BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday 10 January 2011

Hakikat Perjalanan Kehidupan Kita

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.


Maha suci Allah yang mengurniakan keindahan dalam bersabar apabila diberikan ujian dan dugaan untuk meraih kemanisan iman dan tanda tulus beriman dengan NYA.


Tidak ada yang lebih nikmat melainkan tulusnya hati dalam redha menerima ujian dari NYA. Dikala ujian datang, syahdunya doa , lembutnya hati dan basahnya lisan untuk sentiasa ingat pada keagungan dan kebesaranNYA.


Dan kadang-kadang ada perkara yang tidak mampu untuk dikongsi dan diluahkan melalui kata-kata, maka hati hanya berupaya berbicara di dalam dada. Sesungguhnya Allah yang merencana apa yang terjadi. Perjalanan menuju Allah dipenuhi onak dan duri.


Dalam pada itu wajibnya kita sentiasa memohon kepada Allah agar ditetapkan perjalanan itu sentiasa dijalan yang lurus. Onak dan duri itu bersepah pada jalan yang lurus itu mendatangkan manafaat juga kepada kita, supaya kita berupaya menambah amal dengan mengutip duri duri itu dan membuang dari jalanan. Ini memudahkan orang-orang selepas kita berjalan menuju kepada destinasi yang kekal abadi tanpa halangan lagi.


Biarpun di dalam perjalanan itu lebih banyak bertemankan airmata duka. Kerana kasih , kerana sayang kepada sebuah perhubungan, perhubungan yang telah termetrai dalam kalam Allah. Sedaya upaya akan dipertahankan walau besar manapun ribut taufan yang datang melanda. Sagala khilaf segala alpa adalah fitrah manusia. Maka kata maaf sentiasa diberikan tawaran agar perhubungan itu boleh dibawa ke syurga. Selagi tidak dalam  izinNYA, tidak dalam Qudrat dan IradatNYA, buat lah apa saja, pasti tidak akan  berjaya.


Kehidupan insan, sebentar sahaja sebenarnya.


Adakah kita merasakan perjalanan hidup kita ini panjang atau pendek?


Mungkin, kebanyakan kita hanya mengetahui kependekan umur kita, hanya apabila kita dijemput pulang oleh ALLAH SWT. Tetapi, ketika kita sedang melaluinya, kita terasa seperti umur kita sangat lama dan panjang.


Sebab itu, bila kita diarahkan untuk taat kepada peraturan ISLAM, dan hidup mengikut perintah yang ALLAH telah tetapkan, kita terasa seperti hidup kita yang panjang itu telah menjadi sukar. Hal ini kerana, kita terasa seperti perlu lama duduk di bawah kongkongan.


Ya kah?


Sebenarnya selepas kehidupan di dunia ini,kita akan melalui 3 alam lagi yang kita tidak ketahui berapa lama masanya. Kalau semasa kehidupan di dunia ini,paling lama, katakan lah 100 tahun. Selepas itu tamatlah kehidupan di dunia apabila berpisahnya roh dengan jasad. Berapa lamakah masa di alam barzakh? Masa selepas di tiup sangkakala untuk dihisab dan menunggu giliran melalui titian sirat. Selepas itu baru berada kekal samada di syurga atau neraka.



“ Masa kita untuk bersusah payah, beramal, tunduk taat kepada ALLAH, hanya sebentar sahaja di dunia ini. Itulah dia semasa kita berada di alam kehidupan sebagai manusia. Kemudian kita akan mati, dan melalui alam barzakh. Kehidupan di alam barzakh inilah yang bergantung kepada amal kita di dunia. Panjang alam barzakh tidak kita ketahui.




Seterusnya Israfil akan meniupkan sangkakala kedua ketika hari kebangkitan, dan kita akan berada di hari perhitungan. Hari itu, amal kita di dunia akan diperhitungkan dengan hitungan seketat-ketatnya. Lamanya hari itu, tidak kita ketahui. Amalan kita di dunia lah yang akan menentukan sama ada kita melepasi sirat atau tidak. Jika kita melepasi titian sirat, maka kita akan ke syurga. Jika kita tidak melepasi sirat, maka kita akan ke neraka. Semuanya ketika itu adalah bergantung kepada amal kita di dunia.”



Kita ini sebenarnya, beramal sebentar sahaja. Susah payah kita taat kepada ALLAH, perjuangan kita menentang kepuasan hawa nafsu serakah shahwat, memerangi tamak haloba dan perbuatan maksiat, menghadapi kesukaran menyebarkan ISLAM dan menyampaikan kebenaran, semuanya hanya sebentar sahaja. Sekitar dalam 100 tahun sahaja.


Tetapi, kehidupan kita selepas itu, kehidupan kita di alam barzakh, kehidupan kita di Padang Mahsyar semasa hari perhitungan, dan kehidupan kita yang mempunyai dua kemungkinan tempat akhirnya yakni syurga dan neraka, semuanya bergantung kepada kehidupan kita yang dalam 100 tahun itu.


Baik kita di dunia, maka baiklah kita di akhirat.


Dibandingkan dengan tiga lagi alam yang menanti selepas alam kehidupan manusia, dengan alam yang terakhir bersifat kekal abadi, ternyata amal kita selama dalam sekitar 100 tahun itu adalah sedikit sahaja jika hendak dibandingkan dengan balasan yang akan kita dapati pada tiga alam seterusnya.


Jika kita baik di dunia, maka kehidupan kita di barzakh akan dipermudahkan. Kehidupan kita di hari kebangkitan semasa perhitungan ALLAH sedang berjalan turut akan disenangkan. Dan pengakhiran kita adalah syurga, yang kekal abadi selamanya. Semuanya dalam kesenangan dan kelapangan, dan kali ini ia berbentuk abadi, dan tidak akan dirampas pergi.


Jika kita buruk di dunia, maka kehidupan kita di barzakh akan disempitkan. Malaikat bersedia mengazab dari alam barkzakh lagi, dan dibukakann pula lubang-lubang neraka memanaskan alam barzakh kita. Seterusnya, di hari perhitungan kita akan dibangkitkan dalam keadaan telanjang, di dalam lautan peluh dengan matahari dekat sejengkal di atas kepala.


Kemudian kita akan dimasukkan ke dalam neraka, yang panasnya walau hanya terpercik kecilan apinya ke dunia, dunia akan hancur, dan di dalam neraka dashyat itu, kita akan kekal selama-lamanya di sana. Semuanya berbentuk kesusahan dan kesempitan, kesengsaraan dan kesedihan sahaja.


Maka wajarlah kini, kita sedar dan insaf dengan kehidupan dan pengakhiran hidup. Sebentar sahaja rupanya kita hidup. Sebentar sahaja rupanya kita beramal. Kalau hendak dikira 100 tahun, dengan kehidupan di dalam tiga alam, kemudian dengan kehidupan terakhir yang berbentuk abadi, memang boleh dikatakan bahawa 100 tahun itu teramat pendek. Kita beramal sedikit, tetapi ALLAH ternyata hendak memberikan kita banyak.


Benarlah bahawa, siapa yang berbuat kerosakan di atas muka bumi sepanjang kehidupannya, menentang agama ALLAH dan membelakangkan perintahNya sepanjang kehidupannya, maka dia benar-benar manusia bodoh yang melontarkan dirinya sendiri di dalam kerugian. Hal ini kerana, dia menganggap kehidupan pendek inilah untuk bersuka ria, dan diisi dengan dosa kebanyakannya. Ternyata, dia gembira sementara, kemudian merana selamanya. Alangkah rugi.


Melihat kependekan masa beramal ini jugalah, ummi jadi teringat dengan Surah Al-‘Asr. Betapa benarnya firman ALLAH SWT di dalam surah pendek itu. Sungguh menginsafkan.


“ Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Yang berpesan-pesan kepada kebenaran, dan berpesan-pesan kepada kesabaran” Surah Al-‘Asr ayat 1-3.

Dan terdapat satu surah yang patut kita selalu baca agar ingat akan perjalanan kehidupan ini, yakni Surah Ali-Imraan ayat 185,

“ Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian, dan di akhirat kelak balasan kamu akan disempurnakan, barangsiapa yang diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka dia sesungguhnya telah berjaya. Sesungguhnya tiadalah dunia ini melainkan kesenangan yang menipu daya”


Bagaimana kita?


Tidakkah sedikit sahaja masa kita beramal?


Apa yang kita tunggu lagi?


Masih hendak mensia-siakan waktu?





Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




4 comments:

aman_arab said...

Zaman sekarang ni ramai yang kena penyakit 'wahan' termasuk la saya jugak..bukan tak tahu..sedar diri ada penyakit tu..tapi masih lagi degil tak mau cari ubat nak sembuhkan penyakit tu..masih lagi cintakan dunia dan takutkan mati...

Ummi Munaliza said...

Jom sama-samakita berusaha cari ubatnya. Sebab tu,kalau sekali sekala Allah datangkan ujian kesakitan yang berat,hampir meragut nyawa, tapi tak mati, itu adalah satu amaran agar cepat bertaubat.

Atau Allah datangkan sesuatu musibah, sebenarnya agar kita tersentak dari lalai dan leka dengan keselesaan dunia ini. Kita ingat dunia ni dah selesa, sebenarnya ada kehidupan yang lebih selesa selepas ini.

Anonymous said...

Assalamualaikum, saya suka blog ini. Bersih dan suci dalam ertikata sebenar..insyaAllah.

Anonymous said...

Assalamualaikum, saya suka blog ini. Bersih dan suci dalam ertikata sebenar..insyaAllah.