BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday 29 December 2012

Aku Orang Kampung



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




sawah hijau menyegarkan
Aku orang kampung, berasal dari kawasan yang mengusahakan sawah padi. Sawah padi cuma di belakang rumah saja, sesayup mata memandang. Hijau menawan menyegarkan pandangan.


Kehidupan masa kecik yang payah tanpa sumber air bersih, tanpa bekalan eletrik dan tanpa perhubungan jalan raya.


kepok padi
Perhubungan telefon? Jauh ikan dari pemanggang. Rata-rata taraf kehidupan orang kampung zaman itu sama saja, miskin kais ikut musim, bukan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kerja ikut musim, bila habis menunai, padi disimpan dalam gudang atau kepok, di jual bila diperlukan terutama ketika awal tahun persekolahan.


Tapikan, masih dalam ingatan, yuran persekolahan RM 3 , pun masih payah nak dibayar kerana tidak mampu. Seorang anak RM 3, 4 orang anak bersekolah, RM 12. Besar nilainya pada masa itu. Pergi sekolah cuma bawa bekal duit 5 sen aja. Ntah tak tahu untuk beli apa. Hari-hari pergi sekolah bawa bekal nasi dan air sejuk dari rumah.


Bekalan untuk memasak dan minuman harian bersumberkan air tadahan hujan yang ditakung dalam tempayan. Mandi , mencuci pinggang mangkuk dan pakaian pula menggunakan air dari telaga atau air parit yang mengalir di depan rumah.


lampu gasoline


pelita yang aku guna untuk study
Sumber cahaya di waktu malam cuma menggunakan pelita dan lampu gas. Gasoline. Puas aku belajar waktu malam bertemankan pelita bersumbu tali guni. Berjelaga hitam dalam lubang hidung. Tidor dalam kelambu bila habis study. Tak sanggup tidor tanpa kelambu kerana bilangan nyamuk sama dengan bilangan semut menghurung gula. Masa belajar puas bertepuk tampar dengan nyamuk. Selalunya waktu senja dah hidupkan bara supaya berasap, nyamuk akan menjauhi rumah. Dah lewat malam, bara habis, asap takde, nyamuk datang menghurung.


Jalan perhubungan cuma batu blok sekeping di susun melintang. Seluas lalaun rel keretapi tu saja. nak tunjuk gambar pun dah takde tempatnya nak diambil. Anehnya, semua orang kampung cekap berselisih ketika berbasikal tanpa perlu berhenti macam sekarang pandu kereta dan berselisih dengan kereta lain dilaluan sempit.

berbasikal di ban tali air

Yang tak cekap, cuma aku saja, selalu jatuh dalam parit dengan basikal. Seperti luncai terjun dengan labunya. aku terjun parit dengan basikal , dengan beg sekolah dan berpakaian sekolah. Bila dah kuyup begitu, alamatnya tak dapat ke sekolah. Sorong basikal balik rumah.


Untuk ke sekolah, dari rumah kena berbasikal sejauh 3 km, hingga ke tepi jalan raya. Lepas tu kena tunggu bas. Jadinya mesti keluar rumah seawal jam 6 pagi , cahaya fajar masih berbalam-balam, selepas saja solat subuh. Itu bila dah tingkatan 3 , persekolahan sessi pagi. Ketika tingkatan 1 dan 2, persekolahan sessi petang, pergi jam 10.30 pagi, balik pulak jam 7 .15 malam. Dah gelap kena berbasikal. Basikal tak pernah ada lampu, namun mata masih dapat melihat jalan dalam rembang senja. Alhamdulllilah Allah mengurniakan ketajaman pandangan mata dalam remang senja  dan  fajar subuh yang berbalam-balam.

dipanggil atang kayu sebagai tempat memasak

Masak, masih menggunakan kayu api. Aktiviti harian, kena angkut kayu api ke ruang dapur rumah. Masih menggunakan atang untuk memasak makanan. Debu , bara dan arang adalah mainan ketika itu bila nak memasak makanan. Dari kecik, tak kira anak lelaki atau perempuan memang kena rajin cari kayu api, angkut air guna baldi untuk memasak dan cuci pinggan mangkuk. Aktiviti hujung minggu ialah mencari kayu. Ambik pelepah kelapa kering, daun kering disasap orang banjar kata "nyasap daun nyiur" ulah umpan api. Pelepah kering untuk gagas api menyala. Tempurung dan sabut untuk bara.


aksi di sawah padi
Zaman dulu memang takde rasa takut atau menjadi penakut. Berani aja keluar rumah malam-malam untuk ke telaga berwudhuk atau subuh-subuh gelap untuk mandi. Lagi pun mana ada TV zaman tu nak siarkan cerita seram. Setakat orang cerita tanpa ada gambaran wajah, takde nya rasa takut. Zaman aku kecik TV dah ada, tapi kat rumah orang kaya. Rumah aku mana ada TV atau radio.


Umur 7 tahun dah kena pergi sawah, bantu mak abah. Paling mampu dibuat ialah kena menarik puntalan rumput dibawa ke perenggan supaya sawah jadi lapang. Bila sawah dah lapang takde rumput, barulah boleh ditanam semai/anak padi.

Jika diberikan sekeping tanah sawah, memang aku mampu melakukannya dari menabur benih ditapak semaian  hingga menuai. Zaman dulu semuanya dilakukan secara manual menggunakan kudrat tulang 4 kerat.

Jentera membajak tanah

Zaman dah berubah, dah takde lagi orang mengerjakan sawah padi secara manual. Semua guna jentera pembajak untuk gembur tanah, guna mesin tabur benih dan mesin tuai. Air pula dari sumber tali air. Zaman dulu guna air hujan saja untuk mengerjakan sawah. Ada taliair tapi tidak sepenuhnya kerana masih bergantung hujan juga di Kolam Takungan Bukit Merah. Jika Empangan Air di Kolam Bukit Merah surut airnya, macamana pintu air nak dibuka dan dari mana air nak dialirkan masuk dalam tali air.



laluan kerikil yang ditar nipis cukup untuk laluan satu lorong kereta

Semuanya tinggal kenangan. Namun  jalan di kampung masih lagi batu kerikil dan laluannya cuma boleh lepas satu kereta saja. masih lagi berlopak sana sini kerana keadaan struktur tanah yang mudah mendap. Jika kereta nak berselisih, sebuah kereta kena berhenti dahulu di mana-mana laman rumah orang, tunggu kereta di hadapan melepasi laluan.
jambatan merentasi tali air menghubungkan orang hujung dengan orang pangkal


Perhubungan telefon dah ada tapi lebih kepada telefon tangan saja. Sebabnya vadalisme pulak. Sekejab ketika arwah mak masih ada, boleh guna line telefon ke rumah. Lepas tu  kabel telefon asyik kena curi, Telekom dan malas nak sambung mana-mana kabel yang dicuri. Pasal depa tak nak curi kabel eletrik ya?


berkubang dalam tali air
Baru-baru ni balik kampung, seronok anak-anak tengok taliair penuh dengan air. Apa lagi berkubang lah jawapnya. Dari situlah juga kenapa aku cekap berenang dan anak-anak juga mahir berenang. Berenang di tali air. Tak payah berbayar. Terjun aja. Kuak lentang, kuak kupu-kupu atau mengapungkan diri, semuanya reti. Memang pun anak-anak dari usia 2 tahun dah biasa mandi di talir air dan di ajar berenang.

Berenang berbagai gaya



seronok tak terkira dapat berkubang dalam tali air

Anak bongsu tu, lebih cekap berenang dari naik basikal. Imran dah berusia 10 tahun, tapi masih tak reti berbasikal. Berenang? Sangatlah mahir.


anak ayam jadi mangsa buat mainan


Bila balik kampung, anak-anak tak pernah rasa jemu. duduk sebulan pun mereka takde rasa bosan walaupun takde TV. Sebabnya aktiviti harian mereka ialah tangkap belut, pancing ikan,  kejar ayam , main layang-layang atau main kejar-kejar di sawah padi. Anak-anak dah biasa survival hidup di kampung. memancing tak kira tempat bukan kolam berbayar sebaliknya di sungai, di sawah padi, di tepi telaga atau parit. Pendek kata, asal ada air je mereka terus tahan unjun atau pancing.


ayah yang ajar anak-anak memancing

Amat jauh berbeza dengan kehidupan kanak-kanak zaman ini. Duduk dalam rumah, hanya lakukan senaman jari. Lagi canggih yang guna touch screen, hanya guna satu jari saja. Langsung tak de aktiviti yang menyihatkan tubuh badan supaya keluar peluh.  Rasa tak best langsung jadi kanak-kanak zaman ini.

petang-petang boleh rehat dalam buai bawah pokok

Itulah sedikit catatan dari orang kampung. Anak-anak masih merasai kehidupan cara kampung hingga kini. Kampung aku masih tidak jauh berubah walaupun zaman berubah sekian dekad.


1972 hingga 1977 bersekolah kebangsaan. 1978 - 1982 bersekolah menengah. 1983 dapat masuk IPTA. 1984 bertemu jodoh, kahwin. Masa kahwin tu masih lagi tiada perhubungan jalan raya di kampung, masih guna bekalan air hujan untuk masak dan minum, masih lagi gunakan pelita untuk menerangi waktu malam. 1987 , rumah pusaka arwah mak abah terbakar, tinggal sehelai sepinggang saja lagi.  Rumah kayu beratap zink buruk yang reput dan  atap nipah. Mudah sangat terbakar ketika musim kering yang berangin. Hilang lenyap segala kenangan bila semua benda terbakar hangus kecuali al-quran yang elok terletak atas tunggul-tunggul kayu yang telah jadi arang.


Macamana tak habis terbakar, macamana jentera bomba nak datang  sampai ke rumah ,  lalaun jalan untuk kereta pun tak ada, cuma boleh lalu  atas ban taliair saja, ahli bomba berjalan kaki angkut jentera pam air , dan pam air secara manual. Kesukaran lagi ketika itu musim kering, aras air dalam parit cetek,  nak ambik sumber air dari mana  nak dipancut padamkan api? Tengok ajalah sampai rumah tu habis terbakar jadi arang. Bomba cuma boleh buat laporan saja datang tengok api dan mengawal kebakaran dari merebak ke rumah lain. Nak merebak apanya, rumah di kampung sebuah-sebuah, jauh pulak jaraknya. Takdelah sempat api tu nak merebak ke rumah lain.



menikmati keindahan alam  di tepi sawah padi


Oh..banyak kenangan nak ditulis buat bacaan anak cucu, tunggulah opah ada idea nak menulis lagi. Kemiskinan bukan untuk diwarisi bagi yang sentiasa rajin berusaha, doa,  yakin dan tawakal pada rahmat Allah Ta'ala.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

1 comments:

Anak Kota said...

Aku juga orang kampung, Kampung Baru di Kuala Lumpur.

kampung yang duhutani dengan batu bata. Udara panas sentiasa.

Tak ada kehijauan yang menyegarkan mata.

Yang ada cuma aliran lesu Sungai Klang di tepi pusara .


Takde keriangan zaman kanak-kanak untuk ditulis kerana kekangan tempat bermain.