BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday 12 May 2013

Kasih dan Sayang Allah

Laju menderu

Hari ini, saya terselamat dari dentuman kuat melanggar belakang kereta orang hanya kerana fana mendengar Usrah Nurani di radio IKIM.fm. Topik yang dibicarakan tentang bersama-sama orang soleh. (nanti saya kupas isi usrah topik ini)

Kerana leka menguyah isi kandungan usrah ketika itu kelajuan kereta mencecah 100km/j , maklumlah jalan di tepi laut Danga Bay luas dan lapang. Hari minggu, waktu pagi tidak banyak kenderaan. Saya baru lepas menurunkan seorang penghuni Baitus Solehah yang menghadiri kursus Pra Perkahwinan di Dewan Masjid Sultan Abu Bakar. Perjalanan dari rumah ke sana berjarak 30 km cuma ambil masa 20 minit melalui jalan perumahan dan bandaran, bukan di lebuhraya. Kelajuan meter mencapai 100 km/j. Maka dalam perjalanan balik pun sama kelajuannya kerana jalan sangat lapang.

Yang ada di depan saya cuma sebuah kereta proton putih itu pun jauh di depan. Saya tidak sedar yang kereta yang saya pandu sedang memecut laju dan telah menghampiri kereta proton warna putih tu. Saya hairan kenapa kereta putih tu tidak bergerak laju , serta merta saya mengangkat kaki dari pedal minyak bagi memperlahankan kereta. Bila sudah sangat hampir baru saya sedar kereta proton di depan berhenti kerana lampu trafik berwarna merah.

Saya tidak sedar ada lampu isyarat (ada simpang baru menuju ke arah laut rupanya berhampiran Istana Bukit serene) di depan, menyebabkan saya memecut kenderaan di laluan yang lapang dan luas itu. Jika saya melanggar kereta proton itu, pasti menghasilkan momentum pelanggaran yang tinggi. Mungkin pelanggaran kenyal di mana dua-dua kereta akan terseret ke depan.

Namun kerana Kasih Sayang Allah, saya terselamat dari melanggar kereta proton tersebut. Kereta saya berhenti betul-betul dibelakangnya walaupun saya tidak kuat menekan brek. Siapa yang membantu kereta berhenti? Saya cuma memperlahankan sedikit kenderaan, bukan menekan brek untuk berhenti.

Badan saya menggigil bila menyedari kereta proton tu rupanya berhenti di lampu isyarat. Menggigil kerana terselamat. Serta merta saya merasai siraman kasih sayang Allah seperti air yang dicurah di kepala turun ke seluruh badan. Berulang-ulang kali saya melafazkan syukur.

Dan dengan alunan zikrullah, bertemankan isi perbincangan usrah saya teruskan perjalanan pulang ke rumah. Bila sampai depan rumah, saya ambik masa 15 minit baru keluar kereta kerana menangis sepuas-puasnya atas rasa siraman kasih sayang Allah tadi tu. Sampai di rumah terus saya berwudhuk dan mengerjakan sujud syukur. Saya benar-benar bersujud, meletak dahi atas lantai dengan penuh kepayahan untuk melahirkan rasa syukur kepada Allah Ta'ala.

Situasi ketika itu dalam saya fana mendengar bicara hal-hal yang mendekatkan diri kepada Allah, maka Allah selamatkan saya. Subahanallah, Alhamdullilah, Allahuakbar.
Maha Suci Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Rahmat Allah amat luas, kasih sayang Allah tidak terhitung.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: