BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 5 April 2011

Kaya Harta dan Kaya Ilmu

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Bagi orang-orang yang benar-benar beriman, apa sahaja yang datang daripada Allah adalah baik walaupun buruk pada pandangan diri mereka sendiri. Mereka beriman dengan apa yang Allah swt tegaskan dalam sebuah hadis Qudsi:


“Wahai anak Adam, jika engkau sabar dan mencari keredhaan pada saat musibah yang pertama, maka Aku tidak meredhai pahalamu selain syurga.” (HR Ibnu Majah (no: 1597)


2 minggu berturut-turut hari Jumaat, Sabtu dan Ahad ummi dan zauj berada bersama-sama anak cucu di Kuala Lumpur dan Setia Alam. Zauj ada kerja dan ummi ambik kesempatan untuk menziarahi anak cucu.


Anak ummi  yang nombor 3 merupakan pelajar Medic USIM baru sahaja tamat peperiksaan akhir semester 6. Lega Najdah bila peperiksaannya tamat. Masa minggu pertama ummi datang peperiksaan sedang berjalan, walaupun sudah punya anak, Najdah tetap mempunyai masa untuk buat study group di hujung minggu.



Omar Abdul Aziz
Selepas 1 malam bermalam di rumah Najdah,petang Sabtu, ummi pergi melawat  anak ke 6,Omar Abdul Aziz di SBPI Rawang. Terkejut Omar, kerana tidak sangka akan menerima lawatan ummi pada petang itu. Berbunga-bunga hatinya menerima kunjungan ummi. Walaupun sekejap ,telah memberikan suntikan kepada seorang anak,betapa kasih dan sayangnya mak ayah pada mereka. Kerana  kewajiban menuntut ilmu, wajib seorang anak berjauhan dengan mak ayahnya.


Dari Rawang, ummi ke Setia Alam dan bermalam di sini pula, rumah angah dan rumah Nazihah. Angah anak ummi nombor 2  dan Nazihah anak ummi nombor 4. Dua-dua sudah berumah tangga, ummi  adakan walimah mereka serentak pada 5 Jun tahun lepas. Kini isteri angah dan Nazihah sedang sarat hamil.


Oleh kerana mereka belajar di tempat yang sama, mereka tinggal serumah dengan suami dan isteri masing-masing. Tak ada masalah jika saling bekerjasama dan bertolak ansur antara satu sama lain. Ummi tengok, walaupun sebok berkuliah, mereka tetap ada masa untuk masak dan makan bersama-sama tiap malam.


 Jika Nazihah masak sarapan waktu pagi, isteri angah akan masak untuk makan malam. Sapa balik kuliah awal, mereka yang masak. Langsung tak berkira dari segi tenaga,  wang ringgit  dan kemudahan. Dari kecik mereka telah  dididik untuk hormat menghormati dan berkasih sayang sesama saudara. Makan makanan yang dimasak sendiri setiap hari memang amalan yang mereka ambik dari ummi. Dari kecik menjadi kebiasaan bersarapan sebelum keluar rumah, jadi bila dah berumahtangga, mereka ikut cara mana ummi selalu layan mereka. Syukur kepada Allah kerana ilmu yang bermanafaat telah dipanjangkan dan diamalkan oleh anak-anak.


Sebenarnya, berkahwin dan mempunyai anak bukan satu masalah ketika belajar. Yang perlu ada ialah sokongan, tolak ansur dan saling faham memahami tugas dan tanggungjawap antara satu sama lain. Redha meredhai dan bersabar adalah faktor utama kebahagiaan di dalam rumah tangga.


Ummi selalu ditanya berkaitan berkahwin pada usia muda. Bagi ummi tak ada masalah jika pasangan dan semua keluarga memberikan sokongan.


Ummi sendiri pun berkahwin ketika usia muda. Ketika umur masih belasan tahun. Mempunyai anak ketika belum tamat pengajian. Bawa perut yang memboyot besar ke sana sini menuju ke kelas dan makmal bukan suatu masalah bagi ummi.


Cumanya kalau duduk kerusi bilik kuliah saja masalah buat ummi, sebab mejanya sudah tak boleh di lipat ke depan lagi. Sangkut perut. Ketika ummi belajar dahulu, zaman 80an di UTM Jalan Gurney, Kuala Lumpur, bangunan dan kemudahan sebuah universiti masih jauh lagi.


Kebanyakkan bilik-bilik kuliah masih lagi blok kayu. Jika ada bangunan 4 tingkat tak ada kemudahan lif. Sesebuah fakulti tidak punya kemudahan bilik kuliah sendiri. Maka bilik kuliah dan tutorial di adakan banyak tempat dan blok. Kadang tu di tingkat 4. Naiklah ummi mendaki tangga dengan perut boyot.


Terasa indah bila dikenang semula betapa pengalaman lalu telah mendorong untuk kita menjadi insan kuat dan tabah. Berbagai dugaan mesti ditempuhi dalam mendidik anak.


Bila kita hidup dimulai dengan pengalaman sukar,dilalui dengan penuh kesabaran,hasilnya sangat bernilai. Begitu juga jika sesuatu yang kita mahu dan impikan jika sukar untuk mendapatkan, bila sudah dapat ia amat bermakna dan dihargai.


Maka kesusahan atau masalah jangan dirungutkan. Di setiap keadaan, ada masalah. Hanya masalah yang ditempuh dan dihadapi oleh setiap manusia tidak sama. Ada yang payah berenang, ada yang sukar berjalan, ada yang terduduk dan ada yang tersungkur. Semua ujian itu bukan tanda kegagalan. Hanya perlu kekuatan, ketabahan dan kesabaran untuk ditempuhi dengan iman.


Jika pernah terbuang, jika pernah tersungkur,jangan lama-lama,cepat-cepat cari tunggul untuk berpaut dan bangun semula. Kedukaan dan air mata adalah teman untuk seseorang berjaya pada kedudukan dia hari ini.


Maka apa yang dimiliki hari ini, disyukuri. Jangan bandingkan apa orang senang di atas kita.Bandingkan dengan mereka yang dibawah kita.


Namun dalam berbuat amal soleh dan kebajikan,buatlah bandingan dengan mereka yang didepan pula. Agar kita berusaha untuk mengejar dan mendapatkan seperti mereka. Teringat kata-kata arwah mak," 2 benda saja yang kalau kita umpat payah nak dapat, menjadi kaya dan menjadi alim". 2 benda ni tak dapat kalau sekadar kata dimulut. Ia mesti diusahakan. Sabda Rasullulah...



Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda : " Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain." (al-Bukhari)




Huraian:
Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji.




Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya. Jika direnung manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Tentu sekali ilmu kerana seperti kata sayidina Ali: "Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya." Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.


Bapa Saudara dengan Anak Saudara

Wahai anak-anak semua,  belajar bersyukur dengan apa yang ada hari ini. Belajar menerima seadanya. Namun tetap teruskan usaha untuk mendapat yang lebih baik dan bermanafaat bukan untuk dunia sahaja tetapi akhirat juga. Kejar dunia dan jangan tinggalkan akhirat. Jangan sekali-kali mengabaikan bekalan untuk kehidupan di sana nanti. Masih ada 2 alam untuk dilalui sebelum bertemu alam yang abadi.


Segala corak dan keadaan kehidupan di alam-alam itu nanti adalah berdasarkan keadaan dan kehidupan di alam masa kini.


Sekian entri peringatan buat semua, ambillah yang bermanfaat dan tinggalkan yang melalaikan.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.


0 comments: