BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, 21 October 2014

Selamat Jalan Latifah

Selamat Jalan Latifah
Selamat jalan Latifah, semoga Allah merahmati kamu dan seluruh keluarga kamu. Hubungan yang baik antaŕa keluarga kandung dan keluarga angkat akan menjadikan kehidupan seluruhnya harmoni. Saling berkasih sayang, hormat menghormati dan bertoleransi.

Keluarga kita bertambah besar. Ruang dalam hati kita juga menjadi sarat dengan kasih sayang. Memelihara dan mengasuh anak angkat samalah seperti kita bersedekah jariah berpanjangan.

Anak ini menjadi aset untuk kita ke syurga atau neraka. Kita yang mencorak dan mewarnakan anak ini. Anak ini merupakan amanah kepada yang sedia mengasuh dan bertanggungjawap ke atasnya samada keluarga kandung atau keluarga angkat.

Semua orang sayangkan anak. Apatah lagi ibu yang mengadung dan melahirkan. Namun atas beberapa kekangan untuk memperolehi suatu situasi yang harmoni kepada semua pihak ia redha diserahkan kepada keluarga angkat yang sedia berkongsi kasih sayang. Keluarga angkat yang tidak tamak dan tidak ingin memiliki menjadi hak asasi dan peribadi.

Bila kita sentiasa bersikap terbuka dan positif, maka perkara baik yang datang, kasih sayang dan rahmat Allah melimpahi kita.

Ingat ! Selagi apa yang kita lakukan untuk mencapai redha Allah, maka jalan-jalan menuju arah itu juga akan diredhai dan dipermudahkan Allah.

Keluarga yang menerima Latifah ini telah memohon anak angkat sebelum Baitus Solehah dibuka kepada umum lagi. Sebelum Baitus Solehah diwartakan di dalam blog dan facebook. Jadi jangan ada yang bertanya dan timbulkan provokasi, "ummi kata dah takde penyerahan anak angkat di Baitus Solehah", "ummi kata permohonan dah tutup" , "ummi kata tahun 2014, jika ambik anak, ambik emaknya sekali".

Ingat ya, anak adalah rezeki yang Allah kurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki pada masa yang Allah tetapkan, bukan pada masa yang kita pilih dan suka.

 
Sebelum Latifah diserahkan kepada keluarga angkat, 3 hari Latifah diletakkan di Baitus Solehah selepas ibu kandungnya dijemput keluarga pulang ke kampung.


 Perjalanan hidup yang masih jauh. Semoga anak ini sentiasa ditemani malaikat kecil yang menjaganya, menemani walaupun dimana dia berada.

Sayu, pilu... 3 malam opah tidor bertemankan Latifah. Saya namakan Latifah, yang lemah lembut kerana suka dengan alunan zikir Ya Latif.


Mohon maaf ya, permohonan anak angkat telah ditutup pada Disember 2013 lagi. Permohonan baru belum dibuka. Jadi jangan tanya apa procedur dan syarat permohonan anak angkat sekarang ini. Jika nak tahu , google saja syarat JKM.

Sekian, Assalam mualaikum dan terima kasih yang bekerjasama.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday, 19 October 2014

Maklumat Bapa Dalam Sijil Lahir Anak Zina/Mangsa Rogol

Maklumat BapaDalam Sijil Kelahiran Anak Zina/mangsa Rogol
Masih ramai yang tidak jelas dan kurang faham akan status anak-anak yang dilahirkan sebelum ibunya bernikah.

Semua bayi yang dilahirkan wajib didaftarkan kelahirannya. Jika tidak daftarkan, bayi ini tidak ada dokumen pengenalan diri. Tidak akan memperolehi kad pengenalan. Dan kita telah menganiya dan menzalimi anak ini kerana tanpa pengenalan diri, akan menyukarkan jalan-jalan kehidupan yang ditempuhnya.

Seorang bayi yang didaftarkan jika ibunya tidak bernikah sebelum bayi dilahirkan dan tidak ada sijil nikah, di ruang bapa, dicatatkan 'maklumat tidak diperolehi'. Tidak ada apa-apa cara pun untuk menukar status ini di sijil kelahiran anak itu.

Jika bernikah sebelum bayi dilahirkan, diruangan bapa boleh diisi dengan maklumat lelaki yang menikahi ibunya sebelum bayi dilahirkan TETAPI tetap tidak boleh dibin atau binti lelaki itu. Di penjuru kiri bawah sijil kelahiran dicatatkan Syeksen 13.

Rekod ini tidak boleh diubah sesuka hati hanya kerana malu atau demi maruah dan masa depan anak itu. Ada sebabnya...

Anak-anak ini hanya boleh dibin atau bintikan dengan nama-nama asma Allah. Ada 99 nama Allah, dan diletakkan Abdul di depannya. Contoh, Abdur Rahman, Abdur Rahim, Abdul Fatah, Abdul Hakim,Abdul Aziz dan lain-lain.

Jagalah keturunan seterusnya supaya nasab akan datang bersih, jangan lakukan penipuan hanya kerana malu dan ego mengakui kesilapan diri dengan bernikah selepas mengetahi diri hamil, apabila cukup pula tempoh 6 bulan janin berada dalam kandungan dan apabila anak lahir  terus di bin atau binti dengan nama suami ibu. Nak tipu siapa sebenar? Tipu masyarakat atau tipu diri sendiri? Sedangkan Allah Maha Mengetahui. Hanya kita dan Allah saja yang tahu tentang keujudan janin sebelum ijab dan kabul. Kita dah tahu ujud janin sebelum nikah, anak itu tetap berstatus anak zina. Anak zina tidak boleh berwalikan nama bapa yang tercatat dalam sijil lahirnya. Mana tahu kita terlupa nak berwali hakim bila anak perempuan tu nak bernikah nanti sebab malu nak mengakui kesilapan silam.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday, 18 October 2014

Teruslah Berbuat Kebaikkan


Teruslah bantu orang lain
Memulakan langkah untuk suatu kehidupan baru bukanlah mudah. Ia perlu sokongan bukan sahaja kewangan tetapi sokongan rohani dan emosi.

Bukan mudah seperti kita semua mendapat kerja baru. Cari kerja, hadiri temuduga dan mulakan kerja.

Ramai yang mempersoalkan kenapa Baitus Solehah masih membenarkan pelatih yang telah 3 bulan melahirkan bayinya masih berada di sini. Mudah sahaja cadangan, "suruh aja mereka keluar cari kerja." Atau " Wah bestnya, duduk rumah jaga anak, semua benda orang support."

Kita tidak berada ditempat mereka yang trauma dengan kisah kejam yang terpaksa mereka tanggung. Ditambah lagi apabila tidak mendapat sokongan keluarga. Ada keluarga yang asyik suruh beri anak tu pada keluarga angkat. Ada keluarga yang langsung tidak mahu menjemput walaupun anak itu telah bertaubat dan berubah. Keluarga masih memikir yang anak mereka tu jahat, tidak dapat dikawal dan telah mengaibkan keluarga.

Apakah ada manusia yang tidak pernah buat silap? Apakah ada insan yang sempurna, terhindar dari melakukan kesalahan dan dosa. Allah telah menyediakan satu peluang iaitu taubat. Pintu yang paling luas tanpa ada sempadan ialah pintu taubat. Dengan sifat Allah yang Maha Pengampun dan Penerima Taubat, siapakah kita untuk terus-terusan menghukum mereka.

Mana ada insan yang rela untuk terus tinggal di rumah perlindungan melainkan dia memang menyerahkan diri untuk terus 'berkhidmat' semata-mata mencari redha Allah. Mereka pun nak hidup seperti orang lain, memiliki dan dimiliki. Tapi mudahkah? Mereka masih trauma, takut tersilap kali kedua, maka mereka bersabar dalam memilih pekerjaan agar tidak tersasar lagi. Keadaannya berbeza jika mereka mendapat sokongan keluarga.

Sangat gembira apabila seorang pelatih telah ditawarkan pekerjaan. Ini bermakna dia boleh memulakan kehidupan bersama bayinya. Namun adakah siapa memahami, untuk memulakan langkah perlu ada sokongan. Cuba imbas semula, mula-mula anda mendapat pekerjaan dulu, belum pun dapat gaji, bagaimana anda memulakan untuk mendapat tempat tinggal, pengangkutan ketempat kerja, pengasuhan bayi dan lain-lain? Apakah semua ini hanya kun fa ya kun? Apa yang mereka perlukan selain sokongan moral, emosi, jasmani dan rohani?

"ummi tu suka bagi lemak kat pelatih, duit poket nak pergi klinik pun ummi kasi untuk mereka beli jajan."

Ada ke jajan jual kat klinik? Kat klinik tu cuma jual air, buah potong, kerepek pisang atau ubi dan roti. Tak boleh ke, mereka membeli kerana teringin tengok orang kerusi sebelah makan kerepek pisang atau jambu batu.

Kalau ummi tak beri duit poket, mereka nak beli dengan apa? Mereka bukan ada duit. Duit simpanan jauh sekali. Harapkan keluarga beri, menjenguk pun jauh sekali apatah lagi nak beri duit poket lagi.

Keluarga mereka tak sama dengan kita, dari kecil sudah ada buku akaun sendiri, ada simpanan peribadi.

Oleh itu bantulah mereka yang mahu memulakan kehidupan baru ini. ramai yang tahu apabila diri hamil, mereka telah berhenti kerja dan tinggal di rumah perlindungan tanpa pengetahuan keluarga. Namun akhirnya, keluarga akan tahu juga apabila dimaklumkan. Ada keluarga yang terkejut dan dapat menerima dengan redha, dan ada keluarga yang tahu membuang terus dari memori mereka seseolah anak tu tak pernah ujud.

Ada pelatih yang menghargai dan rasa terharu dengan sokongan yang kita berikan, katanya, tak tahu bagaimana nak balas budi. Saya cuma kata, saya lakukan ini kerana Allah, di sini ada redha Allah, saya tak nak apa-apa dari kamu. Saya cuma mahu kamu terus mentaati Allah dan tolong orang lain pula. kamu ingat kebaikkan orang yang kamu terima, maka kamu teruskan melakukan kebaikan pada orang lain pula.

Jika kita semua terus menolong orang kerana ingat, ada orang pernah tolong ketika kamu susah dahulu, maka kerja kebajikan ini akan terus berjalan hingga hari kiamat. Saya nak kamu tolong orang lain pulak pada masa akan datang. Saya akan mati, dan dah tak dapat tolong orang lagi, jadi kamu yang akan meneruskannya. Kamu akan meneruskan kerja baik dari didikan dan tarbiyah ummi.

Itu saja pesanan saya pada mereka yang terharu dan menghargai masa-masa berada di Baitus Solehah. Yang ambil pengajaran dan pelajaran akan menghargainya, mana yang terasa Baitus Solehah telah mengongkong dan menyekat kehendak nafsu mereka akan merasa lega bila sudah keluar bebas dari Baitus Solehah.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Rumah Perlindungan Remaja dan Wanita

Baitus Solehah
Baitus Solehah adalah sebuah rumah perlindungan untuk menempatkan gadis-gadis terlanjur. Kita wajib menyelamatkan mereka dari berterusan melakukan perbuatan mungkar.Membimbing mereka untuk taubat nasuha, kembali mentaati Allah dan RasulNYA.

Matlamat Baitus Solehah ialah Mentarbiyah insan-insan terlanjur agar mereka bertaubat nasuha, kembali mentaati Allah dan RasulNYA.


 Perlindungan yang diberikan bukan sekadar menyediakan makan minum , tempat tinggal tetapi membimbing dan mentarbiyah mereka untuk taubat nasuha, menjalani kehidupan sebagai muslimah di landasan yang lurus dan benar dan mengutamakan pengukuhan iman dan beramal soleh.

 KONSEP DAN PELAKSANAAN BAITUS SOLEHAH

Objektif

Baitus Solehah ditubuhkan bertujuan:

1.Memberi tempat perlindungan sementara kepada pelatih yang sedang dalam krisis.

2.Menyediakan satu tempat perlindungan yang ‘Bi’ah Solehah’

3.Mendidik dan melatih pelatih mengenai ilmu kerohanian yang mantap melalui pengisian pemantapan kerohanian, pengurusan diri dan membina sikap bertanggungjawab

4.Menjadikan para pelatih sebagai satu kumpulan sokongan untuk pelatih yang lain dalam usaha mereka mengubah diri ke arah yang lebih baik

5.Membantu menguruskan pelatih yang hamil dari aspek kesihatan dalam proses kehamilan, kelahiran dan penjagaan bayi (sama ada dibela ibu atau diserah kepada keluarga angkat)

6.Menjadikan bekas pelatih Baitus Solehah sebagai contoh islah sahsiah kamilah kepada masyarakat dan seterusnya memberikan sokongan kepada pelatih sedia ada untuk menjana perubahan diri.


 Sila berhubung dengan Mak Liza untuk keterangan lanjut melalui facebook atau page Baitus Solehah atau wasap/ sms  ke nombor 0149253151

Selain Baitus Solehah, masih ada dua buah rumah perlindungan remaja di negeri Johor.



Dua buah rumah perlindungan lain yang boleh dihubungi.

Rumah Perlindungan Remaja Generasiku Sayang, Dr Fatimah 0197704281.

Rumah Perlindungan Remaja Sinar Hijrah, Hubungi Dr Masrina 0133886335




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA,
 cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday, 17 October 2014

Jiran di Alam Barzakh


Seorang wanita bermimpi, dia telah meninggal dunia. Sewaktu mahu digali kubur, almarhum telah menunjukkan tempat dimana kuburnya. Almarhumah memilih untuk berjiran dengan kubur ibu mertuanya. Ini kerana ibu mertuanya seorang yang waraq, sentiasa berzikir ketika didunia. Almarhum mahu kehidupan yang tenang di alam barzakh bersama-sama ahli keluarga yang lain.

Setelah almarhum menunjukkan tempat mahu digali kubur, anak-anaknya datang membawa cangkul. Almarhum melihat, anak sulungnya membersihkan dulu kawasan persekitaran sebelum tanah digali.Turut bersama disekitar tanah yang mahu digali untuk dijadikan perkuburan ialah zaujnya, anak-anak dan menantu lainnya.

Ketika jenazah sedang diuruskan di dalam rumah pula, ada orang lain ingin masuk ke dalam rumah untuk menziarahi, tetapi anak-anak tidak membenarkan masuk kerana demi menjaga aurat dan maruah ibu mereka.

Wanita ini melihat pengurusan jenazah yang dilakukan oleh anak menantu ke atas jasadnya. Begitu tertib dan lemah lembut. MasyaAllah...

Allah sudah memperlihatkan bagaimana jenazahnya diurus oleh anak-anaknya di dalam mimpi. Semoga keadaan ini benar-benar terjadi dengan kehendak dan rahmat Allah jua.

Agaknya ya, jika kita mati begitulah yang terjadi. Yang diurus oleh anak-anak cuma jasad, rohnya telah pun berpisah dan berpeluang untuk melihat keadaan bagaimana kerabat menguruskan jenazah.

Berbahagialah memperolehi anak-anak yang soleh hasil asuhan tangannya yang sentiasa memohon pertolongan dan rahmat Allah Ta'ala.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday, 14 October 2014

Sup Tulang Lembu


Sup Tulang Lembu
Setiap tahun, ada satu keadaan saya pasti bersedih apabila menyediakan sop tulang semasa hari raya aidiladha.

Saya selalu teringat kisah yang diceritakan oleh angah kepada saya. Pasti airmata bertakung di kolam mata.

Seorang hartawan datang ke sebuah pondok usang di hujung kampung. Hartawan itu datang membawa beras, bahan makanan lainnya dan daging korban bersama tulang lembu.

Apabila sampai di laman rumah, terlihat kanak-kanak lelaki sedang bermain- main dengan adik-adiknya. Mereka bergurau-gurau sesama sendiri. Hartawan itu menyapa dan memberi salam.

"Assalamualaikum."
"Wa'alaikum salam pakcik." Jawab kanak-kanak itu serentak.
"Ibu ayah mana?"
"Pergi kerja pakcik."
"Dah makan?"
"Sudah pakcik."
"Makan apa?"
"Makan nasi."
"Lauk apa?"
"Sop tulang lembu , pakcik."
"Uiks...sedap tu."
"Hari-hari kami makan nasi lauk sup tulang lembu pakcik."
"Iya, baguslah." ( dalam hati hartawan tu berkata, ayah mereka mampu membeli tulang setiap hari untuk beri anaknya makan, tidaklah terlalu miskin dan daif.)
"Bila ayah beli tulang tu?"
"Ayah tak beli, tok imam beri masa raya korban tahun lepas. Ibu rebus setiap hari tulang tu dengan air. Sedap tau pakcik."

Terpaku dan terkesima hartawan itu mendengarnya. Mengalir air mata bila tahu tulang lembu yang dibuat sop itu adalah tulang lembu yang diberikan oleh orang ketika hari raya korban tahun lepas. Dah hampir setahun tulang iu direbus setiap hari.

Memang daif keluarga ini tetapi anak-anak itu nampak gembira dan bahagia. Mereka mensyukuri walaupun makan nasi berlauk air rebusan tulang yang pasti sudah tidak ada rasa apa-apa.

Bandingkan kita hari ini, buat korban berkongsi 7, lepas sembelih, daging korban tu dibahagi 7 juga. Faraid masing-masing bawa balik rumah.

Sebab itu banyak masjid bangga ramai orang buat korban sampai 20 ekor lembu tetapi penduduk di perumahan rakyat di taman berhampiran tak dapat pun agihan daging korban. Tambahan lagi jika penduduk yang menyewa rumah kos rendah iu terdiri dari warga asing beragama Islam bekerja sebagai cleaner, sebagai buruh atau penjaga pam petrol.

Sedihkan...

Jika kita pun berkira-kira nak beli sekilo daging lembu, apatah lagi mereka yang pendapatan bersih habis dibelanja untuk menyara anak isteti yang ditinggalkan jauh dikampung.

Maka jika anda berhasrat nak buat korban, agihkan daging itu kepada penduduk berhampiran yang layak menerimanya. Jika ada banyak dagingnya, bungkus sekilo satu bungkusan, jika sikit bungkus setengah kilo, asalkan ramai yang dapat. Banyak sama dapat, sikit sorang sikit.

Walaupun aidil adha dah lepas, orang dah buat korban, cerita ini tetap tersemat dalam hati. Walaupun hanya sunat muakad, buatlah korban setiap tahun , macam kita boleh simpan duit nak hidupkan insuran dan roadtax kereta setiap tahun.

Ingatan untuk anak cucu...by Mak Liza, 14/10/14. 

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday, 8 October 2014

Jangan Halau Anak Keluar Rumah


Tazkirah Subuh
Dua hari lepas seorang remaja berusia 15 tahun dihantar abangnya ke Baitus Solehah. Oleh kerana remaja ini sudah hampir setahun menjadi gelandangan, tidor dimana suka, ibu dan ayah sudah tidak mahu ambik peduli.

Bila hamil, tidak tahu siapa punya benih kerana sepanjang tempoh beberapa bulan sebelum ini dia suka berganti tempat tidor antara 8 lelaki. Bila saya suruh buat laporan polis,lelaki terkini saja dicatatkan dalam laporan polis.

Sejak umur 13 tahun tidak bersekolah. Tidak belajar agama menyebabkan dia tidak rasa bersalah atau berdosa tidor dengan mana-mana lelaki yang dia suka. Dia merasa sangat bebas hidup begitu tanpa kongkongan dan buat apa saja. Nauzubillah...

Ibu bapa yang budiman, benci dengan kelakuan anak yang tidak dengar kata, yang keras kepala, suka melawan, jangan sampai halau anak dari rumah. Tambahan anak perempuan. Tindakan menghalau anak bukan satu jalan penyelesaian masalah, sebaliknya menimbulkan masalah lain yang lebih kronik. Kemana anak tu nak pergi? Itu sebab dia rela menumpang rumah mana-mana saja kawan lelaki yang sedia membenarkan dia tumpang tidor. Maka silih bergantilah dia menumpang tidor antara 8 orang kawannya itu.

Sekarang masalah bertambah kronik bila sudah hamil, umur baru 15 tahun. Bila buat laporan polis, polis tetap cari ibu bapa. Ibu bapa tetap kena hadir ke Balai Polis, kena bawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan. Nasib baik jika ada rumah perlindungan yang mahu menerima dan membimbing anak itu. Jika tidak, pasti remaja ini menjadi tidak ketahuan kerana kesemua lelaki itu tak mahu mengaku benih siapa dan tak mahu membenarkan lagi tumpang tidor apatah lagi nak bertanggungjawap. Inilah akhirnya timbul kes buang bayi, kita pun jumpa bayi ditinggalkan ditempat sampah atau bawah jambatan.

Apa punca anak-anak tidak dengar kata, keras kepala dan suka melawan? Adakah pengaruh kawan-kawan atau memang cermin sikap ibu bapa mendidik anak?

Oleh itu, janganlah biarkan anak-anak remaja yang suka keluar malam, apabila tak dapat mengawalnya, halau dari rumah. Kita halau dia keluar dari rumah, kemana kakinya nak melangkah? Apakah jika kita halau dia keluar dari rumah dia akan bermusafir mencari ilmu seperti Kisah Sunan? Apakah dia akan mencari masjid untuk tumpang bermalam? Sudah tentu tidak. Dia akan cari sesiapa sahaja rakan satu kepala dengannya untuk tumpang tidor. Dan ketika ini tidak ada lagi kawan baik yang sudi berduka. Yang ada cuma mereka yang sedia ambil peluang dan kesempatan untuk berseronok dan memusnahkannya.

Peranan kita pulak? Mahukah anda 20 tahun akan datang generasi yang memenuhi alam ini terdiri dari anak-anak yang lahir dari kepincangan institusi kekeluargaan.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.