BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 18 January 2011

Biarlah Menjadi Gelas

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Hidup dan kehidupan kita adalah amanah yang akan kita pertanggungjawabkan kelak di hadapan Allah, sebagaimana penciptaan kita dan seluruh makhlukNya yang penuh makna dan nilai ( tidak sia-sia ) ketika diciptakan oleh Allah di muka bumi ini. Maka hal yang kita lakukan adalah berusaha menepati amanah Allah dengan senantiasa terus berusaha mencintai kebaikan dan perintahNya dan menjauhi laranganNya.


Kerana amanah dan tanggungjawap,maka sejak masuk saja tahun 2011, bermula 1hb Januari, kesibukan yang datang bagaikan tidak cukup tangan untuk ummi kejar.


Urusan persekolahan bertembung dengan buka semester IPT. Sibuknya urusan sama rancaknya laju aliran tunai mengalir keluar dari poket. Setiap orang anak memerlukan perbelanjaan hampir RM 1 ribu seorang. Omar Abdul Aziz,Abdullah Mubarak dan Muhammad Imran. Itu yang bersekolah. Yang sedang belajar di IPT pun sama juga.


Walaupun sudah berkahwin, angah masih belajar dan tidak mendapat mana-mana tajaan. Hanya isteri angah saja yang mendapat tajaan. Jadi angah masih lagi ditanggung sepenuhnya pengajian oleh ayah ummi. Kebetulan semester 2 buka serentak hari dengan pendaftaran awal tahun pelajar-pelajar sekolah. Memang lajulah aliran duit tunai.


Ummi tidak kisah tentang kewangan, sebab setiap manusia memang telah Allah tetap rezekinya. Selalu ummi ingatkan zauj bahawa memang itu rezeki anak-anak atau siapa sahaja, kita hanyalah pengantara atau asbab rezeki itu dikurniakan. Hanya ummi keletihan menguruskan hal-hal persekolahan anak-anak ini. Dari pendaftaran masuk tingkatan 1, yuran, pembelian peralatan sekolah, buku-buku dan pakaian sekolah.


Syukurnya semua anak-anak yang masih bersekolah ini lelaki, maka mudahlah untuk mencari pakaian di kedai. Beli aja yang sudah siap berjahit, tidak payah sibuk menempahnya. Lainlah jika anak perempuan dulu, Najdah dan Nazihah. Semua pakaian mereka ummi yang jahitkan. Baju kurung, kain sarung dan tudung. Awal cuti sekolah, ummi dah mula sibuk.


Masih ingat lagi, kalau dulu, masa ramai-ramai masih sekolah, along, angah, najdah, nazihah dan Baihaqi, ummi beli kain putih satu kayu. Buat baju kurung untuk anak perempuan,paling kurang seorang 3 pasang, baju kurung (melayu) anak-anak lelaki untuk pakai bersekolah agama, seorang 2 pasang. Hmm....memang satu kayu. Nanti dipertengahan tahun,kena buat seluar panjang lelaki,sebab seluar dah tak nampak seluar, koyak dan singkat.


Bab menjahit pakaian, bukan untuk anak-anak dan diri sendiri sahaja, baju melayu (kurung cekak musang) zauj pun ummi jahit sendiri. Dah berpuluh pasang baju melayu zauj ummi yang jahit sejak dari mempunyai 2 orang anak lagi. Masa itu,tinggal di Paya Jaras,sedang hamilkan najdah, zauj panggil seorang tukang jahit datang ke rumah,minta dia tunjuk ajar cara-cara membuat baju melayu cekak musang. zauj tunggu sampai ummi pandai menjahit dan jahitan kemas dan diiktiraf oleh dia. (lelaki, kalau jahitan selekeh, tak mahu pakaian itu dipakai, apatah lagi dipakai waktu pejabat). Tambahlah kini zauj sebagai TD di Fakulti Tamadun Islam, lagilah menjaga etika berpakaian kemas.


Setiap kali bila menjahit pakaian zauj, zauj akan tunggu dan belek-belek teliti, tak mahu ada kekurangan yang jelas kelihatan pada jahitan pakaiannya. Kalau tersilap, zauj akan suruh buka semula. Ketelitian zauj ini sebenarnya memahirkan ummi dibidang jahitan. Itu yang menjadi warisan kepada anak-anak. Namun kesibukkan belajar, menjadi kekangan untuk anak-anak mengusahakan kerjaya dibidang jahitan. Menjahit hanyalah sekadar untuk pakaian sendiri sahaja.


Amat berbeza dengan adik beradik ummi. Arwah mak mahir dibidang jahitan.Menjadi tukang jahit pakaian dikampung. ramai yang datang menempah pakaian kepada arwah mak. Kami anak-anak tak ada belajar secara terus dengan arwah. Melihat dan menyambil menolong-nolong sahaja. Rupanya bakat itu diwarisi kepada 5 daripada 9 orang anaknya. Selain ummi yang hanya menjahit pakaian keluarga sendiri dan juga keperluan rumah tangga seperti langsir , cadar, alas meja, adik-beradik ummi yang lain, menjadikan jehitan sebagai kerjaya. Ada yang mejadi tukang jahit profesional. Sebagai suri rumah sepenuh masa, pendapatan tambahan adalah melalui jahitan.


2 adik lelaki, seorang kakak dan seorang adik perempuan tu memang tidak ada minat untuk mejahit. Selain bakat yang diwarisi, minta juga perlu ada untuk menjahit pakaian. Ketekunan dan kesabaran untuk mendapatkan hasil dan mutu yang berkualiti adalah kunci kejayaan dibidang jahitan.


Berbalik kepada pengurusan anak-anak yang bersekolah, bermula 27 November, Abdullah dikehendaki hadir untuk sessi Temuduga Kemasukan Tingkatan 1 di SBPI Rawang, 27 Disember, pembelian buku-buku untuk Muhammad Imran, 1 Januari, mendaftarkan Abdullah Mubarak ke tingkatan 1 di SMKTUN (setelah keputusan dukacita untuk ke SBPI Rawang, tetapi masih menanti panggilan kedua), hari yang sama ke sekolah Muhammad Imran untuk pembayaran yuran dan pelbagai.


3 Januari ke JPNJ untuk mengisi borang rayuan ke SMKA, itu pun mujur pendaftaran untuk Omar Abdul Aziz ke tingkatan 2 di SBPI Rawang dibantu urus oleh angah. Pada 2 Januari, angah tolong hantar Omar ke asrama dan membuat bayaran pendaftaran. Sebab itu, ummi tak dapat untuk menghantar Muhammad Nur Iman mendaftar di PUSPA, Sg Petani Kedah pada 2 Januari.


Walaupun Nur Iman ummi hantar jauh belajar asas agama Islam di Kedah sana, tetapi kami sentiasa berhubung. Ummi tidak abaikan Nur Iman begitu sahaja setelah membimbing selama 1 tahun melalui alam maya. Sekarang Nur Iman belajar secara berguru. Inilah yang amat baik buat pencari ilmu.


6 Januari, pegawai JPNJ bahagian pendidikan Islam telefon pula, memaklumkan sessi Temuduga Kemasukan Tingkatan 1 ambilan kedua di SMKA Bandar Penawar pada 10 Januari. Adoh...bertembung dengan urusan lain pula di KL. Maka ummi minta pertolongan along untuk bawakan Abdullah ke SMKA Bandar Penawar.


8 hingga 10 Januari ummi ke KL atas urusan lain pulak. Isnin malam Selasa baru balik. Abdullah pula sudah selesai sessi temuduganya di SMKA Bandar Penawar. 13 Januari, pegawai JPNJ bahagian Pendidikan Islam telefon sekali lagi memaklumkan minta ambil surat tawaran ke SMKA Bandar Penawar. Abdullah berjaya memasuki sekolah tersebut. Pendaftaran pada 17 Januari.


Petang tu, 13 Jnauari, ummi dan zauj ke JPNJ, untuk ambik surat tawaran. Ada borang-borang yang perlu di isi. Senarai barang keperluan yang perlu dibeli. Balik dari JPNJ,terus singgah Plaza Angsana untuk membeli pakaian sekolah Abdullah. Singgah Badan Cemerlang untuk membeli kamus Bahasa Jerman untuk Nurafifah. Cari Buku Malaysia Law System ,Lee Mei Pheng tak ada pulak. Kehabisan stok di Badan Cemerlang. Sampai rumah apa lagi, berjalan melebehi had, sakit kaki. Mulanya Baihaqi urutkan kaki ummi dan Abdullah urut kaki zauj. Lepas tu dalam ummi sudah lena, Abdullah datang memicit-micit kaki ummi. Selagi tidak diurut dan dipicit kaki ummi untuk melancarkan perjalanan darah,selagi itu lah kesakitan berlarutan.Hanya akan lega bila sudah dipicit dan disapu minyak panas/bam panas.


14 Januari, Jumaat, pagi tu pergi ke Gaint, membeli barang-barang keperluan lain untuk dibawa ke asrama. Petangnya, lepas habis waktu sekolah agama Muhammad Imran, bertolak ke Desaru. Zauj ada bengkel selama 2 hari 2 malam. Pergi menemankan zauj ke sana. Peranan seorang isteri dan ibu tetap dipikul dimana jua. Menemankan zauj untuk menguruskan makan dan pakai zauj dan anak-anak di Lotus Resort,Desaru. Balik hari ahad, 16 Januari. Tiba di rumah jam 4.00 petang.


Bila sampai rumah, seminit pun tak sempat nak berehat, terus mula berkemas pakaian dan barang-barang yang akan dibawa oleh Abdullah ke asrama keesokkannya. Melipat pakaian,memasukkan ke dalambeg,melengkapkan borang-borang dan meneliti keperluan lain yang akan dibawa. Mujur ada along untuk bawa Abdullah bergambar. Ummi terlepas pandang akan gambar ni dari awal. Mujur masih ada masa sebelum kedai gambar tutup. Yang zauj pula, sebuk buat pengesahan salinan-salinan dokumen pengenalan diri, walaupun zauj masih kepenatan.


Malamnya, zauj tidor awal, ummi masih lagi berkemas pakaian kotor untuk dicuci setelah 2 hari berada di Desaru. Subuhnya bangun awal, 17 Januari,bersiap untuk hantar Abdullah ke SMKA Bandar Penawar. bergerak awal pagi, hantar Muhammad Imran ke SKTU 3, dan terus ke Bandar Penawar. Naimah pun tak sempat dimandikan.


Sampai SMKA tepat jam 9.01 pagi. Pendaftaran baru bermula. Selesai pendaftaran, pembayaran yuran, buku, koperasi dan lain-lain, terus naik ke dorm pula. Mengemaskan pakaian Abdullah ke dalam locker, menjahit lencana yang baru dapat. Menjelang pukul 12.15 baru selesai urusan Abdullah. Selepas Abdullah bersalam , berpelukan dan mencium pipi, barulah kami bergerak balik. Singgah makan tengah hari sekejap sebab ummi langsung tidak sempat bersarapan pagi kerana menguruskan pendaftaran tadi tu.


Muhammad Imran sepatutnya balik pada pukul 1.10 tengah hari, tapi pagi tu ummi dah pesan, jika lewat tiba dijemput, jangan kemana-mana, duduk sahaja di kantin sekolah. Tiba SKTU 3 jam 2.03 minit petang, laju zauj memandu sebab tak mahu Imran lama berseorangan di sekolah. Sekolah tu cuma 1 sessi, takut dah tak ada orang di sekolah.


Akhirnya tiba di rumah pada pukul 2.27 petang. Haah...lega, baru terasa lega yang teramat. 2 minggu yang sangat sibuk menguruskan persekolahan anak-anak sambil dalam masa yang sama merawat hati yang duka. Ada anak lain yang menjauhkan diri.


Tak tahu apa punca, apa sebab, dia merajuk dan terasa hati. Yang ini hanya doa yang dititipkan moga silaturahim tidak putus kerana kasih itu telah terpahat disanubari. Walaupun sesibuk mana ummi ini, anak yang seorang ini tidak pernah dilupankan walau jauh di depan mata tetapi kekal ingatan di dalam hati. Harap tidak lama rajuk anak mak kali ini...



"Maha Suci Mu Ya Allah,peliharalah diriku dan keluargaku dari api neraka"


"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat2 yang kasar dan keras, yang tidak derhaka pada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" (surah at-Tahrim : 6)





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



10 comments:

Selamber.org said...

ummi ke gelasnye tu..heee..rajin ummi menjait ye,,buat kan sy sepasang baju melayu t ek..yang cekak rimau nye kalo ade...heee,, tabah ye ummi ni,, mengerikan..bkn tahap jarang dah,,tapi memang first time tau ade gak wanita kat dunia ni bersifat betul2 keibuan cm ummi.. mak sy pun gitu gak,,tapi bab jait baju,, x dapat ar..heee..

Ummi Munaliza said...

keh..keh...rajin pulak anak sorang nak mengomen. Terima kasih pujian tu. Mujur tak melambung sampai ke bumbung.

Tak pe,nanti cari isteri yang penuh sifat keibuan ya...

Anonymous said...

Pikir saya akan komentar dan mengatakan tema rapi, apakah Anda membuatnya sendiri? Benar-benar luar biasa!.

Ummi Munaliza said...

Alhamdullilah,benar,saya mengisi dengan penulisan dari pengalaman hidup yang dilalui.

Unknown said...

subhanallah ummi..tabahnya ummi.. Ana pun nak berusaha menjadi mcm ummi lah..srg isteri yang solehah n ibu yang menyayang..(^_^) Ummi, bleh ana tau knape entry nya 'biarlah menjadi gelas'?

Ummi Munaliza said...

Pernah baca terjemahan ayat quran surah An-Nur ayat 35?

Maksudnya:
“ Allah adalah cahaya seluruh langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti sebuah tempat pelita yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu berada dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang penuh berkah, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi walaupun tidak disentuh api (lantaran minyak itu sangat bening berkilau). Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis). Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. (An Nur: 35)

Kaca dengan gelas, anggapkan sama. Dalam kaca ada lampu yang dinyalakan dari minyak zaitun.

Apa tujuan kaca itu? Supaya lampu tidak padam bila ditiup angin. Usahkan badai atau taufan,angin sepoi bahasa pun boleh memadamkan lampu itu jika tiada kaca yang menghalang tiupan angin. Kalau tutup atau adang guna benda legap macam tin,tak guna pula lampu tu sebab menyekat cahaya lampu dari menyinari keadaan sekeliling yang gelap.

Nampakkah, apa tujuan kaca tu? Takkan ummi nak tulis aku seperti kaca? nanti orang akan maksudkan lain pula. Macam maksud antara kaca dengan permata. Jadi ummi tulislah biar aku menjadi gelas.

Kalau gelas panggilan biasa pun,gelas itu amat berguna untuk meminum air. air yang sejuk bagi menghilangkan dahaga. jadi peranan gelas tetap sama sebagai sesuatu yang melindungi lampu dari padam dan sebagai pengantara untuk minum air.

Itulah makna sebenarnya gelas, menjadi gelas kepada zauj dan anak-anak yang ummi sayangi.

Selamber.org said...

kalau gelas tu pecah camne plak??heeee.....

Ummi Munaliza said...

Kalau gelas pecah,cepat-cepat ambik penyapu, sapu,jangan sampai ada yang terpijak,kang berdarah kaki.

Lepas tu ambik gelas yang bersimpan dalam almari tu. Gunakan semua sampai habis...

Selamber.org said...

kalau gelas dlm almari pun dah habis semua pecah camne ummi?

Ummi Munaliza said...

kalau semua gelas yang simpan dalam almari habis,beli lagi...kilang gelas banyak, kecualilah dah habis pasir,kilang nak buat gelas dah tutup...

Ketika itu, tentu minyak lampu pun dah habis,api pun dah padam...