BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday 29 July 2016

Rumah Taubat



Rumah Taubat

Sekarang ni masalah sosial makin menjadi jadi. Rumah perlindungan khas untuk menangani kes remaja mengandung. Tetapi kini permohonan masuk mereka yang terlanjur atau yang hampir terjebak dengan zina meningkat. Mereka tidak mengandung tetapi ingin bertaubat dan mahu dibimbing dalam urusan agama, ingin dibimbing mendekatkan diri kepada Allah.


Saya mengalakkan sesiapa diluar sana bukalah tempat untuk membimbing mereka mereka ini. Membuka kelas bimbingan lebih mudah, macam bukan kelas penggajian pondok, boleh tetapkan tempoh masa tinggal bersama, sebulan, 2 bulan atau 3 bulan hingga rasa diri benar benar yakin dan bersedia untuk berhadapan dengan dunia luar semula. Tak perlu nak uruskan ke klinik atau hospital. Banyak beza dan mudahnya dari membuka rumah perlindungan untuk perempuan atau remaja mengandung.

Buat peraturan dan modul, mereka yang mohon masuk mesti datang dengan kerelaan hati untuk bertaubat dan berubah. Tidak perlu terima ramai ramai. Buat ikut kemampuan ruang dan kemudahan yang ada.
InsyaAllah usaha kita membimbing mereka akan meningkatkan amal kita juga, akan membantu kita istiqomah dalam beramal.

Marilah kita sama sama menyelamatkan ummah. Baitus Solehah tak berupaya menerima mereka kerana tempat kami selalu penuh. Sekira mahu khidmat nasihat dan modul, boleh berkongsi dengan kami. Saya sedia berkongsi segala galanya.


 Jomlah...saya kasihan dengan mereka mereka yang berharap untuk berubah ni. Mereka mahukan bimbingan. Saya tahu di luar sana ramai yang mampu dan boleh bimbing mereka. Nak mohon masuk pondok bukan mudah, ada macam-macam syarat dengan kekangan had umur, tempat dan lain lain procedur. Marilah bantu mereka ini...

Saya selalu upload gambar kelas kelas bimbingan di Baitus Solehah. Bukan perlu kerusi meja pun, cuma ada kitab untuk dirujuk untuk dijadikan panduan dalam beramal. Carilah yang boleh menyampaikan ilmu.

Saya membimbing anak angkat saya Muhammad Nur Iman, seorang mualaf. Saya latih beliau menjadi pendakwah. Setelah hampir 4 tahun, syukur sangat sangat Muhammad Nur Iman menjadi guru yang berwibawa dalam menyampaikan ilmu walaupun dia baru beragama Islam. ISLAM MESTI DIMULAI DENGAN KEYAKINAN, ILMU DAN AMAL.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA,
 cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Anak Dari Zuriat Sendiri



Anak Dari Zuriat Sendiri
Penulisan saya ini akan membuat ramai sentap, tidak setuju dan mungkin akan menimbulkan kontrovesi. Saya berharap pembaca berlapang dada, meraikan pandangan saya dan jika tidak setuju, abaikan. Saya hanya memberikan pandangan dan cadangan.

Antara anak sah taraf dengan anak tidak sah taraf. Kenapa ramai yang memohon anak angkat tidak sah taraf tetapi tidak berusaha mendapatkan anak dari sebuah perkahwinan yang sah. Anak yang jelas keturunannya. Sedangkan poligami itu dibenarkan oleh Islam.

Memanglah kita tidak tahu rezeki Allah tu ada atau tidak apabila berpoligami, sekurang kurangnya kita telah berusaha mendapatkan melalui jalan yang diredhai Allah. Yang dah memiliki, sila teruskan. Saya memberi pandangan pada yang akan ada sekarang. Tak perlu khuatir atau resah jika suami berpoligami kerana suami kita adalah pinjaman semata mata. Allah redha berpoligami tetapi Allah haramkan zina.

Usahalah dapatkan anak secara halal dijalan yang Allah redhai. Galakkan suami berpoligami jika benar benar mahukan anak supaya jelas keturunannya. Jika usaha ini tidak berjaya juga, redhalah dengan takdir yang telah tetapkan. Sunyi dan sepi tu indah jika kita banyak memanafaatkan dengan jalan yang benar. Rezeki Allah luas.

Baitus Solehah tidak menggalakan anak anak diserahkan kepada keluarga angkat kecuali kes terpencil. Biarlah ibu kandung memelihara sendiri. Fenomena anak angkat dibuang apabila meningkat remaja makin berleluasa. Sila rujuk laman web ‪#‎WargaPrihatin‬. Cabaran mengasuh dan mendidik anak sangat besar, tambah tambah anak anak yang tidak jelas nasab dan keturunan. Itu sebab ada setengah ibu bapa angkat berusaha mendidik dengan menghantar mereka ke madrasah atau pondok pondok tahfiz dengan harapan iman, amal dan akhlak dapat dibentuk menjadi mukmin sejati. Ya, ada yang berjaya, ada yang terkandas.

Bukan mudah, bukan mudah. Yang terkandas, gagal akan merasa putus asa dan akhirnya dengan mudah mereka dilemparkan seperti sampah. Dan berulang semula keturunan zina dari pemuda tersasar, terabai yang dibuang oleh keluarga angkat. Bukan salah mereka menjadi begitu. Sedangkan orang yang tidak pernah mengenal islam pun boleh terpilih menjadi pemuda mukmin, bagaimana pula anak anak yang dilahirkan Islam menjadi pemuda yang tersasar.

Ibu kandung, walau apa pun jadi pada anaknya, dia tidak akan buang anak yang tersasar. Dia sedar dirinya pun pernah tersilap, dia akan selalu mendoakan anaknya, akan selalu bersabar dan selalu mengadu pada Allah. LAMBAT laun, rintihan hatinya akan didengar dan diberikan taufik dan hidayah kepada anaknya untuk berubah.

Wahai para isteri, jadilah serikandi memperjuangkan agama. Kita tidak mampu berdakwah, mengajak orang mengESAkan Allah, bantulah suami kita untuk mendapatkan zuriat secara yang halal. Para isteri kenal suami masing masing. Kenal masalah suami. Jika kepayahan mendapat anak kerana sperma suami tidak ada benih, takdelah saya mengalakkan poligami. Poligami bukan satu cara menyelesaikan masalah mendapatkan zuriat.

Namun suami boleh mendapatkan anak jika mengambil ibu tunggal yang mempunyai anak. Anak tiri boleh menjadi mahram, boleh diperlaku seperti anak sendiri. Jika anak angkat, tetap ada batas batas terutama jika anak itu tidal disusukan oleh isteri ketika masih bayi.

Maaf, jangan kecam atau hentam saya wahai para isteri. Saya sekadar memberikan pandangan, abaikan jika tidak setuju. Tidak usah sentap atau marah. Mohon maaf ya.

‪#‎saya‬ fikir lebih 100 kali nak menulis dan post perkara ini, sekiranya ramai hentam dan kecam. Saya padam post ini.





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday 12 July 2016

Menyelamatkan Dua Jiwa


Menyelamatkan Dua Jiwa
 Buat yang belum tahu, Baitus Solehah bukan sahaja memberikan perlindungan kepada remaja dan wanita mengandung tanpa suami, menjaga dan membimbing mereka bertaubat dan berubah ketika mengandung, tetapi memberikan perlindungan kepada ibu dan bayi mereka selepas melahirkan anak.

Baitus Solehah selalu memberi pilihan kepada mana mana ibu yang baru lepas melahirkan anak sekiranya ibu itu didesak untuk menyerahkan anak kepada keluarga angkat oleh keluarga mereka. Baitus Solehah menyokong dan membantu memberi perlindungan kepada ibu dan bayi sekiranya mereka nekad memelihara sendiri anak mereka.

Sekiranya keluarga beri pilihan "jika nak balik rumah, anak kena beri keluarga angkat, jika nak jaga sendiri, tak boleh pulang ke rumah."

Ramai yang memilih memelihara sendiri dan tinggal di Baitus Solehah. Ini adalah perkhidmatan dan perlindungan selepas beranak kepada pelatih. Kami juga menerima rujukan ibu dan bayi dari hospital yang tidak mempunyai waris, waris tidak dapat dikesan. Kami berikan perlindungan sementara sehingga waris ditemui dan mengizinkan pilihan sekiranya waris menjemput untuk bawa pulang.

Semuanya atas pendirian ibu bayi membuat pilihan. Mana mana ibu yang benar benar sayangkan anaknyà, tidak sanggup berpisah, rela terus tinggal di Baitus Solehah, rela mengenepikan kehidupan yang bebas di luar sana. Boleh ada telefon, boleh berfb, boleh berwhatsapp dan boleh bershopping. Bagi mereka nilai mengasuh anak sendiri lebih besar berbanding kebebasan kehidupan yang pernah mereka lalui sehingga terjebak dengan perbuatan mungkar. Kekesalan melalui hidup lalu menjadikan mereka cekal menjalani kehidupan di rumah perlindungan asalkan anak bersama mereka.

Anak merekalah tempat mereka berkasih sayang. Mereka meneruskan kehidupan di Baitus Solehah untuk memantapkan iman melalui ilmu dan amalan. InsyaAllah suatu hari nanti mereka akan keluar juga ke dalam masyarakat menjalani kehidupan biasa bersama anak yang sudah besar. Mereka nekad mahu mengasuh anak sendiri, dan nanti berusaha mencari nafkah untuk anak dan memberi pendidikan sebaik baik kepada anak mereka.

Berkali kali saya nasihati semua semua ibu ibu sedang mengandung, yakinlah rezeki setiap manusia dalam jaminan Allah, anak kamu adalah aset kamu samada ke syurga atau neraka. Kamu sudah melalui kehidupan yang gelap masa silam hingga melahirkan anak, apakah kamu mahu anak mengulangi sejarah diri kamu apabila kamu terlepas pandang? Bukan soal tidak percaya pada orang, tetapi hak dan tanggungjawap seorang ibu kandung terhadap anaknya.

Suatu masa anak akan tanya, "ibu kenapa ibu beri saya pada orang? Ibu tidak sayang sayakah? Tidak ada nilaikan saya di hati ibu? Ibu kandungkan saya 9 bulan dalam rahim ibu, ibu pertaruhkan nyawa ibu untuk lahirkan saya, tetapi bila saya lahir ke dunia dengan tangisan, ibu serah saya pada orang lain?"

"Apa salah saya ibu, hingga ibu buang saya, samaje buang dalam longkang atau beri pada orang, dua dua tunjuk ibu tak nak jaga saya, takut saya menyusahkan ibukan?"

Apa kamu nak jawap?

Baitus Solehah sentiasa membuka ruang dan peluang untuk ibu ibu menjaga anak sendiri, supaya susah payah mengasuh anak itu dirasai dan berbaloi hasilnya apabila anak menjadi anak soleh. Anak soleh atau tidak semua atas iman dan akhlak ibu. Dalam mendidik anak menjadi soleh, ibu akan berusaha meningkatkan kualiti iman dan akhlak, menjadi orang yang kuat dan sabar dengan ujian ujian Allah.

Hidup mana yang tidak ada masalah? Hidup siapa yang tidak menghadapi ujian? Semuanya akan melalui, yang berbeza adalah bentuk masalah dan ujian yang datang. Dan janji Allah benar, setiap masalah ada jalan keluarnya, setiap ujian ada hujungnya, hanya dengan keimanan dan kesabaran ada kemanisannya.

Firman Allah dalam surah Alam Nasyrah ayat 4,5 "setiap kesukaran ada kemudahan, disetiap kesukaran ada kemudahan, ". 2 kali Allah ulang ayat yang sama, menegaskan bahawa kesusahan yang dilalui akan ada kemudahan akhirnya. Dalam ayat 3 Allah sudah menegaskan supaya untuk hidup di jalan yang allah redha, mesti dengan melalui ketaatan kepada Allah dan RasulNya.

Tidak yakinkah dengan janji Allah ini?

Dalam firman Allah surah Dhuha,ayat 4, terjemahannya " Sesungguhnya, kesudahan itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan". Jadi memang sakit dan payah memulakan kehidupan baru dijalan yang Allah redha jika tidak ada bekalan iman dan takwa.

Caption gambar : sebahagian anak anak yang masih berada di Baitus Solehah bersama ibu kandung mereka. Sampai jodoh, ibu ibu mereka akan dinikahkan dengan mana mana lelaki soleh yang sudi memperisterikan mereka. Ibu membuat pilihan memelihara sendiri anak, ibu menjadi muslimah solehah dan akhirnya keluarga menerima ibu, suami dan anak. Berbaloi memilih pelihara anak sendiri, iaitu memilih akhirat kerana dunia akan datang kepada mereka.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sijil Lahir Unknown Baby / Bukan Warganegara

Sijil Lahir Bayi Yang tidak diketahui siapa ibunya dan siapa bapanya
Lihatlah para ibu, tenunglah wahai lelaki, Lihat sijil lahir anak ini. Tidak ada maklumat ibu dan tidak ada maklumat bapa. Apakah dia anak buluh betong? Penganiyaan yang kamu lakukan terhadap anak yang tidak bersalah, kenapa dia yang menanggung dosa dan kesalahan kamu? Kenapa dia yang terhukum? Kamu dah setubuhi ibunya, kamu tinggalkan, menyebabkan ibunya menjadi bingung, tidak stabil dan akhirnya anak itu pun ditinggalkan selepas dilahirkan.

Lihat akibatnya pada anak ini, tidak ada nama ibu, tidak ada nama bapa. Tidak punya ibu, tidak punya bapa. Tidak bernasab dengan sesiapa. Apakah dia anak buluh betong? Apakah dia anak yang diturunkan dari langit? Usahkan atok dan nenek, nama ibu yang melahirkan pun tidak ada.

Sampainya hati kamu wahai ibu, setelah melahirkan, kamu tinggalkan anak ini begitu saja tanpa secebis nama untuk anak ini kenang dan ingati dalam doanya.

Sampainya hati kamu wahai lelaki, setelah kamu menanam benih di dalam rahim seorang perempuan, kamu tinggalkan dia terkapai kapai sendirian.

Hari ini saya ke JPN Setia Tropika untuk mengambil Sijil Lahir Pendaftaran Lewat seorang kanak kanak yang saya pelihara sejak umur 4 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri ketika diberikan kepada saya.

Perjuangan saya selama 2 tahun untuk mendapatkan Sijil Lahir kanak kanak ini berjaya. Kanak kanak ini mendapat Sijil Kelahiran, sijil dokumen pengenalan diri yang mencatatkan 'maklumat tidak diperolehi' pada ruang bapa, ibu, agama, bangsa dan negara.

Pendaftaran lewat yang mengambil masa bertahun tahun untuk melengkapkan borang dan dokumen permohonan. Laporan polis, surat sokongan JKM, surat sokongan Ketua Kampung dan saksi saksi yang mengetahui keujudan kanak kanak ini di dalam jagaan saya.

Saya menerima kanak kanak ini didalam anggaran umur 4 tahun. Tarikh yang dianggarkan, tanpa sesiapa pun mengetahui tarikh kelahiran sebenarnya. Tanpa sebarang dokumen. Bukan mudah untuk mendapatkan sijil pengenalan dirinya. Namun akhirnya berjaya juga. Daripada tiada, baiklah lewat dan akhirnya ada.

Langkah seterusnya adalah permohonan pengangkatan kanak kanak ini untuk dia layak mendapat taraf warganegara penjaga. Masih jauh tempohnya, bertahun tahun.

Kanak kanak ini cerdik dan bijak, sudah menghafal beberapa surah. Saya hantar dia belajar di Madrasah Quran, otaknya pintar, alhamdulillah. Tapi saya tak boleh renung matanya yang redup, kerana air mata pasti mengalir. Allahu akbar, ' Wahai Allah Yang Maha Belas Kasihan, lindunganlah anak ini dan berilah limpahan rahmat dan kasih sayang Mu di dunia dan akhirat.'







Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday 11 July 2016

Bertaubat di Hujung Usia

Bertaubat di Hujung Usia
Ntah esok atau lusa kita dipanggil menghadap Tuhan Rabbul Jalil. Usia 40an masih berzina, mengandung dan melahirkan anak tidak sah taraf. Jika hukum hudud, perempuan yang telah berkahwin akan dihukum rejam sampai mati.

Apakah niat ke Baitus Solehah semata mata untuk mencari tempat perlindungan, tempat selamat melahirkan anak, tempat berpantang dan tempat menyorok dari diketahui sahabat handai dan saudara mara?

Saya berharap dengan sempat sampainya dia di Baitus Solehah, belum sempat bermalam sudah beranak, akan membuka pintu hati untuk bertaubat nasuha. Taubat  untuk tidak lagi berzina, taubat tidak lagi meninggalkan solat dan taubat tidak lagi mendedahkan aurat .

Allahu Akbar, bukan mudah untuk mendidik , membimbing sekiranya ia bukan datang dari kesedaran dan hati yang tulus untuk berubah. Menegur perlu berhemah. Jika dikasari mungkin patah, lembut menyebabkan buat sambil lewa, maklumkan kehidupan lalu sudah 40 tahun sebati dalam diri.

'Wahai Allah Yang Maha Belas Kasihan, berilah pertolongan kepada kami untuk mendidik, membimbing mereka yang telah melakukan maksiat ini agar mahu bertaubat, berubah menjadi hamba hamba Mu yang soleh.'

Kisahnya, 4 hari lepas, datang seorang wanita menaiki teksi sedang sarat mengandung memohon untuk berlindung hingga selamat melahirkan anak. Petang tu dalam pukul 4.00 baru sampai. Setelah melengkapkan borang maklumat diri dan keluarga, di dapati perempuan ini janda. Telah mempunyai 5 orang anak hasil perkahwinan yang sah.

Setelah 12 tahun menjadi janda, telah terjebak dalam perangkap kekasihku suami orang. Dalam berkasih, hidup bagaikan suami isteri. Bertemu seminggu sekali melepaskan rindu dendam tidak terperi dan akhirnya membuahkan hasil. Ada sebab musibah datang, Allah memperlihatkan kekuasaannya, Allah nak bongkar perbuatan mungkar yang dilakukan secara senyap senyap, dengan hasil perzinaan mengakibatkan mengandung walaupun segala usaha mencegah kehamilan dilakukan.

Allah boleh saja nak tunjukkan, guna kondom, kondom bocor, guna anzal, terlepas juga, dan bagai bagai lagi. Kekuasaan Allah, perempuan tidak pernah datang haid pun boleh mengandung apatah lagi setakat mencegah hamil oleh perbuatan dosa.

Mereka lupa Allah, mereka lupa dengan kekuasaan Allah, lupa keAgungan dan Kebesaran Allah untuk melakukan apa saja di alam ini. Kun Fa Ya Kun, serta merta perkara itu terjadi atas izin dan kehendak Allah.

Oleh itu wahai sahabat budiman, beringat ingatlah untuk melakukan maksiat, kezaliman, mencarut, memaki makhluk Allah, bila masa pun Allah boleh tunjukkan kekuasaannya.

Jangan kita hina orang, mengata dia kerana masih berzina walaupun usia dah lebih 40 tahun, kita tidak tahu takdir yang akan diuji Allah pada kita. Maka banyak banyaklah istigfar, mohon ampun selalu pada Allah, taat pada segala perintah dan larangan Allah, moga Allah yang menjaga kita dan anak anak walau dimana berada.







Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday 10 July 2016

Bukan Terlanjur Jika Berkali Kali


Bukan Terlanjur Jika berkali kali
 Duduk santai berbual dengan tetamu, telefon saya berbunyi.

"Hello, Assalamualaikum."

"Assalamualaikum puan"

"W'salam, siapa ya?"

"Saya En Nor dari Sebuyau."

"Ada apa yang boleh saya bantu en Nor?"

"Saya ada masalah dengan anak perempuan saya ni. Umur baru 17 tahun, malam tadi saya tangkap anak saya sedang berdua duaan dengan botfrennya. Mereka dah terlanjur."

"Terlanjur dah berapa kali , adakah anak en Nor mengandung?"

"Dah banyak kali saya tertangkap mereka terlanjur, saya dah beri amaran, mereka buat lagi, boleh ke saya hantar anak saya ke pusat pemulihan akhlak?"

"En Nor, saya cadangkan en. Nor nikah aja mereka, itu lebih baik. Nikah segera. Nanti mengandung lagi payah. Sekali dua terlepas, kalau banyak kali ada juga benih yang sangkut."

"Mereka sekolah lagi."

"Sekolah pun takpe lah, nikahkan, lepas tu biar mereka teruskan kehidupan mereka secara halal. Nanti baru mereka tahu langit ni tinggi atau rendah. Jika jodoh tak panjang, tak pelah, takde beza status anak En samada janda bernikah atau anak dara yang tidak berdara."

"Masukkan anak En ke rumah perlindungan tetapi tidak mengandung, tidak akan membuahkan apa apa hasil, sebaliknya jiwa memberontak kerana terkurung melainkan jika dia nak masuk secara sukarela, sedar, insaf dan mahu bertaubat. Jika dipaksa, dia akan melarikan diri."

"Baiklah, saya akan uruskan segera, lagi pun saya nak beri peluang dua dua menduduki peperiksaan SPM. Jadi lepas SPM biarlah dia terus kehidupan berdua, bagi peluang nak hidup sendiri walaupun belum tiba masanya."

Semoga ada ibu bapa yang terbuka fikirannya, apabila anak telah pernah tertangkap berzina, segera menikahkan mereka supaya keinginan mereka mengulangi telah halal. Jadi takde dah istilah terlanjur berkali kali . Terlanjur tu sepatutnya sekali sahaja sebab 'TER' bukan berkali kali. Berkali kali tu maknanya mengangkang bukan terkangkang.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday 5 July 2016

Apakah Mahu Dibiarkan Terus Mengulangi Kesalahan ini?


Terus Mengulangi Kesalahan ini?

Tidak semua faham apa yang kita lakukan dalam menyelamatkan dua jiwa. Apabila kita bertegas dalam sesuatu hal, ada yang menganggap kita memayahkan urusan yang mudah. Benar, kita boleh memudahkan urusan jika kemaslahatan itu lebih besar dari mudarat. Sekiranya mudarat dan kesan buruk lebih besar, biarlah urusan itu dilenggahkan dan orang merasa kita telah menyusahkan.

Orang tidak nampak apa yang telah kita nampak, walaupun bukan kasyaf, tetapi melalui pengalaman yang dilalui. Jauh kedepan, kesan yang perlu dilihat.

Akan ada pulak yang kata, "sejak bila pulak boleh meramal akan nasib dan takdir seseorang?"

2 tahun lepas, sudah melahirkan seorang anak. Bapa telah membantu uruskan supaya maruah keluarga terjaga, aib terpelihara. Bapa sudah usaha menutup sebaik baiknya, menasihati agar tidak mengulangi perbuatan ini. Diberi peringatan bertaubat, berubah dan jaga diri. Bapa sudah beri amaran,jangan berani berani mengulangi perbuatan zina ini.

Tetapi, 2 tahun selepas itu telah melarikan diri dari rumah kerana mahu kebebasan, bertindak mengikut nafsu akhirnya kecundang lagi. Untuk kali ini, mula berbohong dan mencari perlindungan jauh dari pengetahuan keluarga. Merahsiakan identiti diri supaya keluarga tidak dapat mengesan keberadaan diri.

Kebenaran tetap kebenaran. Pembohongan akhirnya terbongkar. Apabila terbongkar diri sendiri yang malu, dan mula merasa tidak selesa berada dengan kawan kawan.

Dan beralih ketempat lain untuk meraih simpati baru dengan memburuk yang lama. Berbohong lagi. Sampai bila?

Memang apabila seseorang mentarbiyah pada jalan agama akan dikecam, dikata tidak adil, pilih kasih, mendera dan tidak membantu. Kenapa dia rasa macam tu? Sebabnya apabila dia buat perkara itu jelas salah, takkan kita masih nak menyokong dan menyorokkan.

Saya dikecam kerana memberitahu waris akan kehamilan kali kedua ini. Saya dikecam apabila tidak mahu menguruskan discaj keluar wad sebalik saya menyerahkan kepada keluarga semula menguruskan.

Untuk pengetahuan semua, matlamat saya menyelamatkan jiwa , bukan sekadar menyelamatkan ketika di dunia ini tetapi menyelamatkan di akhirat juga. Saya tidak mahu bersubahat menyorokkan kesalahan yang kamu lakukan ini dari keluarga kerana saya tidak ada kuasa apa apa. Nasihat saya sudah beri, tarbiyah telah saya jalankan berbulan bulan, tetapi kamu masih tidak berubah. Masih berbohong dan menganggap saya salah , kamu juga yang betul.

Konon tindakan saya akan membuatkan emak terkejut, takut emak kena serangan jantung, takut bapa kena stroke sebab darah tinggi naik. Habis tu kalau kau tahu emak bapa ada penyakit, kenapa kau ulang lagi perbuatan yang boleh mengakibatkan mereka kena serangan jantung dan storke. Kau yang buat lepas tu kau takut pulak. Apakah kesalahan kau ini mahu dibiarkan saja?

Dalam bapa sudah beri amaran kau berani buat lagi, apatah lagi saya yang bukan siapa siapa, menasihati lepas ni jangan ulang, adakah kau nak dengar? Nak ikut tarbiyah sedangkan masa dalam proses tarbiyah pun kau masih berani berbohong dan masih berani bertindak tanpa kebenaran.

Dan tindakan paling berani, kamu meraih simpati orang baru, menyuruh mengaku sebagai emak angkat yang akan menjaga kamu selepas beranak, meminta menguruskan discaj wad. Kamu ajar emak angkat kamu supaya mendesak emak kandung memberi izin untuk kamu tinggal bersamanya, mendesak saya tanda tangan discaj keluar wad. Lepas keluar wad, merancang terus tinggal dengan emak angkat baru dengan penuh kebebasan.

JIka saya bersetuju, kamu akan rasa, "oh takpe mengandung lagi, sebabnya mudah aja, masuk rumah perlindung, rumah perlindung akan urus discaj wad lepas beranak" Lepas itu buat peragai, langgar peraturan rumah perlindungan supaya boleh diarah keluar dari rumah perlindungan, dan bebas semula.

Saya tak mahu perkara ini berulang sekali lagi apabila disorokkan dari keluarga. Saya tidak mahu membantu begitu mudah dia keluar wad selepas beranak dan tinggal dengan selesa selepas mendapat simpati orang baru. Bermakna akan datang pun boleh ulang kerana mudah nampak jalan keluar masalah.

Saya setuju peraturan Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital yang hanya membenarkan waris atau pengurus Rumah Perlindungan yang ada surat kebenaran waris boleh discaj wad ibu ibu tidak bernikah selepas beranak. Jika jabatan ini tidak bertegas, akan berleluasa zina, beranak tanpa nikah. Mereka terus merasa tidak bersalah untuk mengandung sebelum bernikah.

Saya tidak sanggup khianat pada amanah. Apabila saya menanda tangani surat jaminan keluar wad, saya yang bertanggungjawap sepenuhnya penjagaan kepada ibu dan bayi sehingga dijemput waris pulang ke rumah.

Sebaliknya, saya didesak untuk tandatangan sebagai penjamin bawa keluar, tetapi sebaik dapat keluar wad, tidak mahu ikut saya pulang ke rumah perlindung, mahu pulang ke rumah emak angkat yang baru. Bermakna bukan saya yang menjaga dan melindungi selepas keluar dari wad.

Maka jika berlaku sesuatu tragedi kepada ibu dan bayi, yang akan dicari adalah siapa yang menandatangani dan bertanggungjawap selepas keluar wad. Tidak ada rekod juga yang menunjukkan pulang kepada waris.

Bukan mudah apabila kita dipertanggungjawapkan dengan sesuatu amanah untuk menjaganya.

Ibarat seorang lelaki yang menikahi seorang perempuan, selepas akad nikah, dia akan dipertanggungjawapkan segala galanya. Mengabaikan bererti telah khianat pada amanah.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday 3 July 2016

Buang Takabur , Isi dengan Tawaduk.


Buang Takabur , Isi dengan Tawaduk.

Kuliah Hikam , 26 Ramadhan 1437 H bersamaan 01/07/16

Lagi berat sesuatu amalan, lagi besar pandangan Allah. Sesiapa yang bersungguh sungguh melakukan perkara yang Allah suka, maka terimalah keredhaan Allah yang membahagiakan.

 
Selain suruhan yang wajib, amalan sunat juga bagus dilakukan. Amalan sunat ini ibarat barang aksesori yang mencantikkan amalan wajib agar nampak lebih menawan. Pandangan siapa yang mahu kita tawan? Pandangan Allah atau pandangan manusia? 


Ibarat kita berhias hias rumah, pandangan siapa yang kita harap apabila rumah kita cantik?

Solat awabbin
Solat tasbih
Solat istiharah
Solat fajar
Solat tahajud
Solat dhuha

Mintalah apa apa yang berkaitan urusan dunia ditentukan oleh Allah dijalan yang diredhai. Kita minta pimpinan Allah kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi. Mohon jalan yang benar agak tidak tersilap langkah. Jangan apabila sudah tersilap langkah, bila ditegur tidak mahu ikut, tidak mahu dengar, padahal tidak pekak. Orang yang degil dari taat perintah Allah akan menderita di dunia , menderita di akhirat.

Buang takabur , isi dengan tawaduk.

Apabila kita ingin menjadi orang baik di sisi Allah s.w.t , tugas pertama kita ialah buang sifat tercela, tugas kedua kita Isi sifat terpuji.

Mengisi Sifat terpuji yakni mengisi diri, jiwa dan hati dengan sifat sifat kemanusiaan yang baik dan sifat sifat yang membawa dekat dengan Allah. Murnikan hati kamu dengan cara pembersihan diri dan penyucian jiwa.

Insya Allah wa bi idznillah, amin.





Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday 2 July 2016

Derita Kat Dunia, Derita di Akhirat


Derita Kat Dunia, Derita di Akhirat

"Ummi, temujanji dengan pakar perbidanan akan datang saya kena bawa waris temankan ."

"Kenapa doktor mahu waris temankan, umur kamu dah lebih 21 tahun kan?"

"Sebab sejarah kandungan masa lalu."

"Ambik buku merah kamu."

Lihat sejarah kandungan, rupanya pelatih yang berstatus single mother ini, telah pernah 2 kali mengandung, ini kandungan kali 3. Dua kali mengandung yang lalu dilakukan pembedahan. Kali pertama usia kandungan 6 bulan, dilakukan penguguran. Kali ke 2, anak dilahirkan sempurna dan diserahkan kepada keluarga angkat.

Ketika mengandung kali ke 2, dia dihantar ke rumah perlindungan dan tinggal di sana selama 13 bulan. 13 bulan melalui pentarbiyahan, apabila keluar masih mengulanginya.

Mengandung Kali pertama tahun 2010, mengandung kali kedua 2012. Selepas 2 tahun keluar dari rumah perlindungan, mengulangi perbuatan yang sama. Ketiga tiga anak yang dikandungkan adalah dari lelaki yang sama.

"Kenapa kamu tidak bernikah?"

"Emak tak benarkan."

"Kenapa mak tidak benar? Lelaki tu bekerja atau tidak?"

"Emak mahu perkahwinan seperti orang lain, hantaran bagai."

"Emak tahu kamu mengandung kali ini? "

"Kandungan pertama emak tak tahu, mengandung kali ini pun emak tidak tahu."

"Sebab itu kamu kena bagitahu emak, supaya emak kamu izinkan kamu bernikah tanpa minta hantaran bagai, buat yang wajib saja, akad nikah dan maskahwin."

"Ntah lah..."

"Anak kali ni kamu nak buat apa? Nak beri orang?"

"Tak nak beri, nak jaga sendiri."

"Memang saya pun tak benarkan kamu beri orang anak ni, nanti kamu anggap macam berak di tandas awam, lepas berak , flush, jalan, esok boleh buat lagi."

"Ya ummi."

"Cukup cukuplah dosa yang kamu lakukan, taubatlah dengan taubat nasuha. Ini kamu akan jalani pembedahan kali ke 3, peluang untuk mengandung memang ada, tapi tak mahu lagi kamu mengandung tanpa suami. Cukuplah...tak mampu nanti nak pikul dosa jika kamu tidak bertaubat. Buat apa melalui jalan yang sukar kat dunia, bila mengadung kena melarikan diri, bila beranak kena jauh dari sanak saudara. Kat dunia dah susah, akhirat nanti lagi susah. Derita di dunia, derita di akhirat."

Sedih saya dengan pelatih ini. Bila nak bertaubat, sedangkan kita tidak tahu ajal maut tu bila.

Saya baca dalam buku merah, catatan doktor pakar mahu ikat salur folopian supaya tidak boleh mengandung lagi. Saya menung memikirkan sesuatu. Sekira dalam hatinya belum ada niat untuk bertaubat, tidak juga bernikah, perzinaan akan terus berlaku tanpa akibat mengandung lagi. Sampai bila? Sampai Allah datang musibah lainnya?

" Ya Allah, kurniakanlah taufik dan hidayah pada anak ini, agar bertaubat nasuha. Ya Allah bukakan pintu hati ibunya untuk mengizinkan anak ini bernikah."




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday 1 July 2016

Dah Hujan Baru Cari Payung


Dah Hujan Baru Cari Payung
Ada perumpamaan yang selalu kita sebut tapi saya berhemah nak sebut. Al kisah, petang tadi dalam pukul 4.00 petang, tiba seorang perempuan dalam usia 42 tahun, sarat mengandung. Turun teksi, datang seorang diri, saya persilakan masuk. Basa basi bertanya dari mana, rupanya dari negeri jauh Tengah Buana.

"Dah berapa bulan mengandung ni?"

"Tak tahulah, agak agak aja, 9 bulan kot." Jawap tanpa ada keyakinan diri.

"Buku merah ada?"

"Tak ada."

"Ishk...nampak sarat sangat, berdoalah jangan beranak sampai Ahad, supaya boleh daftar buku merah dulu, baru beranak."

"Takde lah, belum lagi masanya nak beranak."

Setelah mengisi borang profile diri, dibenarkan naik ke bilik untuk mandi dan berehat seketika sebelum turun semula untuk solat asar dan zikir kautharan. Hingga menjelang maghrib, berbuka puasa dan solat maghrib.

Ketika menjelang solat isya' saya nampak berat saja nak bangun, saya tegur,

" macam sakit aje, nak beranak ke?"

"Tak lah, lenguh lenguh aja sebab tadi jalan jauh."

Selepas solat terawikh, semua pelatih segera balik ke bilik masing masing untuk berehat dan tidor. Esok semua bangun awal untuk bersahur dan qiamulail. Saya pun segerà menghampar tempat beradu untuk merehatkan tubuh setelah seharian sepanjang hari melayan tetamu. Petang tadi sempat menyediakan jaudah berbuka, mihun soto ayam bersama begedil kentang daging.

Sedang sedap lena, pukul 12.32 tengah malam, saya dikejutkan oleh suara salam dan lampu diluar terang. Rupanya seorang pelatih menyampaikan khabar,

"Ummi, kakak nak beranak, dah sakit sakit."

"Kakak yang mana?"

"Kakak N, yang baru tiba petang tadi."

"Mana kakak tu?"

"Ni ada, duduk atas kerusi."

Saya pun bangun, ke bilik air , bersihkan diri dan bersih mata yang masih kelat nak dibuka. Apa kan daya kena buka juga, jadi kena disimbah air ke muka supaya segar.

Pukul 1.02 minit mula bergerak ke hospital, baru 1 km saya teringat,

"Mana kad pengenalan, buku merah takde, kena guna kad pengenalan."

"Kad pengenalan ada dalam dompet, dompet tinggal di rumah tadi."

Saya pun terus buat pusingan U, balik semula ke rumah, ambik kad pengenalan. Kemudian teruskan semula perjalanan ke hospital. Jarak rumah hospital dalam 30 km.

Dalam perjalanan terdengar suara nafas yang laju dan diatur perlahan lahan tanda contraction yang kuat, cuma tak berani nak berbunyi. Mungkin juga pengalaman lalu, pernah beranak, maka bijak mengatur nafas. Akhir beranak 12 tahun lalu, anak ke 5 sebelum bercerai.

Apabila sendiri, bekerja untuk menyara anak anak, jika iman tidak kuat, syaitan iblis sentiasa membisikkan sesuatu agar terjebak dalam maksiat dan akhirnya perzinaan yang berulang telah membuahkan hasil. Inilah hasilnya. Sudah ada pengalaman mengandung dan beranak, tetapi jalan ini jalan yang salah, tidak berani, malu untuk mendapatkan rawatan ketika mengandung, tidak mendaftar buku merah. Lepas tu, last minute mencari tempat perlindungan yang jauh dari kampung halaman, jauh dari sedara mara, jauh dari sahabat dan jauh dari majikan. Kenapa? Aib dan maruah diri!

Kerana aib diri, takut dicemuh oleh manusia yang mengenali, takut pandangan sinis sahabat dan sedara mara. Dengan Tuhan? Jika malu dengan Allah, tidak akan berulang kali melakukan perzinaan. Jika malu dengan Allah, tentu ingat, "aku ada ramai anak anak perempuan, dah besar- besar, kalau aku tak reti jaga maruah dan kehormatan diri, macamana aku nak didik anak?"

Namun bisikan syaitan, godaan iblis lebih kuat membuatkan lupa segalanya. Bila sudah terjebak dan membuah hasil tidak boleh berundur lagi. Langkah diteruskan mengandungkan anak zina. Anak yang apabila besar akan menghadapi konflik apabila tidak mempunyai bapa dan bin/binti yang berbeza dengan kakak kakak dan abang. Allahu akbar...

Wahai orang orang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka. Jauhi zina dan jalan jalan menghampiri zina. Taatlah kepada Allah. Jika ibu tersilap langkah, bagaimana dengan anak anak yang lainnya?

Saya pun tidak mampu untuk memikir dan menjawap. Semuanya kembali kepada Allah, dimana jalan keluarnya cuma taubat nasuha, hidup berlandaskan syariat. Apabila ketua pincang, seluruh ahlinya juga pincang.

'Ya Allah, Pada bulan Ramadhan yang barakah ini, kurniakanlah taufik dan hidayah Mu kepada seluruh penghuni Baitus Solehah, ampunkan dosa dosa kami, pimpinlah kami di jalan Mu yang lurus.'

Tiba hospital pukul 1.22 malam. Terus saya hantar ke Bilik Saringan. Masih menunggu untuk pendaftaran masuk wad atau Dewan Bersalin. Hmm...pasti nanti balik rumah anak anak lain sudah bangun untuk bersahur. Nasi sudah ditanak, tinggal menyediakan lauk lauknya saja lagi.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.