BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday 27 January 2013

Ujian Adalah Tarbiyyah Terbaik Menjadi Kental


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ahmad Baihaqi sebelum sakit
Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas katanya : Rasululah SAW telah bersabda yang bermaksud : “Jangan seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati kerana ditimpa kemudharatan, sekiranya tidak mampu juga (untuk dia menanggungnya) maka katakanlah, Ya Allah, hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu baik untukku, dan matikanlah aku sekiranya kematian itu baik untukku..” (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)


Inilah yang telah aku lalui 19 tahun dahulu. Ketika itu anakku yang nombor 5, Ahmad Baihaqi ditimpa sakit. Mula asalnya, aku mengikuti rehlah yang dianjurkan oleh Hizbi Islami. Mereka buat perkhemahan di Desaru. Salah satu slot, zauj terlibat untuk menyampaikan Tazkirah, maka zauj bawa aku dan anak-anak bersama. Khemah untuk kami disediakan di tepi pantai di atas pasir. Memang seronok berkhemah ni terutama anak-anak.Suka benar mereka dapat berlari-lari di tepi pantai sambil bermain ombak. Ketika itu umur Ahmad Baihaqi baru 8 bulan, tengah montel, comel dan lasak. Baru belajar bertatih.

Malam itu, hujan turun dengan lebat. Air melimpah masuk ke dalam khemah, menyebabkan semua tempat tidor basah. Zauj terus carikan chalet untuk aku , Baihaqi dan anak-anak yang perempuan tidor. Keesokkan harinya, Baihaqi demam dan petangnya selesai program rehlah, kami terus beredar balik ke rumah.

Baihaqi yang demam terus di bawa ke Klinik Penawar yang berhampiran dengan rumah. Setelah 3 hari demam, masih tidak kebah, aku bawa sekali lagi ke Klinik. Masuk hari ke 8, Baihaqi tidak sembuh juga demamnya, maka pagi Jumaat itu selepas sahaja solat subuh , terus aku berjalan ke Klinik Penawar lagi sekali membawa Baihaqi. Di pahanya ada setompok titik merah, aku tunjukkan pada doktor, dan doktor merujuk Baihaqi ke Hospital Sultanah Aminah  di Johor Bahru.

Sebaik sampai di unit kecemasan, terus mereka mengambil darah dan buat analisa di makmal. 1 jam kemudian keputusan keluar, didapati dalam darah Baihaqi mengandungi kuman. Dan di masukkan ke dalam wad atas sebab "septicimia". Sehari selepas di masukan wad, keesokkan harinya Baihaqi telah tidak sedarkan diri dan 'koma' . Kemudian Baihaqi ditempatkan di 'NICU', wad unit rawatan rapi untuk kanak-kanak. Selama seminggu berada di unit ini, aku sentiasa berada di sisi Baihaqi kecuali waktu solat dan waktu makan. Aku mendapat kebenaran untuk berada di unit rawatan rapi sepanjang hari. Apa yang aku buat sepanjang berada di sisi Baihaqi yang koma itu ialah, mengaji, berzikir dan bercakap-cakap dengan Baihaqi.

Setelah 3 hari, keadaan Baihaqi yang koma makin parah, apabila kulit-kulitnya mula tertanggal sehingga menampakkan isi yang berwarna merah. Sebagai ibu, tiada apa yang dapat aku lakukan melainkan berdoa, disamping menangis. Masih ingat aku, air mata ku terus-menerus mengalir selama 5 hari tanpa henti. Di tambah dengan kata-kata seorang doktor cina  " kakak, kita dah usaha sedaya upaya untuk membantu menyelamatkan anak kakak, kita gunakan teknologi perubatan yang kita ada, kes anak kakak adalah kes yang jarang berlaku, kuman yang ada di dalam tubuh anak kakak ini, kuman yang sangat ganas, aktif, dan kita dapati kuman ini tidak resistan dengan antibiotik yang terbaik dimiliki oleh hospital. Saya harap kakak jangan tinggalkan anak kakak, sebab kemungkinan dia meninggal bila-bila masa sahaja. Sekarang pun dia menggunakan bantuan pernafasana sahaja. Saya tengok kakak kuat mengaji, kakak berdoalah dengan 'tuhan' kakak, mana tahu berlaku satu keajaiban terhadap anak kakak ini."

Di NICU


Ibu mana yang tidak menangis bila mendengar kata-kata dari seorang doktor pakar kanak-kanak. Seramai 7 orang doktor pakar yang berbagai jabatan menangani kes sakit Baihaqi. Pakar Kanak-kanak seramai 3 orang, pakar kulit, pakar kaji penyakit, pakar neurologi dan pakar orthopedik. Ketika itu semua organ dalaman Baihaqi telah tidak berfungsi lagi kecuali jantung dan otak. Buah pinggang, hati sudah membengkak dan warna kulit badan Baihaqi telah bertukar ke hitam-hitaman. Bibirnya telah pecah-pecah menerbitkan darah, begitu juga mana-mana kulit yang tertanggal telah menerbitkan darah. Aku memang benar-benar pasrah melihatkan keadaan Baihaqi.

Setiap saat aku berdoa dan selepas solat fardhu aku akan lakukan solat hajat mohon "Ya Allah, sekiranya panjang umur itu baik untuk Baihaqi, hidupkanlah anakku ini didalam rahmat MU, sembuhkan penyakitnya dan matikanlah dia sekiranya kematian itu baik untuknya..."

Dan zauj juga telah berusaha membuat bacaan zikir dari ayat al-Quran sebanyak seribu kali. Surah dan ayat yang diberikan oleh seorang tuan guru ialah surah Al-Imran ayat 1 -6.

سُوۡرَةُ آل عِمرَان
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

الٓمٓ (١) ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَىُّ ٱلۡقَيُّومُ (٢) نَزَّلَ عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقً۬ا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّوۡرَٮٰةَ وَٱلۡإِنجِيلَ (٣) مِن قَبۡلُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَأَنزَلَ ٱلۡفُرۡقَانَ‌ۗ إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ لَهُمۡ عَذَابٌ۬ شَدِيدٌ۬‌ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ۬ ذُو ٱنتِقَامٍ (٤) إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَخۡفَىٰ عَلَيۡهِ شَىۡءٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِى ٱلسَّمَآءِ (٥) هُوَ ٱلَّذِى يُصَوِّرُڪُمۡ فِى ٱلۡأَرۡحَامِ كَيۡفَ يَشَآءُ‌ۚ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (٦

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Alif, Laam, Miim. (1) Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya. (2) Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya dan Dia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil. (3) Sebelum (Al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah). (4) Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit. (5) Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (6)


Zikir ini dibacakan pada sebotol air mineral dan dititiskan air itu ke mulut Baihaqi yang koma. Disamping itu, terdapat beberapa masjid dan surau serta kumpulan-kumpulan tertentu yang telah membuat bacaan yasin beramai-ramai memohon pertolongan pada Allah untuk Baihaqi. Oleh kerana fikiran aku yang mungkin kurang stabil, bila aku dengar orang ramai membaca yasin untuk Baihaqi, aku fikirkan bahawa tidak lama lagi Baihaqi akan meninggal dunia. Ini kerana, aku selalu melihat di kampung-kampung masa aku kecil, jika orang nazak dibacakan yasin, sehari dua selepas itu akan meninggal dunia. Sekali zauj berkata "Muna, bukan semestinya, bila baca yasin orang nazak akan mati, kita baca yasin mohon pertolongan Allah, jika mati itu lebih baik, maka dia akan mati dengan mudah, dan jika hidup itu lebih baik, maka Allah akan berikan petunjuk untuk dia sembuh dan sihat."

Ahmad Baihaqi berumur 5 tahun
Barulah aku faham kedudukan perkara. Selama 8 hari Baihaqi koma, orang yang boleh melawat Baihaqi cuma ibu bapa sahaja yang dapat masuk ke NICU. Pelawat lain terutama saudara mara dan kawan-kawan hanya dapat melihat dari jauh melalui tingkap sahaja. Untuk masuk ke bilik ini,aku dan zauj kena buka kasut, cuci tangan dan pakai overcoat. Hanya dibenarkan menggunakan selipar khas yang disediakan. Sebarang makan minum juga dilarang bawa masuk.

Masuk hari ke 10, aku terus berbual-bual dengan Baihaqi dengan ucapan pertamaku ialah memberi salam padanya. Hari itu, selepas sahaja solat subuh, aku bersama Baihaqi, kuletakkan jari ku dalam tapak tangannya, dia telah memberikan respon dengan mengenggam jari aku. Aku jadi terkejut dan aku lihat bila aku bercakap dengannya, walaupun matanya terpejam, aku nampak biji matanya seseolah bergerak- gerak mencari arah suaraku. Aku jadi teruja dan memanggil doktor di situ. Doktor juga gembira dengan respon itu. Dan aku mohon kebenaran doktor untuk meletakkan puting susu dadaku ke bibirnya untuk melihat tindakbalasnya. Oleh kerana darurat, aku pun memberikan puting tetekku ke mulut Baihaqi, walaupun di depan doktor, tanpa dijangka Baihaqi memberikan respon mahu menghisap susuku, padahal matanya masih lagi belum terbuka, kemungkinan dia telah sedar. Dari tindakbalas itu, telah memberikan harapan pada doktor bahawa Baihaqi akan sembuh. Mesin bantuan pernafasan dibuka dan kebanyakkan wayar-wayar yang berselirat dibadan Baihaqi juga ditanggalkan kecuali yang masih diperlukan seperti saluran urine dan saluran makanan yang dipasang melalui hidung untuk tujuan memberikan susu terus ke perut dan menyedut lendir di paru-paru.

Dua hari selepas itu, Baihaqi benar-benar telah sedar dan mula menangis. Bila dia boleh membuka mata, kesedihan ku datang semula kerana Baihaqi tidak mengenal aku ibunya. Doktor menasihati aku, bahawa, ingatannya masih lemah lagi kerana lama berada dalam keadaan 'koma' , maka perlukan masa untuk mengembalikan ingatannya.


Seminggu selepas itu, Baihaqi dipindahkan ke wad biasa kanak-kanak,namun sesuatu yang pelik pula kelihatan. Oleh kerana semasa Baihaqi 'koma', aku tidaklah membelek badanya, bila dia sedar, Baihaqi dipakaikan lampin pakai buang, aku terlihat tompok merah di paha sebelum masuk wad hari itu telah bertukar kepada warna hitam dan kelihatan seperti terkena minyak panas, mengelembung. Aku maklumkan pada doktor, dan doktor telah membuat biopsy pada paha Baihaqi, didapati kuman yang terdapat di dalam darah baihaqi telah bertindak memakan daging paha Baihaqi. Daging paha Baihaqi menjadi keras dan tidak boleh dibiarkan lama sebelum kuman itu masuk kedalam tulang. Maka doktor memaklumkan pada aku , pembedahan pembuangan daging di paha perlu dijalankan.

Aku akur dengan kehendak doktor, maka Baihaqi dipindahkan ke wad orthopedik kanak-kanak pula. Disana Baihaqi diletakkan bawah rawatan doktor orthopedik dan doktor kulit. Pembedahan pembuangan daging paha dilakukan di dewan bedah selama 3 jam. Luka nya agak besar juga dan 'dressing' perlu dibuat setiap hari bagi mempastikan tiada kuman di kawasan luka itu. 2 hari selepas pembedahan baru bahagian yang dibedah di buka dan didapati masih ada kuman lagi. Tetapi untuk dibedah sekali lagi di dewan bedah secara membuat 'general anestatik' adalah berisiko tinggi kepada seorang kanak-kanak berumur 8 bulan. Maka doktor mohon kebenaran untuk melakukan pembedahan tanpa bius ke atas Baihaqi.

Aku yang memang dari awal pasrah, setuju sahaja dengan rawatan doktor. Kali ini cuma dilakukan di bilik rawatan dalam wad. Baihaqi cuma diberikan ubat tidur sahaja, tetapi kesakitan daging disiat dengan pisau lebih sakit dari dia tidur. Aku lihat sendiri, sebab aku memengan Baihaqi di kepalanya, doktor menyiat daging di paha Baihaqi sama seperti kita melapah daging lembu yang disembelih itu. Torehan dan siatan daging itu mesti dibuat hingga ke bahagian daging yang menerbitkan darah.

Kenapa kena sampai bahagian itu? Selagi daging tidak mengeluarkan darah, bermakna, bahagian daging itu telah mati, urat saraf darah telah tidak berfungsi, jika dibiarkan lama-lama, akan bernanah dan busuk. Aku hanya mampu melihatkan keadaan Baihaqi yang meronta-ronta kesakitan, dalam hati berkata, biarlah dia puas menangis hari ini, asalkan esok dia sembuh. Tak ada orang mati kerana menangis. Aku hanya berdoa dan redha dengan ketentuan yang Allah catatkan buat perjalanan hidup Baihaqi.

Hampir sebulan telah berlalu , aku dan Baihaqi berada di hospital, aku mohon kebenaran untuk balik ke rumah, dengan aku janji akan datang setiap hari ke hospital untuk membuat rawatan susulan Baihaqi. Aku sudah terasa penat tidur duduk selama ini. Kami dibenarkan balik ke rumah. Hampir 4 bulan selepas itu Baihaqi menjalani rawatan di hospital dan pusat rawatan UTM. Selepas tempoh 4 bulan pula,Baihaqi  perlu menemui doktor setiap bulan untuk rawatan susulan dan melihat perkembangan dirinya.

Selama sebulan di wad, aku benar-benar berumah di sana. Langsung tidak pernah balik ke rumah menjenguk anak-anak yang lain. Tak terfikir untuk sekali atau sekejab pun nak balik rumah kot-kot nak berehat atau mandi manda. Tak mampu untuk aku berpisah walaupun sekejab meninggalkan Baihaqi keseorangan di wad. Dia buah hati dia permata ketika itu.


Ujian ini benar-benar telah mentarbiyah aku menjadi seorang yang tabah, redha dan sabar. Sangat besar nilainya pentarbiyah ini. Mana-mana ibu yang pernah dapat pengalaman ini akan menjadi tegal hatinya, tidak rapuh sebaliknya menjadi kuat. Melalui detik-detik dengan penuh debaran dan kekuatan.


Doktor pakar kanak-kanak yang pernah berkata kepada aku, minta menunggu Baihaqi yang akan meninggal bila-bila masa itu, merasa seprti satu keajaiban bila Baihaqi boleh sembuh. Doktor itu kata, Baihaqi bayi ajaib "miracle baby". Dan doktor itu akui, yang Baihaqi boleh sembuh kerana doa dan keyakinan ibunya pada Allah. Itu kata doktor tu. Doktor itu meminta aku dijadi rujukan dan memberikan kaunseling pada ibu-ibu lain yang menghadapi masalah anak sakit. Doktor tu kata, sebenarnya bila anak sakit, doktor selalu menghadapi masalah dengan karenah ibu bapa, kerana kadang mereka tidak memberikan kebenaran doktor merawat anak mereka jika terpaksa melakukan pembedahan tanpa bius. Dan ada ibu bapa suka menyalahkan doktor bila anak mereka meninggal , cacat dan sebagainya. Banyak karenah ibu bapa yang tidak sabar dengan kesusahan dan kesakitan anak-anak. Bagi ibu bapa, anak tidak boleh sakit atau menangis. Sedangkan doktor bukan tuhan, doktor cuma boleh membantu merawat sahaja. Yang menyembuhkan sakit dan penyakit adalah tuhan. Semasa Baihaqi 'koma' aku memberi keizinan kepada  doktor untuk mengambil cecair tulang belakang Baihaqi bagi tujuan mengkaji jenis kuman dan tahap kuman itu telah bertindak ke atas dirinya. Ujian ini yang jarang ibu bapa mahu mengizinkan untuk doktor bertindak menyelamatkan anak mereka yang dijangkiti kuman. Jika selepas diambil cecair tulang belakang dan anak itu menjadi cacat, mereka menyalahkan doktor,sedangkan kecacatan itu terjadi disebabkan oleh kuman yang telah menyerang otak.


Dah 19 tahun
Sehingga kini, Baihaqi telah berusia 19 tahun, masih lagi bila aku pergi ke hospital ( dah pasti aku selalu ke hospital sekarang kerana aku yang menjalani rawatan berbagai penyakit) aku terjumpa staf yang lama-lama, yang masih ingat aku, akan bertanya, "apa khabar Baihaqi, hidup ke dia?" Ini menunjukkan bahawa ketika Baihaqi sakit dulu, ramai orang menyangka Baihaqi akan meninggal dunia. Namun kuasa dan kehendak Allah tiada siapa yang dapat mengetahuinya. Keadaan Baihaqi sakit dahulu memang benar-benar menguji kesabaran aku dan keluarga. Kesabaran aku berhadapan dengan situasi Baihaqi yang begitu, menguji zauj yang terpaksa berulang alik setiap hari rumah , hospital dan tempat kerja. Zauj yang kena menjaga anak-anak lain di rumah (masa ni aku belum ada pembantu lagi), menguruskan anak-anak untuk ke sekolah, dan masuk kuliah untuk mengajar. Aku pula terus bercuti dari kerja .Aku tidak tahu status cuti menjaga anak sakit di wad itu, cuti apanya, samada cuti bergaji atau cuti tidak bergaji.



Dan aku dan zauj sedar bahawa ujian menjaga anak sakit ini hanyalah anugerah Allah bagi melihat keimanan kami berdua, samada sabar dan redha. Syukur, ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ kami dapat melaluinya dengan penuh redha dan sabar tanpa rintihan dan keluhan.

Maka di nasihatkan pada sesiapa sahaja, jangan sekali-kali berputus asa dalam menghadapi ujian sakit, penyakit dan kesakitan. Kalau bukan kita sakit pun, kita tidak boleh berdoa untuk orang yang kita jaga, mengaharpkan orang itu mati cepat. Apatah lagi diri kita sendiri. Yang di tuntut hanyalah mengingati mati sahaja.

Di dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : “Janganlah seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati atau berdoa untuknya sebelum kematian itu datang kepadanya. Ini kerana apabila matinya seseorang di kalangan kamu akan terputuslah segala amalannya, sesungguhnya tidaklah bertambahnya umur seorang mukmin melainkan pasti untuk kebaikkan.” (Diriwayatkan oleh Muslim)

Di dalam hadis yang lain yang juga diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : ” Janganlah seseorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati, sekiranya dia seorang yang baik, kemungkinan hidupnya akan menambahkan lagi kebaikannya. Sekiranya dia seorang yang berdosa, kemungkinan hidupnya akan memberikan peluang pengampunan” (Diriwayatkan oleh Bukhari)

Juga disebut oleh Jabir bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “Janganlah bercita-cita untuk mati sekalipun berdepan dengan dugaan yang dahsyat. Sesungguhnya di antara kebahagiaan itu ialah dipanjangkan umur sehingga Allah memberikan keampunan.” (Riwayat Ahmad, hadis ini bertaraf dhoif)

Sesungguhnya kematian itu bukanlah hanya bentuk ketiadaan semata-mata bahkan ia merupakan detik terputusnya ruh dari badan dan terpisah buat selamanya. Ia juga merupakan perpindahan dari satu alam ke alam yang lain dan juga merupakan musibah yang paling besar. Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran :

Yang bermaksud : “…jika kamu dalam perjalanan dimuka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian…” (Surah al-Maidah, ayat 106)

Kematian itu adalah satu bencana yang besar, namun bencana yang lebih besar ialah apabila seseorang itu lupa tentangnya. Kelupaan itu akan membawa dirinya cuai terhadap persediaan untuk menghadapinya serta meninggalkan amalan-amalan sebagai bekal apabila berdepan dengannya. Sesungguhnya pada diri kematian itu terdapat pengajaran yang begitu besar bagi sesiapa yang berfikir. Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW telah bersabda : “Sekiranya binatang ternakan mengetahui apa yang kamu ketahui tentang kematian, nescaya kamu tidak akan dapat memakan dagingnya (kerana kekurusan akibat tidak makan)”[1]

[1] Imam Sayuti mendatangkan hadis ini di dalam kitabnya, al-Jami’ al-Saghir, hadis ini bertaraf sangat dhaif.



Tamat...(Dairi seorang ibu yang menjaga anak yang sakit)


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.




0 comments: