BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday 6 November 2014

Selesakan Ibu Kamu


Mak Lijah
Pagi tadi selepas sarapan pagi, terus menghantar 2 orang pelatih baru ke Klinik Kesihatan untuk buka Buku Merah rawatan ibu hamil. Balik dari situ, menghantar anak pelatih yang telah dapat kerja ke rumah pengasuh. 3 orang pelatih telah mendapat pekerjaan dan berpindah keluar dari Baitus solehah bersama bayi mereka. Mereka berusaha berdiri untuk memulakan hidup baru bersama bayi masing-masing.

Selepas itu saya ke rumah pengajar sekolah memandu untuk mendaftarkan seorang pelatih untuk belajar memandu. Apabila singgah di rumah itu, saya teringat kepada seorang warga emas yang sering saya ziarahi ketika tinggal di taman itu.

"Mak cik Lijah apa khabar?"
"Oh..mak ya, mak baik, tak berapa sihat."
"Boleh saya ziarah dia?"
"Silakan masuk."

Saya masuk dan dibawa menuju ke katil mak cik Lijah. Makcik Lijah mengadu sakit dada. Anak makcik Lijah berkata, "mak kata sakit dada, ajak pergi klinik jumpa doktor tak mahu, suruh beli ubat aja mana boleh, kita tak tahu apaa pemyakitnya."

Saya memujuk untuk bawa makcik ke klinik berhampiran. puas dipujuk-pujuk, barulah makcik bangun dan bersetuju pergi ke klinik.

Sampai di klinik, diperiksa oleh doktor. Doktor memaklumkan, perlu kepada pemeriksaan lanjut terutama ECG kerana ia berkaitaan dengan sakit dada yang melibatkan jantung.

Dari Klinik di Taman Sri Pulai, saya bawa ke Pusat Kesihatan UTM yang menyediakan pelbagai peralatan perubatan seperti hospital.

Tiba di sana, terus dibawa masuk ke ruang pemeriksaan dan rawatan. Doktor memeriksa dengan teliti. Makcik Lijah menangis. Doktor memujuk agar bertenang.

Kemudian doktor memanggil saya dan anak mak cik Lijah masuk di ruang perbincangan yang agak jauh dari mak cik Lijah.

Sungguh beralas bahasa doktor. (Doktor sangka dia ibu saya). "Jaga ibu ni baik-baik, keadaan jantungnya lemah, injap jantungnya tidak berfungsi dengan sempurna lagi, paru-paru berair, dan banyak masalah lain, penuhi kehendaknya, temankan dia selalu, selesakan dia. Mana-mana bahagian yang sakit tu, kamu gosok dan usap agar dia lega. Ajal maut kita tidak tahu bila, tapi Allah beri peringatan agar kita selalu bersedia."

Dari klinik, saya hantar semula ke rumahnya. Sebelum saya balik, saya peluk dan cium dia dan berpesan, "mak cik, selalu istigfar dan ucap La ilaha illallah ya, moga Allah merahmati mak cik. Jangan lupa Allah dalam apa jua keadaan pun."

Mak cik ni rupanya dah tak ingat siapa saya. Berkali-kali dia ucap, "terima kasih ya, terima kasih ya..." sambil menangis. Mak cik Lijah juga memeluk saya sekali lagi.

Umurnya sudah 77 tahun, ingatannya sudah lemah, "Ya Allah, ampuni dia, rahmati dia sebelum, semasa dan sesudah kematiannya."

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: