BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 2 December 2014

Kerakusan Lelaki Berhati Syaitan




Penunjuk Kehamilan melalui ujian air kencing
Petang tadi saya berbual-bual dengan seorang pelatih baru yang menjadi mangsa penganiyaan. Membuka cerita, saya mahu tahu kisah selanjutnya.

Mempunyai adik beradik yang ramai, bapa hanya bekerja kampung. Maka dia terpanggil untuk membantu bapanya sebaik tamat persekolahan tingkatan 5.

Bekerja sebagai penyedia air di sebuah kedai minuman, pendapatannya cukup untuk sara diri dan sedikit dihulur kepada bapanyanya.

Disitu bermulanya episod hitam dalam hidupnya. Dia sombong dengan lelaki, maksudnya tidak melayan sebarang lelaki yang cuba menghampirinya. Bukan berkasar atau telah melakukan sesuatu menyakitkan hati lelaki itu. Cuma tidak melayan dan menolak secara berhemah sebarang ajakan untuk berbual-bual dan berkenalan. Niatnya bekerja untuk membantu keluarga, maka dia berusaha menjaga dirinya sendiri apabila berada jauh dari keluarga.

Sentiasa berpakaian sopan, menutup aurat dengan sempurna, pakai apron dan tudung dilabuhkan dibahagian dada.

Rupanya, lelaki itu merasa tercabar. Wajah hensemnya tidak dipandang sedikit pun oleh gadis kampung ini. Godaannya tidak dipedulikan langsung. Sungguh dia marah dan berniat untuk menganiya.

Suatu hari dengan bantuan kawan sekerja gadis ini, lelaki itu telah memberikan minuman berupa  air kotak kepada gadis itu. Gadis ini pulak, menyangka minuman itu dibeli oleh rakan sekerja yang sering membantunya. Rakan sekerja sudah berkahwin, sudah lama bekerja, maka sering mempelawa makanan dan minuman kepada gadis itu. Gadis itu tidak menolak pelawaan makanan yang diberikan, tambahan jika dipertengahan bulan, wang poket sudah berbaki sen cukup untuk tambang bas pergi balik.

Hari itu, dia menyangka air kotak itu memang pemberian rakan sekerja seperti selalu. Dia pun minum. Sejam selepas itu, dia merasa mual, dan pening-pening. Tidak berupaya melakukan kerja dengan baik. Maka dia pun minta izin untuk berehat seketika di surau berhampiran. Dalam keadaan terhoyong hayang menuju ke surau, terasa seperti tangannya ditarik seseorang. Oleh kerana keadaan diri tidak stabil, dia mengikut saja pegangan tangan itu tanpa mengetahui siapa, kerana matanya sudah hampir tertutup. hari masih siang, belum pun waktu zohor.

Itu saja yang diingat. Menjelang asar dia tersedar, mendapati dirinya berada di sebuah hotel, berhampiran tempat kerja. Melihat diri tanpa pakaian, dia terpandang lelaki hensem yang selalu mengodanya tersenyum-senyum. Dia meraung dan menangis sambil bertanya, “apa yang terjadi?”

Lelaki itu dengan egonya berkata dan memberi amaran, "jangan cuba-cuba buat laporan polis, saya sudah ambik semua gambar kamu,  saya akan sebarkan gambar ini ke internet dan berikan kepada ibu bapa kamu.”

Kemudian lelaki itu menyuruh dia mengikut arahanya jika tidak mahu gambarnya tersebar di internet. Pindah ke rumah yang disediakan, tidak boleh pindah tempat kerja. Jika arahan tidak dipatuhi, dia akan menerima akibat yang mengaibkan. Gadis ini telah terjerat dan tidak dapat meluahkan kepada sesiapa malang yang menimpa dirinya.

Terpaksa mengikut arahan lelaki itu, berpindah tinggal di rumah yang disediakan, walaupun pintu dikunci, lelaki itu mempunyai kunci pendua yang dia boleh masuk tidak kira masa. Apabila bulan berikutnya, dia selalu meloya dan muntah-muntah dan mendapati kedatangan haidnya lewat, dia telah membuat pemeriksaan air kencing untuk 'pregnancy test'. Mendapati dirinya hamil, terasa dunianya gelap. Tidak tahu kemana mahu dituju. Bila dikhabarkan kepada lelaki itu, terus lelaki itu menghilangkan diri. Dasar lelaki dayus, tidak mahu bertanggungjawap dengan apa yang telah dilakukan.

Mulanya dia mendiamkan diri, tidak mahu rakan sekerja tahu, lagipun dia merasa dendam dan marah kerana mengesyaki rakan sekerja telah bersubahat dengan lelaki hensem itu menganiya dirinya. Apakan daya, dia tidak mempunyai rakan lain di bandar itu. Tidak ada sesiapa yang dikenalinya. Lagi pula, rakan sekerja yang telah berkahwin dan mempunyai anak, melihat dia selalu muntah-muntah, telah bertanya, "awak mengandung ke?"

Antara mahu atau tidak, terpaksa mengiyakan kerana untuk meneruskan kerja pun dia sudah tidak mampu. Rakan sekerjanya, ingin membantu. Mencarikan keluarga angkat yang sudi menjaga dia waktu hamil hingga bersalin dan sebagai taruhan, apabila bayi lahir mesti diserahkan kepadanya.

Dia yang tidak ada pilihan, menerima tawaran itu. Tinggallah dia di rumah 'keluarga angkat' yang baru dikenalinya. Baru dua minggu tinggal di situ, hari raya haji tiba. Ibu dan bapanya memang tidak tahu apa yang terjadi padanya, dan mereka menyangka dia masih bekerja seperti biasa. Jadi untuk mengelakkan mereka mengesyaki sesuatu, gadis itu minta izin dengan 'keluarga angkat' untuk pulang berhari raya di rumah sehari dua agar keluarga tidak syak apa-apa jika selepas ini dia lama tidak pulang.

Mulanya 'keluarga angkat' tidak membenarkan, tetapi dia berjanji tetap akan pulang, lagi pun kemana dia nak pergi jika keadaan diri sudah begini, sedangkan keluarga tidak tahu dan dia memang tidak mahu sesiapa pun tahu tambahan jiran tetangga ibu bapanya, takut maruah mereka tercemar. Akhirnya 'keluarga angkat' terpaksa membenarkan dan buku merahnya mereka pegang.

Hari raya haji tahun 2014, jatuh pada hari Ahad. Maka hari Isnin cuti. Maka semua adik beradiknya pulang berkumpul di rumah. Ada antara kakak-kakaknya (semuanya ada 7 orang kakak kandung, 3 orang kakak ipar) melihat perubahan fizikal dirinya. Mereka seperti mengesyaki sesuatu. Kebetulan malam itu, perut gadis itu tidak selesa dan menjadi alasan untuk kakak-kakak membawa dia ke klinik. Rahsia tidak dapat ditutup, gambar scan telah menjelaskan syak kakak-kakak tadinya.

Balik rumah, dia telah disoal bertubi-tubi, dan dengan linangan air mata, dalam sedu sedan, barulah dia bercerita akan dirinya yang teraniya. Dia tidak tahu nak mengadu kepada siapa dan bagaimana kerana takut mengaibkan keluarga jika gambarnya tersebar dinternet.

Supaya tidak timbul sakit hati atau dendam atau marah, kakak-kakaknya telah menghubungi 'keluarga angkat' secara baik. Tidak mahu adik mereka terus menjadi mangsa penyaniyaan dalam usia yang begitu muda, terpaksa melalui penderitaan atas kezaliman lelaki berhati syaitan, mereka minta adik mereka 'dilepaskan'. Mereka mahu menebus adik mereka dari jagaannya. 'Keluarga angkat' bersetuju melepaskan dan menyerahkan buku merah. Lagi pula, 'keluarga angkat' tidak mahu terlibat dalam polis kes jika mereka membuat dakwaan, adik mereka telah disembunyi atau dicolek.

Sebaik sahaja memperolehi buku merah, gadis ini terus dibawa pergi oleh kakak-kakaknya ke suatu tempat yang jauh dari kampungnya. Mereka mahu menyelamatkan masa depan adik mereka, kezaliman lelaki berhati syaitan tidak dapat mereka balas, bimbang lelaki itu benar-benar menyebarkan gambar adik mereka ke internet.

Maka, mereka berusaha mencari sebuah Rumah Perlindungan yang dapat mentarbiyah dan membimbing adik mereka yang sudah tersungkur, tidak dapat menerima hakikat terpaksa hamil tanpa suami dan melahirkan anak tanpa ayah agar redha dengan kehendak Allah ini. Jiwa adik mereka perlu diubati, dendam, marah dan merasa Allah berlaku tidak adil kepadanya . 

Dalam tangis dan airmata, jiwa gadis ini perlu dibangunkan semula. Hatinya yang beku perlu diketuk semula untuk dicanai, diadun dan dibentuk menjadi taat kepada Allah. Buang rasa marah kepada tuhan yang mentakdirkan perkara ini terjadi pada dirinya.

Katanya, dia sudah tidak berdaya untuk menangis, tetapi tetap terus menangis mengenang nasib dirinya. Dia selalu buat solat taubat, bangun awal buat tahajud, belajar untuk bangun semula. Payah, sungguh payah kerana airmatanya belum mahu kering.

Kerakusan lelaki hensem berhati syaitan sukar untuk dia lupakan. Selalu menggangu ketenangan tidornya. Dan apabila mengenang kembali kisah hitam itu, dia menangis semula.

Moga-moga Allah mengurniakan taufik dan hidayah untuk gadis ini dapat bangun semula dan menerima takdirnya dengan redha. Marilah kita sama-sama mendoakan kesejahteraan diri gadis ini, keluarga kita dalam rahmat Allah Ta’ala. Belajar untuk memaafkan dari terus rasa dendam yang makin merosakkan hati dan mengakibatkan penderitaan jiwa yang berpanjangan.




 




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: