BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 31 August 2010

Memahami maksud takdir Allah.

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.


Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.


Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya” Surah Al Baqarah : 216


Seorang ahli hikmah, Ibn Ata'illah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”


Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.


Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.


Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Ata'illah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”


Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.


Monday 30 August 2010

Mendapat hikmah bila diuji.

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”


Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkasnya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.


Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” (Surah al-Baqarah: 214)


Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.


Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.


Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Wednesday 25 August 2010

Jangan Makan terlalu kenyang

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Teringat masa kecil-kecil dulu yang hidup tidak seperti hari ini. Hidup kais pagi, makan pagi,kais petang makan petang.Bila nak makan,perlu di cari bahan dan dimasak agar dapat di isi kedalam perut yang lapar.


Mak abah cuma mengerjakan sawah padi tanah milik orang lain. Sementara menunggu padi berbuah dan dituai,mak menjahit pakaian. Bila siap sepasang, cepat-cepat bagitahu tuan punya,baju dah siap dan mereka datang ambik. Bila mereka ambik baju dah siap, terus bayar upah menjahit pada mak. Upah sepasang baju kurung bukannya mahal mana pun, tetapi cukuplah untuk beli makanan hari itu.


Duduk di kampung pun, jika tanah bukan milik sendiri tetap susah juga. Bukan kita bebas untuk bercucuk tanam tanah milik orang lain. Lepas itu kami ini perempuan belaka,tidak lah sebebas lelaki untuk ke sana kemari mencari ikan buat lauk. Beras memang tak payah beli sebab sudah simpan padi hasil tuaian setiap musim.


Susah benar hidup kami dahulu. Dapur setakat dapur kayu api sahaja. Gunakan pelepah kelapa untuk api menyala. Untuk dijadikan bara, guna tempurung dan sabut kelapa. Untuk hidupkan api , gunakan umpan daun kelapa yang kering. Balik sekolah,selepas siap makan,kemas rumah dan buat kerja sekolah,mesti kena cari kayu api. Bantu mak. Ummi ada adik kecil yang ramai.


Mana mak nak menjahit, nak masak dan menyusukan adik lagi. Jadi ummi mesti bantu mak buat kerja rumah. Abah pula cari duit juga untuk persekolahan kami. Makan setakat apa yang ada sahaja.


Kalau musim tanam padi, banyaklah anak ikan yang boleh ditangguk. Jika berlebihan dari biasa untuk dibuat lauk,mak akan keringkan. Zaman dulu mana ada letrik dan peti sejuk nak simpan ikan. Masih lagi gunakan air telaga. Petang-petang juga ummi kena angkut air guna baldi,penuhkan tempayan air di dalam rumah untuk kegunaan mak memasak dan mencuci pinggan.


Bila musim kering,anak padi membesar,ikan pun dah besar, abah rajin menjala,mengagau ikan atau menimba. Sampai sekarang abah memang suka tangkap ikan gunakan tempirai atau bubu. Kalau ikan tu banyak,mak akan keringkan atau buat 'wadi'. Satu kaedah mengawet ikan zaman dulu. Ikan di masukkan garam,asam keping dan beras goreng yang telah ditumbuk. Jika diperam ikan dengan bahan-bahan ini,bila digoreng baunya sangat harum.


Mujur semasa ummi di sekolah menengah, ummi dapat biasiswa persekutuan. Syukur,walaupun tak banyak sekurang-kurang duit tu boleh digunakan untuk beli buku rujukan dan peralatan persekolahan. Betapa susahnya dahulu,untuk buat cermin mata pun ummi perlu mohon  bantuan subsidi dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Bila cuti sekolah atau hujung minggu, ummi buat kerja sawah padi. Menuai padi guna pisau pengerat adalah kemahiran ummi. Ummi bekerja ambik upah di sawah orang lain. Begitulah rutin ummi dari ummi sekolah rendah hingga menengah. Buat kerja sawah padi. Pendek kata jika diberikan kepada ummi sebidang tanah sawah,memang ummi boleh kerjakan dari awal hingga padi dituai.


Masa nak ambik SPM, zaman tu kena bayar yuran SPM hampir RM 100. Bayaran dikenakan ikut jumlah matapelajaran yang diambil. Oleh kerana ummi dari aliran Sains, maka yuran agak mahal sedikit iaitu sebanyak RM 120. Ummi adalah orang yang paling lewat bayar yuran kerana menunggu wang bantuan Baitul Mal.


Masa SRP, kini setaraf PMR, ummi bersekolah di SMK Seri Perak, Parit Buntar. Jauhnya dari rumah kira-kira 15 km. Terpaksa naik basikal untuk keluar dari kawasan rumah sejauh 1.5 km pada jam 5.45 pagi seusai solat subuh.Tunggu bas sekolah pula untuk menunju ke sekolah menengah. Basikal tu ummi tinggalkan dibawah pokok sahaja di kuala kampung. Hari-hari macam itu,keluar rumah subuh-subuh naik basikal tak ada lampu. Sudahlah jalannya cuma susunan simen sekeping di tepi parit, basikal tak ada lampu, pakai agak-agak sahaja berdasarkan samar-samar fajar subuh.


Alhamdullilah semasa keputusan peperiksaan SRP diumumkan,  ummi menjadi calon pelajar terbaik SRP tahun itu. (terbaik untuk sekolah di kawasan luar bandar). Masih dalam kenangan, nama ummi hingga kini terpapar di piagam SMK Seri Perak. Pelajar terbaik SRP tahun 1980. Masa hari penyampaian hadiah dan anugerah cemerlang, ummi diberikan sebuah kamus Dewan Bahasa bernilai RM 25. Pada masa itu kamus itu sangat mahal dan amat berharga. Hingga kini kamus itu masih digunakan untuk rujukan anak-anak di rumah.


Berdasarkan keputusan SRP itulah ummi dapat melanjutkan pelajaran ke SGGS, St. George's Girl School, Pulau Pinang. Di sini ummi ambik aliran Sains Tulen. Pada mulanya ummi tinggal menumpang di rumah Tok Cik,Tok saudara ummi belah mak. Rumahnya di Sg Nibung. Berulang alik setiap hari ke sekolah, naik bas hingga ke Jelutung dan tukar naik bas ke Botanical Garden. SGGS terletak di Jalan Macalister.


Di sini pun sama, ummi perlu keluar rumah subuh-subuh. Cumanya ummi tidak perlu naik basikal untuk ke tepi jalan tunggu bas. Ummi cuma jalan kaki lebih kurang 1/2 km melalui tepi kubur setiap hari. Sebab itu ummi tidak takut dengan kubur. Ummi perlu tunggu bas gelap-gelap setiap hari di tepi kubur, hingga ummi rasakan semua ahli kubur itu sahabat ummi. Bila lalu sahaja tepi kubur, ummi akan ucap salam dan mendoakan mereka. Ummi seseolah berkomunikasi dengan mereka.


Bila naik tingkatan 5,ummi diberikan peluang untuk tinggal di asrama. Setiap bulan abah cuma beri wang belanja sebanyak RM 5 sahaja. Tinggal di asrama,ummi dapat subsidi makan. Jadi ummi berjimat dengan duit yang abah beri untuk tambang pergi balik setiap bulan ke rumah di Parit Haji Tahir, Parit Buntar. Tambang feri ketika itu cuma 40 sen sahaja sehala dari Pulau Pinang ke Seberang Prai.


Tamat SPM, ummi balik rumah mak. Sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM diumumkan, abah carikan ummi kerja. Kerja sebagai pembantu rumah kepada seorang guru. Mahu tak mahu, ummi mesti kerja bila memikirkan ummi perlu duit untuk sambung belajar jika keputusan peperiksaan SPM bagus. Ummi jadi tukang masak,kemas rumah, cuci pakaian dengan tangan. Walaupun duduk di pekan, ada letrik dan air paip, dan tuan rumah ada memiliki mesin basuh, ummi tetap di suruh mencuci pakaian guna tangan. Sedih,penat dan lelah. Gaji yang ummi dapat setiap bulan cuma RM 70 sahaja. Redha atau tidak , itu sahaja yang ummi dapat.


Makan makanan seadanya walaupun duduk rumah orang kaya. Jadi ummi sudah biasa dari kecil hidup susah. Bila berkahwin dengan zauj, zauj juga dari kelurga yang susah, maka kami mudah menyesuaikan diri dengan hidup seadanya. Tidak mewah makan minum. Bila ada anak-anak,kami didik anak-anak juga begitu.


Bukan mudah untuk berbelanja tanpa sebab. Nak membeli barang perlu lihat keutamaan dan keperluan. Tapi zaman ini semuanya perlu guna duit. Hingga mahu hantar anak rumah orang pun perlu sediakan duit dan keperluannya.


Ummi ajar anak-anak makan seadanya. Lauk tidak perlu banyak jenis, cukup sekadar seimbang untuk zat tubuh badan. Bila ke sekolah,anak-anak bawa bekal. Memang anak-anak jarang berbelanja. Bayangkan hingga sekarang,anak orang ibu bapa berikan RM 3 sehari untuk belanja sekolah, tapi anak ummi masih lagi RM 1 dari zaman along hingga ke Imran yang bongsu ini. Sama sahaja duit belanja ke sekolah. Sebab mereka bawa bekal makanan dan air minuman setiap hari. Duit yang diberikan mereka kumpul dalam tabung. Bila cukup setahun, ummi hantar ke bank.


Hasil duit yang dikumpul dari kecik ni, berbaloi juga sebabnya, masa anak-anak nak kahwin, duit inilah yang dijadikan hantaran buat isteri mereka. Terkejut juga anak-anak bila ummi tunjukkan buku akaun simpanan mereka di tabung haji.


Begitu jauh ummi bercerita, asalnya nak cerita bab makan sahaja. Bila makan jangan terlalu kenyang. Ikut sunnah, makan ketika lapar dan berhenti makan  sebelum kenyang. Jadi bila makan jangan terlalu kenyang. Macam ummi dengan zauj, kami memang hidup susah dari kecik, jadi tak ada masalah bab makan ini. Ummi pun hingga sekarang , masak makanan bila lapar. Masak apa yang ada sahaja. Jarang berlaku pembaziran kerana lebihan makanan.


Kenapa dilarang makan terlalu kenyang? Menurut catatan yang ummi ambik dari Laman Web Pondok Pasir Tumbuh, makan terlalu kenyang ini bahaya. Apa bahayanya?

Abu Sulaiman ad-Darani telah berkata bahawa sesiapa yang kenyang maka masuklah pada dirinya 6 macam bahaya :

1. Kehilangan rasa manisnya bermunajat kepada Allah.

2. Kehalusan memelihara hikmat ( bertindak gopoh-gapah tanpa bijaksana).

3. Terhalang rasa kasih sayang kepada makhluk lain kerana bila kenyang maka lupa pada orang lapar.

4. Berat dan malas untuk berbuat ibadat kepada Allah.

5. Bertambah keinginan nafsu.

6. Orang mukmin sebenar mengelilingi masjid manakala orang kenyang mengelilingi tandas.


Cuba lihat video ini,tak kasihankah mereka yang miskin dan hidup kelaparan?  klik saja tajuk dibawah, akan dapat lihat videonya nanti.






Semoga kita mendapat iktibar dan pengajaran, bahawa ramai yang tidak dapat makanan, hidup susah. Maka jangan dibazirkan makanan yang ada , jika terlebih simpan di peti sejuk dan panaskan bila nak makan,  makan semula bila lapar.


Bulan puasa ini pun,ummi sediakan jaudah berbuka dan sahur semudah yang mungkin. Hanya satu jenis makanan sahaja. Samada laksa  atau mihun sop atau mee rebus @ bandung@ lakna. Kalau nasi dengan satu jenis lauk sahaja seperti nasi ayam  atau ikan kukus. Untuk sahur,walaupun ummi masak setiap hari, ummi cuma sediakan lauk-lauk yang mudah juga seperti telor dadar, ikan kukus, ikan asam pedas, ikan bakar dan sayur. Bermakna satu jenis ikan  atau telor dan  sayur. Ada dua jenis lauk sahaja untuk waktu sahur. Itu pun anak-anak sangat berselera untuk makan. Yang penting makanan panas dan dari air tangan ummi mereka. Masa ada bibik dahulu pun,bila masa masak tetap menjadi kerja ummi sediakan makanan untuk zauj dan anak-anak. Kalau ummi sakit,  zauj yang akan ambik alih tugas sdiakan makanan untuk anak-anak. zauj akan masak sendiri.

Sahur jika kita lakukan dikira ibadat dan faedah sains membuktikan dalam tempoh 24 jam, makanan paling penting ialah sarapan pagi. Sahur mengambil tempat sebagai sarapan pagi dan jika tidak makan 12 jam selepas itu pun kita tak ada apa-apa. Nabi galakkan kita bersahur pun sudah cukup saintifik, sebab itu di anggap ibadah.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.





Tuesday 24 August 2010

Puasa Kali Ini

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Bertangguh banyak hari nak menulis berkaitan puasa dan Ramadhan. Ada sahaja urusan-urusan yang tidak disangka. Salah satunya ujian, tetiba 2 hari lepas terasa mengantuk yang keterlaluan hingga tak dapat ditahan-tahan.


Selepas sahur, anak-anak akan mandi dan memakai pakaian seragam sekolah. Selepas itu mereka berjemaah solat subuh. Sementara menunggu jam 6.50 pagi,mereka akan duduk di sofa. Ada yang terlelap sekejap, ada yang menyiapkan kerja sekolah yang belum sempurna.


Ummi pula duduk mengadap laptop, konon nak menulis, tetapi terasa amat mengantuk. Tidak pernah sebelum ini ummi terasa mengantuk sebegini. Mungkin sebab malam itu, zauj berjaga sepanjang malam menyiapkan kertas kerja dan proposal yang perlu dibentang di mesyuarat senat esoknya, maka ummi pun tidak dapat tidor dengan lena. Seperti biasa jam 2:30 dah bangun untuk menyiapkan makana bersahur. Jadinya lepas sahaja anak-anak ke sekolah, terus ummi terlelap di kerusi depan laptop ini.


Memang setiap tahun, sepanjang Ramadhan, ummi akan bangun memasak makanan. Walaupun ummi bangun jam 2:30 pagi,bukanlah ummi masak sepanjang waktu itu. Jam 4:15 baru ummi akan masuk dapur. Menyediakan makanan seadanya, mudah dan ringkas untuk santapan zauj dan anak-anak. Semua anak-anak akan bangun makan. Telah menjadi kebiasaan kepada anak-anak dari kecil lagi untuk bersahur.


Rupanya, mungkin orang lain Ramadhan merupakan bulan berehat,boleh tidor, tetapi bagi ummi, masa di bulan Ramadhan ini sangat padat. Usahkan mahu menulis,membuka laman-laman blog ummi pun tak sempat. Kalau ada yang dah tulis, tergendala begitu sahaja. Seperti post Tanggungjawap Ummah, yang ditulis, 4 hari kemudian baru selesai dan dipublish.


Setakat hari ini setelah 13 hari berpuasa, jaudah berbuka dan sahur dimasak setiap hari.Ummi masak mudah sahaja tanpa ada banyak jenis santapan. Kalau laksa, cuma laksa,kuah dan sayur-sayur untuk laksa. Kalau mee bandung  atau mihun soto pun sama,hanya sejenis itu sahaja yang ummi hidangkan.


Anak-anak ummi tak banyak soal, apa yang ada dan dihidangkan itulah yang mereka makan. Mereka tidak cerewet untuk minta kuih atau nasi. Begitu juga waktu sahur. Apa yang ummi masak dan hidangkan,bagi  mereka semuanya sedap dan sangat berselera makan seseolah mereka makan tengah hari balik dari sekolah. Padahal waktu sahur, mata baru sahaja terbuka.



Begitulah catatan puasa kali ini. Tidak ada yang menarik buat teladan kerana kekeringan idea. (mungkin faktor badan letih maka minda tidak mampu berfikir dengan tajam dan bernas) Semoga ketemu lagi.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Friday 20 August 2010

Tanggungjawap Kepada Ummah

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Hari ini Jumaat,oleh kerana kehabisan barang dapur untuk masak berbuka hari ini, memandangkan zauj sebuk dengan pelbagai urusan, maka ummi minta izin dari zauj untuk ke hypermarket yang terletak berhampiran rumah ummi diwaktu tengah hari.


Ketika zauj pergi bersolat Jumaat,singgahkan ummi di hypermarket itu. Nanti lepas selesai solat,zauj akan ambik ummi semula di situ.


Ummi pergi berdua dengan cucu,Nurul Naimah.Hajat hati cuma nak beli sedikit barang-barang sahaja. Ummi letak Naimah dalam troli,dan berjalan menuju rak tempat barang keperluan itu di susun.


Sambil berjalan tu ummi pandanglah kiri kanan, melihat barang-barang. Terlihat lah ummi beberapa orang lelaki sedang berjalan-jalan juga di situ. Dalam hati kata,ini kan waktu Jumaat, sudah pasti ponteng solat Jumaat ni.


Ke dalam lagi,ummi terjumpa pula beberapa pasang lelaki dan perempuan melayu berseluar ketat, berbaju T singkat berjalan berpegangan tangan seseolah macam bersiar-siar di taman bunga. Bukan nak membeli barang pun sebab tak ada troli atau bakul yang dibawa. Agaknya sekadar nak menghabiskan waktu rehat tengah hari Jumaat yang panjang dengan datang ke hypermarket memadu kasih. Kalau ke tempat lain, kot kena cekup pulak.


Selepas ummi dah dapat membeli beberapa barangan untuk berbuka puasa nanti, ummi menuju ke kaunter bayaran. Di situ ummi terlihat pula sepasang lelaki dan perempuan melayu berbaju kurung dan bertudung sedang berjalan dengan tangan berkepit, seseolah perempuan tu takut lelaki tu terlepas. Kelihatan tingkah laku mereka tu bukan macam suami isteri. Kalau suami isteri tidak macam tu akhlaknya.


Bila lelaki itu terperasan akan renungan ummi kepada mereka,segera lelaki tu macam nak meleraikan dakapan perempuan tu dari tangannya.


Sedih hati ini melihatkan fenomena ini.Sudahlah yang lelaki tidak bersolat Jumaat, berpegangan tangan dengan bukan mahram dan yang perempuan 2,3 orang kat dalam hypermarket tu pulak berpakaian tidak sewajarnya.


Melihat cara mereka berpakaian pun sudah terasa amat malu. Seseolah kalau lelaki tengok perempuan tu begitu,tentu lelaki juga dapat bayangkan perempuan berjubah pun begitu juga bentuk tubuhnya. Dimana letaknya maruah diri dan rasa malu?


Macamana kita sebagai umat Rasullulah, adakah mahu membiarkan keadaan ini berterusan,berleluasa dan sosial masyakarat makin runtuh?



Apa tindakan kita? Marilah kita sama-sama berfikir demi agama Islam yang murni.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday 17 August 2010

Rumahku Syurga Suamiku

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Memang benar orang tua-tua kata, pusingan hidup ini ibarat roda. Ada masa kat atas, ada masa kat bawah. Kitaran hidup, ada masa sesuatu keadaan yang pernah kita lalui akan kita tempoh sekali lagi.



Suatu ketika dahulu, selepas bernikah, apabila tamat belajar di UTM, tidak lah berhasrat untuk bekerja. Sekiranya diberikan penempatan,  maka bekerjalah,  jika tidak ,  seronok tinggal di rumah mengasuh dan mendidik anak sendiri.



3 Tahun menganggur sehingga dikurniakan 3 orang anak, barulah KPM menghantar surat penempatan sebagai guru. Sekolah pertama ummi berkhidmat ialah SMK Kulai Besar, Kulai , Johor.  Pada masa itu ummi tinggal di Kg Paya Jaras Hulu, Sg Buloh , Selangor.


3 tahun ummi menjadi suri rumah sepenuh masa. Memasak, mengemas rumah, mengasuh anak, mendidik anak dengan tangan ummi sendiri. Masa inilah zauj panggil seorang tukang jahit untuk ajar ummi menjahit baju kurung cekak musang lelaki. Ummi memang dah pandai menjahit baju kurung perempuan.  Baju kerja zauj ummi yang jahit. Sukanya hati seorang isteri bila suaminya pergi kerja memakai baju yang dijahitnya.  Seronoknya menjadi suri rumah. Selepas 3 tahun,  barulah  ummi memulakan kerjaya sebagai guru.


Apabila diarahkan lapor diri pada 4 Disember 1989, ummi pergi  ke SMK Kulai Besar  dengan 3 orang anak.  Zauj hantar dengan kereta. Ummi pergi ke sana sehari awal iaitu pada 3 Disember. Rumah belum pun ada, mujur ada seorang guru bujang sudi memberikan tumpang seminggu dua sementara mencari rumah untuk berteduh.


Apa yang ingin ummi tulis di sini sebenarnya bukan berkaitan kerjaya, tetapi kitaran hidup yang ummi lalui. Selepas bernikah, apabila tamat belajar, ummi sempat menjadi suri rumah sepenuh masa selama 3 tahun. Seronok sangat masa itu. Ummi kerap berpindah rumah kerana mengikut zauj yang diarah menjadi fellow kolej pelajar lelaki  UTM.


Sebaik lepas bernikah, ummi tinggal bersama zauj dan rakan-rakannya. Rumah sewa ini adalah rumah teres 5 bilik di Taman Malewar, Gombak. Mereka setuju memberikan bilik tidur utama kepada kami berdua. Rakan-rakan serumah zauj lain semuanya masih bujang.

Bilik tidur ini ada bilik air di dalamnya. Selepas bernikah,bukan mudah untuk cari rumah sewa , tambahan zauj baru kerja. Rakan bujang beri izin kami tinggal di rumah itu.

Syarat mesti dipenuhi. Isteri hanya dibenarkan berada di rumah itu,jika ada suami bersama-sama. Tempat isteri hanya di dalam bilik sahaja bila rakan -rakan bujang lain berada di rumah.

Jika rakan-rakan tidak ada, ummi dibenarkan menggunakan dapur untuk memasak. Ummi masak bukan untuk makan berdua sahaja, sebaliknya masak untuk semua rakan-rakan bujang zauj.

Bila rakan-rakan bujang zauj masak,mereka masak juga untuk kami berdua. Ummi sentiasa duduk dalam bilik, makan pun dalam bilik. Alhamdullilah, 2 bulan selepas itu barulah kami dapat rumah sewa dan berpindah dari rumah itu.

Selama tinggal di rumah bujang itu, ummi tidak pernah ditinggalkan berseorangan di rumah. Setiap kali zauj keluar,pasti ummi dibawanya.Jika pergi kerja, zauj akan tinggalkan ummi di perpustakaan..


Selepas 2 bulan, bila dapat rumah sewa lain,  ummi dan zauj berpindah. Rumah kedua selepas bernikah, ummi menyewa di Kg Kamensah, Ulu Kelang. Nak pergi rumah ini, mesti melalui tepi Zoo Negara. Melalui jalan  di tepi zoo sejauh 2 km,  baru bertemu perkampongan Kemensah. Seronok tinggal di kampung ini. Betul-betul tepi zoo dan hutan simpan.




Dikelilingi dengan flora dan fauna. Walaupun rumah yang kami sewa ini kecil sahaja, rumah kayu dua bilik, sewanya pada masa itu (tahun 1985) RM 200. Tepi rumah ada surau dan sungai. Air sungai ini sejuk. Kadang-kadang apabila bekalan air paip terputus, ummi dan zauj akan pergi ke sungai ini untuk mandi. Kalau berjalan ke atas sedikit ada seperti air terjun kecil. Sangat mendamaikan tinggal di sini.


Tapi ummi tinggal di situ tidak lama. Zauj ditawarkan untuk menjadi fellow kolej pelajar lelaki di Kolej Kedua Kg Baru, Kuala Lumpur. Sekali lagi kami berpindah dan rumah kali ini adalah pangsapuri 3 bilik. Untuk berpindah mudah saja, sebab ummi tidak mempunyai barang-barang dan perabot. Yang ada cuma sekeping tilam span nipis dan bantal 2 biji. Sedikit pakaian, 6 buah pinggan, 2 biji periuk, sebuah kuali kecil dan sebuah dapur minyak tanah yang mempunyai banyak sumbu.


Tinggal di pangsapuri Kg Baru,  agak lama,  juga mencecah 2 tahun lebih. Along dan angah lahir di sini. Sebab itu dalam daftar lahir,  tempat lahir along dan angah ialah Wilayah Persekutuan.


Apabila pangsapuri 17 tingkat ini diambil alih semula oleh pemaju, (mungkin kontrak dengan UTM telah tamat)  kami berpindah lagi ke Kolej Kedua Semarak di Setiawangsa. Masih pangsapuri, kali ini Pangsapuri Sri Mahang mempunyai 25 tingkat. Kami diberikan tinggal di tingkat satu. Pangsapuri ini adalah pangsapuri mewah. Walaupun namanya pangsapuri (mungkin sekarang orang panggil kondominium) amat selesa tinggal di sini. Tidak rasa macam tinggal di rumah flat kerana bentuk rumah yang agak privacy.  Ada ruang untuk anak-anak bermain di lobby dan basement.


Setahun tinggal di sini, zauj mendapat arahan untuk berpindah ke Johor pada Januari 1988. Sebahagian Kampus induk UTM telah siap. Beberapa fakulti telah diarah berpindah ke Skudai, Johor. Bila ada sebahagian pelajar berpindah,  maka mesti ada pensyarah yang kena ikut pindah  sama.


Di Skudai, ummi dan zauj menyewa rumah teres 3 bilik di Taman Sri Pulai. Masa ini, Taman Sri Pulai masih baru lagi dan sewanya murah sahaja. RM 150 dengan rumah yang agak besar juga untuk ummi 4 beranak. Namun tak lama lepas itu,  pada Disember 1988, zauj dikehendaki sambung belajar pengajian master di UM,  KL. Sekali lagi ummi dan zauj berpindah.


Kali ini kami menyewa rumah di Kg Paya Jaras Hulu, Sg Buloh. Rumah sebuah , atas bukit dan di kawasan dusun. Sunyi sepi bila waktu malam. Macam-macam bunyi unggas kedengaran di waktu malam. Sangat damai dan aman tinggal di sini. Air yang digunakan di rumah ialah air mata air yang dipam dari sebuah perigi dan disalurkan ke dalam rumah.


Namun setahun saja ummi tinggal di sini ,  bila Disember 1989, ummi diberikan penempatan mengajar di negeri Johor.  Maka berpindahlah sekali lagi ke negeri Johor. Oleh kerana sekolah ini terletak di Daerah Kulai,  maka ummi cari rumah berhampiran sekolah.


Rumah sewa kosong yang ditemui terletak 5 km dari sekolah iaitu Taman Saleng Baru. Dari jalan besar menuju ke rumah dalam taman sejauh 2 km. Masa ini ummi belum pandai memandu kereta, lagi pun kereta pun tak ada. Zauj belum habis pengajian di UM,  maka ummi tinggal di sini dengan 3 orang anak dan zauj tinggal dengan pekerja Indonesia di Kg Paya Jaras.


Hari-hari  ummi  pergi sekolah  berjalan kaki dan sampai jalan besar baru naik bas. Masa ini berat badan hanya 55 kg sahaja. Hari-hari jalan kaki. Tahun pertama tinggal di sini, pada hari raya Adil Fitri tak dapat balik ke kampong. Mana-mana sahabat zauj di UTM Skudai yang tidak balik kampong datang berziarah. Bila mereka masuk saja taman perumahan ini,  mereka kata macam datang Hong Kong. Sebab majoriti penduduk adalah bangsa cina. Di kawasan jalan ummi tinggal tu pun cuma ada 3 rumah sahaja bangsa melayu. Jiran ummi kiri, kanan, depan ,  belakang semuanya bangsa cina.


Walaupun berlainan bangsa dan agama,mereka tak ganggu ummi anak beranak. Zauj memang tawakal tinggalkan  ummi dengan anak-anak di kawasan taman perumahan yang majorotinya bangsa cina.


Setahun tinggal di sini, ummi dapati tak ada Pasti atau tadika yang sesuai untuk along. Maka pada akhir tahun 1990, sekali lagi ummi berpindah rumah ke Taman Sri Skudai. Rumah semi-D.  Sekali ganda mahal  harga sewanya, RM 300 sebulan. Rumah kat Taman Saleng Baru cuma RM 150 sebulan, teres 3 bilik. Namun memikirkan yang umur along dah sepatutnya ke kelas tadika, maka ummi pindah juga tinggal di Skudai. Jadi along dapat masuk tadika Islam Tadika Taqwa di Taman Sri Pulai.

2 tahun 6 bulan tinggal di sini, zauj pun sudah tamat belajar di UM, dan ketika ini mula diperkenalkan pinjaman perumahan secara Islam bermula. Selama ini kami bertahan tidak beli rumah kerana, bank atau pinjaman kerajaan masih melaksanakan secara konvesional.(sistem riba') Zauj berpegang, selagi kita mampu elak,   kita elakkan riba'.   Lagipun, beli rumah untuk jangka panjang, untuk tinggal beribadah di dalamnya,   maka tak kan nak beli rumah secara riba'?


Kami beli rumah di teres 3 bilik di Taman Sri Pulai. Comel rumahnya, masa ini ummi sudah mempunyai 5 orang anak yang masih kecil-kecil. 3 lelaki dan 2 perempuan. Sesuailah rumah ini sebab ada 3 bilik. Boleh anak lelaki dan perempuan di asingkan bilik. Berulang alik dari Taman Sri Pulai ke Kulai Besar sejauh 25 km setiap hari. Zauj hantar sampai simpang Sri Skudai,  kemudian ummi tumpang kawan ke sekolah.


5 tahun tinggal di Taman Sri Pulai, suatu hari zauj balik rumah bawa khabar.

"muna, nak tengok sesuatu?"

"apa dia?"

"jom, ikut."



Zauj bawa ummi ke satu kawasan perumahan baru. Belum ada sesiapa yang tinggal di sini. Tapi rumah-rumahnya dah siap. Besar dan cantik. Bertingkat-tingkat , ada balkoni,  di cat dengan warna putih dan ungu. Nampak dari jauh macam kek. Tiba di sebuah rumah,  zauj ajak masuk ke dalam untuk lihat keadaan dalaman rumah.



Rumah ini amat luas ruang tamunya dan bilik tidur utamanya saja ada 2 buah. Rumah teres 3 tingkat. Naik ke tingkat 3, ada balkoni, pemandangannya cantik, padang golf Pulai Spring. Saujana mata memandang...


Zauj tanya, " muna nak rumah ni?"

Iskh...perempuan mana yang menolak jika ditawarkan sebuah rumah yang cantik dan besar? Tambahan masa itu ummi sudah mempunyai 6 orang anak. Anak-anak makin membesar, rumah di Taman Sri Pulai tu dah rasa sempit dan panasnya.


"nak balik rumah, buat istikharah dulu."

Bila hati rasa suka pada rumah tu, ummi buat pula solat hajat agar dipermudahkan urusan untuk memiliki rumah itu. "Ya Allah, jika rumah ini mendatangkan keberkatan dan rahmat MU untuk dunia dan akhirat kami sekeluraga,maka mudahkan urusannya."


Alhamdullilah,   memang mudah untuk urusan pembelian rumah itu. Ketika itu ummi telah pun mendapat tawaran panggilan menunaikan haji ke Baitullah. Maka selesai urusan pembelian rumah, pada 15 Ramadhan tahun 1420H, ummi sekelurga berpindah ke rumah ini. Genap Ramadhan ini bermakna ummi telah tinggal di rumah sekarang ini selama 11 tahun.




2 bulan selepas berpindah ke rumah ini,  ummi dan zauj pergi memenuhi jemputan Allah untuk mengunjungi Baitullah buat kali pertamanya. Ummi tinggalkan 7 orang anak bersama-sama dengan seorang pengasuh, arwah mak dan adik dengan anak-anaknya. Anak paling kecik ummi tinggalkan ketika masih berusia 1 tahun 4 bulan, Abdullah Mubarak yang masih menyusu ibu. Along dan angah berada di Madrasatul Quran Kubang Bujok Kuala Terengganu,  mengikuti kelas tahfiz quran. Jadi di rumah cuma 5 orang, iaitu Najdah,  Nazihah,  Baihaqi, Omar Abdul Aziz dan Abdullah Mubarak.




Alhamdullilah, selama 40 hari ummi di Tanah Suci, walaupun ada kemudahan telefon,ummi tidak pernah buat panggilan telefon ke rumah kerana yakin dengan janji Allah yang memelihara anak-anak dan harta benda yang ummi tinggalkan. Ummi ke sana bersama zauj untuk berbulan madu di rumah Allah. Sangat indah dan syahdu. (sebab itu ummi galakkan sesiapa yang ke tanah suci, pergi selepas berkahwin dan pergi dengan isteri.)


Begitulah sedikit cerita pengalaman ummi yang banyak kali berpindah rumah sejak lepas bernikah. 10 kali ummi berpindah rumah selama mencecah 26 tahun perkahwinan ummi. Semoga selepas ini,  ummi cuma perlu berpindah ke satu tempat sahaja lagi iaitu rumah berbatu nisan. Rasanya tak mampu untuk ummi pindah rumah lagi selagi hayat masih ada.  (dah pesan zauj, di   bumi  mana roh dan jasad terpisah,   maka di  situlah dikebumikan, jangan dibawa bermusafir jauh-jauh lagi bila dah tak ada nyawa.)





Rumah ini sudah cukup untuk ummi. Zauj pun selalu cakap rumah ini bagaikan syurga dunia buatnya. Kami temui segalanya di rumah ini. Rumah ini ada rahmat, ada berkat, ada bahagia, ada segala-galanya. Kami tidak impikan kemewahan,  kami cuma mahukan keberkatan ke atas rumah ini dari Allah SWT. Kami selalu mengalu-alukan tetamu untuk datang dan meraikan mereka. Kehadiran tetamu merupakan  hadiah dari Allah kepada kami untuk melayan dan meraikan mereka.


Berbagai usaha dan cara ummi pastikan agar rumah ini sentiasa di dalam redha , rahmat dan kasih sayang Allah. Bacaan quran, solat berjemaah,  majlis ilmu,  majlis ukhuwwah sering diadakan. Apa sahaja aktiviti yang mendatangkan redha Allah sering dilakukan di rumah ini. (pastinya rumah terbuka tidak kira masa,  asalkan ummi sihat,  maka kami selalu adakan untuk menjamu saudara mara,  sahabat handai dan anak-anak didik di UTM)




Selalu ummi berdoa, sesiapa sahaja yang masuk di rumah ini, diberikan rahmat dan kasih sayang Allah. Hatinya akan terikat dan selalu ingat rumah ini. Itu sahaja impian ummi kepada sesiapa sahaja yang pernah datang bertamu dan tinggal di rumah ini.


Kini, ummi kembali menjadi suri rumah sepenuh masa. Ummi telah memilih untuk bersara awal. Memang ini yang telah Allah takdirkan buat ummi. Lagipun semasa mula bekerja, ummi pernah terdetik di hati,  bahawa mahu bekerja cuma setakat 10 tahun sahaja,  lepas tu nak berhenti dan duduk di rumah. Nak didik dan besarkan anak sendiri. Rupanya 10 tahun lagi tu bonus, genap 20 tahun ummi berkhidmat sebagai guru, ummi bersara. Ummi bersara di SMKTUN, sekolah kedua dalam perkhidmatan sebagai guru. Kiranya pengalaman ummi tidak banyak sekolah berkhidmat. Lagipun, seperti yang selalu ummi sebut-sebut dengan kawan-kawan kerana rasa cinta dan sayang kepada SMKTUN, mahu tetap dan berpencen di SMKTUN, maka ia menjadi doa dan disampaikan hajat ummi itu.




Sebab itu ummi amat yakin dengan doa,  cuma cepat atau lambat untuk Allah sampaikan. Ummi juga ingatkan apa yang selalu kita sebut menjadi doa juga. Jadi janganlah sebut perkataan yang tidak ada adap,  lucah dan mencarut. Jangan sekali-kali memaki hamun terutama anak-anak. Jagalah lidah dari berkata yang sia-sia.




Menjadi suri rumah sepenuh masa sekarang ini, merupakan saat dan detik bahagia dalam hidup. Memiliki masa yang boleh diurus mengikut keselesaan diri, mengikut ruang dan keadaan diri. Boleh menentukan bila masa mahu mengemas, menggosok, mencuci pakaian, memasak dan ber'online'.






Ummi mahu menjadikan setiap ruang masa adalah ibadah. Tidak kira ia ibadah khusus atau ibadah umum. Boleh uruskan masa untuk dhuha,  tahajud dan lain-lain. Yang penting tiap saat berlalu merupakan ibadah kepada Allah walaupun menulis di laptop atau di blog.



Semoga semua kita sentiasa di dalam redha,   rahmat dan kasih sayang Allah. Taati Allah dan RasulNYA.







Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Friday 13 August 2010

Hikmah Fitnah

  




Jangan sibuk dengan orang yang menyakitimu, sibuklah dengan Allah, nescaya akan dihilangkanNya tukang fitnah itu daripadamu. Sesungguhnya ramai orang yang tersilap dalam perkara ini, lalu mereka menyibukkan diri dengan orang yang menyakiti mereka. Maka berlanjutanlah kesakitan (yakni fitnah itu) beserta dosa (lalai daripada dzikrUllah). Jikalau mereka rujuk kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupi bagi mereka itu untuk menyelesaikan urusan mereka dan akan dihilangkanNya tukang-tukang fitnah itu daripada mereka.





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Wednesday 11 August 2010

Bertaubat Setiap Hari

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Setiap manusia wajib bertaubat, samada mereka sedar mereka telah melakukan dosa atau mereka yakin mereka tidak melakukan dosa. Kerana pada hakikatnya setiap manusia melakukan dosa tanpa disedari, kecuali Rasul2 dan Nabi2 mendapat pemeliharaan Allah Ta'ala.


Rasulullah Sallallahu alaihi Wasallam bersabda:

“Setiap anak Adam (manusia) mempunyai salah (dosa), dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah mereka yang bertaubat.” [HR. at-Tirmidzi dan Ibnu Majah]




Taubat bagi dosa2 yang dikerjakan dengan sengaja adalah berbeza dengan taubat yang dilakukan atas perkara2 yang tidak disedari atau disebabkan kelalaian.


PERKARA2 YANG WAJIB TAUBAT PADANYA

1.   Maksiat zahir/dosa2 disebabkan anggota zahir – seperti meninggalkan solat, puasa, zakat , tidak mencegah kemungkaran, derhaka kepada ibubapa, berzina, membunuh, berkata dusta, mengumpat, memfitnah, menzalimi mkhluk Allah dan banyak lagi.

2.   Maksiat Batin /dosa2 yang disebabkan oleh gerak hati – seperti ria’ dalam amal, ujub, takabbur, jahat sangka kepada Allah, jahat sangka sesama manusia dan lain-lainnya yang tersebut didalam kitab Tasawwuf.


SYARAT2 DAN ADAB BERTAUBAT

1. Segera menghentikan maksiat/perlakuan dosa tersebut. .

2. Menyesal dengan penyesalan yang benar atas maksiat/dosa2nya.

3. Berazam sungguh2 untuk tidak mengulangi lagi perlakuan maksiat tersebut selamanya

4. Jika dosa2 tersebut dengan haq Tuhannya maka wajib menggantikan segala yang tertinggal. Umpamanya tertinggal solat, puasa dll.

5. Jika dosanya sesama manusia selain mohon keampunan Allah wajib pula mengembalikan haknya. Maksudnya adalah :

i) Jika pernah menzalimi, memfitnah, mencaci, menyakiti, menuduh tanpa hak, mengumpat dll maka wajib berjumpa dan memohon maaf daripadanya.

ii) Jika pernah mengambil harta tanpa hak, maka wajib dikembalikan atau diganti dengan yang sama atau di minta halal.

6. Ikhlas. Taubat yang mempunyai maksud kepentingan duniawi tidak diterima.

7. Taubat dilakukan pada masa diterima-nya taubat. Masa diterimanya taubat adalah:
I) Sebelum saat sakaratul maut (sebelum nyawa sampai halkum).
Ii)Sebelum Matahari terbit dari barat (tanda besar Qiamat).



DOSA2 YANG TIDAK DISEDARI


Seseorang wajib bertaubat atas semua dosa2 yang dilakukan dengan penuh kesedaran, samada dosa kecil ataupun dosa besar. Disamping itu ada lagi dosa2 yang kita lakukan secara tidak sedar, atau disebabkan kelalaian.

Diantara dosa2 yang tidak disedari adalah :

1. Tidak berzikir kepada Allah/ lalai dari mengingati Allah.

2. Tidak mensyukuri ni'mat Allah.

3. Tidak menunaikan hak manusia.

Dan banyak lagi yang berlalu tanpa disedari. Dengan demikian wajib bertaubat berterusan walaupun kita merasakan kita tak berbuat dosa. Pada hakikatnya kita sentiasa dalam dosa tanpa disedari.


CARA-CARA MELAKUKAN TAUBAT INI

1. Lazimkan Solat Taubat
2. Membaca Istighfar berulang2 dan banyak2  umpamanya 100 kali tau lebih.
3. Lazimkan Sujud taubat.


TANDA2 TAUBAT DITERIMA

Sesungguhnya adalah hak mutlak Allah Ta’ala samada mengampuni atau tidak hamba2Nya. Walau bagaimanana pun, Jika seseorang melakukan taubat dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan dengan menitiskan air mata penyesalan, maka sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dosa2 hambaNya walau sebesar dosa sekalipun.

Seseorang yang telah bertaubat sungguh2 akan merasai dalam dirinya beberapa tanda taubatnya diterima. Tanda2 ini kebanyakannnya dirasai oleh hati dan ada juga tanda2 zahir yang dapat diperhatikan :


1.   Hatinya akan merasai ketenangan dan kelapangan yang tidak dirasai sebelumnya. Kerana seseorang yang bertaubat dengan taubat Nasuha, adalah seperti seorang yang tidak berdosa. Hatinya telah disucikan oleh Allah Ta’ala. Maka yang tinggal dalam hatinya adalah cahaya keimanannya.

2.   Hatinya cenderung dan kuat keinginannnya untuk melakukan amal ibadat kepada Allah Ta’ala serta berbuat amalan kebajikan yang lain kepada manusia seperti bersedekah dll.

3.   Anggota tubuh zahir dan batinnya di abdikan untuk mengikut petunjuk Allah.

4.   Hatinya sangat membenci ma’siat serta perbuatan kufur kepada Allah Ta’ala.

5.   Hidupnya penuh kedamaian. Walaupun rezekinya sedikit tetapi memadai serta mencukupi bagi kehidupannya.


Moga kita semua termasuk yang mendapat keampunan Allah Ta'ala.



(rujukan utama : Ihya Ulumuddin, Syarah Imam Nawawi, Ibnu Hajar, Al-Hikam, Sirrul Asrar)



Wallahu A'lam
Perkongsian dari kiriman Pak Arab di Halaqah.net





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.





Tuesday 10 August 2010

Doa Taubat Tiap Hari

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Khalimah taubat ini sangat suka ummi baca setiap kali lepas solatatau bila-bila masa sahaja. Bermakna sangat baik jika kita dapat menghafalnya. Mari kita amalkan doa taubat ini. Memang kita pernah melakukan dosa, kita amat berharap Allah mengampunkan dosa-dosa silam melalui taubat nasuha. Jadi dengan doa ini,kita terus berharap pada rahmat Allah agar dosa itu diampunkan.







Aku meminta ampun kepada ALLAH yang Maha Besar, Aku meminta ampun kepada ALLAH yang Maha Besar, Aku meminta ampun kepada ALLAH yang Maha Besar, tidak disembah yang lain, hanya Tuhan Yang Maha Hidup dan berdiri sendiri. Aku bertaubat dari segala dosa yang aku kerjakan, sengaja atau tidak sengaja, dengan sembunyi atau secara terang-terangan, baik dosa kecil atau dosa besar, kerana Engkau ya ALLAH Maha Pengampun akan dosa, Engkaulah yang membuka hati untuk bertaubat, Engkau penutup yang aib, Engkau melenyapkan segala kedukaan. Dan aku bertaubat dari segala dosa yang aku ketahui atau yang tidak aku ketahui, hanya Engkaulah ya ALLAH yang mengetahui segala yang tersembunyi. Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan ALLAH Yang Maha Tinggi dan Maha Besar.


Ya ALLAH, sesungguhnya aku menyesali atas semua perbuatan maksiat yang aku lakukan, dan berilah aku petunjuk agar aku dapat benar-benar dalam hal ini. Aku melepaskan diri dari semua agama selain dari agama islam. Ya ALLAH, jika sekiranya pernah aku syirik dan syak dalam keimananku dan pengesaanku terhadap Engkau, aku bertaubat dan ampunilah kesalahanku akhirnya aku mengucapkan dan mentasdidkan, bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan nabi Muhammad adalah pesuruh ALLAH.



Keterangan:
Maksud dan tujuan kalimat di atas dapat difahami bahawa seorang yang merasa berdosa telah menyesali atas segala dosanya, kemudian minta ampun sepenuh hati dengan tiada berniat lagi mengulanginya. Meratapi dirinya yang terbit dari bisikan dan suara jiwanya.

Doa seorang hamba terhadap Tuhannya meskipun betapa juga besarnya akan diampuni ALLAH S.W.T jika syarat-syarat di bawah ini dapat dipenuhi:
  1. Merasa menyesal
  2. Merasa berdosa
  3. Tidak bercita-cita untuk mengulangi kembali dosa itu.
Jika syarat-syarat tersebut di atas dipenuhi itulah yang disebut taubat nasuha.
Kalimat-kalimat yang tersebut di atas ada mengandungi pengertiaan taubat nasuha.
Maka baik sekali jika diucapkan setiaap sesudah selesai sembahyang fardu.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Monday 9 August 2010

Istighfar Utama

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



“Ya ALLAH, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang patut disembah hanya Engkau yang menjadikan aku. Aku hambaMu dan aku dalam genggamanMu. Aku dalam perjanjian beriman dan bertaat kepadaMu sekadar kesanggupan yang ada padaku.

Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan yang aku perbuat. Aku mengakui atas nikmat yang Engkau berikan kepadaku dan mengakui atas dosaku, aku mohon keampunanMu, tidaklah ada yang dapat mengampuni dosa seseorang hanya Engkaulah wahai Tuhanku.”


Penjelasan:

Sayyidina Jabir menjelaskan Rasulullah s.a.w bersabda:


“ pelajarilah dengan baik istighfar utama dan amalkan.”


At-Tayibi menerangkan, istighfar utama mengandungi pengertian hubungan yang erat antara seorang hamba dengan Tuhannya dan mengandungi pengakuan atas kelalaian dan kelengahan manusia dalam melaksanakan kewajipan terhadap ALLAH S.W.T pada hal manusia telah membuat perjanjian ketika ia masih dalam rahim ibu (dalam alam roh) bahawa ia dalam hidupnya akan sentiasa taat dan berbakti kepada ALLAH S.W.T .


Manusia mengakui atas nikmat-nikmat ALLAH S.W.T, nikmat harta benda,nikmat kelengkapan anggota tubuh dan kesempurnaan panca indera, kesihatan badan, fikiran, kebahagiaan dan sebagainya.

Kerana itu manusia sentiasa mohon perlindungan kepada ALLAH agar nikmat-nikmat tersebut terpelihara dari kemusnahan kerana akibat perbuatan dirinya sendiri. Di samping itu manusia mengakui berdosa dan merasa sangat terbatas dalam melaksanakan kewajipan-kewajipan terhadap ALLAH S.W.T. Timbul kesedaran dari hati nurani yang tulus ikhlas disertai dengan pengharapan mohon keampunan ALLAH S.W.T setiap pagi dan petang.


Kerana itu Rasulullah s.a.w menerangkan, siapa membaca istighfar utama di waktu pagi dengan penuh keyakinan sesuai dengan erti dan tujuan kalimat tersebut, kemudian ia meninggal pada hari itu, ia ahli syurga, dan siapa yang membaca di waktu petang dengan cara itu, kemudian ia meninggal pada malam hari, iapun ahli syurga.


(Keterangan-keterangan ini dipetik dan diterjemahkan dari kitab hadis subulus salaam juz IV halaman 327) Perkongsian dari Halaman Zaman.




Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.







Wednesday 4 August 2010

Ujian Tiba Lagi

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Lebih seminggu tidak menulis, kesibukkan melayan anak-anak dan zauj serta mengurus rumah tangga. Macam seperti mula kahwin dulu pula rasanya.



Lama benar ummi tidak menguruskan rumahtangga seorang diri menggunakan kudrat tulang 4 kerat ini. Padahal masa lepas kahwin sehingga mempunyai anak 5,ummi tidak pernah ada pembantu rumah. Semua kerja rumah tangga, memasak, mencuci pakaian, melayan anak-anak dan melayan suami ummi buat sendiri. Ditambah dengan menjahit lagi.



Ummi suka menjahit pakaian sendiri,pakaian zauj pergi kerja,pakaian anak-anak dan perhiasan rumah seperti langsir,alas meja dan cadar. Semuanya ummi jahit. Walaupun sibuk dengan mengajar dan urusan rumah tangga serta anak-anak masih kecil,sempat lagi ummi menjahit.


Kalau dah minat,apa pun jadi. Mungkin masa itu ,usia masih muda,qudrat masih kuat. Sekarang ini, menggosok pakaian 10 pasang pun dah letih. Lepas tu memasak dan menyidai pakaian. Adoh...terasa penatnya. Mungkin juga pergerakkan ummi yang perlahan menyebabkan ummi mudah penat. Tak ada stamina untuk berdiri lama kerana sakit tulang kaki.


Ummi hanya ada pembantu rumah selepas kelahiran anak yang ke 6,Omar Abdul Aziz. Masa itu kesihatan ummi sudah mula terganggu. Kebetulan pula ummi baru sahaja berpindah ke sekolah baru,SMKTUN yang memerlukan komitment sepenuh masa di sekolah.


Sejak mempunyai pembantu rumah 13 tahun lalu, ummi hanya sempat memiliki 3 orang pembantu sahaja. Yang pertama saodah yang berkhidmat dengan ummi selama 5 tahun lebih. Raudatul Jannah berkhidmat selama 1 tahun dan Sugiharti ini selama 6 tahun lebih.


Tak tahu kenapa dah hampir seminggu,ummi sakit pinggang. Rasa nak jumpa doktor orthopedik, tetapi masih cuba bertahan. Nak lihat sejauh mana ummi mampu menahan rasa sakit ini. MasyaAllah sakitnya tak terkira. Nak rukuk ketika solat pun puas bertahan menahan kesakitan. Duduk pun sakit. Kalau sudah berbaring, ibarat orang lumpuh, tak berdaya untuk menggerakkan badan jika sudah mengiring atau terlentang.

Ummi teringat ujian yang pernah ummi lalui , lumpuh seluruh tubuh. Alhamdulliah dapat sembuh melalui usaha, ikhtiar, doa dan tawakkal kepada Allah SWT, dan ummi melalui ujian itu dengan tabah dan sabar.  Apakah ujian itu datang lagi?




Maha Suci Mu Ya Allah,ujian MU untuk ku belum selesai sehingga mata ku tertutup menghadap MU. Berilah aku keimanan yang mantap dan sempurna, kekuatan untuk menanggung kesakitan dan menghadapi ujian dari MU. Sentiasa berikan aku ketabahan,kesabaran dan keikhlasan menerima ujian MU ini. Jadikan aku hamba yang redha di atas segala iradah MU. Ameen...



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.