BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday 2 January 2011

Berbengkel V&S Bercuti


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Sudah masuk hari kedua ditahun 2011, tapi banyak juga kisah tahun 2010 belum habis di tulis. Perjalanan menemani zauj ke Langkawi pada 22 - 25 Disember ,2010 belum sempat ditulis dah masuk tahun 2011.


Sebaik meninggalkan Pulau Pinang,kami meneruskan perjalanan hingga ke Jeti Kuala Perlis dengan singgah sebentar di Hentian R & R Gurun untuk bersarapan pagi.


Sebelum memulakan perjalanan awal pagi tadinya, ummi teringat di mana Rasullulah sering memulakan perjalanan dengan bacaan doa.


Dalam hadis riwayat Tirmidzi, Abu Hurairah r.a meriwayatkan, seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), wahai Rasulullah, saya akan memulai perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepada saya. Nabi berkata: hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi. Selepas lelaki itu pergi, Nabi s.a.w berdoa, “ Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan mudahkan perjalanannya.”

Nabi s.a.w, apabila menghantar seseorang bermusafir, tidak melepaskan tangannya daripada orang terbabit sebelum orang berkenaan melepaskan dahulu tangannya.

Kemudian, baginda berdoa (maksudnya): “Saya titipkan kepada Allah agamamu, amanatmu dan kesudahan amalmu.” (Hadis riwayat Ahmad)


Kami tiba di jeti Kuala Perlis jam 10.15 pagi. Setelah kereta di bawa balik oleh adik ummi ke rumahnya di Baseri, ummi berkumpul dengan kawan-kawan zauj yang lain. Terdapat 18 orang dalam kumpulan kami. Mudah berada di dalam kumpulan, susunan kerusi di dalam feri pun berdekatan.


Oleh kerana ummi mempunyai ramai anak-anak bujang lelaki yang sedang meningkat remaja, tenaga mereka kuat,maka mereka inilah yang banyak membantu ahli-ahli dalam kumpulan yang uzur dan ramai anak kecik-kecik. Saling bantu membantu antara satu sama lain.

Sebab itu mereka yang bermusafir sebaik-baiknya jangan bersendirian. Hadis riwayat Bukhari, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.”


SETIAP orang yang ingin melakukan perjalanan atau bermusafir dengan tujuan yang baik dan dituntut oleh Islam seperti bermusafir kerana menuntutآ ilmu, melaksanakan sesuatu urusan keagamaan seperti mengerjakan Ibadat Haji, menziarahi keluarga, kenalan atau mencari rezeki yang halal untukآ memenuhi keperluan keluarganya, mereka tergolong di kalangan orang-orang yang menempuh perjalanan yang diredhai Allah, atau dikira beribadat kepada Allah S.W.T . Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa yang bermusafir kerana menuntut ilmu pengetahuan, maka ia adalah dalam perjalanan Allah, sehinggalah ia kembali".


Di dalam feri kami duduk di kerusi bermula nombor 1 hingga 18. Jadi mudah untuk menyusun beg-beg pakaian. Dalam feri tu, bukan luas mana pun tempat untuk meletakkan beg-beg.


Perjalanan mengambil masa selama 45 minit. Meredah ombak dilaut menuju ke Pulau Langkawi yang terletak di diperairan Selat Melaka . Langkawi adalah gugusan 99 buah pulau yang terletak di luar pesisiran pantai Kedah. Ia sebuah pulau legenda yang penuh misteri, selain pusat pelancongan bertaraf antarabangsa dunia.


Mujur kami tidak ada yang mabuk laut. Mungkin kerana feri itu besar, jadi tidak terasa olengan feri dipukul ombak. Kerusi-kerusi di dalam feri sama sahaja susunan kerusi di dalam pesawat terbang. Berempat-empat dan ditengah-tengah ada lorong untuk berjalan. Ada TV bersama pemaian VCD untuk menayangkan filem. Tapi , disebabkan kepenatan dan kami telah bangun awal pagi, ramai dalam kumpulan musafir tu yang tertidur.


Tiba di jeti Kuah, kami bergerak pula menuju ke lapangan kereta. Di situ telah menanti sebuah bas yang akan membawa kami ke tempat penginapan di Pantai Cenang Tengah.


Selepas mendaftar masuk, berkemas seadanya,Zauj terus mengikuti program bengkelnya dan anak-anak bersolat jamak takdim, sebelum mereka mahu turun melihat-lihat kawasan sekitar tempat penginapan itu. Terdapat 3 buah kolam renang untuk mandi-manda dan bersantai. Ummi memang tidak gemar turun untuk duduk bersantai di tepi kolam. Hanya anak-anak lelaki sahaja yang mandi dengan track suit sukan dan baju T. Memang ummi tahu,jika ada peraturan melarang mereka berseluar panjang dan berbaju T, mereka tidak akan mandi atau terjun kolam.


Oleh kerana Pulau Langkawi adalah tempat pelancongan antarabangsa dunia, ramai juga pelancong asing yang datang. Hmmm...biasalah yang kita lihat,kalau penacong asing, tambahan Malaysia tidak menyediakan Etika beraturan mengikut ciri-ciri Islam, maka mereka berpakaian sama seperti berada di negara mereka sendiri. Tak ada rasa segan silu untuk mendedahkan aurat. Hanya payu dara dan kemaluan yang ditutup.




Mujur ada 3 kolam, apabila mereka mula bersantai di kolam 1, anak-anak akan berendam dan berenang di kolam 2. Alhamdulillah,semua anak-anak di dalam kumpulan bermusafir tu faham keadaan ini. mereka tak mahu bercampur dengan mereka-mereka yang berpakaian telanjang.


Hari kedua, lepas zohor, zauj izinkan ummi ke Pekan Kuah dengan menantu perempuan, isteri angah. Kami pergi menaiki teksi. Sampai di Pekan Kuah, ummi dan menantu berjalan-jalan melihat-lihat barang-barang yang dijual dalam premis-premis perniagaan. Hmm...bukan boleh banyak jalan pun, jalan pulak perlahan saja. Dah sakit kaki.


Ummi cuma masuk beberapa buah premis perniagaan sahaja seperti Hj Ismail Group untuk membeli beberapa barang-barang keperluan dan kenangan seperti baju T gambar abstrct Langkawi, coklat, kain batik dan tote beg untuk dihadiahkan kepada anak-anak yang tidak ikut bermusafir.


Selepas asar, ada seorang halaqian dari Langkawi datang menjemput ummi untuk berborak santai di warung, sambil makan laksa dan lee chi kang. Kemudian dibawa ke rumahnya untuk bersolat maghrib di Kg Bayas sebelum singgah di tempat sewa kereta. Ummi sewakan sebuah kereta untuk anak-anak dan zauj berjalan-jalan mengelilingi Pulau Langkawi.


Tempoh sewa kereta adalah 24 jam. Ummi sewa kereta mula jam 8 malam, tarikh 23 Disember,hari Khamis. Bermakna kereta akan dipulangkan hari Jumaat, jam 8 malam juga. Jadi dapatlah pada seharian hari Jumaat, anak-anak dan zauj berjalan-jalan. Ummi tidak ikut serta sebab dah pasti tak larat untuk berjalan banyak. Lebih selesa jika ummi hanya tinggal di bilik penginapan sahaja sambil berhalaqah.


Merata tempat mereka pergi melawat seperti Padang Beras Terbakar, Telaga Air Panas, Telaga Tujuh, Makam Mahsuri dan Pantai Pasir Hitam. Semasa melawat Telaga Tujuh, perlu mendaki anak tangga, sampai di puncak,hujan turun dengan lebatnya. Maka berhujan lah mereka ketika menuruni tangga.


Menjelang maghrib barulah mereka kembali ke tempat penginapan dan angah pergi ke Pekan Kuah untuk memulangkan kereta sewa. Angah pulang semula ke tempat penginapan dengan menaiki teksi.


Malamnya,zauj ada program lagi.Mesyuarat bersama dekan dan staf pengurusan tertinggi hingga jam 12 tengah malam. Esok pagi, berehat santai di bilik , anak-anak terus mandi di kolam dan ummi berkemas barang-barang dan pakaian.


Sebaik azan zohor,semua solat berjemaah jamak takdim. Bas sudah sedia menanti untuk menghantar kumpulan musafir ke jetti Kuah. Barang yang menimbun banyaknya,sebab semua keluarga telah memberanakkan beg masing-masing dengan perlbagai barang-barang yang dibeli di Langkawi. Dengan menyewa troli besar,perkeja telah menyorong semua barang-barang ke tempat pemeriksaan kastam dan selepas itu ke ferri. Mujur ada 2 anak lelaki ummi untuk membantu pekerja itu menguruskan semua beg dan barang-barang kumpulan ini.


Semua barang -barang dan beg-beg diletakkan atas dek ferri dan ditutup dengan plastik gar tidak tersimbah air laut. Banyak betol barang-barang yang dibeli oleh kumpulan ini.


Sampai di jetti Kuala Perlis,pada pukul 5.15 petang. Setelah memunggah barang-barang dan diletakkan di atas troli, kami berpecah menuju haluan masing-masing. Sementara anak-anak menyusun barang-barang ke dalam kereta dan membantu ahli kumpulan lain berkemas, ummi menemui 2 orang halaqian dari Kedah.


Pak Long dan 'Saya Hamba'. Gembira ummi kerana dapat bertemu mereka berdua. Selama ini hanya kenal nick name dichatbox halaqahnet sahaja. Itulah sebuah laman web yang menghubungkan silaturahim dan mengeratkan ukhuwwah sesama saudara se Islam yang jauh dan dekat. Dari pertemuan alam maya membawa ke alam realiti.


Walaupun pertemuan sebentar saja, namun kesan persaudaraan itu kekal selama-lamanya. Alhamdullilah. Itulah yang dikehendaki seperti di dalam firman Allah;

“Sesungguhnya orang-orang mu’min itu bersaudara kerena itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah SWT supaya kamu mendapat rahmat.”
(Al-Hujurat : 10)


Berbasa basi,bertanya khabar itu ini, langit pula mahu menangis,maka berpisahlah kami sampai di sini. Ummi dan keluarga, zauj serta anak-anak terus pergi menuju ke Baseri, untuk berkunjung ke rumah adik.

Rupanya dalam masa ummi berbual-bual dengan 'Saya Hamba' dan Pak Long, zauj tolong melihat kereta kawannya yang tak boleh hidup enjinnya. Mungkin disebabkan dah 4 hari tak digunakan. Dengan menggunakan 'jumper' barulah enjin kereta itu berfungsi. Selagi kereta kawan tu tak bergerak, pasti zauj juga tidak balik untuk menemankan mereka. Setelah pasti semua kenderaan boleh bergerak untuk meneruskan perjalanan,barulah zauj memandu keretanya menuju ke rumah adik.


Satu malam berehat, masih tak cukup masa untuk zauj. Kepenatan berbengkel selama 1 minggu yang memerah segenap minda, melemahkan urat sarap fizikal. Ummi ingatkan akan bertolak balik ke Johor Bahru pada pagi itu,tetapi zauj tak larat lagi nak memandu. Jadi ummi hanya berkemas dengan mencuci segala pakaian yang digunakan selama 10 hari bermusafir. Adoh! menimbun pakaian...


Siap saja berkemas,mana-mana pakaian yang telah kering dilipat dan dimasukkan semula ke dalam beg, zauj ajak balik. Terus ummi arahkan anak-anak kemaskan barang-barang dan beg pakaian ke dalam kereta. Disusun padat.


Jam 6:30 mula berjalan menuju ke lebuh raya melalui Arau, tetiba ummi teringatkan sepasang warga emas yang pernah datang ke Johor menziarahi ummi di rumah. Setahu ummi mereka tinggal di Kuala Perlis. Terus ummi buat panggilan kepada anaknya,bertanya khabar mereka. Dan pergi sekejap menziarahi mereka selepas solat maghrib di Masjid Arau.


Jam 9.30 malam selepas menziarahi pasangan warga emas, barulah kami bergerak menuju ke lebuh raya utara selatan bagi meneruskan perjalanan balik ke rumah. Perjalanan tanpa henti,zauj memandu sendirian.dalam perjalanan di lebuh raya,beberapa kali kami menemui kenderaan yang ditimpa musibah dan kemalangan.


Kami tiba di Plaza Tol Skudai jam 6.20 pagi. Berhenti di Plaza Tol Skudai untuk bersolat subuh. Usai solat subuh,barulah bergerak menuju ke rumah di Taman Pulai Utama. Alhamdullilah, selamat tiba di rumah tanpa halangan dan rintangan setelah 10 hari bermusafir.


Syukur kepada Allah yang merahmati perjalanan kami. Silaturahim, persaudaraan dan kemesraan yang terjalin di dalam kumpulan musafir ... susah senang dirasai bersama-sama.







Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



0 comments: