BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday 1 July 2016

Dah Hujan Baru Cari Payung


Dah Hujan Baru Cari Payung
Ada perumpamaan yang selalu kita sebut tapi saya berhemah nak sebut. Al kisah, petang tadi dalam pukul 4.00 petang, tiba seorang perempuan dalam usia 42 tahun, sarat mengandung. Turun teksi, datang seorang diri, saya persilakan masuk. Basa basi bertanya dari mana, rupanya dari negeri jauh Tengah Buana.

"Dah berapa bulan mengandung ni?"

"Tak tahulah, agak agak aja, 9 bulan kot." Jawap tanpa ada keyakinan diri.

"Buku merah ada?"

"Tak ada."

"Ishk...nampak sarat sangat, berdoalah jangan beranak sampai Ahad, supaya boleh daftar buku merah dulu, baru beranak."

"Takde lah, belum lagi masanya nak beranak."

Setelah mengisi borang profile diri, dibenarkan naik ke bilik untuk mandi dan berehat seketika sebelum turun semula untuk solat asar dan zikir kautharan. Hingga menjelang maghrib, berbuka puasa dan solat maghrib.

Ketika menjelang solat isya' saya nampak berat saja nak bangun, saya tegur,

" macam sakit aje, nak beranak ke?"

"Tak lah, lenguh lenguh aja sebab tadi jalan jauh."

Selepas solat terawikh, semua pelatih segera balik ke bilik masing masing untuk berehat dan tidor. Esok semua bangun awal untuk bersahur dan qiamulail. Saya pun segerà menghampar tempat beradu untuk merehatkan tubuh setelah seharian sepanjang hari melayan tetamu. Petang tadi sempat menyediakan jaudah berbuka, mihun soto ayam bersama begedil kentang daging.

Sedang sedap lena, pukul 12.32 tengah malam, saya dikejutkan oleh suara salam dan lampu diluar terang. Rupanya seorang pelatih menyampaikan khabar,

"Ummi, kakak nak beranak, dah sakit sakit."

"Kakak yang mana?"

"Kakak N, yang baru tiba petang tadi."

"Mana kakak tu?"

"Ni ada, duduk atas kerusi."

Saya pun bangun, ke bilik air , bersihkan diri dan bersih mata yang masih kelat nak dibuka. Apa kan daya kena buka juga, jadi kena disimbah air ke muka supaya segar.

Pukul 1.02 minit mula bergerak ke hospital, baru 1 km saya teringat,

"Mana kad pengenalan, buku merah takde, kena guna kad pengenalan."

"Kad pengenalan ada dalam dompet, dompet tinggal di rumah tadi."

Saya pun terus buat pusingan U, balik semula ke rumah, ambik kad pengenalan. Kemudian teruskan semula perjalanan ke hospital. Jarak rumah hospital dalam 30 km.

Dalam perjalanan terdengar suara nafas yang laju dan diatur perlahan lahan tanda contraction yang kuat, cuma tak berani nak berbunyi. Mungkin juga pengalaman lalu, pernah beranak, maka bijak mengatur nafas. Akhir beranak 12 tahun lalu, anak ke 5 sebelum bercerai.

Apabila sendiri, bekerja untuk menyara anak anak, jika iman tidak kuat, syaitan iblis sentiasa membisikkan sesuatu agar terjebak dalam maksiat dan akhirnya perzinaan yang berulang telah membuahkan hasil. Inilah hasilnya. Sudah ada pengalaman mengandung dan beranak, tetapi jalan ini jalan yang salah, tidak berani, malu untuk mendapatkan rawatan ketika mengandung, tidak mendaftar buku merah. Lepas tu, last minute mencari tempat perlindungan yang jauh dari kampung halaman, jauh dari sedara mara, jauh dari sahabat dan jauh dari majikan. Kenapa? Aib dan maruah diri!

Kerana aib diri, takut dicemuh oleh manusia yang mengenali, takut pandangan sinis sahabat dan sedara mara. Dengan Tuhan? Jika malu dengan Allah, tidak akan berulang kali melakukan perzinaan. Jika malu dengan Allah, tentu ingat, "aku ada ramai anak anak perempuan, dah besar- besar, kalau aku tak reti jaga maruah dan kehormatan diri, macamana aku nak didik anak?"

Namun bisikan syaitan, godaan iblis lebih kuat membuatkan lupa segalanya. Bila sudah terjebak dan membuah hasil tidak boleh berundur lagi. Langkah diteruskan mengandungkan anak zina. Anak yang apabila besar akan menghadapi konflik apabila tidak mempunyai bapa dan bin/binti yang berbeza dengan kakak kakak dan abang. Allahu akbar...

Wahai orang orang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka. Jauhi zina dan jalan jalan menghampiri zina. Taatlah kepada Allah. Jika ibu tersilap langkah, bagaimana dengan anak anak yang lainnya?

Saya pun tidak mampu untuk memikir dan menjawap. Semuanya kembali kepada Allah, dimana jalan keluarnya cuma taubat nasuha, hidup berlandaskan syariat. Apabila ketua pincang, seluruh ahlinya juga pincang.

'Ya Allah, Pada bulan Ramadhan yang barakah ini, kurniakanlah taufik dan hidayah Mu kepada seluruh penghuni Baitus Solehah, ampunkan dosa dosa kami, pimpinlah kami di jalan Mu yang lurus.'

Tiba hospital pukul 1.22 malam. Terus saya hantar ke Bilik Saringan. Masih menunggu untuk pendaftaran masuk wad atau Dewan Bersalin. Hmm...pasti nanti balik rumah anak anak lain sudah bangun untuk bersahur. Nasi sudah ditanak, tinggal menyediakan lauk lauknya saja lagi.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: