BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday 10 December 2011

Apa Jawapan Kita Nanti?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Surah Al-Balad,ayat 17
Dan dia termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.




Adakah kita ini masih lagi disibukkan dengan kelalaian mengejar harta bagi menikmati keselesaan hidup di dunia? Atau kita terus bekerja kerana mencari rezeki yang halal hanya sekadar keperluan keluarga?




Renung-renungkan terjemahan Surah At-Takathur ini.


سُوۡرَةُ التّکاثُر
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
أَلۡهَٮٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ (١) حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ (٢) كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٣) ثُمَّ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ (٤) كَلَّا لَوۡ تَعۡلَمُونَ عِلۡمَ ٱلۡيَقِينِ (٥) لَتَرَوُنَّ ٱلۡجَحِيمَ (٦) ثُمَّ لَتَرَوُنَّہَا عَيۡنَ ٱلۡيَقِينِ (٧) ثُمَّ لَتُسۡـَٔلُنَّ يَوۡمَٮِٕذٍ عَنِ ٱلنَّعِيمِ (٨)



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), (1)

Sehingga kamu masuk kubur. (2)

Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! (3)

Sekali lagi (diingatkan): Jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! (4)

Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui (apa yang kamu akan hadapi) dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). (5)

(Ingatlah) demi sesungguhnya! Kamu akan melihat Neraka yang marak menjulang. (6)

Selepas itu, demi sesungguhnya! Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)! (7)

Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)! (8)


Apa ya, jawapan kita nanti dihadapan Allah apabila ditanya bagaimana usia kita dilalui semasa di dunia ini?


Lakukan segala apa jua perkara yang Allah redhai, tinggalkan perkara yang dilarang. Taatlah kepada Allah dan RasulNYA.



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.


Friday 9 December 2011

Simbolik Bubur Asyura diUlang Tahun ke 27

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ya Allah,
Aku pohon pada MU,
Kurniakanlah
ke atas rumah tangga ku ini,
Kerukunan, kedamaian,
ketenangan, Keselamatan,
Kesejahteraan, Kebahagiaan
di dalam redha MU,
rahmat MU
dan kasih sayang MU,
hingga akhir hayat ku,
di dunia dan di akhirat.

Kekalkan jodoh ku ini
hingga akhir hayatku
di dunia dan akhirat.
Satukan hati kami
dengan kasih sayangMU
Suburkan cinta kami
dengan rahmat dari MU
Limpahkan hati kami berdua
dengan ketenangan dan redha MU.

Ya Allah,
Kurniakan kepada aku,
zauj dan anak-anakku
Iman yang sempurna,
akhlak yang terpuji
Pekerti yang mulia
Satukan kami sekeluarga
dengan ikatan akidah
dan kasih sayangMU.

Ameen...



Apa yang lainnya masakan hari ini sempena ulang tahun yang ke 27? Ummi masak bubur asyura. Seperti bubur lambuk yang bahannya terdiri dari pelbagai jenis kekacang, ubi, dan sayur-sayuran.


Nampak menarik dan rasanya, memanglah sedap. Rupanya pun kelihatan menarik dengan warna hijau(sayur daun hijau), oren(karot), kekuningan (ubi keledek warna kuning) dan warna cream (kekacang).


Kenapa ummi masak bubur asyura hari ini? Analoginya seperti bahan yang terkandung di dalam bubur itu, begitulah juga dengan warna-warna perjalanan yang ummi tempuh selama 27 tahun ini di dalam rumah tangga.


Suka duka, pahit, manis, masin dan tawar. Semua dilalui dengan redha dan sabar. Senyum dan tangis itu saling berganti. Ianya sangat indah apabila disyukuri dengan nikmat yang Allah berikan.


Hidup seadanya (qanaah) menjadi penyeri di dalam perjalanan berumahtangga. Menerima segala kekurangan dan kelebihan pasangan adalah cara terbaik untuk menjadikan rumah tangga sentiasa harmoni dan murni.


Tidak perlu bantahan atau tengkingan ketika berbicara merupakan satu cara menghormati pasangan. Diam itu lebih indah apabila satu pihak berada di dalam keadaam marah atau keletihan. Jangan cari punca untuk pasangan merasa marah atau tidak puas hati.


Sebaliknya selalulah menjadi penawar dan pembantu yang meringankan keresahan pasangan. Jadikan rumah sebagai syurga yang mendatang manafaat bukan sahaja pada diri dan keluarga sebaliknya pada manusia lain juga.


Sedikit yang kita mempermudahkan urusan orang lain, berganda-ganda Allah memudahkan urusaan kita. Seperti mana Di dalam sohih Muslim tercatat : Firman Allah Ta'ala ( maksud ) : Sesiapa yang mendekatiKu sejengkal maka Aku akan mendekatinya sehasta. Dan sesiapa yang menghampiriKu sehasta maka aku kan menghampirinya sepemeluk dan sesiapa yang datang kepadaKu dalam keadaan berjalan maka Aku akan kepada dalam keadaan bersegera. Dan sesiapa menemuiKu(selepas mati) dengan dosanya sebesar bumi tetapi tidak syirik padaKu dengan sesuatu nescaya Aku akan menemuinya dalam keadaan mengampuni dosa sebesar bumi itu.


Maka perbanyakkanlah melakukan perkara-perkara yang Allah redhai di dalam kehidupan ini bukan kerana mencari nama, kuasa atau harta sebaliknya kerana kasih sayang Allah kepada kita.






Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




Thursday 8 December 2011

Aniversary ke 27

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



“ Ya Allah, sesungguhnya hati kami ini bersatu dengan kasih sayangMu, bertemu di atas ketaatan kepadaMu, bersatu di jalan dakwahMu dan berjanji menegakkan AgamaMu... Maha Suci Engkau, perteguhkanlah tali ikatan antara kami ini, limpahkanlah kasih sayang di dalam hati kami ini. Engkau tunjukkanlah kami jalan hidayahMu, sesungguhnya padaMu kami berserah dan tempat kami memohon pertolongan “
~ Amin Ya Rabbal Alamin ~


Esok Jumaat, tiba lagi 9 Disember, (13 Muharam 1433 H) tarikh aku di ijab kabulkan 27 tahun lalu. 9 Disember 1984, bersamaan 16 Rabiul Awal 1405 H jatuh pada hari Ahad.

Aku selamat diijabkabulkan oleh wali dengan mahar sebanyak RM 125 tunai. Tamat sahaja kertas terakhir peperiksaan semester 1 tahun 2 di UTM, terus aku balik ke rumah, 3 hari sebelum majlis akad nikah dan walimah berlangsung.

Segala urusan untuk bernikah tidak aku ketahui prosedurnya. Zaman dulu mana ada kursus bersijil apabila ingin berkahwin. Begitu juga dengan urusan walimah. Aku balik Khamis malam Jumaat, subuh Jumaat tiba di rumah.


Sudah ramai saudara mara datang berkumpul untuk mengadakan kenduri kahwin. Orang kampung suka gotong royong bila ada kenduri kahwin. Buat kerisik, giling rempah,kukus pulut dan macam-macam kerja lagi dibuat secara gotong royong.

Segala persiapan mak abah yang uruskan. Zaman dulu mudah, mana ada warna tema atau protokol yang kena patuhi selain yang syariat tetapkan. Yang ada cuma berinai saja. Sampai rumah, aku cuma suai jari untuk diinai oleh saudara mara.

Tidak ada andam mengandam, atau bersolek. Aku cuma memakai baju kebaya songket berwarna hitam ditenun emas yang longgar kepunyaan nenek muda sebelah abah, dan bertudung labuh warna hitam. Sangat simple dan ringkas. Zauj pulak cuma memakai baju melayu warna krim dan bersamping songket hitam tenun emas. Kiranya sedondong dengan baju sokngket yang aku pakai tu.

Lepas nikah, suami masuk bilik, bersalam dan seingat aku cuma ada 3 keping gambar sahaja kenangan perkahwinan aku. Itu pun gambar selepas nikah dan di dalam bilik. Tak ada sessi bergambar, pelamin apatah lagi bersanding.


Langsung tidak bertemu tetamu lelaki, cuma duduk atas rumah menyalami tetamu perempuan. Alhamdullilah, segalanya dipelihara oleh Allah dari awal-awal lagi.

Selepas majlis selesai, tetamu dah balik, sebuk mengemaskan segala peralatan yang digunakan. Di kampung, walaupun kenduri tak besar mana, tetapi ramai tetamu yang datang. Maklumlah kampung sebelah menyebelah, jiran tetangga, saudara mara dekat-dekat. Tumbang juga lembu seekor buat lauk menjamu tetamu.


Seminggu di kampung , berziarah sana sini rumah saudara mara dekat jauh, barulah kami berangkat balik ke rumah sewa zauj di Kuala Lumpur. Masa itu, tak ada apa pun yang dirancang, segalanya seperti berlangsung secara alami.

Genap 40 minggu selepas ijab kabul, pada 23 September 1985 lahir anak sulong kami di Kuala Lumpur.Orang kata bunting pelamin padahal kami tidak ada pelamin untuk bersanding.


Kini nostalgia lalu terimbas kembali. Petang tadi aku ingatkan zauj tarikh ini. Zauj tersenyum saja. Walaupun sudah 27 tahun, kami memang tidak pernah buat apa-apa sambutan istimewa melainkan hanya bacaan doa dan sujud syukur.


Sepanjang usia perkahwinan, ujian-ujian yang datang dihadapi dengan penuh sabar dan redha membuahkan keintiman di dalam hubungan kasih sayang.


Saling percayai mempercayai, tidak ada cemburu yang keterlaluan, lebih banyak diam apabila salah seorang marah, bertolak ansur adalah rahsia di dalam memelihara kerukunan di dalam rumah tangga. Tidak ada manusia yang sempurna, maka terima segala kekurangan dan kelebihan pasangan dengan redha. Anggapkan suami atau isteri yang telah kita nikahi itu sebagai hadiah Allah. Kebahagiaan itu menjelma apabila kita hormat menghormati pasangan masing-masing dan menjaga hak-hak peribadi pasangan. Paling utama menjaga kerahsiaan rumah tangga.

Apabila hak Allah dijaga dengan baik dan sempurna , maka Allah akan menjaga hak kita juga. Allah yang memelihara rumah tangga dari fitnah dan hasad dengki manusia. Allah akan memelihara kasih sayang walaupun diuji dengan pelbagai ujian kesihatan.

Syukur kepada MU Ya Allah...

Catatan memori ulangtahun ke 25 >>>  Ulangtahun ke 25 Usia PerkahwinankuMemori Indah Seorang Isteri


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday 6 December 2011

Adakah (kita akan kembali hidup) sesudah kita mati dan menjadi tanah?

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Demi Al-Quran yang melimpah-limpah kemuliaan dan kebaikannya (bahawa sesungguhnya Muhammad adalah Rasul yang diutus memberi peringatan dan amaran).


Jika kita bukan seorang yang beragama, pasti soalan ini akan bermian difikiran kita. Di dalam agama Islam jawapan persoalan itu ada dan jelas dihuraikan di dalam Al-Quran.Terutama di dalam Surah Qaf.


Surah Qaf (Arab: سورة ق‎) adalah surah ke-50 dalam al-Quran. Surah ini tergolong surah Makkiyah yang terdiri atas 45 ayat. Dinamakan Qaf (ق) kerana surah ini dimulai dengan huruf Qaf (ق).

Menurut hadis yang diriwayatkan Imam Muslim, bahawa Nabi Muhammad senang membaca surah ini pada rakaat pertama solat subuh dan pada solat hari raya. Sedang menurut riwayat Abu Daud, Al-Baihaqi dan Ibnu Majah bahawa Nabi Muhammad membaca surat ini pada tiap-tiap membaca khutbah pada solat Jumaat.

Kedua riwayat ini menunjukkan bahawa surah Qaf sering dibaca Nabi Muhammad di tempat-tempat umum, untuk memperingatkan manusia tentang kejadian mereka dan nikmat-nikmat yang diberikan kepadanya, begitu pula tentang hari berbangkit, hari berhisab, syurga, neraka, pahala, dosa, dsb.

Surah ini dinamai juga Al-Basiqat diambil dari perkataan Al-Basiqat yang terdapat pada ayat 10 surah ini.


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Qaaf. Demi Al-Quran yang melimpah-limpah kemuliaan dan kebaikannya (bahawa sesungguhnya Muhammad adalah Rasul yang diutus memberi peringatan dan amaran). (1)


(Kaum musyrik Mekah bukan sahaja mengingkari kerasulannya) bahkan mereka merasa hairan kerana datang kepada mereka, dari kalangan mereka sendiri, seorang Rasul pemberi peringatan dan amaran (mengenai perkara hidup semula sesudah mati); lalu orang-orang yang kafir itu berkata: Ini adalah satu perkara yang menakjubkan! (2)

Adakah (kita akan kembali hidup) sesudah kita mati dan menjadi tanah? Itu adalah cara kembali yang jauh (dari kemungkinan, kerana jasad yang telah hancur tidak dapat diketahui lagi). (3)

(Apa yang mereka katakan itu tidaklah benar, kerana) Kami sedia mengetahui apa yang dimakan oleh bumi sedikit demi sedikit dari (tubuh orang mati) mereka, serta ada di sisi Kami sebuah Kitab yang menyimpan (catatan segala perkara yang berlaku). (4)

(Mereka tidak mahu berfikir betul) bahkan mereka (terburu-buru) mendustakan kebenaran apabila sahaja sampainya kepada mereka; oleh sebab itu, mereka berada dalam keadaan yang serba kacau. (5)

(Kalaulah mereka menyangka Kami tidak berkuasa mengembalikan mereka hidup semula) maka tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka (dengan tidak bertiang) bagaimana Kami membinanya (dengan rapi) serta Kami menghiasinya (dengan bintang-bintang) dan dengan keadaan tidak ada padanya retak-renggang? (6)

Dan juga (keadaan) bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan ia sebagai hamparan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur? (7)

(Kami adakan semuanya itu) untuk menjadi perhatian dan peringatan, (yang menunjukkan jalan kebenaran), kepada tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya (dengan taat dan berbakti). (8)

Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai; (9)

Serta pohon-pohon kurma yang tinggi menjulang, yang mengeluarkan mayang, berlapis-lapis, lagi lebat putiknya; (10)

(Semuanya itu) sebagai rezeki bagi hamba-hamba Kami dan lagi Kami telah hidupkan dengan air itu bumi yang mati; demikianlah pula keadaan keluarnya (orang-orang yang mati dari kubur setelah dibangkitkan hidup semula). (11)

Sebelum mereka (yang menentang Nabi Muhammad) itu kaum Nabi Nuh dan "Ashaabur-Rassi" serta Thamud (kaum Nabi Soleh), telah juga mendustakan Rasul masing-masing, (12)

Dan juga Aad (kaum Nabi Hud) dan Firaun, serta kaum Nabi Lut, (13)

Dan juga penduduk "Aikah", serta kaum "Tubba`"; tiap-tiap satu kaum itu telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepadanya), lalu mereka ditimpa azab yang Aku janjikan. (14)

(Setelah mereka melihat dan memerhatikan makhluk-makhluk yang Kami ciptakan itu) maka adakah Kami telah lemah dengan ciptaan yang pertama itu (sehingga Kami tidak dapat mengadakannya semula? Tidak! Dan merekapun tidak mengingkari kekuasaan Kami). Bahkan mereka berada dalam keadaan keliru dan ragu-ragu tentang ciptaan makhluk-makhluk (hidup semula) dalam bentuk yang baru. (15)

Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, (16)

Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. (17)

Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (18)

Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmuat" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya! (19)

Dan lagi (apabila sampai saat yang ditentukan) ditiuplah sangkakala (untuk menghidupkan semula makhluk-makhluk yang telah mati); saat itu ialah hari berlakunya amaran yang telah diberikan. (20)

Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: Yang satu menjadi) pembawa dan (yang satu lagi menjadi) saksi; (21)

(Serta dikatakan kepadanya): Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat). (22)

Dan berkatalah malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya: Inilah (Kitab catatan iman dan amal) orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia (untuk dibicarakan). (23)

(Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam Neraka Jahanam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya. (24)

Yang sering menghalangi jenis kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang meragukan kebenaran, (25)

Yang menyembah benda yang lain bersama-sama Allah; maka humbankanlah oleh kamu berdua akan dia ke dalam azab seksa yang seberat-beratnya. (26)

(Semasa dia dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam, dia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong. (27)

Allah berfirman: Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah). (28)

KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaKu. (29)

(Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada Neraka Jahanam: Adakah engkau sudah penuh? Dia menjawab: Adakah lagi sebarang tambahan? (30)

Dan (ingatkanlah pula hari) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertakwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka). (31)

(Serta dikatakan kepada mereka): Inilah yang dijanjikan kepada kamu, kepada tiap-tiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat), lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah); (32)

(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa dia tidak melihat azab Allah, serta dia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat. (33)

(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): Masuklah kamu ke dalam Syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal. (34)

Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka). (35)

Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) yang terdahulu daripada orang-orang musyrik Mekah itu Kami telah binasakan. Kaum-kaum itu lebih kekuatannya (dan kehandalannya) daripada mereka, lalu kaum-kaum itu keluar mencari perlindungan di merata-rata negeri. (Meskipun demikian keadaannya) dapatkah (mereka) menyelamatkan diri? (36)

Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya) atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya. (37)

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa dan Kami tidak mengalami sebarang susah payah. (38)

Oleh itu bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu itu) dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam. (39)

Serta bertasbihlah kepadaNya pada malam hari dan sesudah mengerjakan sembahyang. (40)

Dan dengarlah (apa yang diterangkan kepadamu sekarang ini mengenai hari kiamat), hari (malaikat yang menjadi) penyeru, menyeru (makhluk-makhluk yang telah mati) dari tempat yang dekat (yang dapat didengar oleh semuanya), (41)

Iaitu hari mereka mendengar pekikan seruan yang menyatakan perkara yang benar; hari seruan itu ialah hari masing-masing keluar dari kubur. (42)

Sesungguhnya Kami menghidupkan dan mematikan dan kepada Kamilah sahaja tempat kembali (sekalian makhluk). (43)

Pada hari bumi terbelah-belah untuk mereka segera keluar (daripadanya). Perbuatan (menghidupkan dan) menghimpunkan mereka di Padang Mahsyar itu, mudah bagi Kami melaksanakannya. (44)

Kami lebih mengetahui apa yang mereka katakan (dari berbagai tuduhan terhadapmu wahai Muhammad) dan engkau bukanlah seorang yang berkuasa memaksa mereka (supaya masing-masing beriman). Oleh itu, berilah peringatan dengan Al-Quran ini kepada orang yang takutkan janji azabKu. (45)


Apakah ringkasan isi kandungan dalam surah ini? Antaranya...


Keimanan

Setiap manusia pada hari kiamat akan hadir di Padang Mahsyar diiringkan oleh dua orang malaikat, yang seorang sebagai pengiringnya, dan yang seorang lagi sebagai saksi atas segala perbuatannya di dunia.


Kebangkitan manusia dari kubur digambarkan sebagai tanah yang kering, setelah disirami hujan hidup kembali.


Allah lebih dekat kepada manusia dari urat lehernya sendiri.


Tiap-tiap manusia didampingi oleh malaikat yang selalu mencatat segala perbuatannya.


Allah menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa.


Hukum-hukum

Anjuran bertasbih dan bertahmid kepada Allah pada waktu-waktu malam sebelum terbit dan terbenam matahari dan sesudah mengerjakan solat.

Perintah Allah kepada Rasul-Nya agar memberi peringatan dengan ayat-ayat Al Quran kepada orang yang beriman, dan Anjuran memperhatikan kejadian langit dan bumi yang begitu menakjubkan.


Ambillah pelajaran, banyakkan memandang alam semester dan berfikir  apabila melihat segala apa yang ada di alam ini. Mana-mana yang ghaib tidak tercapai oleh akal, jadikan Al-Quran sebagai rujukan.

Kini cuti sekolah telah memasuki minggu ke 3, 4 orang putera aku berada di rumah, mulut aku tidak pernah rasa jemu untuk  berkata ayat yang sama setiap hari; pada 5 waktu.

"Imran solat dulu"

"Omar dah solat?"

"Abdullah, dah solat?"

"Baihaqi, dah solat?"


Menjadi rutin juga, mengejutkan mereka untuk bangun solat subuh. Sebagai seorang ibu jangan pernah ada rasa jemu, bosan atau malas untuk membentuk anak-anak agar mengESAkan Allah di dalam apa juga keadaan. Samada ketika senang, sihat, sakit, susah, sebuk dan bermusafir.


Apabila telah terdidik dari kecil, solat bukan lagi sesuatu yang berat untuk dilaksanakan dan apabila mereka meningkat usia, suatu ketika akan lahir kesedaran untuk mereka memperbaiki solat mereka agar lebih sempurna. Peringkat awal, seorang ibu hanya perlu mentarbiyah mereka agar tetap melaksanakan solat di dalam waktunya. Selagi belum habis waktu, selagi mereka belum bangkit mengerjakan solat, teruslah menyuruh dan mengingatkan mereka.


Kesabaran seorang ibu merupakan satu ibadah yang bukan mencari nama, kuasa atau darjat dipandangan manusia melainkan hanya mengharap keredhaan Allah.


Dan dipihak anak pulak, rasa bosan dengan leteran itu itu merupakan jalan-jalan syurga buat kamu, bukan jalan-jalan menuju neraka. Dalam leteran seorang ibu penuh dengan wangian -wangian menuju kebahagiaan yang bukan sahaja di dunia tetapi untuk akhirat juga.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday 5 December 2011

Darjat Kita

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (13)



Kecik-kecik dulu suka aku melagukan nasyid ini,

Tuhan, telah menjadikan manusia,
dari laki-laki dan wanita,
Bersuku-suku dan berbangsa...seterusnya, nasyid yang dilagukan oleh kumpulan El-Suraya, Medan, Indonesia.

Kini disubuh syahdu, aku sekali lagi selesai menghayati terjemahan surat Al-Hujurat. Rupanya lirik nasyid itu adalah sebahagian dari surat al-Hujurat ayat ke 13.

Surah Al-Hujraat

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (1)

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya. (2)

Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah s.a.w, merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertakwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar. (3)

Sesungguhnya orang-orang yang memanggilmu dari luar bilik-bilik (tempat ahlimu, wahai Muhammad), kebanyakan mereka tidak mengerti (adab dan tata tertib). (4)

Dan kalaulah mereka bersabar menunggu sehingga engkau keluar menemui mereka, tentulah cara yang demikian lebih baik bagi mereka dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (5)

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (6)

Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: Perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus. (7)

(Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (8)

Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (9)

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (10)

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (11)

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (12)

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (13)

Orang-orang "A`raab" berkata: Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: Kami telah Islam dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (14)

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya). (15)

Katakanlah (kepada orang-orang "A`raab" itu wahai Muhammad): Patutkah kamu hendak memberitahu kepada Allah tentang agama kamu (dengan berkata: Kami telah beriman)? Padahal Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (16)

Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): Janganlah kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budiNya kepada kamu, kerana Dialah yang memimpin kamu kepada iman (yang kamu dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya). (17)

Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia langit dan bumi dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan. (18)


Tidak ada apa-apa ulasan yang ingin aku catatkan di sini melainkan memo peringatan buat diri sendiri berkaitan kisah mentaati, mencintai Rasul. Betapa tingginya darjat yang Allah kurniakan kepada Rasullulah, tidak boleh sesiapa meninggikan suara ketika berbicara dengan Rasullulah melebehi suara Rasullulah.

Beruntung mereka-mereka ini>>>>
"Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suaranya semasa mereka berada di sisi Rasulullah s.a.w, merekalah orang-orang yang telah dibersihkan Allah hati mereka untuk bertakwa; mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar."


Dan kita juga, Allah mengangkat darjat kita sebagai anak soleh dan isteri solehah apabila kita tidak meninggikan suara kita dengan ibu bapa dan suami. Itulah kemuliaan yang Allah angkat darjat seorang anak dan isteri.Sudah pasti sentiasa mendapat keampunan dari Allah jika kita seorang yang taqwa, sentiasa sabar apabila diuji.

Banyaklagi peringatan yang terkandung dalam surah ini, sebab itu saya letakkan di sini agar mudah untuk saya sendiri mengambil pelajaran yang bersumberkan al-quran.

Ambillah pengajarannya.


Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.