BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday 23 October 2013

Hidayah Ke Baitus Solehah


Kelas Mengaji
Sudah berapa hari saya tidak menulis perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Muhammad Nur Iman. Kekangan masa dan kekangan tenaga untuk menulis.

Padahal setiap mutiara kata yang keluar dari lidahnya sangat memberi kesan dalam jiwa. Saya terpegun dengan kelancaran lisannya kini dalam berbicara menyampaikan peringatan.

Hanya hati-hati yang telah Allah buka untuk menerima taufik dan hidayah akan terkesan dengan apa yang diperkatakannya.


Hidayah itu milik Allah, dikurniakan kepada insan terpilih sahaja dan menjadi tanggungjawap kepada diri sendiri untuk memelihara hidayah itu dengan menyemai, membaja untuk mendapat hasil yang bagus.



Dakwah telah dilaksanakan, hidayah telah dapat, tinggal diri sendiri saja lagi mahu mengekalkan hidayah Allah ini. Jika tidak dengan hidayah Allah, pelatih-pelatih ini tidak sampai ke Baitus Solehah. Bukan semua berpeluang untuk masuk ke sini, dengan kekangan ruang dan tempat.

Ada yang terberanak dalam perjalanan, ada yang terberanak dalam persiapan untuk datang padahal tarikh kelahiran masih jauh beberapa minggu. Namun,  ada juga yang berpeluang datang selepas melahirkan anak.Ini kerana hidayah Allah untuk mendapat panduan jalan mana yang mahu dipilih setelah terjadi begini.

Dan ada juga yang telah datang, dengan niat tidak lurus, dengan tipudaya melarikan diri, akhirnya kembali seperti sebelum ke sini. Sebenarnya memang Allah mengeluarkan mereka yang menjadi parasit supaya tidak menjadi ular berbisa dalam kita melaksanakan pentarbiyahan.

Baitus Solehah bukan seperti asrama yang dikawal dengan security guard. Langsung tak perlu kawalan begitu. Bebas melakukan apa saja mengikut peraturan yang disediakan. Larangan penggunaan telefon tangan dan laptop adalah untuk kebaikkan diri sendiri. Tanpa hubungan dengan dunia luar, mereka boleh fokus dengan program yang dijalankan.

Boleh mempersiapakan diri untuk solat berjemaah diawal waktu, boleh bangun awal disubuh hari, boleh membaca al-quran tanpa gangguan sesiapa.

Saya selalu pesan dan ingatkan, "Sesiapa yang merasa tak betah berada di Baitus Solehah, cakap terus terang dan boleh mohon keluar secara baik, tak perlu menggunakan tipu helah melarikan diri."

Baitus Solehah tak ada pengawal keselamatan, cukuplah Allah yang mengawasi keselamatan dan kesejahteraan penghuni dan hartabendanya.

Pernah ketika JKM buat lawatan ke Baitus Solehah, dan bila saya menerangkan, dia terpegun seketika dengan jawapan diberikan. Perlu apanya pengawal jika Allah lebih berkuasa ke atas hati manusia. Yang datang ke Baitus Solehah adalah hati-hati yang ingin dipimpin ke jalan yang lurus, ingin bertaubat dan ingin berubah. Apakah di luar sana, ada yang sudi mendengar cerita mereka, memimpin tangan mereka dan memberi tunjuk ajar kepada mereka.

Maka saya katakan kepada pihak JKM, saya tak risau atau takut mereka akan melarikan diri jika niat mereka datang adalah untuk bertaubat dan berubah. Ini pentingnya memutuskan buat sementara waktu mereka dengan dunia luar, agar mereka benar-benar fokus dalam pengabdian kepada Allah. Mereka memang tidak akan kemana-mana. Beri masa untuk mereka menyesuaikan diri dan seteruskan mereka akan dapat membiasakannya.

Mereka sedang mengenalpasti manakah laluannya supaya apabila mereka sudah keluar dari Baitus Solehah, mereka tahu memilih. Ketika itu tidak sesiapa yang mengawal mereka kecuali Allah jua.

Saban hari mereka diingatkan agar memperbetulkan niat, membersihkan hati dan mengikhlaskan diri untuk menerima peringatan.

Santapan rohani diseimbangkan dengan santapan jasmani. Program pembersihana jiwa dengan zikir Kautsaran setiap hari agar mereka mendapat petunjuk jalan yang benar dan lurus apabila keluar dari sini nanti. Itu saja hidangan istimewa di Baitus Solehah. Keluarga besar saya ini sangat saya sayangi kerana mereka datang atas hidayah Allah bukan atas paksaan.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.



Tuesday 22 October 2013

Menyampaikan Tazkirah


Baitus Solehah
Tabah dan sabar sungguh Muhammad Nur Iman menyampaikan tazkirah di Baitus Solehah. Tidak ada rasa jemu apabila dalam diri kita ada rasa tanggungjawap pada ummah.

Padahal satu sen pun tidak pernah dibayar. Selesai solat subuh di masjid, selesai wirid dan doanya, berjalanlah dia ke Baitus Solehah untuk menyampaikan ilmu. Jika waktu solat subuh awal seperti sekarang ini, waktu subuh masuk 5.38 am, jam 6.20 am dia sudah sampai ke Baitus Solehah. Terus buka kitab. Sekarang ni kami mentelaah Kitab tulisan Imam Al-Ghazali yang bertajuk Penenang Jiwa terjemahan kitab Mukashafah Al-Qulub.

Kami berharap dengan rahmat Allah melimpahi kepada semua pelatih yang ditarbiyah dan apabila mereka keluar dari Baitus Solehah, mereka mendapat taufik dan hidayah Allah berjalan di jalan yang lurus.

Itu saja harapan kami yang berbuat kebajikan tanpa mengharap bayaran dan balasan dari manusia. Segala usaha kami bukan untuk mendatang manafaat kepada Allah dan RasulNYA tetapi manafaat untuk hamba-hambaNYA yang ingin kembali ke jalan Tuhan.

Semoga usaha kecil kami mengdapat rahmat dari Allah Ta'ala.


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.