BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday 3 July 2019

Berzina di Bilik Kosong di Sekolah




Sebelum ini pelajar berzina di tandas, kisah ini pulak, pelajar tingkatan 6 berzina di Bilik Kosong di sekolah. Mereka sama sama satu kelas, tinggal di asrama. Rumah mereka jauh dari sekolah dari kampung berbeza.


Bila ada peluang, projek berjalan tanpa rasa cuak. Mula sekali, kemudian diulangi lagi. Akhirnya ketagih apabila sudah tamat sekolah. Jika sekarang, usia kandungan sudah memasuki 21 minggu, bermakna ketika menduduki STPM yang lalu kandungan sudah 14 minggu, lebih dari 3 bulan.
Selepas tamat peperiksaan STPM, masing masing pulang ke rumah keluarga. Sudah payah untuk berjumpa. Yang lelaki katanya sudah bertaubat dan tidak mahu mengulangi perbuatan itu. Yang perempuan pulak, makin sepi, sunyi, gersang menjadi sangat sangat ketagih walaupun sedang mengandung. Emak bapa belum tahu, perubahan fizikal belum kelihatan.


Ikuti perbualan saya melalui whatsapp dengan bekas pelajar tingkatan 6 ini. Berzina di sekolah waktu petang, di Bilik Kosong.





Moral kisah ini didedahkan supaya pihak sekolah ambik tindakan segera mengunci semua bilik bilik yang tidak digunakan. Jika bilik itu mahu digunakan sebagai aktiviti persatuan, pastikan ada pemantauan oleh pihak berwajib. Jangan buka peluang untuk pelajar berdua duaan melakukan projek di dalamnya.


Kita tidak boleh menangani kes zina di luar, kita tangani kes zina di kawasan kita. Antara nasihat saya,

`
1. Pintu pagar sekolah hanya dibenarkan dibuka menjelang 15 minit waktu perhimpunan.

2. Semua laluan tangga naik ke kelas di kunci sehingga selesai waktu perhimpunan. Biarlah beg pelajar bersama pelajar tanpa perlu diletakkan di dalam kelas terlebih dahulu.

3. Study group hanya dibenarkan dijalankan di kantin sekolah atau perpustakaan. Jangan benarkan di bilik kosong atau di Bengkel, mana tahu study group itu cuma dihadiri dua orang saja berlainan jantina.

4. Apabila pelajar perempuan ke tandas, hanya benarkan jika pergi berdua denga kawan perempuan yang lain.

5. Kunci semua bilik bilik kosong dan tandas yang jarang digunakan.

6. Bersihkan kawasan sekitar sekolah dari rumput yang panjang sehingga membatas pandangan.
Memanglah kita tidak boleh menghalang orang berzina tetapi kita jangan buka peluang dan ruang.


Amat ngeri dan menakutkan. Dimana lagi tempat selamat untuk anak anak belajar?


Saya menulis dari kisah benar dan dari pengalaman yang dilalui sebagai seorang guru suatu ketika dulu. Segera minda saya terbayang ruang ruang dan peluang untuk pelajar berzina tanpa kita sedari. Datang sekolah bukan semata mata untuk menuntut ilmu, bahkan mempraktikan ilmu yang tidak diajar di sekolah.



Habis belajar dari mana? Smart phone, internet dihujung jari...


Siapa beri smartphone? Siapa beri duit topup internet?


.
Mak Liza
More details can be found from the page or you can call the home directly at 0197799682 or 0149253151
Thank you.








Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Permohonan Masuk Baitus Solehah



 
 
 1. PERMOHONAN MASUK BAITUS SOLEHAH
 
1.1 Syarat Permohonan diterima masuk ialah,

1. Perempuan / remaja yang mengandung tanpa suami.

2. Memohon Masuk dengan sukarela tanpa paksaan mana mana pihak.

3. Tidak terlibat dengan jenayah

4. Tidak terlibat dengan dadah

5. Keluarga dan pelatih Sedia mematuhi peraturan yang ditetapkan dari masa ke semasa selama tinggal di Baitus Solehah


1. 2. PERSEDIAAN SEBELUM MENDAFTAR MASUK

1. Sila bawa pakaian harian sendiri yang menutup aurat.

2. Pelatih diwajib berpakaian menutup aurat setiap masa

3. Berpakaian sopan, longgar,tidak nipis/jarang.

4. Sila bawa tuala, selimut, kain batik dan telekung.

5. Sila bawa perawatan / mandian diri sendiri

6. Tidak membawa sebarang barang berharga

7. Tidak dibenarkan membawa telefon tangan sendiri dan laptop atau sebarang gadjet

.
.

2. PERATURAN TINGGAL DI BAITUS SOLEHAH

2.1. Tempoh tinggal di Baitus Solehah ialah selama 6 bulan dari tarikh daftar masuk.

2.2. Selepas tamat tempoh 6 bulan, waris boleh menjemput pelatih dan anaknya keluar bersama sama.

2.3 Dilarang keluar dari kawasan Baitus Solehah tanpa izin daripada penyelia.

2.4 Pelatih tidak dibenarkan keluar sendirian sepanjang tempoh menduduki rumah perlindungan ini.

2.5 Diwajibkan BERPAKAIAN menutup aurat semasa berada di Baitus Solehah.

2.6 Dilarang memasuki ruang –ruang tertentu tanpa izin.

2.7 Dilarang membawa keluar apa-apa barang/ peralatan milik Baitus Solehah kecuali yang diberikan.

2.8 Dilarang membawa telefon bimbit sepanjang berada di BS dan sekiranya ada, telefon tersebut perlu diserahkan kepada penyelia untuk disimpan.

2.9 Dilarang membawa peralatan tajam seperti pisau, gunting dan sebagainya.

2.10 Dilarang membawa barang-barang peribadi lain kecuali ;
- Pakaian yang menutup aurat.
- Keperluan mandi dan membasuh.
- Keperluan solat.

2.11 Pelawat hendaklah membuat temujanji terlebih dahulu. Penyelia berhak melarang pelawat memasuki kawasan Baitus Solehah jika tidak ada temujanji.

2.12 Hanya tetamu yang mempunyai pertalian keluarga sahaja yang dibenarkan untuk melawat pelatih dengan izin penyelia.

2.13 Tetamu dilarang masuk ke bilik-bilik pelatih.

2.14 Pelatih hendaklah mematuhi arahan dari masa ke semasa dan mengikuti semua aktiviti yang diadakan.

2.15 Pelatih hendaklah mengikuti segala program yang diadakan samada di dalam atau di luar BS.

2.16. Pelatih hendaklah menjaga semua peralatan yang dibekalkan dan menjaga kemudahan yang disediakan dengan baik.

2.17. Pelatih hendaklah menjaga kebersihan bilik tidor, bilik air,dapur, musallo dan kawasan disekitarnya.

2.18. Pelatih tidak dibenarkan meninggalkan BS tanpa kebenaran penyelia.

2.19. Pelatih hendaklah menyerahkan barang-barang terlarang yang dibawa kepada pihak pengurusan.

.
.

3. PERATURAN SELEPAS MELAHIRKAN ANAK

1. Pelatih atau waris menguruskan sendiri uri selepas melahirkan anak. Pelatih diberikan tunjuk ajar untuk mencuci uri.

2. Baitus Solehah tidak menyediakan perkhidamatan bertungku, jamu, bekung dan minuman herba untuk ibu selepas melahirkan anak.

3. Perkhidmatan urut selepas bersalin disediakan dengan kadar bayaran RM 30 untuk sekali urutan.

4. Baitus Solehah tidak menyediakan menu untuk pelatih selepas melahirkan anak. Pelatih perlu menyediakan sendiri makanan selepas melahirkan anak. Bahan masakan disediakan.

.
Makluman kepada waris :

 1. Lawatan
 
1.1 Lawatan hanya dibenarkan sebulan sekali sahaja.
 
1.2 Hanya waris terdekat sahaja dibenarkan melawat
 
1.3 Ketika lawatan, waris tidak dibenarkan memberi kepada pelatih menggunakan telefon kepunyaan waris bagi berhubung dengan sesiapa sahaja sepanjang tempoh  berada di Baitus Solehah.
 
1.4 Tidak perlu membawa saudara mara beramai ramai melawat pelatih sepanjang tinggal di Baitus Solehah 


2. Penggunaan Telefon

2.1 Waris dibenarkan menghubungi pelatih 2 minggu selepas daftar masuk

2.2 Nombor telefon khas untuk menghubungi pelatih akan diberikan.

2.3 Nombor ini tidak dibenarkan didedahkan kepada umum.

2.4 Selepas 2 minggu, waris boleh menghubungi anak setiap minggu sekali melalui telefon.

2.5 Hanya ibu bapa sahaja dibenarkan bercakap dengan pelatih



Disediakan Oleh,

Pengurus Baitus Solehah,

Mak Liza

#BimbingTaubatBerubah

#SelamatkanDuaJiwa



















Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Tuesday 2 July 2019

Tarikh Lahir Si Bongsu

2 Julai 2002, 02/07/02 adalah tarikh lahir anakku yang bongsu, Muhamad Imran. Hari ini, 02/07/2019, genap usianya 17 tahun.


Ketika umurnya 12 tahun 6 bulan, saya tinggalkan Imran di Tanah Jawa untuk menuntut ilmu setelah tamat belajar sekolah kebangsaan dan mendapat 5A dalam keputusan UPSR. Jika orang lain berlumba lumba membuat permohonan masuk ke MRSM, SPB atau SMKA, Imran tidak sebuk dengan semua itu.


Dari umur 10 tahun, sudah diingatkan , nanti lepas UPSR, Imran akan teruskan belajar di pondok. Pondok pun asrama penuh, bukan asrama harian. Bukan duduk di rumah emak ayah. Saya bercita cita mahu Muhamad Imran menguasai bidang agama dan dapat menyampai ilmu kepada masyarakat suatu hari nanti.


Kesinambungan legasi Baitus Solehah diteruskan oleh orang orang yang mempunyai ilmu dan mengamalkan supaya ummah dapat diselamatkan.

Imran, anak bongsu mesti rapat dengan emak. 12 tahun, sejak lahir tidor di sebelah emak. Tidak pernah berpisah dan berjauhan dengan emak. Siang malam berkepit dengan emak. Tiba tiba dihantar ke Tanah Jawa yang beribu ribu batu jauhnya menyeberangi laut.


Hati emak tak usah ceritalah dukalara berendam air mata. Begitu juga dengan Imran. Dalam perjalanan pulang, saya masih berada di Bandar Udara Juanda, Surabaya, Imran sudah pinjam telefon kawan, telefon emak sambil menangis.


Jadi emak mesti kuat, emak tak boleh menangis bila anak menangis di dalam telefon. Emak kena tegas dalam percakapan, dalam memujuk lembut.

" Imran, sekolah dekat atau jauh, Imran tetap tak boleh terus duduk dengan ummi. Imran kena belajar untuk berpisah dengan ummi. Imran tetap berjauhan dengan ummi ketika menuntut ilmu. Jarak bukan menjadi ukuran. Imran tetap di hati ummi dan ummi sentiasa doakan Imran menjadi anak soleh yang sentiasa sabar. Ingatlah, tuntut ilmu kerana mencari redha Allah. Ummi sayang Imran."


Selepas habis berbicara dalam telefon, barulah saya menangis tanpa henti. Ketika dalam penerbangan pulang terasa hati saya tertinggal di Pondok Pesantren Lirboyo tempat Imran menuntut ilmu.


Masa terus beredar, sedar tidak sedar, kini Imran sudah masuk kelas aliyah, setaraf sarjana muda jika di Malaysia. Kelebihan belajar di Pondok Pesantren Lirboyo yang diiktiraf oleh kebanyakan institusi pengajian tinggi di dunia terutama negara negara Timur Tengah dan Asia Barat.


Sekarang Imran jauh lebih matang. Bercakap berdasarkan pengalaman hidup yang dilalui di alam remaja, walaupun ketika alam kanak kanak Imran tidak pandai menunggang basikal hingga kini. Alih alih, cuti panjang baru baru ini, ayah ajar Imran memandu kereta. Sesungguhnya orang berilmu cakapnya tidak sia sia.


Bila ditanya, berapa lama lagi Imran mahu menuntut ilmu,

" hingga ke liang lahat" katanya. Selagi kita hidup, selagi itulah kita terus menuntut ilmu. Lagi banyak kita belajar, lagi banyak yang kita tidak tahu. Akhirnya menjadikan belajar suatu keseronokan yang tidak membebankan.


Imran, suatu hari nanti Imran akan terjumpa catatan ummi ini, ketahuilah bahawa kasih sayang emak sentiasa mengharap keredhaan dan Rahmat Allah agar kita dapat bersama sama di syurga dan kerinduan ummi pada Imran tidak pernah ada sempadannya. Siang malam ummi rindukan anak anak ummi. Maka ummi sentiada redha berjauhan dengan anak anak ummi demi ilmu.

.

Catatan Ummi Untuk Imran ketika usia Imran 17 tahun. Tarikh yang ummi tidak pernah lupa kerana Imran seorang sahaja anak yang dilahirkan melalui pembedahan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.






Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.

Kembali Semula ke Laman Ini



Setelah sekian lama meninggalkan alam blogger, hari ini 02/07/2019, saya buka blog ini yang penuh sawang di sana sini. Tiup tiup debunya, berterbangan. Tidaklah sampai kena vakum.

Ini semua penangan mukabuku yang telah menguasai media sosial.  Bukan saya tidak ada masa menulis, bahkan makin banyak dan kerap saya menulis, cuma tidak di blog. Kesibukan di alam nyata, di dalam lapangan harian tidak menghalang saya menulis dan menggarap idea pengalaman hidup dicatat dalam penulisan bagi berkongsi dengan orang ramai.

Sekarang ni cucu kandung pun sudah 14 orang, cucu asuhan Baitus Solehah sudah 314 orang. Menunjukkan lama sungguh tidak mengemas kini maklumat di laman ini.

Moga moga ada kelapangan saya berblog semula.


Impianku menjadi isteri solehah tidak pernah padam , bahkan sentiasa berharap mendapat rahmat dan keredhaan Allah.



Impianku menjadi isteri solehah, 
selepas Allah dan RasulNYA, 
cinta kasih sayang adalah untuk zaujku.