BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday 2 December 2013

Menyelamatkan Dua Jiwa

Penyerahan
Selamatkan dua jiwa. Menyelamatkan ibu agar mampu meneruskan kehidupan dengan berusaha memperbaiki diri, menyambung pelajaran, menuntut ilmu dan bayinya diserahkan kepada keluarga yang mampu mendidik mengikut ajaran agama. Menyerahkan kepada keluarga angkat bukan kerana tidak sayang, tetapi kerana sayangkan anaknya , tidak mahu emosi anak tercedera.

Betapa sedihnya anak itu apabila bersekolah nanti, anak itu mengetahui status dirinya melalui Sijil Kelahiran. Kita tidak mampu merahsiakan jika anak itu terbaca status dirinya di sijil kelahiran. Maka, dengan menyerahkan kepada keluarga angkat, sijil kelahiran dapat ditukar kepada sijil pengangkatan setelah bayi dipelihara lebih 2 tahun oleh keluarga angkat.

Menyerahkan kepada keluarga angkat bukan bermakna terputus hubungan antara ibu kandung dengan anaknya. Ini kerana jika keluarga angkat memohon melalui Baitus Solehah, keluarga angkat perlu bersetuju dengan akujanji ini.

AKUJANJI:

Saya berjanji sedia bekerjasama membenarkan ibu kandung atau keluarga ibu kandung untuk mendapatkan maklumat perkembangan anak dan mengizinkan ibu kandung dan keluarga ibu kandung untuk belawat dan bertemu pada bila-bila masa setelah perbincangan dipersetujui.

Ini bermakna keluarga angkat sewajarnya menganggap ibu kandung anak angkat mereka adalah sebagaian keluarga juga. Berkongsi kasih sayang terhadap anak itu.

Walaupun anak diserahkan kepada keluarga angkat, nasab anak dengan ibunya tetap sampai akhirat. Tidak ada sesiapa berhak menapikan hak ibu kandung keatas anaknya. Hanya di dalam perundangan, apabila telah diserahkan kepada keluarga angkat, ibu kandung tidak boleh menuntut semula anaknya itu. Ibu kandung memang sedia maklum hal ini ketika penyerahan di lakukan. Namun di dalam Islam, nasab dan hak pewarisan harta anak kekal dengan ibunya.

Semalam seorang bayi diserahkan kepada keluarga angkat. Kepiluan menyelubungi hati saya dan hati seluruh keluarga Baitus Solehah, apatah lagi hati ibu kandungnya.


Anak ini perlu berjalan jauh lagi , maka berilah kehidupan sempurna , mempunyai ibu dan ayah walaupun cuma ayah angkat. Dia berhak mendapat kesempurnaan dalam institusi kekeluargaan. Ibu kandung masih boleh bersama-sama anaknya bila -bila masa yang dia mahu.

Selalu saya menyarankan kepada keluarga angkat, anggaplah kamu sedang melaburkan saham akhirat. Kos penjagaan dan pendidikan anak angkat ini ibarat kamu bersedekah. Jika diberikan didikan yang sempurna, anak ini tetap mengenang jasa ibu bapa angkatnya sampai bila-bila dan menjadi bekalan di barzakh sana. Didiklah anak angkat dengan didikan agama yang sempurna. Tidak ada anak yang tidak boleh didik, jadikan kisah ibunya sebagai iktibar dan teladan.

Semoga usaha awal Baitus Solehah dalam menyelamatkan 2 jiwa berterusan dengan sokongan masyarakat sekitarnya. Jangan kita hina, herdik dan cerca mereka. Anak tidak bersalah, dan ibu sudah bertaubat. Kita pun belum tahu bagaimana akhir hayat kita nanti, semoga kita meninggal dalam husnol khatimah juga, sentiasa bertaubat.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: