicampuri dengan masalah kesakitan orang lain.


Cukuplah ummi berehat di katil sambil membaca buku. Cukup masa, doktor dan jururawat akan datang membuat rawatan ke atas ummi. Ummi masuk wad hari Isnin. Hari Rabu,zauj membawa khabar hari Sabtu dan Ahad ini,ada keluarga sebelah zauj nak datang bermalam kerana menghantar anak mereka mendaftar sebagai pelajar di UTM.


Macamana ya,mereka belum pernah datang, siapa nak melayan mereka di rumah nanti? Petang itu,ketika doktor melawat melihat keadaan ummi, ummi minta izin untuk pulang bercuti di rumah pada hari Sabtu dan Ahad. Lagipun, biopsy hati hanya akan dibuat pada hari Isnin minggu berikutnya.


Bincang-bincang dengan sister   dan  doktor pakar ,  akhirnya ummi dibenarkan pulang bersyarat. Pagi Sabtu zauj datang ambik terus bawa balik ke rumah dan hari Ahad kena hantar semula masuk wad. Jangan dibenarkan ummi pergi ke mana-mana kerana ummi adalah pesakit berdaftar dan masih menjadi tanggung jawap hospital. Zauj setuju.


Petang Sabtu,sanak saudara zauj pun sampai. Zauj dah siap masak untuk makan malam. Sebenarnya ummi  balik rumah hanya sekadar untuk meraikan tetamu sahaja, kerja rumah dan melayan makan minum tetap zauj yang lakukan. Apakan daya,memang ummi lemah dan tak berdaya.


Hari Ahad ada pasar tani di kawasan perumahan. Ummi tengok bahan makanan dalam peti sejuk telah berkurangan. Ummi ajak zauj ke pasar tani,sebab petang nantinya,ummi dah kena masuk wad semula dan tak tahu bila akan balik semula ke rumah.


Masa di pasar tani,   jumpa ramai kawan-kawan. Semuanya heran,apa pasal ummi ada kat sini,sedangkan mereka dengar khabar ummi masih kat wad. Bila ummi terangkan ,mereka faham dan ketawa, kekerapan ummi masuk wad, sampai boleh minta cuti.


Setelah mengemaskan semua bahan-bahan mentah yang dibeli ke dalam peti sejuk, zauj hantar semula ummi ke wad. Itu pun selepas makan tengah hari dan tetamu telah balik ke rumah mereka di Selangor.


Pagi esoknya, awal-awal pagi,setelah diperiksa oleh doktor pakar, biopsy sepatutnya dibuat hari Isnin,ditangguhkan ke hari Selasa pula. Tak apalah, ummi tak kisah bila mereka nak lakukan, sebab walaupun duduk wad,ummi tak pernah rasa bosan atau jemu. "Think positif". Banyak kerja ummi nak buat. Siapkan rekod mengajar,membuat soalan peperiksaan setangah tahun dan membaca buku.


Hari Selasa, pagi-pagi 3 orang doktor pakar hematologi datang, dan mereka kata tak payah buat biopsy kat bilik rawatan, buat kat atas katil di wad sahaja sebab ummi duduk dalam bilik satu katil seorang. Jadi mereka buat biopsy ke atas ummi kat katil tu sahaja.


Ummi dibius setempat di bahagian abdomen kanan. Hati manusia kan besar sehingga memasuki sedikit rongga dada. Dengan menggunakan peralatan khas mereka, rongga antara dua tulang rusuk di cucuk. Ummi tidak dibenarkan melihat cara mereka melakukan kerja. Pandangan ummi dihadang dengan kain. Jadi tak tahu camana mereka buat kerja,cuma terasa kesakitan tu sehingga ke otak sebab bius tu cuma di bahagian luar sahaja. Sedangkan sample yang mereka nak ambik ialah cebisan hati.


Peralatan mereka itu yang mana seperti jarum tetapi dihujungnya ada gunting. Dah di cucuk kedalam abdomen,mereka akan gunting sedikit untuk ambik cebisan hati dan akan dihatar ke makmal untuk ujian kanser.


Selepas selesai kerja-kerja mereka,ummi tidak dibenarkan bergerak selama 6 jam. Tekanan darah di ambik setiap 15 minit untuk memastikan tidak berlaku pendarahan dalaman.


Waktu zohor zauj datang, bawa Najdah.Masa tu umur Najdah 11 tahun. Along dan Angah tak ada di rumah kerana belajar di Terengganu. Hanya Najdah sahaja anak yang paling tua ada di rumah ketika itu. Ayah tinggalkan Najdah dengan ummi untuk membantu ummi berwuduk. Selepas solat isyak,ayah bawa balik Najdah sebab esok nak ke sekolah. Lagi pun kat rumah masih ada adik-adik yang kecik-kecik.


3 hari lepas tu,tanpa tunggu keputusan, bila keadaan ummi sudah stabil,ummi dibenarkan balik rumah. Minggu berikutnya baru ummi ke sekolah semula.


Tapi hari ni,baru je 12 hari keluar wad, ummi sudah alami sakit kepala yang kronik. Kenapa pulak ni?


Habis sahaja kelas pada pukul 8:50 pagi,ummi dah tak tahan menanggung rasa sakit kepala yang berdenyut-denyut. Ummi called zauj, nak pergi ke klinik UTM. Zauj datang dan bawa ummi ke klinik UTM. Setelah diambil darah, di ambil tekanan darah,doktor berikan ummi suntikan agar sakit ummi dapat diredakan. Sakit kali ni sakitnya ibarat, berbaring seperti atas batu kerikil,sedangkan masa tu ummi baring di atas tilam spring kingkoil yang empuk, menelan air ibarat menelan pasir, kalau air pun rasa macam telan pasir, apatah lagi untuk telah makanan. Semua saraf dan sendi rasa sangat sakit.Suhu badan meningkat dengan mendadak.


Selepas itu, diberikan cuti rehat dan ummi diarahkan balik berehat di rumah. Pesanan doktor, darah perlu diambil setiap hari,maka esoknya pagi-pagi lagi ummi pergi ambik darah dan balik rumah. Setelah 5 hari, darah di ambil dan dibuat analisa, di dapati dalam darah ummi ada virus denggi. Dan pada hari itu juga, pendarahan telah berlaku di mulut, bibir dan yang paling tidak di duga pendarahan dibahagian serviks seperti orang tumpah darah kerana hamil.


Hari ke tujuh, bacaan platlet telah menurun kepada tahap kritikal, dan zauj hantar ummi unit kecemasan di HSAJB. Kelam kabut mereka membantu ummi yang dah macam nyawa-nyawa ikan kerana pendarahan. Kulit dah merah,macam udang kena bakar, bacaan platlet makin menurun kerana darah menjadi cair, sedangkan agen pembeku darah telah tiada.


Platlet telah dimasukkan menerusi intravena. Kiri kanan tangan ummi telah di pasang drip untuk memasukkan cecair dan platlet. Untuk menghentikan darah dari terus keluar di bahagian serviks, ummi dimasukkan ke Dewan Bedah dan diberikan bius " bius keseluruhan (general anesthesia)". Sebelum ummi lelap tertidur,ummi nampak para doktor memasukkan platlet menerusi intrvena ditangan yang seblah lagi dengan menggunakan omboh dan picagari supaya jumlah platlet yang masuk banyak dan cepat demi mengurang pendarahan di serviks. Setelah itu ummi tidak sedar lagi apa yang berlaku.


Subuh esoknya baru ummi tersedar sepenuhnya, rupanya,virus denggi yang menyerang ummi telah meyebabkan anak yang ummi kandung mati. Sakit kepala,suhu badan yang mendadak meningkat dan kesakitan sendi dan tulang-tulang adalah tanda-tanda demam denggi. Setelah keadaan stabil, baru ummi dibenarkan balik ke rumah, dan ummi diberikan cuti rehat selama 1 bulan. Cuti lagi...kesian anak-anak murid di sekolah yang dahagakan ilmu.


Tetapi cuti sakit kali ini, cuti yang amat memeritkan sebab seluruh tubuh sakit dan gatal-gatal. Rambut gugur kesan dari kemasukkan sel darah orang lain yang mengambil masa untuk tubuh ummi sebati menerimanya. Bayangkan ummi diberikan 4 beg platlet yang dimasukkan menerusi intravena, platlet dari para penderma yang tidak ummi ketahui siapa punya demi untuk menyelamatkan nyawa ummi. Moga Allah yang membalas kepada penderma-penderma ini.


Selama sebulan ummi di rumah,dalam keadaan yang masih lemah, ummi berusaha untuk memulihkan tubuh dengan menanam berbagai pokok-pokok bunga hiasan di dalam pasu. Sejak itu, rumah ummi mula terhias indah dengan dedaun tumbuhan hijau. Itulah cara untuk ummi atasi kebosanan dan memulihkan diri agar tidak tertekan dengan rasa sakit dan kesakitan. Ummi tak suka asyik berbaring dan berehat di katil sahaja.


Ummi benar-benar terpukul dan tertekan jika ummi terlalu memikirkan ujian Allah ini,kerana ummi baru 2 minggu lepas menjalani ujian biopsy hati,keputusan pun belum dapat, tetapi sudah diserang sakit dan virus lain. Simpton sakit ini pula menyamai simpton sakit hati disebab kan oleh karsinoma hati. Tapi ummi tidak ambik indah dan tidak peduli semua kesakitan tu, ummi tetap jalani hidup dengan ceria dan bahagia.


Semua orang akan menghadapi ujian, cuma cara ujian itu berbeza. Syukur diberikan ujian ini,kerana Allah Maha Mengetahui bahawa ummi mampu untuk memikulnya. Sakit ini adalah anugerah Allah untuk ummi sentiasa ingat pada NYA.


Semoga ummi zauj dan anak-anak mampu menghadapi ujian ini. Amin.






Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.


Bibik Dah Balik Indon

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Bibik, Naimah dan Imran.


Dah seminggu ummi belikan tiket untuk bibik. Tiket penerbangan dari JB ke LCCT,LCCT ke Solo Indonesia. Bibik telah berkhidmat dengan ummi selama 6 tahun 3 bulan. Kali ini bibik balik bukan balik bercuti tetapi balik untuk berkahwin. Naimah tak faham, Imran dah faham.



Pagi lagi Imran dan Naimah dah bangun mandi dan bersiap-siap. Selepas sahaja bersarapan kuih jemput-jemput bilis dan minum kopi, terus naik kereta pergi ke airport Senai. Jam 10:00 pagi sampai Lapangan Terbang Sultan Ismail. Terus bawa mbah ke kaunter timbang barang.



Kali ini mbah balik bawa 2 beg sahaja. 1 beg plastik besar isi barang-barang cenderhati yang ummi beli semasa pergi Makkah dahulu untuk sanak saudara mbah di kampung dan sedikit pakaian-pakaian untuk saudara mara mbah juga. Timbangan berat yang dibenarkan dibawa hanya 15 kg. Beg plastik tu beratnya 17.5 kg. Mujur, kerani kaunter tidak berkira sangat, terus dilepaskannya begitu sahaja tanpa perlu bayar lebihan berat. Kalau kena bayar 1 kg = RM20.00.


Beg satu lagi jadi luggage,boleh bawa naik bersama dalam kapal terbang. Beg ni pun berat juga, tetapi tidak perlu ditimbang. Perkhidmatan Penerbangan Air Asia sangat rigid. Mereka tidak benarkan bawa lebih luggage ke dalam flight. Hanya satu sahaja dibenarkan, yang lain semua kena timbang dan jika lebih had dibenarkan kena bayar.



Selepas selesai urusan di kaunter,terus bawa mbah ke kaunter berlepas. Di sini, mbah dah mula menangis teresak-esak. Imran buat selamba sahaja, cumaNaimah sahaja menangis meraung bila mbah masuk ke dalam untuk pemeriksaan kastam dan menuju ke Balai Berlepas. Zauj pujuk Naimah dan terus pergi ke tempat letak kereta.


Pujuk Naimah pergi ke klinik untuk ambik ubat dan selepas tu pergi jemputan walimah sahabat ummi di Rumah Alumni , UTM. Dalam kereta, terdengar bunyi esakkan orang menangis di seat belakang. Rupanya Imran menangis. Ummi tanya kenapa, "nak bibik" kata Imran. Ingatkan masa di Lapangan Terbang tadi buat selamba, gentleman lah, rupanya tidak juga, bila dah tak nampak bibik, menangis juga Imran.


Naimah macam senang hati pula. Menyanyi lagu ABC. Ingatkan dia relax lah, tapi baru sampai "ABCDEFG, HIJKLMN, nak pergi mbah" jeritnya. Tak habis lagu ABC dah meraung nak pergi mbah... Imran panggil bibik,Naimah panggil mbah sebab usia bibik hampir sebaya dengan ummi.


Dua-dua menangis kesedihan kerana berpisah dengan mbah yang mengasuh mereka dari kecil. Ummi ambik bibik sebagai pengasuh/ pembantu rumah dari umur Imran setahun 1 tahun 9 bulan. masa tu ummi sakit dan kerap keluar masuk wad.


Dipujuk-pujuk barulah dua-dua senyap. "Mbah cuti je ,"kata Naimah yang berumur 2 tahun 10 bulan, "nanti mbah datang semula" sambungnya. Imran yang dah berumur 8 tahun menjawap, "bibik balik Indon la, bibik kan naik pesawat tu, bibik nak kahwin." Bertekak lah pulak dua beranak ni, yang seorang kata mbah bercuti,yang seorang kata mbah balik Indon.



Ummi yang mendengar mereka menangis kesedihan , sebak juga hati,tapi ditahan-tahan. Tak mahulah pulak ummi yang menangis depan mereka. Ummi pun terasa sedih juga sebab bibik dah lama tinggal bersama-sama ummi sejak 6 tahun yang lalu. Sejak tinggal dengan ummi, inilah kali kedua bibik balik Indonesia. 3 tahun sekali bibik balik kampung halamannya untuk berpuasa dan berhari raya dengan sanak saudaranya.


Alhamdullilah ummi dapat pembantu rumah yang baik dan amanah melaksanakan tanggungjawapnya. Ummi anggap bibik seperti saudara sendiri. Kemana ummi pergi bercuti atau balik kampung menziarahi saudara mara,ummi tetap bawa bibik. Saudara mara ummi pun rapat dan mesra dengan bibik.


Ummi tamatkan perkhidmatan bibik sebagai pembantu rumah kerana, ummi pun sudah bersara, kerja rumah dah semakin kurang, anak-anak pun dah besar kecuali Naimah. Menguruskan Naimah tidaklah susah mana sebab dah pandai menguruskan diri sendiri. Mandi, pakai baju dan buang air sendiri. Ketika Imran dan Abdullah ke sekolah, Naimah saja teman ummi di rumah. Sambil ummi berkemas,masak,  Naimah dan ummi akan menyanyai lagu-lagu pantun nasihat.


Nak mengajar Naimah kena ikut mood dia, kalau dia mahu mengaji, ajar mengaji, kalau dia mahu menyanyi kenalah menyanyi juga. Itu sahaja rutin ummi di rumah sejak bersara ini. Kalau ummi solat,dia pun solat juga. Cumanya ummi tak boleh nak kata apa ialah, ketika solat ummi akan gunakan kerusi sebab ummi tidak boleh bersujud, duduk antara 2 sujud serta duduk tahiyat, Naimah pun ikut macam tu juga. Solat duduk dikerusi.Tunggu Naimah besar sedikit baru mahu diterangkan,yang dia tak sakit apa-apa, maka kena bersolat macam atuk,  ayah dan ibu  solat.


Sebelum ni Naimah pernah dah cakap, "opah sembahyang gunalah kaki,jangan duduk kerusi". sambil tu Naimah tunjukkan gaya sujud dan duduk tahiyat. (agaknya itu maksud naimah suruh ummi solat guna kaki,boleh bersujud dan duduk tahiyat macam orang lain.) Ummi terangkan pada Naimah, "opah tak boleh solat guna kaki macam tu, kaki opah kan sakit,ni tengok luka", sambil ummi tunjukkan parut bekas pembedahan total knee replecment di kedua-dua sendi lutut. Bila Naimah tengok tu,barulah dia faham kenapa opah tak boleh solat macam orang lain.


Begitu cerita anak dan cucu ummi ni. Naimah yang petah bercakap sejak berusia 1 tahun 6 bulan, bercakap lancar tanpa pelat. Suka bertanya dan berlagu nasyid. Cucu yang jadi teman ummi di rumah. Bukan ibu ayah Naimah tak mahu anak mereka, tetapi Naimah yang buat pilihan untuk tinggal dengan opah. Bila seminggu dua balik rumahnya, Naimah dah mula merenggek minta dihantar untuk tinggal dengan atuk dan opah.


Sekian entri ummi kali ini kisah anak-anak dengan pembantu yang telah lama bekhidmat dengan ummi. Ada ramai pembantu rumah di Malaysia,tapi yang dapat macam bibik sangat susah, jujur,amanah dan bertanggung jawap. Rahsianya cuma,anggap pembantu rumah seperti saudara sendiri, makan minum solat berjemaah bersama-sama.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Friday, 23 July 2010

Pelihara Tutur Kata mu Ibu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



SERING kita mendengar dalam kehidupan seharian, seorang ibu sering memarahi anak mereka di atas kenakalan atau kesalahan yang dilakukan.


Lantas mereka melaknat dan menyumpah anak mereka itu baik dengan kata kotor ataupun doa yang tidak baik sehingga menjadi kebiasaan.








Ibu tidak pernah merasa bersalah atau berdosa atas perbuatannya itu. Sambil bersungut dan mengumpat, si ibu meninggalkan permata hatinya itu menangis.


Memang tugas sebagai ibu di rumah tangga mempunyai tugas yang sangat berat, ibarat pekerja ibu mempunyai jam kerja yang tidak terbatas berbanding bekerja di pejabat selama enam hingga lapan jam.Selepas itu dia boleh beristirahat dengan tenang.


Sedangkan bagi ibu yang memiliki anak menjaga mereka 24 jam, belum melayani suami, memasak, mengurus rumah, menggosok pakaian dan sebagainya.


Aduh kasihan sungguh kaum ibu. Beruntunglah ibu yang suaminya menyediakan pembantu di rumah untuk meringankan tugasnya.


Bagaimana pula apabila suami tidak mampu? Tentu isteri yang perlu menyelesaikan tugas itu bersendirian dan biasanya apabila ibu keletihan di tambah pula dengan kerenah anak sudah pasti ibu tidak dapat kawal emosi.


Maka keluarlah cercaan, cacian, makian, laknat dan sumpah yang tidak baik kepada anak mereka.


Biasanya seorang ayah yang mendengar kadang hanya berdiam diri saja. Lalu bagaimana sebenarnya Islam memandang hal ini?


Memang apabila seseorang jauh dari penghayatan Islam yang mulia ini akan menyeret mereka dalam dosa dan maksiat bahkan mereka secara tidak sedar menzalimi diri mereka.


Kerana itu wajiblah bagi semua Muslim dan juga Muslimah mempelajari agama agar mereka terhindar dari apa yang diharamkan Allah dan mengerjakan apa yang di perintah-Nya.


Islam melarang ibu bapa melaknat anak mereka, bukan hanya itu kita pun dilarang menyumpah diri kita sendiri ketika kita marah.


Sesungguhnya kita tidak mengetahui bila waktu yang kita ucapkan perkataan itu menjadi doa dan di kabulkan.


Dari Jabir bin Abdullah, beliau menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Janganlah kalian menyumpah diri kalian, dan jangan pula menyumpah anak-anak kalian dan harta kalian, anda tidak mengetahui saat anda menyebut itu menjadi (doa) dan dikabulkan sehingga Allah akan mengabulkan sumpah itu." (Hadis Riwayat Muslim)


Hadis di atas menjelaskan bahawa ada waktu baik yang di dalamnya akan dikabulkan doa. Demikian itu hadis berkenaan melarang kita untuk menyumpah diri, putera-puteri kita dan harta kekayaan kita supaya sumpah itu tidak bertepatan dengan waktu doa itu dikabulkan.


Tetapi sayangnya sebagaimana yang dipaparkan di atas, ramai kaum ibu sebenarnya yang melaknat dan menyumpah anak mereka, tetapi beralasan mereka sebenarnya tidak bermaksud melakukan sedemikian.


Sebagaimana kita ketahui, alasan itu tidak dapat diterima kerana larangannya jelas dan tegas.


Ada satu cerita di mana ada seorang anak lelaki berusia sembilan tahun tersambar petir. Maka ramailah orang datang untuk melihatnya. Tidak lama kemudian datanglah seorang ibu yang menangis teresak-esak dan menjerit kerana mendapat tahu anaknya sudah meninggal dunia.


Selepas beberapa waktu, rupanya kematian anaknya itu adalah akibat dari sumpah ibunya sendiri yang ketika itu sedang marah yang menyumpah agar anaknya disambar petir.


Akhirnya sumpahnya itu dikabulkan Allah dan ibu berkenaan terlalu menyesal. Apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.


Sungguh menyedihkan apabila seseorang jauh dari nilai agama sehingga membuatkan diri mereka terjerumus melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya.


Semoga Allah membimbing kita semua serta mengampuni segala dosa kita. Sebenarnya banyak tip yang boleh di pelajari oleh ibu agar mereka mampu boleh mengawal emosi ketika marah. Antaranya:


1. Ketika ibu marah, ingatlah bahawa Allah selalu mengawasi kita dan ingatlah bahawa anak tidaklah terus menjadi dewasa dan memahami kehendak kita.


Kita juga dulunya anak yang nakal dan menyakitkan orang tua kita.


2. Tarik nafas dalam-dalam dan santai (relaks).


3. Bila kedua-dua cara di atas belum boleh menguasai emosi segeralah beristighfar. Apabila ingin meninggikan suara maka lakukanlah sehingga anak mendengar suara kita.


4. Seseorang akan mudah marah akibat keletihan. Maka jangan memaksa diri dalam melakukan pekerjaan rumah sebaiknya tidurlah segera ketika anak tidur. Berbincanglah dengan suami berkenaan cara dan kaedah selain bacalah buku sebagai panduan.


5. Jangan lupa berdoalah kepada Allah agar hati ibu dalam genggaman-Nya. Insya-Allah, kita tidak akan membiasakan diri lagi menyumpah anak kita ketika marah.



Semoga menjadi pengajaran,iktibar dan teladan kepada ibu-ibu dan bakal-bakal ibu semua. Jika kita mahu menjadikan anak kita anak yang soleh,maka ia bermula dari diri kita, jadilah ibu mithali dan muslimah solehah terlebih dahulu.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Thursday, 22 July 2010

Seminggu Tidak Menaip

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Mohon maaf kepada pelayar budiman yang rajin mengikuti tulisan ummi di sini. Sejak seminggu dua ini,keadaan kondisi diri ummi yang kurang stabil menyebabkan tak berupaya untuk menterjemahkan idea di dalam bentuk tulisan.


Banyak yang bersarang diminda tetapi pengaruh emosi hiba akan mempengaruhi tulisan ummi nanti. Rasanya dah banyak luahan hati hiba yang ummi tulis di sini dan ummi tekad tidak lagi untuk meluahkan nya di sini. Ummi telah create laman lain yang lebih personel untuk cerita luahan hati dan tak perlu ada pengikut tetapnya. Kalau terjumpa tidak mengapa.


Terlalu sayang bagi ummi, laman yang telah diikuti ramai orang tetapi ummi hanya menghidangkan cerita luahan hati sahaja. Maka selepas ini laman ini akan ummi penuhi dengan cerita-cerita yang lebih bermanafaat untuk kita jadikan iktibar.


Sejak seminggu ummi sering didatangi migrain. Banyak punca dan sebab-sebab migrain selalu bertandang menziarahi ummi. Antaranya, bau yang harum, sinaran matahari yang amat terik, cahaya yang terang, angin di dalam badan berlebihan, atau perubahan mendadak apabila ummi bergerak. Tapi punca migrain ummi kali ini adalah dari emosi sedih yang berlebihan.


Sakitnya tidak terkira. Sakitnya hanya di sebelah kepala sahaja. Sedikit sahaja pergerakkan akan mengakibatkan jadi berdenyut-denyut. Untuk melegakan rasa sakit, ummi ambik 2 tablet paracetamol dan 1 tablet postant,lega untuk 5 jam, lepas itu akan rasa sakitnya. Untuk menunggu waktu sepatutnya ambik lagi penawar tu,memang kena bertahan. Ummi pulak jenis tidak kuat menanggung sakit,sementara menunggu tu sempatlah angin naik ke kepala,loya dan muntah.


Dalam hati sambil berbaring tu selalu berdoa,Ya Allah moga rasa sakit yang aku tanggung ini akan mengugurkan dosa-dosa silamku. Aku redha Ya Allah menerima kesakitan ini. Namun Ya Allah aku mohon ringankan kesakitannya,agar aku dapat bangun dan melaksanakan ibadah kepada MU dengan sempurna.


Walaupun dalam kesakitan tu,ummi tetap bangun buat kerja rumah tangga. Masak untuk zauj dan anak-anak. Masak untuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Cuci pakaian, cuci dengan tangan pulak tu, penat tetapi ummi rasa puas hati kerana teringatkan Syaidina Fatimah pun selalu kepenatan melayan suami dan anak-anak.


Ada masa terluang baru ummi duduk menghadap laptop ini. Laltop ini memang sentiasa online, tetapi tuannya selalu tak ada,sebab menyambil buat kerja rumah.


Sejak bersara dari perkhidmatan pendidikan, masa ummi lebih santai. Namun tetap juga ummi memulakan hari baru pada jam 3 pagi. Telah menjadi kebiasaan sejak dari muda,sejak dari anak-anak masih kecil.


Jam 4 ummi akan memulakan kerja rumah,menyediakan sarapan,cuci pakaian dan mengejutkan anak-anak bangun untuk ke sekolah. Sementara mereka mandi, ummi akan teruskan dengan solat subuh. Seusai solat,terus menghidangkan sarapan untuk anak-anak. Makan bersama mereka dan menyiapkan bekal tiap orang dibawa ke sekolah. Bila anak-anak ummi sejak kecik dibiasakan bersarapan sebelum kemana-mana,maka dah besar pun, pagi-pagi mereka akan cari makanan.


Semalam hari Selasa, kesakitan yang melanda keterlaluan,tak dapat nak masak untuk makan malam. Alhamdullilah ada yang datang ziarah. Irmawaty dan Mastura. Sambil berbual dengan Irmawaty, berbaring dan mata terpejam. Masa tu kesakitan yang teramat. Tetapi tetap menghormati orang yang datang ziarah,maka ummi berbual-bual. Lepas Irmawaty solat maghrib,barulah dia tolong picit kepala dan bibik picit belakang untuk melegakan rasa sakit.


Selepas sejam,terasa lega sedikit barulah turun ke bawah untuk makan malam yang disediakan oleh zauj. Tak lama mastura datang untuk ziarah dan terus makan malam bersama-sama. Dah lewat, mastura balik ke rumah sebab datang berkereta,Irmawaty ummi tak benarkan balik rumah sebab datang bermotosikal. Ummi suruh Irmawaty tidor sahaja bermalam dengan ummi.


Terima kasih anak-anak yang sudi ziarahi ummi. Kalau dalam phone atau YM,orang tanya khabar, ummi kata sihat sahaja.  Slelaunya memang ummi suka sembunyikan sakit ummi dari sapa-sapa pun. Kat rumah pun sama, kadang tu tak ada sapa yang tahu ummi sakit terbaring di bilik. Sebabnya ummi jenis tak tunjuk dan tak merintih. Jenis diam dan nampak santai.


Kalau kaki yang sakit,baru mereka tahu bila ummi tak boleh nak berjalan. Itu saja yang mereka tahu, atau pun bila ummi muntah tak henti-henti. Selagi ummi boleh sembunyi,ummi akan sembunyikan kesakitan ni dari diketahui oleh orang lain. Cuma kadang-kadang terluah juga, bila di desak berkali-kali. Alhamdullilah,redha dengan kesakitan yang selalu dirasai ini.


Semoga ketemu lagi, anggaplah kesakitan itu satu anugerah dan rahmat dari Tuhan,tanda Allah kasih , sayang dan ingat pada kita. Pastinya bila sakit, pergantungan hati kita hanya pada Allah dengan bibir itu pasti tak lepas dari menyebut nama Allah.













Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.





Sunday, 11 July 2010

Perkongsian Ketika Hamil

Setelah lama berblog,tidak terlintas untuk ummi berkongsi pengalaman ummi hamil dengan pelayar-pelayar internet walaupun telah 10 kali ummi lalui.


Tiba-tiba sahaja hari ini,ingin ummi kongsikan sesuatu buat panduan dan kemaslahatan gadis-gadis yang akan berumah tangga,isteri-isteri yang baru bernikah dan juga bakal-bakal ibu.

Semua keinginan untuk mencatat di sini bermula, apabila di forum halaqahnet, ada seorang user meminta panduan ibu hamil. Maka sibuklah ummi mengoogle mencari maklumat. Selepas itu terlintas difikiran ummi,kenapa nak cari panduan orang lain, sedangkan diri sendiri telah pun melaluinya.


Soalan pertama : Bagaimana yg di sebut sebagai kehamilan terancang ?


Ini Jawapan ummi berdasarkan pengalaman yang dilalui.

Ketika rahim masih kosong,dalam keadaan suci, katakan baru lepas haid atau baru lepas bernikah. Fikirkan, adakah mahu anak sekarang atau nanti. Mana tahu ada kekangan yang perlu dilalui untuk tidak segera hamil.Kalau rasa nak lambat lagi kena buat perancangan untuk elak kehamilan. Manusia hanya boleh merancang, sekiranya takdir Allah kata jadi, maka jadilah juga walaupun kita berusaha untuk mengelakkannya. Usaha untuk mengelakkan kehamilan itu cuba rancangan kita, belum tentu itu yang Allah rancangkan sejak azali.


Jika merancang mahu anak, maka pada kali pertama bersama dengan suami selepas suci mulakan dengan doa. Niatkan dalam hati setiap kali bersama, selepas membaca doa jimak dimukaddimah persetubuhan, sepanjang masa persetubuhan itu bacalah doa ini di dalam hati, "Ya Allah, aku bermohon kepada keluasan rahmat MU,jadikan benih ini anak yang soleh,sempurna akal fikiran dan sihat tubuh badan."


Bacalah doa ini setiap masa setiap kali bersama suami sehingga disahkan hamil. Apabila disahkan hamil,maka doa ini pula di baca setiap masa tak kira di mana berada.

Ya Allah, peliharalah anakku ini selama ia berada di dalam kandunganku, dan sihatkanlah dia, Engkau yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhanMu, Penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit. Ya Allah, sempurnakan dia yang ada dikandunganku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah di dalam hatinya iman kepada Engkau dan kepada RasulMu. Ya Allah, keluarkanlah dia dari kandunganku dengan mudah dan selamat. Ya Allah jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal. Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkanlah badannya, baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.



Sebenarnya ada doa ini di dalam bahasa arab,tetapi oleh kerana dah terlalu lama tak hamil,dah terlupa doa di dalam bahasa arabnya.

Yang ummi ingat hanya hujungnya sahaja, namun ummi akan usaha mencari juga. Tanya zauj lagi lah dia pun tak ingat sebab mana dia ada baca doa tu.



Sohihan..kamilan..hazikan..'akilan..'aliman zakiyyan mu'minan solihan...Allahumma ahsin khuluquha..wa ahsin shautaha..li qiraati Quran wal hadisi bibarkati saiyidina Muhammad s.a.w..Amin...walhamdullilah hirrabil 'alamin.

maksudnya: Ya Allah jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal. Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkanlah badannya, baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.


Begitu pula amalan -amalan yang baik ketika hamil. Banyak yang mengalakkan membaca surah-surah tertentu untuk di baca. Di bawah ini ada ummi sertakan. Tetapi ia berbeza dengan apa yang ummi sendiri lakukan ketika ummi hamil.

Ummi amat suka jika di dalam tempoh kehamilan itu akan melewati bulan puasa. Ini bererti ummi dapat berpuasa penuh, dan dapat menggandakan ibadah serta doa untuk anak yang di dalam kandungan.

Sekiranya mampu baca satu quran. Setiap hari mengaji dari awal hamil sampai bersalin. Amalkan macam kita mengaji di bulan Ramadhan. Setiap kali hamil ummi mesti tekad untuk khatamkan quran. 9 bulan tu,kalau bacaan laju,tentu boleh khatam 3, 4 kali,yang penting istiqomah membaca setiap hari walaupun gagap atau lambat.


Kita tidak payah pilih-pilih surah apa yang baik dibaca. Baca sahaja semuanya satu quran. Seronoknya hamil...

Sambil itu baca juga terjemahan quran, agar kita faham apa yang kita baca. Ummi galakkan buat yang ini. Sebelum mengaji tekad dalam hati moga anak yang dikandung ini akan dapat menghafal quran suatu hari nanti.

Ketika hamil,jangan sekali-kali tidor di waktu pagi. Ini akan melemahkan tubuh badan dan akan cepat kelihatan lesu. Jika mahu tidor,tidorlah selepas waktu dhuha. Memang fitrahnya,ibu hamil terutama yang masih baru kehamilan, akan berasa amat mengantuk di ketika ini.


Pesanan arwah bapa dan mak mentua,jangan kejutkan ibu yang hamil ini tidor. Biarkan sahaja kerana ketika tidorlah pembesaran janin berlaku. Jika mahu mengejutkan mereka ini bangun pun,caranya mesti lembut agar mereka tidak terkejut. Tetapi jangan pula tidor berlebihan kerana akan membawa kesan buruk kepada ibu dan bayi dalam kandungan.


Semasa hamil,lalui kehidupan dan aktiviti harian seperti biasa. Buat kerja rumah,jika masih belajar, pergi ke kuliah seperti biasa. Jangan sekali-kali memanjakan diri dan ikut rasa/mood malas. Memang fitrah ibu hamil akan dilanda kemalasan maksima. Ummi sudah lalui keadaan ini,hanya kekuatan diri untuk melawannya sahaja akan berjaya.


Ada ketika kita akan rasa loya, tekak mual dan ingin muntah pada awal kehamilan. Itu memangnya rasa semula jadi kepada setengah-setengah ibu. Bukan semua akan melalui keadaan ini. Macam ummi sendiri,dalam 10 kali hamil ada sahaja perbezaannya. Hanya yang sama ialah, bila hamil sahaja, ummi tidak suka makan apa yang ummi masak. Ummi hanya makan apa yang orang lain masak biarpun lauk orang tu adalah lauk semalam. Jiran ummi lah yang selalu jadi mangsa ummi, berikan lauk lebihan semalam kepada ummi. Ummi terima dengan penuh gembira kerana ada makanan yang dapat dimakan. Namun untuk ummi pergi meminta atau bertanya jauh sekali.


Sebab itu ketika hamil, zauj yang selalu masak untuk ummi makan. Untuk zauj dan anak-anak,ummi dah siapkan tetapi ummi tidak akan jamah masakan itu. Tak tahu kenapa, ummi pun musykil juga dengan keadaan ummi ini.


Pernah juga ummi paksa makan makanan yang ummi masak, nampak sedap, ummi makan sebab hari tu ada peperiksaan akhir kertas Kimia Organik di Dewan Besar,UTM. Kalau tidak makan,nanti lapar pula ketika exam, dah la paper tu ambik masa 3 jam. Lepas makan masih ok,maka ummi pun masuk duduki peperiksaan tu. Tiba-tiba baru 40 minit menjawap, tekak dah rasa loya dan mahu muntah. Alahai,nak muntah kat mana ni,dah la kerusi ummi dihadapan sekali. Dewan tu sangat lah besar, kalau pun ummi berlari keluar pasti tidak sempat dan akan bertaburan di atas lantai dewan yang berkarpet itu. Dan ini pasti akan menganggu kawan-kawan lain yang sedang kyusuk menjawap soalan.


Oleh kerana tekak ni dah tak boleh tahan, ummi pun terus sahaja muntah kat tudung ummi sendiri. Hari tu ummi pakai jubah dan tudung labuh,kebetulan fabriknya tebal. Ummi kendong muntah ummi tu,yang keluar ialah nasi dan lauk yang ummi makan pagi tu. Pengawas peperiksaan datang bantu ummi dan iringi ummi keluar dewan menuju ke asrama puteri. Masuk bilik air mereka dan tinggalkan tudung ummi yang dipenuhi muntah ummi sendiri,pergi ketuk bilik pelajar junior, minta pinjam tudung. Kebetulan junior tu memang pakai tudung labuh juga. Pengawas peperiksaan tu iringi ummi sahaja sampai ummi siap bertudung.


Lepas tu ummi sambung masuk dewan peperiksaan semula untuk menjawap yang masih banyak lagi. Ummi kehilangan masa selama 30 minit semata-mata menguruskan muntah ummi itu. Alhamdullilah,paper itu lulus juga walaupun terganggu disebabkan keadaan ummi yang hamil.

Ini baru cerita satu situasi yang ummi hadapi ketika satu kehamilan. Bermakna ada banyak cerita-ceriti ketika ummi lalui 10 kali kehamilan. Namun semua itu tidak menyebab mana-mana ibu pun serik untuk terus hamil. Jika diizinkan tentu ibu yang pernah hamil akan mahu hamil lagi.


Tidak dapat digambarkan perasaan seorang perempuan apabila dia mengetahui dirinya hamil dari zuriat suaminya sendiri. Bahagia dan tenangnya jiwa. Tenang jiwa mungkin disebabkan oleh kerap membaca quran dan berzikir sewaktu hamil. Lagi pun apa yang zauj ummi selalu buat ialah,ketika ummi tidor,zauj akan mengaji berhampiran dengan ummi. Kadang tu mengaji atas katil sebelah perut ummi. Jadi anak dalam kandunga itu selalu diperdengarkan bacaan quran selain doa ummi dan ayahnya.


Ini hanya sedikit catatan ketika ummi sendiri hamil. Dibawah ini ummi ambil dari hasil googlelan ummi berkaitan panduan ibu hamil. Mana-mana pun boleh diikuti asalkan mahu buat. Banyak-banyak yang diketahui tetapi jika tidak diamalkan pun tidak guna juga.



Amalan-amalan ketika mengandung

1. Banyak bertaubat kepada Allah s.w.t atas segala dosa yang telah dilakukan

2. Sentiasa menutup aurat mengikut ajaran Islam

3. Membaca ayat-ayat Al-Quran


Surah-surah amalan ketika mengandung

· Al-Fatihah dan ayat Kursi

· Seluruh surah Yassin

· Seluruh surah At-Taubah

· Seluruh surah Yusuf

· Seluruh surah Luqman

· Seluruh surah Maryam

· Surah An-Nahl ayat 78

وَاللّهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لاَ تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ الْسَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.

· Surah Al-A'raf ayat 189

هُوَ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَجَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا لِيَسْكُنَ إِلَيْهَا فَلَمَّا تَغَشَّاهَا حَمَلَتْ حَمْلاً خَفِيفًا فَمَرَّتْ بِهِ فَلَمَّا أَثْقَلَت دَّعَوَا اللّهَ رَبَّهُمَا لَئِنْ آتَيْتَنَا صَالِحاً لَّنَكُونَنَّ مِنَ الشَّاكِرِين

Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu dan Dia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang-senang (bertenang tenteram) satu diri kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah dia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah dia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika dia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata): Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur

Link laman-laman web Al-Quran

Syed Aftab Ali Bukhari - bacan Al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Inggeris

Al-Islam - bacaan Al-Quran dan terjemahan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa melayu.

4. Membaca doa

· Doa mohon rahmat - Surah Ali-Imran ayat 8-9

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ رَبَّنَا إِنَّكَ جَامِعُ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَّ رَيْبَ فِيهِ إِنَّ اللّهَ لاَ يُخْلِفُ الْمِيعَادَ

(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

· Doa zuriat yang soleh - Surah Ali-Imran ayat 38

هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاء

Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.

· Doa mohon ampun - Surah Ali-Imran ayat 192-194

رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلإِيمَانِ أَنْ آمِنُواْ بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الأبْرَارِ رَبَّنَا وَآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَى رُسُلِكَ وَلاَ تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّكَ لاَ تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan). Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.

· Doa anak tetap mengerjakan sembahyang - Surah Ibrahim ayat 40-41

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلاَةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاء رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan

5. Kehidupan suami isteri ketika mengandung akan mempengaruhi janin. Oleh itu terdapat adab-adab yang perlu bagi suami dan isteri

· Adab isteri terhadap suami ketika mengandung

1. Mengasihi dan menyayangi suami

2. Menjaga perkataan terhadap suami

3. Tidak terlalu cerewet

4. Menjauhi daripada perasaan yang tidak baik terhadap suami

5. Menghargai pandangan dan nasihat yang diberikan suami, orang tua serta ahli keluarga

6. Menghormati kaum muslimin dan muslimat serta berbuat baik kepada mereka

7. Menjauhi dari mengumpat dan menghina orang lain.

· Adab suami terhadap isteri

1. Menunjukkan kasih sayang terhadap isteri

2. Jujur dan setia pada isteri serta tidak memberi layanan yang kejam dan kasar

3. Selesaikan selisih faham

4. Tidak mudah menjatuhkan talak atau mengeluarkan perkataan yang sama sepertinya.

5. Kerap melakukan sembahyang sunat dan mendoakan isteri dan anak selamat

Yang paling utama bagi seorang ibu yang hamil ialah menjaga lidahnya dari berkata-kata sia-sia , jauhi dari memaki, menghina,mengumpat dan mencarut. Selain itu jaga pemakanan, bukan sahaja mementingkan kebersihan,  mengambil makanan yang berkhasiat tetapi menjaga kehalalan makanan serta sumbernya.


Ummi tidak makan langsung apa-apa jeruk yang diawet, minuman berkarbonat, makanan ringan dan makanan segera. Jika teringin nak makan asam,ummi beli sahaja epal hijau atau buah mangga. Tetapi bersyukurnya ummi,dalam semua kehamilan itu,ummi tidak suka makan benda-benda yang masam. Suka makan buah-buahn yang manis sahaja. Suka susu  dan sayur. Ini akan  memberikan kesan kepada bayi dalam kandungan, bayi lahir dalam keadaan sihat dan kulitnya bersih. Lagi pun makanan ni tak payah masak, maka ummi boleh makan banyak-banyak.


Kalau ummi suka air soya, maka ummi akan buat sendiri. Sudah pasti tidak ada bahan pengawet. Rendam kacang soya dan kisar, lepas tu masak sehingga mendidih. Ummi buat untuk 3 hari sekali, dengan disejukkan di dalam peti sejuk. Ummi juga suka minum air tebu dan air kelapa. Kalau kita suka makan, makanan begini,tak ambik makan tambahan seperti pil asid folic atau vitamin A pun tak apa.


Satu lagi pesanan ummi kepada ibu yang baru hamil, memang tekak loya dan selalu muntah, kadang tu sampai penat nak berulang alik ke bilik air dan badan jadi lemah. Kalau berlaku keadaan begini, jangan ikut mood,ikut emosi diri, sebaliknya jangan berhenti makan, teruskan juga makan walaupun akan muntah lagi. Sebabnya pada awal kandungan, embrio sedang terbentuk dan membina tisu-tisu untuk organ dalaman. Makanan berkhasiat amat penting untuk pembentukkan tisu-tisu organ embrio.


Ini yang berlaku, pada awal kehamilan tak lalu makan, dah hujung kehamilan kuat makan. Pada hujung kehamilan ni kalau kuat makan dah tak beri kesan pada bayi dalam kandungan sebab semua tisu-tisu organ sudah terbentuk, cuma mencukupkan masa penyempurnaan agar dapat berfungsi dengan baik. Kalau ibu makan banyak ketika ini,hasil utama di dapati ialah kegemukan dan bertambah berat badan bukan akan membesarkan bayi tapi membesarkan tubuh ibu sendiri. Lepas tu penat nak diet semula...

Sekian entri hari ini,semoga bermanafaat untuk dunia dan akhirat.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Saturday, 10 July 2010

Sempitnya Dunia Luasnya Gua

“Sungguh menghairankan. Tidakkah Ashaab al-Kahf itu mengalami claustrophobia?” tanya seorang anak muda.

“Hahaha..., menarik juga soalan anta. Tak pernah terlintas di fikiran ustaz,” saya membalas.
 
Claustrophobia itu didefinisikan sebagai ketakutan yang melampau oleh seseorang terhadap bilik atau ruang yang sempit, atau tertutup. Mereka yang mengalaminya akan mengalami keresahan, sesak nafas, menggeletar, kepala menjadi ringan dan seperti berpusing apabila berada di dalam ruang yang terhad seperti lif, bilik stor, malah kabin pesawat Boeing 747.

Pintu-pintu keluar akan segera dicari dan mereka sedaya upaya akan berusaha untuk berada hampir dengannya.

Tentu sahaja, jika seseorang sampai ke tahap ini, ia sudah dikategorikan sebagai masalah psikologi yang memerlukan kepada rawatan khusus.

Tetapi, untuk seseorang yang tidak mempunyai sejarah gejala claustrophobia sekali pun, duduk di dalam gua yang sempit dengan jumlah yang ramai bukanlah satu situasi yang selesa. Suasana yang gelap, pengudaraan yang tidak lancar seperti di lereng bukit atau padang yang indah, gua bukanlah tempat mencari damai.


ASHAAB AL-KAHF

Namun, sifir biasa itu tidak berlaku kepad Ashaab al-Kahf.

Mereka  mengisytiharkan iman kepada Allah di tengah-tengah kekufuran massa, dunia yang indah dan luas terbentang menjadi sempit akibat tekanan memuncak yang dikenakan ke atas pemuda-pemuda yang beriman itu. Justeru, Allah Subhanahu wa Ta’aala menjemput anak muda itu melakukan hijrah yang luar biasa.

TINGGALKAN KESEMPITAN DUNIA, PERGILAH KEPADA KELUASAN GUA
Benar.

Tinggalkan dunia yang sempit itu dan pergilah ke gua yang lapang, yang aman dan mendamaikan.
Setelah segala jalan kebaikan tertutup dan kejahatan mengancam survival diri, Allah memerintahkan Ashaab al-Kahf beruzlah meninggalkan gelombang Kufur untuk menyelamatkan diri.

Firman-Nya:
18_16-i“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu…” [al-Kahf 18: 16]


Gua itu bukan tempat kurungan. Ia bukan sebuah kesempitan yang menjadikan Ashaab al-Kahf kehilangan segalanya daripada dunia yang pernah mereka miliki. Ia bukan sebuah penjara.


ANDAI IA SEBUAH PENJARA


Malah jika ia sebuah penjara sekali pun, Yusuf ‘alayhi al-Salaam juga pernah dipenjara, sebelumnya pernah juga dibuang ke dalam telaga. Yunus ‘alayhi al-Salaam pernah berada 3 malam di dalam kegelapan di perut ikan! Musa ‘alayhi al-Salaam pernah hanyut di sungai dalam kotak kayu yang menampung diri. Malah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah berada di sebuah gua sempit bersama sahabatnya Abu Bakr radhiyallaahu ‘anhu dalam misi Hijrah ke Madinah.


Ironi sekali. Di dalam penjara, telaga, gua, kotak kecil yang hanyut, malah di perut ikan, di situlah manusia-manusia hebat ini bertemu dengan ketenangan dan kebahagiaan. Mereka tidak resah berada di ruang yang sempit itu, sebaliknya di situlah mereka berasa dekat dengan Allah Subhanahu wa Ta’aala, tidak pernah menganggap yang ia suatu pengasingan atau pemencilan.

Apa rahsianya?
18_16-ii
“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatNya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna“ [Al-Kahf 18: 16]
Segala kemudahan yang diberikan Allah dalam ruang serta peluang yang serba terhad itu, tersimpul di dalam sebuah kalimah yang amat besar ertinya.

RAHMAT ALLAH
Itulah yang dianugerahkan oleh Allah kepada Ashaab al-Kahf. Gua yang sempit itu menjadi luas apabila mereka dilimpahkan oleh Allah dengan Rahmat, yakni kasih sayang dan perhatian-Nya.

Bahagia atau derita, ia adalah bahasa hati.

Hati yang menentukan sama ada kita bahagia atau derita.

Tatkala hati manusia basah dengan limpahan Rahmat-Nya, ketika itulah diri menjadi manusia paling bahagia, biar pun tidak banyak yang ada di genggaman tangan.


PENGAJARAN BUAT MANUSIA KHUSUS

Pejuang, jalannya penuh mehnah.

Seruan mengajak manusia kepada mentaati Allah, menjauhkan manusia daripada taghut, adalah tanggungjawab yang besar di atas bahu manusia mukmin. Jalan itu menjanjikan bara api dan tempa yang memang menjadi Sunnatullah kerana hanya dengan ujian itu, terbit berlian yang indah dan bernilai tinggi.


Besarlah keperluan para da’ie, untuk hatinya kaya dengan kasih sayang Allah.
Tangannya mungkin tidak banyak menggenggam, tetapi itu bukan syarat untuk menjadi bahagia di kelana sementara ini. Segalanya ditentukan oleh hati. Hati yang beroleh limpahan Rahmat, atau sebaliknya.


Itulah rahsia pejuang Islam.


Tatkala Ibn Taimiyah diberitahu tentang perancangan penguasa untuk membuang beliau ke Iskandariah atau mungkin sahaja beliau dibunuh, Ibn Taimiyah berkata:

ibntaimiyah-motivasi
“Jika aku dibunuh, maka bagiku kurniaan syahadah. Andai mereka membuangku, maka ia bagiku adalah sebuah hijrah. Seandainya mereka menyingkirkan aku ke Cyprus, akan kuseru penduduknya kepada Allah dan mereka akan menyahut seruanku. Seandainya mereka memenjarakan aku, ia menjadi rumah ibadahku…”


Dicelup tidak basah.

Dibakar tidak hangus.

Ketika hati dilimpahi Rahmat-Nya.


TELADAN BUAT KITA YANG BIASA-BIASA

“Saya baru sahaja menghabiskan RM400K untuk membesarkan rumah ini. Kami menggayakan konsep Bali untuk mencetuskan damai,” kata seorang usahawan wanita.

Jurukamera sibuk menangkap gambar dari pelbagai sudut rumah itu yang kelihatannya sangat mewah, anggun dan mendamaikan. Rumah ini pasti sesuai menjadi gambar muka depan majalah hiasan rumah bulan depan.

Hari ini, dengan kuasa beli yang tinggi, manusia sanggup berhabis-habisan untuk membesarkan rumah, menghiaskannya mengikut citarasa diri yang paling optimum agar hidup yang sudah SENANG menjadi TENANG.

Tetapi tenangkah penghuninya?

Dia mungkin berasa tenang kerana tiada piring terbang cetusan perang.

Tetapi dia tidak mampu menolak hakikat, bahawa ibu dan bapanya dahulu lebih berjaya.

Dengan rumah yang serba sederhana di kampung, ibu dan ayah membesarkan dia adik beradik dengan serba kekurangan, mereka adalah sebuah keluarga yang bahagia.

Rumah besar belum tentu bahagia.

Rumah sempit belum tentu derita.

Segalanya ditentukan oleh hati.

Apakah para penghuni, hatinya basah dengan Rahmat-Nya?

Berusahalah untuk itu.

Berdoalah untuk itu.
3_8
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpahan RAHMAT dari sisi-Mu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” [Aal 'Imraan 3: 8]





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Sunday, 4 July 2010

Erti Bahagia

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




 
Keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.




Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.


Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.



Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!


Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.


Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.


Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.


Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.


Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.






Erti bahagia

Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:

“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:

” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:

” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “


Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.


Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.








Perkongsian sumber dari Genta Rasa