BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday 25 December 2014

Remaja lelaki 14 tahun sudah punya anak



Remaja lelaki ada anak di Malaysia
Sayu dan terharu. Ketika menunggu azan masuknya waktu solat asar di surau HSA semalam, saya mendapat panggilan telefon dari seorang bapa. Bapa kepada remaja lelaki berusia 14 tahun.


Bapa ini bertanyakan masalah anaknya yang baru berusia 14 tahun telah berzina dengan seorang gadis berusia 18 tahun dan kini telah hamil 5 bulan. Terkedu saya mendengarnya. Walaupun sebenarnya kisah gadis dan lelaki berzina ini sering diluahkan kepada saya, kisah remaja ini buat saya terkedu kerana baru berusia 14 tahun akan bergelar bapa tidak lama lagi.

Apakah yang maju sangat sehingga remaja 14 tahun sudah meneroka alam seksual dan menghasilkan benih? Apa yang Allah mahu memperlihatkan sebenarnya? Kun Fa Ya Kun!

Tidak ada yang mustahil bagi Allah, walaupun katakan kamu baru akil baligh, kamu baru saja mimpi keluar mani, dan Allah mahu tunjukkan dalam mani kamu ada benih. Allah nak tunjukkan sesuatu kesalahan. Mungkin sangkaan pasangan, mereka berzina tidak mendatangkan sebarang akibat. Mereka sering berzina kerana menyangka dalam air mani belum ada benih yang boleh mengakibatkan mengandong. Ya lah , remaja umur 14 tahun, boleh dikelaskan masih kanak-kanak. Lagi pun lelakikan lambat matang.

Tetapi lain jadinya. Perbuatan zina mereka dalam diam telah mendatangkan akibat.

Cuba fikirkan, zaman dulu, umur 14 tahun, apalah yang kita tahu hal suami isteri. Yang sangat sulit dan dirahsiakan. Ada sahabat saya, ketika itu kami sama-sama berusia 19 tahun tetapi saya telah berkahwin bertanya, macamana sperma dan telor disenyawakan dan bayi lahir melalui mana? Dalam subjek biologi hanya disebut bagaimana persenyawaan terjadi tetapi tidak diterangkan tentang jimak.

Tetapi zaman ini, remaja 14 tahun, bukan sahaja tahu apa hubungan seks, malah telah melakukan dengan pasangan sehingga menghasilkan benih. Mesti dia sudah selalu melihat teori, jadi bila ada peluang, dia terus melakukan praktikal. Sekali yang pertama telah mendatang berahi dan keseronokan menyebabkan terus mengulangi. Tidak tahu sejak bila dia mula berzina. Bapanya pun tidak mampu bertanya bimbang jawapan itu memeranjat.

Tidak siapa pun menduga, ingatkan pasangan yang diakuinya kakak angkat, sering bersama untuk menunjuk ajar pelajaran matematik dan sainsjuga merupakan pasangan zina. Mereka ibarat pasangan suami isteri. Ibu bapa langsung tidak menyangka pasangan itu mempunyai hubungan yang begitu intim sehingga atas katil.

Ya lah...sapa nak duga, sementara tunggu sessi persekolahan waktu petang, adik angkat transit sekejap rumah kakak angkat, untuk bertanyakan kerja sekolah setiap hari sebelum ke sekolah buat kerja intim ini. Ibu bapa masing-masing bekerja, kakak angkat pulak belum berpeluang meneruskan pelajaran selepas SPM masih berada di rumah. Rumah berdekatan, setaman. Adik angkat singgah sekejap untuk makan atau bertanya kerja sekolah kepada kakak adalah perkara biasa pada mata masyarakat sehingga tidak menimbulkan keraguan dan syak wasangka yang pertemuan setiap hari tu adalah untuk tujuan melepaskan nafsu berahi, mereka sudah ketagihan zina.

Itu sebab Allah timpakan musibah atas perbuatan mereka itu dengan menyebabkan benih tersenyawa dan kakak angkat mengadong. Bila dah mengandong, barulah tersedar akan apa yang mereka lakukan selama ini adalah salah. Sejak bila mula mereka berzina kita tidak tahu. Tetapi jika sekarang bulan Disember, sudah mengandong 5 bulan, janin itu telah terenyawa sejak bulan Ogos lagi. Lepas bulan puasa, masih dalam bulan syawal.

Hmmm....

Itu tempoh mula tersenyawa. Mungkin mereka sudah mula berzina awal tahun lagi, sejak kakak angkat habis SPM, duduk di rumah takde kerja. Tetapi ketika itu air mani remaja mungkin belum ada sperma, awal 14 tahun. Lelaki selalunya akil baligh 15 tahun, mungkin remaja ini kategori akil balighnya awal.

Menakutkan...mengerikan untuk dibayangkan. Betapa maju kedepannya remaja hari ini.

Dimana puncanya? Macamana mereka tahu melakukan hubungan seks dan apa yang menyebabkan mereka selalu berahi?

Zaman ini apa yang mudah didapati? Mudah dipelajari dan mudah dingati?

Sudah pasti video lucah yang mudah dimuat turun dari internet. Tambahan ramai remaja hari ini ada smartphone yang ada akses internet. Siapa yang belikan smartphone? Siapa yang top upkan kredit? Siapa yang sediakan wifi di rumah untuk mengakses internet?

Rasa-rasanya suami isteri pun tidak hari-hari melakukan hubungan seks kerana mood takde, tidak terangsang kerana letih bekerja. Berbeza jika seseorang itu sering melihat video lucah, muudah teransang dan ingin melampiaskan. Makanya pasangan remaja itu rajin berzina sebab kekerapan menonton video lucah bersama, ibarat makan kuaci. Agaknya, singgah sekejap aja sebelum ke sekolah, terus menonton video lucah yang hanya beberapa minit, teransang dan tersu berzina. Zina tu ibarat makan kuaci aja. Setengah jam selesai, tersu pergi sekolah. Esok ulang lagi bila dapat video lucah lainnya dan tengok sama-sama.

Ibu bapa di luar sana, berhati-hatilah, berwaspadalah dengan kehadiran teman sekolah berlainan jantina yang sering kata belajar bersama.Jangan sekelip mata pun kita lalai memerhatikan. Jangan letak kepercayaan adik angkat akan jaga kakak angkat, tidak melakukan apa-apa pada kakak angkat. Ini bukti...

Tahun lepas pun sama, saya dirujuk kes yang sama, pasangan sama-sama berusia 15 tahun. Belum ambil PMR. Pasangan adalah dari sekolah agama harian. Ibu ayah guru. Tinggal setaman, dan rumah berhampiran. Jadi mereka sering belajar bersama mengulangkaji pelajaran dan study group. Sekali saja cuai meninggalkan mereka berdua untuk keluar ke bandar beli keperluan harian, mereka yang tengah belajar tu terus buat praktikal dalam bilik. Adalah lebih kurang 40 minit saja ke bandar tu, bila balik lihat anak-anak masih belajar petang. Mana nak timbul syak wasangka, masa pergi duduk di meja, ketika balik pun masih belajar bersama di meja. Sunggguh cantik mereka berlakon. Sekali, dua kali dan seterusnya. Alih-alih sebelum PMR, perut remaja perempuan nampak buncit.

Dah dekat nak PMR ni, ibu bimbang anak ni ada penyakit, bila dipegang bahagian perut ada bonjolan dan keras, bawalah anak perempuan ni ke doktor. Doktor terus buat imbasan, apa yang dilihat melalui skrin adalah janin bayi, jantung telah berdegup dan usia janin telah 26 minggu. Rasa runtuh langit menimpa kepala si ibu. Berderai air mata si ibu. Balik rumah, panik dan mengigil. Mengoogle mencari maklumat sehingga menemui nombor telefon saya dan meluahkan apa yang terbuku dalam hati.

Tidak berani mahu bercerita pada orang lain, bimbang ada yang bawa mulut ke seluruh taman dan tempat kerja. Kasihan sungguh dengan ibu ini. Selalu menghubungi saya meminta nasihat dan bimbangan, apa nak buat dengan anaknya ini. Untuk digugurkan, tidak mungkin. Untuk membiarkan anak melahirkan bayinya di rumah juga tidak mungkin. Dimana maruah dan aib mahu diletakkan.

Maka, pasangan ini telah dinikah tetapi tidak dibenarkan tinggal bersama. Sebaik tamat peperiksaan PMR, gadis itu telah dibawa ke satu tempat yang jauh untuk ditarbiyah dan melahirkan anak.

Wahai ibu bapa, jika tidak mahu perkara ini terjadi di dalam keluarga, awasi anak kita, jaga hubungan dengan Allah. Selalu berdoa. mohon Allah yang melindungi kita dan keluarga kita. Minta Allah yang memelihara iman kita dan keluarga kita dari sebarang musibah yang mendukacitakan dan mengaibkan. Kita tidak punya daya upaya melainkan selalu mengharap pertolongan Allah.

"Ya Allah peliharalah diriku dan keluargaku dari melakukan perbuatan mungkar dan maksiat. Peliharalah iman kami, tetapkan iman dalam ramatMU"

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang bahan bakarnya dari manusia dan batu, penjaganya malaikat yang kasar, keras, lagi tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”.(Qur’an Surat 66 (At-Tahrim): ayat 6)

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: