BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday 3 November 2014

Program 'Indahnya menjadi Gadis'


Program Motivasi dan Kaunseling UMP di Baitus Solehah
Pada 1 dan 2 hb November 2014 lalu, sekumpulan pelajar UMP telah sudi datang berkunjung ke Baitus Solehah untuk program motivasi dan Kaunseling. Mereka datang bagi mengambil pelajaran dan pengajaran bagi slot 'Indahnya menjadi Gadis.'

Program 2 hari 1 malam ini melibatkan 25 orang peserta. Bermula dengan Ice Breaking kepada aktiviti kreatif telah menumbuh dan menyemai bibit kemesraan bersama pelatih. Secara tidak langsung, ia telah membuka minda pelatih bahawa mereka tidak disisih masyarakat. Masih ada yang sudi untuk berinteraksi dan mendengar suara hati mereka.

Malamnya acara BBQ yang menambah ruang kepercayaan dalam hati pelatih kepada orang lain. Selepas titik hitam yang pelatih lalui, mereka merasa rendah diri dan tidak mahu berkongsi kisah mereka dengan orang luar kerana tidak ada keyakinan terhadap masyarakat lagi. Mereka tidak mahu terus merasa terhina dan dicemuh. Mereka rela hidup terasing dari menerima kejian dan hinaan. Mereka sudah bertaubat, sudah berubah tetapi masih ada sebahagian masyarakat tidak menerima mereka, masih memulaukan mereka.

Di pihak pelajar UMP pula, mereka mengikuti aktiviti harian pelatih di Baitus Solehah. Solat berjemaah, usrah dan tazkirah asar dan zikir taubat (zikir khausaran) selepas maghrib. Pintu Taubat sentiasa terbuka bagi yang ingin mentaati Allah dan RasulNYA.

Pada hari kedua, pelajar UMP dan pelatih bersama-sama menyediakan makanan. Ada yang bermain bersama bayi-bayi. Seterusnya pelatih diasing dengan pelajar UMP untuk slot kaunseling kelompok. Pelatih bersama kaunselor UMP yang turut serta, pelajar UMP bersama saya dalam Slot 'Jangan Hampiri Zina'. Jika sudi terjadi, tidak boleh diundur dan tidak boleh dipadam lagi memori hamil tanpa suami di dalam sejarah kehidupan. Ia merupakan suatu pengalaman paling kejam yang sukar untuk diterima dan redha.

Walaupun ada 2 kategori mereka yang hamil tanpa suami ini, satu kategori yang teraniya kerana dirogol atau disihir, kategori kedua adalah kerana masalah sosial. Namun apabila sudah terjadi ia tetap tidak direlakan berlaku pada diri mereka. Untuk bangun semula bukan semudah kanak-kanak belajar berjalan.

Banyak yang saya nasihat dan sentuh akibat, iktibar apabila sudah terlanjur. Maka sebelum terjadi, jauhilah jalan-jalan menghampiri zina. Jika boleh tutup jalan itu serapat-rapatnya. Jaga solat, jaga hubungan dengan Allah, jaga hati, jaga akhlak, insyaAllah Allah yang menjaga keselamatan iman, diri dan hubungan kita dengan manusia di dalam rahmatNYA.




Bukan mudah untuk mereka berada di dalam kelompok masyarakat yang sedia menerima mereka seadanya. Mereka merasa rendah diri, tidak yakin dan percaya kepada sesiapa pun lagi.

Dan inilah masanya kita memainkan peranan untuk menyakinkan mereka bahawa bukan semua orang merasa jijik atas dosa lalu mereka. Allah Maha Pengampun, pintu taubat sentiasa terbuka, apabila taubat mereka diterima Allah, mereka ibarat kain yang telah direndam clorox. Menjadi putih berseri semula.

Antara tanda-tanda taubat diterima, mereka taat menjunjung perintah Allah dan Rasul. Mereka berhati-hati di dalam melangkah meneruskan kehidupan. Menjaga hati agar tidak berpenyakit dan berakhlak mulia. Selalu mengerjakan amal soleh tanpa berkira kerana hanya keredhaan Allah yang dicari.

Alhamdulillah...



Terima kasih tidak terhingga kepada pelajar UMP yang sudi menziarahi Baitus Solehah dalam program Motivasi dan Kaunseling ini.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: