BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 9 February 2016

Menambah Isteri Untuk Harmoni


Jangan sentap dan terus membara dengan tulisan saya ini bagi mereka yang tidak bersetuju dengan poligami. Baca sampai habis dengan lapang dada. Jika tidak boleh berlapang dada, boleh terus tinggalkan status ini.

3 hari berturut turut saya bertemu dengan pasangan yang berhajat untuk berpoligami. Mereka bertemu saya bersama sama dengan isteri memohon dicarikan calon isteri kedua. 2 pasangan memohon calon isteri dari kalangan pelatih yang telah bertaubat dan berubah. Mereka melakukan kerana Allah semata mata, mahu melindungi, menyelamatkan ibu dan bayi dengan memberi sebuah kehidupan baru.

Seorang gadis mendapat suami, seorang isteri memerolehi teman dan seorang anak mendapat ayah. Membina keluarga harmoni yang barakah dan dirahmati Allah.

Dengan tulus, seorang isteri menghubungi saya untuk dipilihkan calon isteri buat suaminya. Saya pernah berada ditempat isteri begini. Saya pernah berniat menghadiahkan seorang isteri kepada suami saya semata-mata mencari keredhaaan Allah. Tetapi hajat saya ditolak oleh suami , ketika itu suami masih sihat. Jadi saya boleh memahami rasa seorang isteri yang mencarikan isteri untuk suaminya.

Pasangan dari Selangor sudah melalui proses permohonan poligami di Mahkamah, insyaAllah akan bernikah pada bulan Rejab nanti. Pasangan kedua dalam proses pemilihan calon. Dan pasangan ketiga pun sama, proses bertaaruf. Pasangan 1 dan 3 memohon calon isteri dari dari kalangan pelatih yang telah melahirkan anak, yang rela dan bersedia untuk berpoligami. Ini antara keupayaan mereka membantu menyelamatkan dua jiwa.

Kita lakukan ikut kemampuan dan keupayaan masing masing dengan pertolongan Allah. Setiap pasangan mesti memohon petunjuk dari Allah supaya keluarga yang dibina diberkati, hidup dalam harmoni dan dirahmati.

Siapa lagi yang ingin mengambil mereka sebagai isteri? Mereka jelas menyatakan tidak mahu berkahwin dengan pasangan yang telah merosakkan mereka melainkan telah bertaubat. Mereka telah ditarbiyah untuk menjalani kehidupan seterusnya dijalan jalan yang Allah redha. Mereka tidak lagi mahu terjebak walaupun mereka sebenarnya telah diperdaya. Maka bantulah mereka, jangan diungkit kisah silam dan dikeji apa yang telah mereka lalui.

Sekurang kurangnya para isteri berbuat dua kebaikkan. Kebaikkan mengizinkan suami memberikan kehidupan baru kepada seorang ibu tunggal dan bayinya. Kebaikkan membina persaudaraan sesama insan yang tidak mempunyai apa apa. Moga moga dengan amalan ini dipandang Allah dan menjadi asbab kita ke syurga.

Berkongsi kasih bukan bermakna kasih sayang dan cinta suami terbahagia dua. Kasih sayang tetap unggul dan total untuk isteri. Untuk bakal isteri kedua, kasih sayang tumbuh dan bercambah sendiri tanpa meluakan kasih sayang pada isteri pertama. Jadi jangan bimbang samada diketepikan atau diabaikan. Sebaliknya para suami akan lebih menyayangi dan menghargai kesediaan isteri untuk berpoligami bagi membina keluarga harmoni.

‪‎BaitusSolehah‬ berusaha membantu suatu kehidupan yang Allah redha untuk pelatih yang telah melalui proses tarbiyah.
Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta,kasih sayang adalah untuk zaujku.

Monday 8 February 2016

Daftar Masuk Pelatih Baru




Paling jauh dari Sabah. Merantau dari Sandakan untuk mencari rezeki di Semenajung Malaysia. Bekerja di kedai perabut. Bertemu seorang pekerja Nepal. Lalu terpedaya dengan pujuk rayu. Setelah 2 bulan, pekerja Nepal pulang ke negaranya. Ketika itu masih tidak menyedari diri hamil. Bulan ketiga masih tidak datang haid, barulah buat pemeriksaan urin, dan mendapati diri hamil.

Tidak tahu kemana mahu dituju. Keluarga jauh di Sandakan, Sabah. Hingga bulan ke 6 hamil, barulah berhenti kerja. Duit habis bayar sewa rumah, kos pengangkutan dan makan. Dalam keadaan kebingunan, gadis ini menghubungi saya, menceritakan masalah sedang dihadapi. Sewa rumah telah ditamatkan kerana sudah tidak bekerja dan tidak mampu bayar sewa rumah. Mahu pulang ke Sabah, tidak ada duit. Usahkan mahu beli tiket kapal terbang, mahu beli tiket bas ke Johor Bahru dari Shah alam pun tidak cukup duit.

Kebetulan 4 Februari lalu, saya ada kes yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. Apabila kes hari itu selesai, Saya hubungi gadis, dan bertanya, bila dia mahu ke Johor Bahru. Dia menyatakan sangat ingin ke Baitus Solehah, tetapi duit masih belum cukup untuk beli tiket bas. Oleh kerana kasihan, saya mempelawa dia untuk ikut saya pulang. Dengan gembira dia menerima pelawaan saya.

Itu satu kisah dari beratus, bahkan beribu kisah gadis gadis terlanjur yang telah mengadung tanpa suami. Lelaki yang menganiya mereka pergi begitu saja tanpa rasa bersalah dan bertanggungjawap. Sedihkan...

Apabila datang secara sukarela, memang mudah untuk dibentuk, dibimbing untuk bertaubat dan berubah menjadi perempuan baik. Mereka rela hidup seadanyà. Tinggal kita antara belas ehsan untuk menyediakan keperluan mereka. Perlu menyediakan kelengkapan bayi, kelengkapan untuk bersalin, pakaian dalam (bra dan seluar dalam) yang sesuai. Ketika awal kandungan dan akhir bulan mengandung saiz telah berubah. Segala pakaian dalam yang awal mengadung sudah tidak boleh dipakai lagi. Maka perlu dibelikan lain.

Mereka nekad meneruskan kandungan dan mahu melahirkan anak. Anak ini akan dipelihara sendiri. Dengan sokongan Baitus Solehah mereka mendapat keyakinan diri bahawa mampu mengasuh anak sendiri. Diberikan tarbiyah bahawa yakinlah setiap rezeki manusia di dalam jaminan Allah. Berbekalkan iman yang baru disemai, mereka meneruskan kehidupan. Mereka memperbaiki ibadah khusus harian, belajar membaca al quran walaupun dari Iqra 1. Zikir menjadi amalan harian untuk pemurnian hati dan pembersihan jiwa.

Hiduplah mereka semua bagai bersaudara. Saudara dari lain negeri, lain pendidikan, lain budaya, lain mak ayah dan lain keturunan. Mereka boleh bersatu, bekerjasama, bertoleransi hanya kerana status yang sama. Sama sama berduka dan menangis. Sama sama merasai sakit yang sama.

Sayu, pilu, hiba dan rindu pada keluarga usah diceritakan....

Boleh anda bayangkan bagaimana mereka boleh bersatu sejiwa hanya asbab yang sama?

Jumlah terkini bayi yang dilahirkan di Baitus Solehah 101, padahal Baitus Solehah wujud baru 3 tahun. Jumlah pelatih semasa adalah 35 orang, jumlah bayi semasa 15 orang. Baitus Solehah menjadi pilihan kerana disini tidak dikenakan sebarang bayaran. Mereka ditarbiyah seperti madrasah. Penggajian sepanjang masa. ‪#‎BaitusSolehah‬ menyokong ibu ibu memelihara bayi mereka sendiri. Tidak menyokong penyerahan anak kepada keluarga angkat.

Hari ini saja 3 orang bakal ibu mendaftar masuk. Seorang dari Pulau Pinang, seorang dari Pahang dan seorang dari Selangor. Semalam seorang dari Sabah dan seorang Johor. Mereka dari negeri yang jauh jauh belaka.

Impianku menjadi isteri solehah,
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Sunday 7 February 2016

Cuti Panjang Bersambung Hujung Minggu



Oh...kasihannya, sangat terlupa yang hari Ahad dan Isnin cuti sempena menyambut tahun baru cina. Kasihan sungguh ! Seorang pelatih telah melahirkan anak pada hari Rabu, tengahari. Malamnya, saya telah ke Selangor. Hari Khamis, pagi saya ada urusan penting di Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam. Urusan di Mahkamah selesai pada pukul 2.30 petang.

Sepatutnya hari Khamis tu, pelatih perlu dijamin keluar di Jabatan Kerja Sosial Perubatan. Hari Khamis, waktu kerja di Johor cuma sampai 3.30 petang saja. Memang saya tidak sempat untuk pulang ke Johor Bahru untuk menjamin keluar pelatih pada hari berkenaan. Saya ingat, pagi Ahad saya ke JKSP untuk jaminan keluar.

Pagi ni, baru saya teringat yang hari Ahad dan Isnin cuti sempena tahun baru cina. Sudah tentu pejabat JKSP juga tutup. Hari Selasa baru dapat buat jaminan keluar. Allahurabbi, lamanya pelatih tu duduk wad. Habis tu nak buat apa lagi?

Pelatih tu telah melahirkan anak lelaki, 2.7 kg. Bayi di wad bayi, ibu di wad brsalin. Tidak tinggal di wad yang sama. Tentu bengkak payudara ibu kerana tidak dapat menyusukan anaknya. Alahai...

Fikir semula...kenapa ini berlaku? Ibu lepas beranak, tapi tak dapat tengok dan peluk anaknya selama 7 hari. Nak kena tunggu dijamin keluar baru boleh lihat anak.

Sudah tentu pihak hospital makin tegas terhadap peraturan apabila baru baru ini ada kejadian bayi terdampar di wad. Ibu bayi telah melarikan diri dari wad dan meninggalkan anak yang baru dilahirkan di wad bayi. Itu rasional sebenar ibu yang tidak bersuami dan bayi dipisahkan selepas dilahirkan.

Ibu yang tidak mempunyai suami, emosinya tidak stabil. Kecelaruan minda dan emosi. Boleh saja bertindak diluar kawalan kita dan bertindak luar jangkaan akal kita. Sebab itu ibu ibu yang begini perlu diawasi, namun semua kita tahu kat wad tu ada berapa ramai ibu ibu yang baru melahirkan anak, dan jururawat bertugas cuma ada berapa orang saja. Itulah rasional kenapa ibu ibu yang tidak mempunyai suami, sebaik melahirkan anak, anak dan ibu dipisahkan wad. Jururawat tidak mamou untuk mengawasi ibu ibu ini sepanjang masa. Bukan seorang ibu berstatus 'sms' berada di wad bersalin tu.

Jadi dalam hal ini, semua berlaku bukan atas dasar menganiya dan menzalimi ibu dan bayi, tetapi lebih kepada menjaga kemaslahatan ibu dan bayi. Kita tidak tahu apa yang sedang difikiŕkan oleh ibu tidak ada suami dan baru melahirkan anak.

BaitusSolehah‬ belum mampu untuk menyediakan staff berbayar. Bukan semudah itu untuk menjamin keluar ibu ibu yang melahirkan takde suami. Alangkan saudara mara pun payah untuk dilepaskan oleh JKSP inikan pulak yang tidak dikenali. Tugas kita bukan sekadar menjamin dan sign on paper, tetapi pegawai akan menebual kita sejauh mana kenal orang mahu dijamin, bagaimana akhlak, bagaimana tingkahlaku sejak berlindung di BS dan bagai bagai lagi.

Nanti selepas sign dokumen , kita kena uruskan discaj wad ibu dan bayi yang mengambil masa lebih 3 jam.

Sebab itu ada beberapa keadaan tertentu, jika keluarga berada di sekitar Johor, saya minta mereka bantu urus atau ada keluarga yang menawarkan diri untuk menguruskan.

Selepas mereka urus hingga discaj, mereka hantar ke BS, mesti mereka berkata, "masyaAllah ummi, lamanya procedur untuk discaj, dari tenghari sampai ke maghrib baru selesai. Saya tak boleh bayangkan macamana ummi uruskan selama ini. Puas saya bersabar. Tak sanggup saya dah."

"Puan cuma uruskan seorang, saya uruskan sudah berpuluh puluh orang, tak ada apa kita boleh mempercepatkan urusan melainkan kita yang harus bersabar."


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA,
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Saturday 6 February 2016

Sesat dalam Beg Tangan

Cantik beg tangan ni. Besar, menarik dan diperbuat dari kulit. Buatan tangan lagi. Angah belikan kat Algeria. Tengah memandu kereta, telefon berbunyi. Telefon kecik molek nokia model 3315. Bila berbunyi, sambil memandu tandan kiri seluk beg tangan yang diletakkan ditepi saja atas hand brek berhampiran gear.

 

Seluk menyeluk, gagau sana gagau sini, tak jumpa telefon tu. Bunyi nyaring tapi tangan yang mengagau dalam beg tangan tak juga tergagau telefon. Yang tergagau dek tangan saya ialah berus gigi, buku nota, minyak angin aromatheraphy, jam tangan, pen, power bank, tisu, sapu tangan, stokin, sarung lengan, dompet, pad, cermin mata, kertas nota, bil letrik, bil hospital, buku derma darah, pendriver, passport, cincin, subang dan bagai bagai lagi ...

Sesat sesat langsung tak jumpa, akhornya telefon berhenti berbunyi. Bila dah berhenti berbunyi, lagi sukar nak mençari tanpa panduan arah. Hahaha...

Dulu pernah beg tangan saya diambik orang dari tingkap waktu maghrib, bila buat laporan polis kehilangan beg tangan yang dicuri, polis minta senaraikan barang barang yang ada dalam beg tangan. Dari A hingga R... polis tanya, ini beg tangan atau peti harta karun?



Impianku menjadi isteri solehah, 
 selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Friday 5 February 2016

Ambik Lebihan Makanan, Pastikan Halal

Pastikan semua orang sudah makan, minta izin dari pengajur, baru boleh ambik. Boleh ambik pun, jangan ambik satu tray.

 
Kenapa?

 
Supaya ia halal. Kerana apabila kita dihidangkan makanan secara buffet, ambik makanan seadanya, jangan berlebihan hingga tidak habis dimakan dan akhirnya dibuang. Dan paling ditakuti, ada yang belum ambik, makanan sudah habis kerana ada yang ambik bungkus, masuk beg atau poket.

 
Berhati hati dengan rezeki yang ada depan mata. Fikirkan orang lain. Jika bibik di rumah, selalu sebut " simpan untuk orang belakang ". Dan anak buat lawak, dia akan toleh belakang, "bik, takde orang kat belakang, boleh ambik habiskan ya?"


 Begitulah adap dan akhlak seorang mukmin, berhati hati dengan makanan. Samada sikit atau banyak. Bila banyak jangan membazir, bila sikit kita bersyukur.




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Thursday 4 February 2016

Hukuman Paling Ringan Bagi Orang Yang Bertaubat


 Bukan semua kes jenayah syariah diberikan keringanan hukuman. Namun sebesar mana dosa kita dengan Allah selain syirik, tetap Allah ampunkan. Pintu taubat sentiasa terbuka. Taubat mesti dengan tindakan, bukan sekadar pengakuan. Allah tahu.

 


Allah yang menghendaki. Hukuman paling ringan semalam dijatuhkan ke atas pelatih ialah seperti yang tertera dalam kertas ini. Dibebaskan dengan jaminan dan perlu meneruskan penggajian untuk mendalami agama Islam di Baitus Solehah selama 50 jam lagi. Pihak Baitus Solehah akan terus memantau perkembangan sahsiah dan akhlak pelatih. Iman? Hanya diri sendiri yang tahu. Kita cuba boleh melihat perlakuan zahir. Namun perlakuan zahir akan tercerna dari hati yang murni.

 


Kita tidak punya daya upaya melainkan mengharap pertolongan Allah.

Wahai remaja di luar sana, bukan semua kamu bernasib baik dipermudahkan urusan dan diberikan keringan hukuman jika taubat kamu adalah taubat main main. Insaflah...




Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tugas Bertambah Kes Dirujuk Ke Mahkamah


Jika sebelum ini urusan saya mengendalikan pelatih ke klinik kesihatan, ke Bilik Saringan, ke JPN untuk mendaftar kelahiran dan ambik nenek untuk mengurut ibu ibu selepas melahirkan. Mulai hari ini bertambah tugas apabila perlu menemani mana mana pelatih yang perlu hadir ke Mahkamah apabila ada sebutan kes.

 
 
Membantu meringankan hukuman dengan menyediakan surat akuan perlakuan baik sepanjang berada di Baitus Solehah. Mereka telah berusaha bertaubat dan berubah. Menerima bimbingan dan didikan untuk menjadi insan mulai yang Allah redhai.

 
 
Sejak kebelakangan ini, sudah beberapa pelatih menerima surat hadir ke Mahkamah atas dakwaan telah melakukan persetubuhan di luar pernikahan. Samada setuju atau tidak memang wajib hadir. Untuk memudahkan urusan, pelatih rela membuat pengakuan bersalah kerana jenayah syariah yang dilakukan dan rela menerima hukuman. Walaupun bukan hukum hudud dilaksanakan, moga moga jiwa mereka tenang setelah berusaha untuk bertaubat dan berubah menjadi insan yang Allah redha.
 
 Dalam Kamar Mahkamah Tinggi Syariah

Apabila sebutan dibacakan....kes jenayah syariah sekesyen 26.

Hukumannya denda tidak melebehi RM 5000.00 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat dengan 6 sebatan atau dihukum kombinasi antaranya yang sah.

Persediaan melakukan persetubuhan disebuah hotel...bersama pasangan bernama...

Adakah kamu mengaku bersalah?

Ada sesiapa yang memaksa kamu mengaku bersalah?

Kamu faham akibat pengakuan bersalah kamu?
 
 
 Hukuman Telah Dijatuhkan

Setelah dibacakan pertuduhan oleh pegawai pendakwa raya, rayuan telah dilakukan, lama juga mahkamah sepi dan diam untuk mengetahui hakim menjatuhkan hukuman.

Mahkamah berpuas hati dengan pengakuan bersalah...

Dengan ini mahkamah menjatuhkan hukuman,

"Dibebaskan dengan jaminan ahli keluarga atau pegawai dari Rumah Perlindungan Baitus Solehah dan mengikuti kelas pembelajaran agama 50 jam."

Terima kasih kepada peguam peguam yang membantu menyediakan dokumen mitigasi supaya hukuman diringankan. Sesungguhnya Allah yang Maha Perkasa menghendaki jalan ini dilalui.

Doa hamba yang bertaubat, doa dan zikir kautharan di setiap hari, zikir memohon Allah tunjukkan jalan jalan kebaikkan.

Sesungguhnya Allah menunjukkan orang orang yang beriman dan bertakwa jalan keluar segala permasalahan tanpa kita ketahui. Allah Ya Barri.
 

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tarikh Lahir ke 51 Tahun



Tahun 2010 pada 4 Februari, tarikh hari lahir saya, saya berada di Dewan Bedah HSAJB menjalani pembedahan sendi kaki (total knee replecemant) kaki kiri.

 


Tahun 2016 pada 4 Februari, tarikh lahir saya, saya berada di Dewan 2, Aras 5, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

 


Inilah aturan Allah yang tidak pernah kita duga dan rancang. Selalu orang lain merancang sebaik baiknya nak duduk bersama keluarga dan meraikan dengan makan minum dan hadiah hadiah. Berlainan dengan saya.

Entah entah tahun depan pada 4 Februari saya berada di pusara. Mati itu pasti, hidup ini insyaAllah


Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Wednesday 3 February 2016

Dipaksa Berpisah Dengan Permata Hati


Tiba di rumah selepas pulang dari menghantar nenek mengurut, saya buka inbox page Baitus Solehah. Mesej yang membuat hati lara dan sayu. Kasihan mereka yang terpaksa dan dipaksa berpisah dengan anak tanpa rela. Jadi janganlah tanya tentang anak angkat dari Baitus Solehah. Ambiklah iktibar dari kisah ini.

Profile yang hantar mesej saya sembunyikan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Assalammualaikum ummi,

Maafkan saya menganggu kepadatan waktu2 ummi. Ummi izinkan saya berkongsi 1cerita tentang hidup silam saya dan hingga hari ini ia masih menghantui saya.

4 tahun yang lalu saya telah melahirkan anak diluar pernikahan, saya akui itu dosa besar saya ,saya bertaubat saya nekad untuk jaga kandungan saya . Demi Allah ummi, tak pernah terlintas difikiran untuk mengugurkan kandungan. Bila keluarga saya mengetahui , saya mengerti betapa hancur luluh nya hati mereka, saya ambil keputusan untuk belajar agama mengisi ruang2 yang terlalu kosong dalam jiwa saya, keluarga saya mencari dan alhamdulillah saya diterima masuk di rumah perlindungan di Melaka. Saya tenang disana, setiap saat mengigati Allah s.w.t dan menginsafkan saya. 5 bulan saya tinggal di rumah perlindungan itu saya selamat melahirkan mujahid saya. Allahuakhbar ummi, itu la hari paling bahagia bermakna buat saya.

Tapi ummi, selepas 21 hari, saya dipaksa berpisah dengannya. Puas saya rayu tiada airmata lagi mampu saya tangis kan...akhirnya anak saya pergi dibawa oleh keluarga baru.

Ummi , betapa hancur remuk luluhnya hati saya ummi, selepas itu saya mengabiskan pengajian saya di rumah perlindungan itu selama 6 bulan lagi. Setiap masa setiap saat saya pujuk hati saya...bahawa perancangan Allah itu lebih baik. Saya belajar redha..redha seredha nya, hingga saya habis belajar , saya meneruskan kehidupan saya, saya bukak lembaran baru dalam hidup saya, saya cuba kuat dihadapan semua orang. Saya bertemu jodoh , dan kini hampir setahun usia perkahwinan saya..saya masih belum dikurniakan zuriat.

Ummi, saya tidak mampu menidakkan naluri seorang ibu, saya terlalu merindui anak saya. Saya pernah berjumpa dengan anak saya..terpaksa mengunakan org tengah, dan org tengah mesti berada sekali dalam pertemuan kami, terlalu susah untuk berjumpa, pernah dimarahi hanya kerana ingin bertemu dengan anak sendiri, saya cuba untuk tidak memikirkan tentang anak saya..tapi rindu ini ummi, dah tak tertanggung lagi ummi, rasa terseksa ummi , menahan rindu ini, bukanlah saya tak redha, tapi hati ini terlalu merindu ummi, tak tertanggung rasanya, saya fikir selepas saya berkahwin saya mampu melupakan tapi ingatan saya makin kuat pada anak saya, setiap doa selepas solat setiap doa2 saya berharap dia dapat menjadi hamba Allah yang taat dan bertaqwa,dapat menjadi anak yang soleh pada kedua ibu bapa angkat nya...

Mungkin Allah hanya beri saya peluang untuk mengandung dan melahirkannya tapi kehadiran nya untuk membahagiakan org lain, menjadi penyeri rumahtangga org lain...

Saya bersyukur dia dijaga oleh keluarga yang baik..walaupun saya tiada hak untuk menjaga anak saya, saya pasrah... rindu ini saya akan pendam hingga akhir hayat saya, doa2 saya akan mngiringi kehidupan nya.

Ummi, terima kasih kerana tidak memisahkan ibu dengan anak2 mereka, saya bangga dengan ummi, kerana sakit berpisah dengan anak itu lebihhh sakitt dari segalanya, jiwa ini sakit menanggung rinduu.

Ummi doakan saya ye ummi, doakan saya kuat untuk menempuhi ujian Allah ini, ummi doakan saya dikurniakan zuriat pada jalan yang halal ini. Semoga Allah merahmati usaha2 ummi, hanya 1 selalu bermain difikiran saya, bagaimana ada sebuah keluarga angkat boleh mencipta bahagia sedangkan disebalik nya ada hati yang terluka? Ada jiwa yang merana menanggung sebuah kehilangan?

Saya pendam..tapi hari ini ia tidak mampu dipendam sendirian lagi,.ini lah perjalanan saya yang telah tertulis di luh mahfuz ,saya redha ummi...

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sentapkah jiwa yang membaca? Yang terasa, yang jiwanya kerdil. Anak anugerah Allah, tetapi menjadi hak orang lain dan dinapikan hak ibu kandung.

Ingatnya, ibu ini bagus, mendoakan anaknya menjadi anak soleh. Maknanya ibu ini benar benar bertaubat, mengamalkan ilmu yang dipelajari. Bagaimana ada anak angkat yang jadi hantu, tak jadi orang hanya disebabkan ego keluarga angkat yang memisahkan dengan ibu kandung, ibu kandung tak rela, kurang iman , maka doa dia juga penyebab kepada anak tadi tidak menjadi orang. Dan akhirnya, anak itu menjadi sia sia, terabai dunia akhiratnya.

#BaitusSolehah menyelamatkan dua jiwa, tidak rela anak dan ibu dipisahkan.

Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.