BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 4 December 2012

Anak Soleh Aset Ke Syurga



بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




anak menantu mak abah yang angkat 
Semalam menjelang 11.00 malam masih lagi belum melelapkan mata. Masih lagi menghadap laman web halaqahnet. Tiba-tiba saya nampak seorang forumer menghantar post yang baik untuk perkongsian bersama dengan pelayar halaqahnet.


Topik yang bertajuk  Anak Soleh sebagai Aset ke Syurga. Yang dipaparkan ialah sebuah video klip syarahan Ustaz Don Danial. Saya klik video tu, apabila mendengar saja suara hiba Ustaz Don menghuraikan hadith nabi tentang lahirnya anak. Terus jiwa saya terusik. Hadith tu seperti di bawah,

Rasulullah SAW bersabda; "Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah dan kedua orang tuanya lah yang menyahudikan, atau mengkristiankan atau memajusikannya."



Kita ini Islam, maka adakah kita telah mengislamkan anak kita dengan ajaran agama Islam yang benar. Inilah maksudnya hadith Rasullulah di atas, memastikan anak kita benar-benar seorang Islam. Anak ini fitrah, maka kitalah yang memastikan anak kita seorang Islam yang tulin, menjadi muslim yang mukmin.


Jika ikutkan ramai ibu bapa yang berjaya didik anak-anak, tapi apakah indikator keberjayaan ibu bapa dalam mendidik anak-anaknya? Adakah bila mana anak itu berjaya menjadi doktor, guru, tentera, menteri, jurutera atau apa saja yang memberikan gaji lumayan dikira ibu ayah yang berjaya mendidik anaknya?


Orang bukan Islam pun ajar anak mereka agar berakhlak mulia, tidak berbohong, rajin belajar, tak hisap dadah dan tidak buang masa sia-sia. Jadi apa beza anak mereka dengan anak orang Islam?


Bagi saya, indikator keberjayaan ibu bapa itu ialah apabila mereka dapat mendidik anak-anak mereka mengerjakan solat 5 waktu berjemaah,  dapat bangun malam menunaikan solat tahajud dan solat dhuha.


Perkara ini tidak boleh dilakunkan,tidak boleh sekadar menunjuk-nunjuk atau buat-buat saja kerana memerlukan komitmen yang berterusan. Apabila berjaya mentarbiyah anak-anak melakukan solat berjemaah 5 waktu, maka syariat yang lain bukanlah susah lagi untuk dididik.


Contohnya, seperti dalam klip video ustaz Danial Don menegaskan adakah anak-anak kita hari ini mampukah memandikan, mengkapan, mensolat dan mengkebumikan kita apabila kita mati nanti.





Mampukan kita memastikan yang anak-anak kita nanti,  bersedia untuk memandikan, memakaikan kain kapan, mensolat dan mengebumikan kita nanti.

Pastikan anak kita yang mengimamkan solat dan mengetuai bacaan doa untuk kita bila kita telah berangkat ke sana nanti.


Jadi masih belum terlewat untuk kita mengingatkan, mentarbiyah dan mendidik mereka untuk menjadi anak soleh.


Sapa-sapa yang dengar vidoe klip ustaz Don tentang Anak Soleh Aset ke Syurga pasti akan tersentuh jiwanya. Kalau tak ada rasa apa-apa dalam hati tu, baik segera melakukan pemeriksaan kesihatan, mana tahu hati tu dah keras, dah jadi batu.


tarbiyah solat ketika masih kecil
Dalam urusan mendidik anak ni sebenarnya banyak terletak ditangan ibu. Terus terang saya katakan, walaupun ketika  saya uzur syarie,  saya tidak berpeluang untuk bangun lewat disubuh hari. Tetap saja saya kena bangun awal untuk mengejutkan anak-anak agar bersolat subuh berjemaah dengan ayah mereka. Ibu yang kena tegas. Anak-anak ni, jika ayahnya bersuara setakat kejutkan dengan cara panggilan, " Imran, bangun...solat subuh" takdenya terjaga. Tambahan cuma sekali aja. (orang lelakikan memang tak suka membebel dan bercakap berulang kali). Kalau Abdullah dan Omar memang akan menyahut,  "ya" tetapi masih juga tak bergerak dari pembaringan.


Jadi sebagai ibu, kena bersuara agak kuat, berulang kali agar anak tu bangun. Saya memang tak jemu panggil mereka selagi mereka belum duduk dan bergerak ke bilik air.


Alhamdullilah, memang saya sendiri yang tekad , cuti panjang ni saya mahu anak-anak melakukan solat berjemaah 5 waktu sehari. Maka sayalah yang kena menjaganya. Moga-moga apabila telah biasa ia akan menjadi rutin yang tidak payah disuruh dan diingatkan lagi.


Jadi ibu memang kena sabar, kena tabah dan kena kuat. Redha siapa yang kita cari, melainkan redha ALlah jua. Saya nak pastikan anak-anak yang memandikan , memakaikan kain kapan, menjadi imam solat jenazah dan mengkuburkan saya.


Seorang ibu mampu memandikan anak-anaknya sejak lahir hingga usia cecah 6 tahun, sehari 2 kali paling kurang, adakah seorang anak mampu memandikan ibunya cuma sekali sahaja, itupun ketika dah tak bernyawa. Semasa bayi, bagaimana lemah lembutnya seorang ibu memandikan bayi, menyabun , membersihkan dengan belaian kasihsayang. Moga-moga begitulah juga nanti anak-anak memandikan saya.


Masih terbayang di ruang mata,  saat berangkatnya mak abah ke alam barzakh. Alhamdullilah mak abah mempunyai 7 orang anak perempuan dan 2 orang anak lelaki. Semua pulak dah berkahwin, maka ada 7 menantu lelaki dan 2 menantu perempuan. Dan dikurniakan anak cucu yang ramai.


ketika memasukkan jenazah dalam van
Ketika mak meninggal dunia, saya adik beradik yang memandikan mak. Kami sabunkan mak dengan lemah lembut seperti membelai seorang bayi. Cukup berhati-hati. Tak nak jenazah mak merasai kesakitan atas kekasaran perbuatan kami. Setelah bersih segala najis, sudah siap dibilas dengan air mutlak, barulah mak diwudhukkan.


Selesai memandikan , anak-anak lelaki dan menantu lelaki angkat jenazah mak ke ruang lapang untuk dipakaikan kain kapan. Segera kami bergerak ke sana untuk memakaikan mak kain putih. Kamu buat dengan lemah lembut. Salut dulu mak dengan kapas , selepas itu balut badan mak dengan kain putih. Akhir sekali baru mak kami pakaikan telekung.


Sebelum lapisan kain putih terakhir di ikat bahagian kepala, semua adik beradik, anak cucu cicit ambik peluang  mencium pipi mak. Ketika mencium, dipesan jangan sampai ada air mata menitik pada wajah mak.


menuju ke perkuburan
Selesai memakaikan kain putih, bahagian kepala mak diikat, terus mak diiringkan arah kiblat. Semua adik beradik, anak cucu, menantu mengerjakan solat jenazah. dengan 4 takbir dan 4 salam. Selesai solat, masing-masing kami mendoakan mak agar dirahmati Allah dibarzakh sana.



Selepas tu barulah anak lelaki dan menantu lelaki, angkat mak letakkan dalam keranda. Mereka pun sama, lakukan dengan perlahan dan hati-ahti, terasas eperti mengangkat sesuatu yang rapuh/ fragile. Diusung masuk ke van jenazah dengan iringan  bacaan al-fatihah disetiap langkah.




para jemaah selepas menunaikan solat jenazah
Sampai di masjid Batu 5. sudah ramai para jemaah menanti untuk mengerjakan solat jenazah sekali lagi, Selesai solat barulah dikuburkan bersebelahan arwah atok nenek. Anak-anak lelaki dan menantu lelaki mak yang lakukan semuanya.  Kami sentiasa iringkan doa kepada mak.




Saya pulak, selama dengan mak sejak mak jatuh sakit tak sampai 24 jam, langsung tidak menitiskan air mata walaupun sangat hiba melihat keadaan mak ketika di hospital. Tetapi sebaik jenazah dibawa keluar dari rumah untuk dibawa ke tanah perkuburan,. Barulah airmata saya tumpah tanpa henti. Barulah saya menangis penuh hiba dan rasa kehilangan.



Selagi mak dirumah, walaupun tidak bernyawa, saya takde rasa hiba tu lagi, sebab  terasa mak masih ada. Bila nak dibawa ke tanah perkuburan, baru saya menangis.


anak menantu yang angkat jenazah
Begitu juga dengan arwah abah. Malam terkahir arwah abah di rumah, saya tidor disebelah abah sepanjang malam tu. Saya bisikan zikrullah di sisi abah. Saya kata inilah malam terakhir saya dapat baring sebelah abah, lepas ni dah takde peluang ni. Langsung saya tidak bangun kemana-mana tinggalkan abah di ruang tamu walaupun ada ramai orang lain.


Kali ini anak lelaki , menantu lelaki dan cucu lelaki yang berpeluang memandikan abah. Saya cuma lihat dan perhatikan saja. Saya lihat mereka lakukan dengan lembut dan berhati-hati. Nampak macam dibelai saja waktu menyabunkan abah.


Seterusnya hingga selesai dikuburkan. sama seperti arwah mak dulu kami lakukan.


Setelah selesai segala urusan pengebumian arwah abah, barulah kami adik beradik duduk berhalaqah berbincang semua hal dan urusan. Bincang hal kewangan pengkebumian, hal hutang, hal harta tanah, rumah dan sebagainya. Kami bincang tanpa meminggirkan adik kami dari ibu lain.


rumah arwah mak abah
Sepakat dan sebulat suara, rumah arwah mak abah itu kami serahkan kepada adik perempuan nombor 8 kerana ketika arwah mak masih hidup, mak pernah hibah rumah tu pada dia. Adik ini tidak pernah berjauhan dengan mak sejak dari kecil. Selepas berkahwin pun adik dan suami serta anak-anaknya ini tetap tinggal bersama mak , atas permintaan mak kerana anak-anak perempuan lain semua mengikut suami. Begitu juga dengan anak lelaki, apabila telah berkahwin masing-masing tinggal ditempat berhampiran telaga rezeki. Namun tetap mereka kerap balik menziarahi mak abah. Hanya saya yang jauh ni saja yang cuma dapat balik setahun 2 kali.



Namun saya dapat anugerah dari Allah, berpeluang bersama-sama dengan mak di saat akhir hingga mak berangkat ke alam barzakh. Saya dapat peluang berdua dengan mak menaiki kereta jenazah dari Hospital Ipoh hingga ke rumah di Baru 5. Jika ikut uruf, saya yang paling jauh tinggal, yang lain-lain dekat saja. Mereka yang telah bersama mak sehari sebelum mak meninggal. (mak meninggal pada 12 Zulhijjah, hari tashrik ke 2).Saya tak balik rumah mak ketika itu sebab melaksanakan ibadah korban di  Skudai,Johor . Tetapi Allah tak beri peluang tu pada mereka walaupun pada adik yang tinggal serumah, begitu juga dengan abah.


semua tu anak menantu mak abah
Allah pilih saya yang mengikrarkan syahadah ditelinga mak hingga mak berangkat ke barzakh dengan iringan kalimah syahadah. Walaupun saya sangat sedih saat akan berpisah dengan mak,  saya tetap menahan air mata agar tidak tumpah. Saya tak mahu menangis depan mak. ketika tu cuma saya seorang saja yang bersama-sama mak. Maka saya nak mak pergi menemui tuhannya dengan damai. Memang pun wajah mak tenang dan berseri-seri.





Dan saya amat berharap juga Allah beri peluang ini kepada anak-anak saya. Allah pilih anak-anak saya untuk memandikan, memakaikan kain putih, mengimamkan solat dan mengkuburkan saya dan suami nanti. Biar anak-anak saya insan terakhir yang meninggalkan kami di rumah kecil. Moga anak-anak yang membacakan doa dan diaminkan oleh sahabat handai dan saudara mara lain.



anak lelaki arwah mak abah membacakan doa





Tak ada lain yang saya pohon dan pinta dari Allah melainkan semua, saya, suami, anak menantu, anak angkat yang kasihi, cucu-cucu mati dalam Islam, Iman yang sempurna, akhlak terpuji dan pekerti mulia. Kembali kehadirat Allah Ta'ala dalam Redha dan RahmatNYA.







Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: