BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday 31 January 2011

Solluhi Qadim

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.




Hari Rabu, 19 Januari, zauj memang selalu sebuk dengan menghadiri beberapa siri mesyuarat dari pagi sampai ke petang. Lepas solat asar, jam 5.00 petang hingga 8.00 malam disambung dengan kelas UHW untuk pelajar master dan Ph.D


Jadi petang itu, zauj minta ummi menjemput Imran balik dari kelas agama di SA UTM. Disebabkan Nurin pun balik jam kerja hari tu jam 5.30 petang,maka ummi ambik Imran selepas solat asar. Mujur Imran tidak merayau kemana-mana sebab lambat ambik dia balik kelas yang berakhir jam 3.30 petang.


Ummi tiba di sekolah agama, hampir jam 5.00 petang. Masih ada 30 minit nak tunggu Nurin balik kerja, ummi bawa Imran dan Naimah ke cafe. Nak pujuk Imran yang merungut lewat dijemput, ummi belanja makan kentang goreng. Selesai makan,hampir 5.30, masuk kereta dan jemput Nurin pula.


Sampai rumah, buka pakaian, terus ke dapur untuk menyediakan makanan makan malam. Oleh kerana zauj balik 7.30 malam, zauj mengajar tanpa henti selama 2 jam 30 minit. Berhenti awal 30 minit untuk mengerjakan solat maghrib. Sampai rumah,ummi berjemaah dengan zauj dan Imran.   ( anak yang dirumah pun memang Imran saja).

Ntah apa yang tak kena, habis salam saja, ummi terasa amat mengantok. Dengan telekong masih menyalut di badan, ummi berbaring atas katil di dalam bilik belakang. Bilik belakang ni menjadi bilik operasi harian ummi.


Ada laptop, ada katil untuk berehat, ada meja untuk menggosok pakaian, ada bakul yang berisi pakaian bersih baru yang di angkat dari jemuran. Banyak masa seharian ummi dihabiskan di bilik kecik ini, kedudukan bersebelahan dapur. Mudah untuk ummi bergerak depan belakang dan ke dapur.


Agak 30 minit ummi tertidor, ummi terjaga bila zauj ajak makan. Siap berhidang, semua makan. Siap makan, masa cuci pinggan disink dapur, jiran yang bertentangan dapur ummi bagitahu, dia nampak seorang lelaki melompat keluar dari pagar belakang rumah ummi. Dan terus berlari.


Lepas jiran bagitahu tu, ummi jenguk juga ke dalam bilik tu untuk melihat-lihat apa-apa yang tidak kena. Tak nampak sebarang perubahan dan perbezaan.


Hari Khamis, ada rombongan kawan-kawan kelas angah datang berziarah. Petang tu, ummi sibuk memasak makanan untuk makan malam seramai 60 orang. Ummi masak mudah dan simple sahaja menjamu mereka makan malam.


Nasi jagung, ayam masak merah dan dalca sayur. Mereka sampai lebih kurang 8.30 malam. Mereka memahami, ummi tak ada pembantu, cuma ada menantu, isteri along dan Nurin sahaja. Mereka dengan sukarela turun ke dapur untuk mencuci segala pinggan mangkuk yang digunakan selepas makan. Berkemas dan menyimpan semula ke dalam kabinet.


Hampir pukul 10.00 malam, mereka minta diri untuk meneruskan aturacara lawatan mereka. Selepas mereka balik, ummi pun merehatkan diri.


Esok paginya, seperti biasa, ummi bangun awal. Selepas solat subuh, baru ummi ke dapur untuk menyediakan sarapan untuk Imran. Sejak 18 tahun lalu, menjadi rutin setiap pagi menyediakan sarapan pagi untuk zauj dan anak-anak. Semua anak akan bersarapan di rumah sebelum pergi ke sekolah dan membawa bekal dari rumah untuk makan waktu rehat.


Setelah zauj dan Imran pergi,cepat-cepat ummi berkemas rumah. Kepenatan semalam telah beransur reda. Mengemaskan periuk-periuk yang digunakan. Tiba-tiba ummi teringat nak membeli barang di kedai. Ummi cari beg tangan yang selalu ummi letakkan di bawah meja di bilik kecik tempat ummi selalu menjalankan opersi segala urusan harian.


Cari punya cari dibawah meja, dicelah katil dan almari, ummi tidak jumpa beg tangan itu. "Eh...mana beg tangan ni, selalu kat bawah meja ni saja", hati ummi berkata-kata. Ummi minta tolong semua ahli rumah yang ada masa itu, along, menantu, nurin mencari beg tangan ummi. Seluruh rumah digeledah, namun tidak jumpa. Ummi jadi pelik dan kehairanan.


Ummi teringat kata-kata 'aso' jiran belakang 2 malam lepas yang dia nampak ada orang menceroboh kawasan pagar belakang rumah ummi. Dia nampak seorang lelaki melompat keluar dari kawasan berpagar rumah ummi ke jalan raya sambil ditangannya memengang barang. Lantas ummi teringat agaknya yang dapat diambilnya dari tingkap itu ialah beg tangan ummi.


MasyaAllah...


Teguran Allah atas kecuaian ummi. Dalam hati berdoa, moga Allah memelihara beg tangan dan isi kandungan beg itu dan dengan keluasan rahmat Allah, beg itu bersama dengan isi kandunganya selamat kembali kepada ummi.


Tidak semestinya doa itu segera dimakbulkan. Perlukan usaha dan ikhtiar. Ummi minta Baihaqi mencari di dalam semak dan belukar sekitar taman perumahan. Ummi sendiri pun mencari hingga di kawasan sunyi dan di dalam longkang-longkang besar.


Namun tidak ditemui. Petang Jumaat tu, baru ummi telefon CIMB, Bank Rakyat, Bank Islam dan EON Bank untuk menyekat sebarang transaksi. Sebelum itu, ummi minta mereka menyemak adakah sebarang transaksi dalam tempoh 48 jam lalu. Alhamdullilah... tak ada dilakukan transaksi.


Esoknya jiran yang hujung itu menyampaikan khabar, seminggu sebelum ini, dia nampak ada seorang lelaki muda yang asyik berjalan kaki berulang alik dilaluan belakang rumah ummi. Kecuaian,  ummi buat tak kesah akan khabar yang jiran sampaikan.


Hari Sabtu dan Ahad masih lagi ummi anak beranak berusaha mencari beg tangan itu di dalam kawasan semak dan longkang. Akhirnya akur, belum izin Allah untuk ditemui.


Hari Isnin, jam 9.00  ummi ke Balai Polis Taman Univerisiti, untuk membuat laporan polis akan  kehilangan dokumen - dokumen penting. Ummi bukan kisahkan beg tangan itu  atau wang yang di dalamnya, tetapi dokumen yang ada di dalam beg itu lebih bermakna dan bernilai.


Menyenaraikan dokumen yang terkandung di dalam beg itu dan lesap bersama dengan beg tangan, hinggakan pegawai tu tersenyum geleng kepala, "mak oii...banyaknya".


"Saya bukan hilang dompet, saya hilang beg tangan."


Sudah pasti banyak benda yang ummi sumbat dalam beg tangan itu. Selain emas, perak, besi tembaga, batu permata, tentulah dokumen yang memudahkan ummi untuk mengendalikan beberapa urusan seperti kad-kad ATM, kad-kad kredit, kad SSPN  anak-anak, buku-buku akaun bank dan tabung haji, kad pengenalan, lesen memandu, kad kerja, kad pesara, pen drive, modem broadband  dan yang penting ialah buku catatan urusan-urusan harian dan data-data. Bila senaraikan   dari huruf a  hingga  huruf  z. Buku  akaun,bukan buku  akaun ummi seorang,sebaliknya buku akaun anak-anak, pembantu rumah dan buku akaun zauj. Urusan untuk mendapatkan semua dokumen ini, bukan mudah.


Apakah ummi merungut? marah, geram, memaki hamun kepada yang mengambil beg  itu?


Tidak sekali. Ummi mengambil ini sebagai peringatan, sebagai teguran Allah kepada ummi. Mungkin ummi cuai, lalai dari melaksanakan tugas sebagai hamba, lalai mengingat Allah. Ummi redha dengan apa yang telah Allah tentukan ini.


Sebaliknya hanya doa yang ummi panjatkan semoga Allah memelihara  beg tangan dan isi kandunganya... dan dengan keluasan rahmatNYA beg dan isi kandungannya akan dipulangkan semula kepada ummi suatu saat nanti.


Inilah ketentuan Allah. "solluhi qadim", salah satu sifat takluq Allah. Sebagai orang mukmin, kita wajib menyakininya.

"solluhi qadim"...ketentuan atau kesesuaian yang telah ditentukan Allah SWT kepada kita . Contohnya berlaku sesuatu kejadian seperti "seorang itu hanya ada seorang anak sahaja" maka dia redha dengan ketentuan Allah itu,dan ini dipanggil "takluq solluhi qadim" iaitu "ketentuan sifat IlmuNya"

Secara umum sesuatu yang menyebabkan kesakitan, penderitaan dan kesusahan adalah sengsara. Sengsara adalah lawan bahagia.

Apabila seseorang mengalami kesengsaraan pastilah akan datang perasaan keluh kesah. Keluh kesah menimbulkan sifat ketidak sabaran. Dan akhirnya timbullah protes dari dalam bathin akan kesengsaraan yang dihadapinya.

Islam mengatakan kesengsaraan yang dialami oleh manusia itu tidak semestinya kesengsaraan dalam erti sebenar. Ada kalanya seseorang itu mengalami kesengsaraan sebagai pengajaran hidup. Jika seseorang itu hidupnya mewah dan menggunakan kemewahannya untuk kejahatan, jika dia tiba-tiba menjadi papa ertinya ia adalah supaya dia sedar akan kealpaannya selama ini. Demikian juga sengsara dengan penyakit, ia adalah sebagai peringatan supaya muhasabah diri apakah hidupnya yang lalu taat atau derhaka. Ertinya disini, sabar akan kesengsaraan adalah dituntut. Kemudian diiringi dengan redha dengan kesengsaraan itu iaitu sedar akan kekuasaan ALLah Taala dan sedar kelemahan diri.

Redha dengan kesengsaraan yang tiba-tiba dialami adalah sifat terpuji. Orang yang redha akan dijanjikan ALLah Taala tempat yang tinggi di syurga. Ertinya sengsara di dunia akan dibalas dengan kesenangan di akhirat dengan syarat redha akan segala Ketentuan yang pasti dalam IlmuNya.

'Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.' (QS. at-Talaaq : 3).

Panjang muqadimmah penutupnya, semoga bermanafaat  dan menjadi iktibar kepada semua pembaca.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



8 comments:

N.Y. said...

Jumpa ke tak ummi?Harap-harap jumpa la beg tangan ummi tu.Amin.Hebat la ummi ni.Sedikit pun tak marah. Saya harap saya pun akan jadi orang yang begitu.

aku dr amin said...

nampaknya sungguh banyak dugaan menimpa kita, namun kita tetap istiqamah dan sabar yer ummi.>_<

Ummi Munaliza said...

N.Y : Sehingga hari ini belum jumpa. Tak jumpa kat dunia,jumpa di sana nanti. Allah mahu berikan yang lebih baik kepada ummi.

Ummi Munaliza said...

Dr Amin, sabar adalah pakaian, mana mungkin seorang muslimah mampu membuka pakaiannya dikhalayak umum atau di kala sendirian.

Durratul Mujahid said...

Tak pe lah ummi.. InsyaAllah adalah rezeki yang lain menanti. Sabar.

Ummi Munaliza said...

Ameenn, dikurniakan anak-anak yang ramai pun dikira rezki juga.

Senangnya semua ini ada lah ujian bagi orang beriman.

Sebenarnya ujian Allah SWT ke atas hambaNya dengan nikmat harta kekayaan dan pelbagai kesenangan, pada hakikatnya lebih berat daripada ujian dengan bencana, seksaan dan kesusahan.

Ini kerana berapa ramaikah orang yang memiliki kekayaan, tetapi hidupnya penuh dengan kecelakaan kerana gagal mengguna atau menyalurkannya pada tempat sewajarnya. Kekayaan yang dimiliki akan diuji oleh Allah. Ini jelas diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi bermaksud: "Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta kekayaan."

Unknown said...

Allah Maha Penyanyang.. DiberiNya ujian di satu sudut ni dan dilimpahkan kasih sayangNya di sudut yang lain. Allah tidak pernah membiarkan hambanya berterusan menangis menanggung derita. Akan dipujuknya dgn nikmat kasih sayangNya yang tidak pernah berbelah bagi...(^_^)

~Dah lama xberkunjung ke rumah ummi.. Ana doakan ummi sihat dalam lindungan aksih sayangNya. Rindu pula rasanya nak duduk berbual2 bertanya khabar dgn ummmi..:)

Ummi Munaliza said...

jemputlah datang Nur Syazana. refresh iman dan motivasi . Hehehe...sebenarnya cuma dengar ummi berleter dan membebel.


Kalau suka dengar tak apa, jangan ambik hati kalau ummi ni tembak tepat kena batang hidung. Tapi apa pun, sebenarnya kerana sayang dan kasih, maka ummi menasihati agar semua kita sentiasa hidup di dalam rahmat dan kasih sayang Allah.