~Impianku melihat alam maya.. mengecap nikmat berada.. mendengar riuhan fauna.. merasa keindahan flora.. sebelum dipejam mata.. menghadap Yang Maha Mencipta~
Pada Hari Raya pertama, berangkat dari rumah mak mentua menuju ke utara,melalui jalan pinggir sungai menyusuri tebing Sg Tengi hingga ke Sg Panjang di Sg Besar,Selangor.
Selepas itu melintasi Sabak Bernam, menghala ke Teluk Intan dan menuju ke Seberang Perak. Dalam perjalanan, hampir waktu zuhur,dan ketika itu hari Jumaat,tiba di Sg Rubana,zauj,angah dan Nazihah berhenti di masjid berhampiran untuk bersolat Jumaat.
Walaupun kami dalam musafir, solat Jumaat tetap di dirikan. Ini kerana ketika kami keluar bermusafir, kami keluar selepas terbit fajar. Sekiranya kami keluar bermusafir sebelum masuk waktu subuh,harus untuk kami meninggalkan solat Jumaat.
Maka tak ada alasan untuk meninggalkan solat terutama solat Jumaat.
Dan berkaitan bermusafir pada hari Jumaat,kita baca petikan ini perkongsian ilmu.
Oleh kerana terdapat ruangan solat untuk perempuan yang tidak digunakan oleh jemaah lelaki,maka Nazihah dan Nurafifah(isteri angah) masuk ke dalam masjid dan turut bersolat Jumaat. Walaupun tidak wajib solat Jumaat ke atas perempuan,tetapi tidak ada larangan menegah jika perempuan ingin mengerjakan solat Jumaat terutama ketika bermusafir.
Ketika semuanya telah kembali ke kereta amsing-masing, ummi lihat Nurafifah terkial-kial mencari sesuatu. Rupanya telefon angah telah tercicir tanpa disedari ketika angah letakkan kedalam kereta ummi. Walaupun ketika mereka bersolat Jumaat dan ummi hanya duduk di dalam kereta, tetapi ummi tidak sedar telefon jatuh dan diambil orang.
Bukan jodoh telefon itu untuk lama bersama-sama dengan angah. Kami pun meneruskan perjalanan menuju ke utara melalui Lekir. Mentua Nazihah tinggal di Lekir. Kami singgah rumah mentua Nazihah untuk beraya. Mereka menjamu kami makan nasi walaupun masa itu jam menunjukkan pukul 3:00 petang. Alhamdullilah...
Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke utara melalui Setiawan,Ayer Tawar, Beruas,Changkat Jering, Taiping,Bagan Serai dan tiba di Pekan Batu 5,terus singgah menziarahi abah di rumah makcik di Parit Haji Ali.
9 adik beradik ummi
Rupanya semua adik beradik dah ada berkumpul di sini. Yang tak ada cuma kakak sulong, adik nombor 7 dan 8. Adik-adik yang lain datang bawa semua anak-anak.Maka ramailah adik beradik dan anak saudara yang ditemui. Meriah sungguh sebab ada anak-anak yang masih kecik dan ada anak-anak yang dah besar-besar belaka. Tanya pada abah bilangan cucu-cucunya,abah kata ada 46 orang sekarang ini. Ingatan abah masih kuat,cuma fizikal sahaja yang agak kelihatan uzur. Semoga abah dikurniakan kesihatan yang baik sehingga akhir hayatnya.
Abah dengan adik-adik ummidi rumah Abah di Parit Haji Ali.
Bila bertemu masing-masing mula bercerita hal diri masing-masing. Lama tidak bertemu. Kami ada 9 adik beradik. Hubungan ummi dengan adik-adik dan kakak sangat rapat dan mesra. Semoga hubungan ini mendapat rahmat dan redha Allah hingga ke akhirat. Menjelang maghrib semua kami berangkat menuju ke rumah arwah mak di Parit Haji Tahir pula.
Sehingga di sini dahulu siri 2 Kembara AidilFitri. Ketemu lagi dilain ketika.
Kembara Aidil Fitri baru ini membawa ummi sekeluarga menjelajah 7 negeri merentasi Semenanjung Malaysia dari selatan ke utara. Menziarahi saudara mara dan kenalan yang jauh dan dekat.
Bermula dari tarikh 8 September, jam 12:01 am, ummi dan keluarga bergerak meninggalkan rumah di Taman Pulai Utama menuju ke Selangor melalui negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Rumah pertama di tuju ialah rumah adik zauj yang bongsu di Dengkil. Kat sini ada mak mentua. Itu sebab zauj menuju ke sini dahulu, keutamaan untuk bertemu dengan ibu nya.
Kami tiba rumah adik jam 3:21 pagi. Berehat seketika, lelapkan mata sementara menanti mereka menyediakan jaudah untuk bersahur. Jam 4:45 am bangun dan melakukan solat malam dan solat witir. Lepas itu makan bersama-sama keluarga adik.
Sementara menanti azan subuh, membaca sehelai dua al-quran. Walaupu zauj dah khatam al-quran dalam Ramadhan ini, tetap zauj buka dan baca lagi. Sebaik selesai solat subuh,kami berangkat meneruskan perjalanan ke kampung mak mentua di Sg. Sireh , Tanjong Karang.
Tiba di Sg Sireh pada pukul 8:15 pagi. Sunyi sepi rumah ini. Dah lama rumah ini tidak di huni sejak meninggalnya arwah ayah mentua. Semua anak sepakat tidak mengizinkan mak mentua tinggal di rumah ini seorang diri.
Mak mentua pula seorang yang memahami keadaan anak-anak. Jika ada anaknya yang berkorban balik kampung dan tinggal menemaninya,mak akan fikir,kerja apa yang ada sesuai di kampung ini buat mencari rezeki? Sedangkan semuanya telah memiliki kerja yang bagus untuk menyara keluarga masing-masing.
Mak pun sedia untuk tinggal bergilir -gilir di rumah mana yang dia sendiri akan pilih. Nampaknya setelah hampir 9 tahun arwah ayah pergi, mak serasi tinggal dengan sesiapa sahaja antara 6 orang anak lelakinya. Mak serasi dengan semua menantu perempuan tak kira dari melayu jawa, melayu banjar atau melayu laut.
Semua menantu menganggap mak mentua seperti mak sendiri. Menyediakan masa dan melayan mak dengan baik. Mak selesa tinggal dengan siapa sahaja antara 6 orang menantu perempuan mak. Anak cucu pun sama,suka jika nenek tinggal bersama-sama.
Bila masuk sahaja rumah mak yang katanya dah 3 bulan tidak dijenguk, rumah agak bersih kerana abang zauj dan isterinya telah datang membersihkan rumah itu pada hujung minggu lepas. Sampah telah disapu dan debu-debu telah di vakum.
Namun,bila ummi ke dapur, dibawah singki dan masuk bilik air,ummi ternampak sarung ular panjang dan berwarna putih. Sarung ular lepas bersalin kulit. Ummi seorang yang penakut, terus lari meninggalkan tempat tu. Minta zauj datang lihat dan bersihkan dulu.
Ummi jumpa 3 tempat ada sarung ular lepas bersalin kulit. Satu lagi ummi jumpa di tempat spin mesin cuci manual. Nampak saja,terus lari ke depan.
Bila sudah dibuang dan dibersihkan,baru ummi masuk dapur untuk berkemas dan menyediakan bahan-bahan untuk memasak petang nanti.
Sempat 2 kali berbuka puasa dan sekali bersahur di rumah mak mentua. Di rumah mana pun,tetap ummi yang masak dan menyediakan makanan untuk zauj, anak-anak dan kali ini ada mak mentua.
Memanggang ayam secara tradisional
Sehari sebelum hari raya, ummi,zauj dan anak-anak menyediakan jaudah berbuka yang menyelerakan. Penutup Ramadhan. Walaupun sedih Ramadhan akan berlalu , namun perpisahannya tetap perlu dihadapi. Ayam panggang, ikan keli bakar, sambal matarang, air asam pisang muda dan pecal tauge pendek dengan pucuk ubi.
'Menggarik' timun betik
Minuman, zauj buat coctail tradisional, timun betik + gula + santan + air batu. Enak dan mantap. Timun betik dicincang halus dan dicampur ke dalam santan yang telah dimasuk gula dan air batu.
Pada malam 1 Syawal, kebiasaan orang akan menyediakan berbagai-bagai masakan seperti lemang,ketupat, rendang, sambal kacang dan kari daging. Tetapi ummi dan zauj tidak menyediakan apa-apa makanan seperti kebanyakkan orang lain. Kami hanya duduk bersama-sama anak beranak saling bermaafan dan berbual untuk mengeratkan hubungan.
Awal subuh 1 Syawal, selesai mandi sunat Aidil Fitri, ummi terus sibuk di dapur menyediakan makanan di pagi raya. Makanan sebelum mereka pergi menunaikan solat Aidil Fitri.
Di pagi Aidil Fitri(Abdullah dan Imran)
Ummi cuma mask nasi putih, dan nasi goreng telor. Lauk untuk nasi putih adalah ayam sambal,sambal matarang, ikan keli goreng dan sambal kicap asam. Itu saja jaudah dipagi Aidil Fitri. Tak ada lemang atau ketupat yang ummi sediakan.
Dah macam jadi tradisi pulak. Anak-anak pun tak kisah dan mereka suka dengan cara ummi menyambut Aidil Fitri. Semua makan dengan berselera. Lepas tu pergi solat sunat Adil Fitri di Masjid Sg Sireh.
Ciuman kasih seorang anak (Omar)
Selesai solat, mereka balik rumah, dan kami berkumpul ramai-ramai lagi sambil minum-minum menanti saudara mara yang tiba.Sambil itu anak-anak saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.
Rancangan kami setelah 3 hari bersama mentua, kami mahu pergi ke Perak pula,berhari raya dengan abah dan saudara sebelah ummi. Kami menunggu mana-mana adik zauj yang tiba untuk menggantikan tempat kami menemani mak mentua di rumah itu.
Walaupun anak-anak mendesak agar kami segera meneruskan perjalanan ke Perak,ummi menahan sambil menasihati "jangan tinggal nenek seorang diri, macamana ummi dan ayah jaga nenek, macam itu ummi harap anak-anak ummi nanti. Jangan sekali-kali nanti tinggal ummi seorang diri di rumah terutama di hari raya"
Anak-anak akur dengan nasihat ummi dan menunggu dengan sabar. Jam 11:00 pagi,barulah adik zauj sekeluarga tiba. Bila mereka tiba,setelah bersalaman,teruslah kami semua,ummi dan zauj sebuah kereta, angah dan isterinya sebuah kereta dan Nazihah dengan suaminya sebuah kereta.
Setiap orang mempunyai perancangan berbeza didestinasi seterusnya dalam kembara Aidil Fitri. Sekian entri kali ini...bersambung entri ke dua dan ketiga dilain masa akan datang.
MasyaAllah, rupanya semakin meningkat usia,kudrat dan stamina tubuh apabila melakukan aktiviti semakin berkurang. Tak boleh bertahan lama untuk berdiri apatah lagi untuk berjalan.
Walaupun di rumah sahaja, bukan pergi shopping pun, tetap banyak berjalan ke depan ke belakang. Dari belakang, angkat pakaian nak disidai di depan rumah, 3 kali ulang alik dah penat dan berpeluh-peluh.
Kalau memasak di dapur, tengah masak tu,peluh dah merintik di dahi hingga meleleh membasahi muka. Bukan ketika masak untuk berbuka,masak ketikabersahur pun sama juga. Masak ketika sahur , lagilah kepenatan sebab sebelum tu 'merempit'.
Alhamdullilah , sehingga hari ini, puasa hari yang ke 25, tak ada makanan berbuka yang dibeli di Bazaar Ramadhan, kecuali hari tu ada 4 kali berbuka ditempat lain.
Puasa hari yang ke 15, FTI buat Majlis Khatam Quran dan iftar. Makan di sana sebab jemputannya sekeluarga.
Ketika puasa hari yang ke 17, dalam perjalanan ke KL. Keluar dari rumah jam 5 petang, niat mahu berbuka diperjalanan sahaja. Dalam kereta bawa bekal air oren dan kurma. Rancangannya nanti waktu buka akan tiba di R & R Ayer Keroh, berhenti di sana untuk berbuka puasa dan makan.
Tapi siapa yang tahu apa yang di dalam perancangan Allah. Sebaik selepas persimpangan bertingkat Ayer Bemban, di km 180, kereta bergerak perlahan. "JEM". Kereta berhenti terus. Lepas tu bergerak dalam kadar yang sangat perlahan selama 1 jam. Dalam masa itu, di laluan sebelah kanan,kelihatan beberapa buah kereta bomba,ambulance dan kereta polis. Oh...ada kemalangan rupanya.
Bila tiba di KM 189 baru nampak kesan kemalangan, kesan terbakar, masih ada ahli bomba yang tunggu. Sebuah lori dan sebuah kereta. Tak tahu cerita penuhnya samada ada nyawa terkorban.
Masa melewati kawasan kemalangan dah lepas jam 8:00 malam, kebetulan Naimah tidor, jadi zauj malas nak berhenti makan. Masa azan di kawasan Melaka, jam 7:19, berbuka dengan buah tamar dan minum air oren yang memang ummi bawa dari rumah.
Sampai Ampang,jam 10:00 malam, baru makan nasi. Tidor dua malam di rumah Najdah, sempat 2 kali bersahur dan sekali berbuka puasa bersama-sama dengan Najdah dan Omar. Buka puasa hari Sabtu, ummi masakkan kerabu jantung pisang, ikan siakap kukus, ikan selayang goreng, ayam madu(suami Nurhumaira' beli kat bazaar Ramadhan) dan asam pedas mangga. Najdah buat kuih popia.
Ummi jemput Nurhumaira' Lau, anak angkat ummi berbangsa cina. Nurhumaira' datang bersama dengan suami dan anak-anaknya. Lama ummi tak jumpa cucu 2 orang ni, Amir Arshad dan Adi Farhan. Kali terakhir jumpa masa walimah rumah ummi di Johor pada 5 Jun 2010.
Selepas solat isya', Nur humaira' balik rumahnya. Angah dan isterinya pula sampai. Angah tak dapat berbuka puasa dengan ummi sebab, jadi imam solat tarawikh sepanjang Ramadhan ini di surau tempat dia tinggal di Setia Alam. Nak berulang jauh sangat. Angah datang bawa laksa utara. Itu saja jaudah berbuka angah hari tu, sama macam ummi didik di rumah,berbuka dengan satu jaudah. Angah cuma dapat bersahur sekali sahaja dengan ummi pada bulan puasa tahun ini. Sahur tu, ummi masak simple juga, sup kambing dan sayur campur.
Hari Ahad 29 Ogos, sebaik zauj habis kelas jam 3 petang, berehat seketika, jam 5:00 petang, baru ummi dan zauj bergerak balik ke Johor Bahru. Sekali lagi berbuka puasa di perjalanan. Kali ini perjalanan lancar. Ketika azan maghrib berkumandang jam 7:15 malam, kami dah melewati Yong Peng. Zauj malas nak berhenti di mana-mana R & R, sebab selalunya makanan di R & R tak sedap. Kami berbuka dengan air dan kurma lagi di dalam kereta. Sampai Plaza Tol Skudai,baru buat solat jamak takdim. Lepas tu singgah di Taman Sri Skudai, cari warung yang zauj suka makan 'mee kungfu'. Dah jam 9:00 malam baru kami makan. Itupun zauj dan Imran makan mee kungfu, ummi makan mee hong kong dan Naimah makan mihun sop. Lepas makan balik rumah.
Sampai rumah, mengemaskan kereta. Zauj mandi dan terus rehat, kerana kepenatan mengajar dari pagi dan memandu perjalanan yang jauh. Ummi pun rehat juga sebab nanti nak bangun awal. Solat Tarawikh belum buat lagi. Alhamdullilah,jika tiada keuzuran syarie, ummi dapat melaksanakan solat terawikh walaupun solat sendirian.
Tak tahu kenapa stamina ummi memang dah jauh lemah. Sebab itu selepas solat maghrib , ummi perlukan rehat dan tidor awal. Selepas rehat selama 4 jam, baru ummi mempunyai tenaga semula dan dapat mengerjakan solat tarawikh di tengah malam seorang diri. Seawal jam 2:00 ummi dah bangun. Selesai semua urusan 'merempit' barulah ummi masak. Ummi jarang mahu tidor diwaktu siang. Kadang-kadang memang mata sangat mengantuk hingga tersengguk-sengguk, tapi tak juga berbaring.
Ummi menggelak tidor waktu siang kerana bila ummi bangun dari tidor, badan jadi lesu,tak bermaya, letih dan macam orang mamai. Tenaga hilang, langsung tak boleh buat apa-apa. Itu sebab ummi tidak mahu tidor di waktu siang.
Hari ini, ummi cuma nak masak bakso saja. Semalam ummi masak mee kari. Simple sangat jaudah berbuka ummi. Hanya satu jenis makanan dan satu jenis minuman. Air karot susu.
Pada 31 Ogos,puasa hari yang ke 21, ummi buat iftar di rumah ummi. Zauj jemput beberapa pelajar yang mengikuti kelas Pemurnian Hati (kelas AL-Hikam) dan pelajar SPI yang ikut Program ke Kemboja tahun lepas. Ummi juga jemput beberapa orang halaqian yang tinggal sekitar Johor Bahru dan Skudai datang berbuka bersama-sama.
Kelebihan menjamu orang berbuka puasa
1) Daripada Anas telah berkata: telah ditanya Wahai Rasulullah! apakah sedekah yang lebih afdhal? sabda S.A.W yang bermaksud : "Sedekah pada bulan Ramadhan" [Riwayat imam Tarmizi, Al-Baihaqi, Ibn jauzi dan Al-Baghawi]
2) Daripada Zaid bin Khalid Al-Juhni telah berkata: talah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : " Sesiapa yang menjamu orang yang berpuasa adalah baginya pahala sebagaimana orang yang berpuasa tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang berpuasa sesuatu, dan sesiapa yang menyiapkan untuk orang yang pergi berperang atau mengalihnya pada ahli keluarganya adalah baginya seperti pahalanya tanpa berkurangan daripada pahalanya sesuatu." [ Riwayat imam Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Habban, Ahmad dan Al-Baihaqi]
Pengajaran hadis:
1. Memberitahu kita mengenai kelebihan bersedekah pada bulan Ramadhan.
2. Bagi mereka yang membuat jamuan berbuka maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa menjejaskan pahala orang yang berpuasa itu(tetamu).
3. Digalakkan agar kita membuat jamuan kepada orang yang berpuasa.
4. hadis juga menekankan berkenaan kelebihan bagi mereka yang menyiapkan segala kelengkapan bagi mereka yang keluar berperang iaitu dia akan mendapat pahala sebagaimana mereka yang keluar berperang.
5. Dalam mengadakan jamuan, kita dilarang membazir malah kita hendaklah melakukannya mengikut kemampuan yang ada.
Memang dari hari pertama Ramadhan kali ini,ummi pastikan ada makanan berbuka untuk dijamu kepada orang berpuasa selain dari keluarga sendiri. Ummi masih meneruskan tradisi memberikan makanan kepada jiran sebelah. Oleh kerana sebelah kana ada lah keluarga cina, jadi hanya jiran sebelah kiri sahaja yang diberikan jaudah berbuka.
Semoga apa yang ummi tulis kali ini akan menjadi teladan kepada anak-anak ummi apabila ummi telah tiada lagi nanti. Banyakkan bersedekah tidak kira ketika kaya atau miskin, ketika ada duit atau tiada. Jika tiada duit, sedekahlah apa-apa yang mampu. Terutama orang-orang yang datang berjaja di depan rumah, menjual ikan kering atau kitab kecik, belilah barang 1 atau 2 bungkus/buah. Anggapkan sedekah sahaja jika nilai wang diberikan lebih dari nilai iakan kering atau kitab kecik tu.
Kalau ketika tu benar-benar tak berduit, berikan makanan atau minuman kepada mereka yang sedang kehausan menjaja barang-barang itu.
Begitu juga jika ada orang dalam kesusahan ingin berhutang atau meminjam duit. Jika tak ada banyak,berikan seadanya, jangan menghampakan permintaan orang. Jika kita hampakan harapan orang, suatu hari nanti mungkin Allah hampakan harapan kita pula.
Kenapa ganjaran lebih besar diberikan kepada orang yang memberikan pinjaman atau memberikan orang berhutang:
Mereka tidak akan berhutang atau meminjam jika keadaan tidak mendesak.Sumber dari Halaqahnet.
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”
Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.
Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.
* Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8
Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al Baqarah 222.
Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kita? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli.
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.
Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.
Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156
Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.
Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.
Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.