BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday 24 October 2016

Jangan Sembunyikan Kebenaran


Saya share semula kisah ini atas sebab ada yang keliru, mahu mneyembunyikan kandungan sewaktu bernikah. Tidak mahu kisah ini berulang di masa akan datang. Malu dengan masyrakat atau mahu membersihkan keturunan?

Jangan Sembunyikan Kebenaran Hingga Menyusahkan Anak

Anak itu tidak mengharap dia dilahirkan begitu, namun dia terpaksa melalui takdirnya juga samada rela atau tidak. Kepada ibu bapa jadikan kisah ini sebagai pelajaran. Tidak usah merahsiakan sesuatu kebenaran hingga menimbulkan kerugian.

Dari usia 22 tahun, gadis ini memohon restu ibunya untuk bernikah. Setiap lelaki yang diperkenalkan kepada ibunya, ada saja alasan untuk ibunya menolak. Kerana menunggu dan mengharap restu ibu untuk pernikahannya, maka telah berlalu pergi beberapa pemuda baik. Dia tetap mengharap restu ibu untuk bernikah dengan mana mana saja pemuda yang ibunya merestui. Sementelah ayahnya telah lama meninggal dunia. Jadi restu siapa lagi yang dia harap jika bukan restu ibu.

Genap 25 tahun umur, telah datang seorang pemuda meminang terus kepada ibunya. Pemuda yang baik, menunjukkan kesungguhan untuk bernikah dengan terus membawa rombongan meminang. Ibunya tidak ada alasan untuk menolak peminangan ini. Tali pertunangan diikat dengan rasminya. Ditetapkan dalam perbincangan dan dipersetujui, 3 bulan selepas bertunang, pasangan akan bernikah. Tempoh 3 bulan adalah memberi ruang masing masing menguruskan borang permohonan bernikah.

Yang pihak perempuan pulak, tempoh itu digunakan untuk membuat persiapan menentukan wali kerana bapa kandung telah meninggal dunia. Setelah borang dilengkapkan, wali telah diputuskan, tarikh majlis pernikahan telah ditetapkan, jurunikah telah dimaklumkan, hanya menunggu hari saja lagi untuk majlis pernikahan berlangsung.

Majlis dijalankan di kampung nenek arwah ayahnya, kerana adik lelaki ayahnya akan menjadi wali. Wali mujbir iaitu, datok dan ayahnya telah meninggal dunia, dia pulak cuma ada 2 beradik, dua duanya perempuan. Ibunya diam mengikut sahaja perancangan anak dengan bapa bapa saudara sebelah ayahnya.

3 hari lagi menjelang majlis pernikahan, datang ibunya ke bilik dengam wajah sugul, merenung dengan renungan sayu. Dipegang tangan si anak, direnung mata di anak, dan anak merasa pelik, mungkin begini perasaan seorang ibu untuk melepaskan anak gadisnya kepada orang lain, duga hatinya.

Berat lidah untuk ibunya berkata sesuatu, namun akhirnya ayat itu terlafaz jua. "Anakku, saat ibu bernikah dengan ayahmu, kamu telah 3 bulan berada dalam rahim ibu. Maka walimu adalah wali hakim."

Terasa sebuah gunung terhentak dikepalanya, membuat dia jatuh terduduk. Kelu lidah untuk bersuara, melainkan hanya terdengar esakkan tangisan sayu . Tidak ada ayat atau perkataan untuk dikeluarkan bertanya kenapa baru hari ini ibunya membuka rahsia. Saat segala galanya sudah diurus dan diatur.

Diam seribu bahasa, memikir dan meletakkan dirinya atas kedudukan ibunya. Ibu yang mengasuh baik dan sempurna dirinya. Memberikan didikan agama, solat dan alquran. Ibunya menjaga auratnya dan pergaulannya. Ibu yang selalu mendorong dia belajar hingga tamat pengajian sarjana muda dan sarjana. Setiap kali cuti semester, dia kerap pulang untuk selalu bersama ibunya. Ibu yang cukup menjaga maruah dan menutup aib dirinya dengan sempurna hingga tidak ada sesiapa yang tahu perihal ini.

Yang tahu cuma ibu dan arwah sahaja. 6 bulan dalam kandungan, semua keluarga menyangka dia dilahirkan pramatang. Siapa boleh bersangka ibunya seorang gadis pingitan yang sopan. Dan sepanjang usianya dari bayi hingga dewasa, ibu mengasuh dan merawat dia dengan baik sekali samada didikan agama atau akademik. Berakhlak mulia dan punya pekerti yang tinggi hingga sering dia menjadi rujukan sahabat sahabat dibidang agama. Dirinya sendiri pun tidak pernah bersangka yang dia adalah anak tidak sah taraf sekiranya ibunya tidak buat pengakuan ini.

Ibunya mahu bersih. Sekali ayahnya tersilap, kerana ayahnya telah merogol ibunya ketika ayahnya bekerja di kampung ibunya, tidak mahu anaknya berada berterusan dalam zina sekiranya pernikahan ini tidak sah. Ibunya tidak mahu perkara yang sama berulang hanya kesilapan ayahnya yang telah bertaubat dengan segera menikahi ibunya apabila dimaklumkan ibunya telah hamil. Ayahnya menyesali yang amat perbuatan itu. Sebab itu selepas bernikah, ibunyandibawa berhijrah jauh dari  kampung supaya tidak ketara kehamilan ibunya selepas bernikah.

Ayah dan ibu telah mendidiknya dengan baik. Puas berfikir, dia pun tidak upaya meletakkan kesalahan ke atas ibunya kerana lewat memberitahu hal ini. Ya, ibunya perlu kekuatan untuk melafazkan kerana dia sendirian menghadapi keadaan ini. Bukan mudah, dan terasa sangat berat seseorang itu untuk membuka aib dirinya dan membuka aib arwah ayahnya.

Sebab itu selama ini ibunya sering menolak mana mana lelaki yang diperkenalkan untuk menikahi kerana tidak punya kekuatan membuka aib yang tersimpan bertahun tahun lamanya.

Jadi bagaimana dengan majlis pernikahan yang telah dirancang dalam tempoh 3 hari lagi? Nak membatalkan atau meneruskan dengan berwali hakim. Untuk memohon wali hakim mesti melalui mahkamah syariah. Dan perkara ini sudah pasti menjadinheboh dan kecoh dikalangan saudara mara dan ahli keluarga lainnya termasuk akan menjadi persoalan di kalangan saudara calon suami.

Saya memberi nasihat, teruskan dahulu majlis itu kerana ia melibat aib dan maruah ibu dan arwah ayah kamu. Sebagai anak kamu yang memikulnya sekarang. Apakah nasihat saya membelakangkan perintah Allah? TIDAK SEKALI!

Teruskan majlis pernikahan mengikut perancangan dengan bapa saudara menjadi wali. Semua pihak meraikan akan gembira apabila pernikahan selesai dijalankan. Silaturahim terjalin dan aib tertutup.

Namun, selepas majlis pernikahan itu, duduklah kamu bertiga, ibu, kamu dan suami. Ceritakan hal sebenarnya. Berpihaklah kamu mempertahankan ibu kerana kelewatannya memaklumkan hal wali. Terserah kepada suami samada mahu bernikah sekali lagi, berwali hakim pada tarikh yang lainnya. Berilah masa kepada suami untuk memikirkan kerana tidak ada niat  penipuan atau memperdayakannya. Sekiranya suami merasa tidak mampu menerima hakikat yang kamu adalah dari keturunan anak tidak sah taraf, redhalah menerimanya. Tidak usah meneruskan pernikahan kali kedua dengan berwali hakim. Hanya kamu, ibu dan suami saja yang tahu bahawa pernikahan pertama ini tidak sah. Jangan dibuka aib ini. Ini maruah diri, ibu dan arwah ayah kamu.

Sekiranya suami tidak menerima kamu lagi dan tidak mahu bernikah untuk kali kedua, redhalah kamu dikenali sebagai janda berhias pada pandangan orang. Kebenaran hanya kamu bertiga sahaja yang tahu. Mohonlah kekuatan dan kesabaran dari Allah agar kamu ikhlas menerima takdir ini. Berulang ulang kali saya menasihatinya. Memberikan kekuatan , menyalurkan tenaga agar dia mampu meneruskan majlis pernikahan pada esok hari demi maruah ibu dan ayah. Majlis pernikahan esok bukan untuk menghalakan sebuah perhubungan tetapi kerana maruah diri, ibu dan arwah ayahnya. Jodohnya belum pasti apabila kebenaran ini terbuka disaat saat majlis pernikahan akan berlangsung esoknya.

Kepada ibu bapa budiman di luar sana, jadikan iktibar. Nyatakan kebenaran itu dari awal biar pun pahit. Biarlah aib dan maruah terpelihara tanpa merugikan sesiapa. Tidak ada hati yang kecewa, tidak ada wang hangus dibelanja dan tidak ada masa terbuang sia sia. Carilah kekuatan untuk menyatakan kebenaran bagi melahirkan zuriat yang bersih dari zina. Cukuplah sekali ia terjadi atas kelalaian dan kesilapan kita, tidak berulang kepada anak anak kerana kita.

Nyatakan kebenaran. Mengapa harus merahsiakan kerana jangkaan emosi anak terganggu. Sebab itulah kita kena kembali kepada Allah, apabila telah melakukan kesilapan segera bertaubat. Betulkan jalan semula di laluan yang Allah redha, jadi apabila kita beritahu anak, dia mampu menerima dengan iman. Bukan dengan emosi syaitan.

Share cerita ini, supaya mereka mereka yang mempunyai anak tidak sah taraf tahu akibat merahsiakan. Sebabnya ramai orang cuma menutup kebenaran dengan berbagai cara termasuk meletakkan bin atau binti dengan nama suami ibunya seperti kisah ini. Gadis cerita ini telah dibintikan kepada nama suami ibunya. Sekali pun ada undang2 dunia yang menyatakan apabila berada 6 bulan dalam kandungan ibu, apabila anak lahir boleh dibin atau binti kepada bapànya, namun hakikat sebenarnya yang tahu janin itu telah tersenyawa dan ditiupkan roh hanya diketahui oleh ibu dan bapa sahaja. Rahsiakan lah...Allah tetap mengetahui dan ia melibat zuriat keturunan lainnya.

Pilihannya pada iman dan takwa di dalam dada setiap insan beriman.

Admin,

Muna liza binti Ismail

#BaitusSolehah



Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

0 comments: