Aku rasa inilah blog yang paling tidak memberi inovasi dan manafaat pada orang lain. Blog ini memang hanya blog untuk aku meluahkan rasa hati aku yang gundah dan hiba.Ntah kenapa sejak akhir-akhir ni, walaupun aku sudah berehat di rumah, diberi cuti sakit, sampai raya nanti, namun hati ku ini tetap selalu sedih dan pilu. Di rumah aku, aku sentiasa bersama kasih ku. Aku menangis, aku senyum bersama dengannya. Bagaimana aku mahu menghilangkan rasa debar, rasa gentar menghadapi sakaratul maut?
Pagi tadi angah kirimkan pada aku satu catatan seorang suami yang redha dengan kematian isterinya. Aku bercita-cita juga untuk mati dalam redha suami. Memang itu saja doaku dari dulu hingga sekarang. Aku tidak pernah mendampakan kemewahan atau kekuasaan, yang aku selalu pinta hanya redha suami ke atas ku. Mungkin satu saat jika aku diberi kesempatan, ingin juga aku coretkan kehidupan alam rumah tangga ku yang akan mencecah 25 tahun pada 9 Disember ini. Ingin aku kongsikan dengan anak-anak supaya mereka mengambil tauladan dan iktibar cara aku melayari hidup dan kehidupan berumah tangga.
Mengikuti jejak , adap, akhlak, cara layanan seorang isteri kepada suaminya. Aku tahu mata mereka melihat bagaimana taat, patuh, kasih dan sayang ku pada suami. Aku tidak pernah mahu membantah , apa lagi melanggar larangannya. Selama berumahtangga, aku merasa amat bahagia berada di sisinya. Suamiku telah membelai, mencurahkan sepenuh perhatian dan kasih sayangnya kepada aku.Aku yang telah teruji dengan segala macam penyakit ini,teramat yakin dengan kasih sayang suami ku yang tulus. Aku ditatang bagaikan mutiara,dibelai ibarat permata dan dilindungi ibarat aku kaca, bimbang aku jatuh berkecai.
Dalam tempoh 10 tahun yang akhir ini, sejak tahun 1999, aku telah mula mengalami gangguan kesihatan, sering keluar masuk wad HSAJB. Teman yang tidak pernah gagal untuk mengunjungi ku setiap waktu melawat adalah suami ku. Biar berminggu aku di wad, suami ku tetap datang tidak kira waktu dan masa. Bersama dia aku senyum, bersama dia aku menangis. Tapi sifat aku, aku tidak suka menangis depan suami. Kalau boleh aku sembunyikan tangisan ku dari diketahui olehnya.
Sejak adanya telefon, satu sistem telekomunikasi yang mampu dimiliki oleh setiap orang sekarang ini, aku telah dihadiahkan telefon tangan ini sejak tahun 1998 lagi. Sejak itu hubungan aku bersama suami ibarat belangkas, walaupun jauh dimata. tapi sentiasa dekat di telinga. Memang jadi rutin, 2 jam sekali suami akan call aku walau dicerok dunia mana aku berada. Sebab itu kenapa aku tidak boleh off hp, tidak boleh jaauh dari hp dan tidur pun bersama hp. Sebabnya aku tidak mahu suami bimbang dan risaukan aku. Aku juga pelakon nombor satu, bila sendirian aku sukaa menangis, jadi bila saja suami call, supaya dia tidak bimbang , aku kena ubah suara agar dia tidak dapat mengesan tangisan aku melalui telefon.
Aku suka memudahkan suamiku. Kalau ada sesuatu program , rancangan atau apa sahaja masalah, aku bukan tidak suka berbincang dengan suami tapi aku suka melapor sahaja, semua yang telah siap dirancang, kalau masalah ,yaang telah siap dengan jalan penyelesaiannya. Ini akan meringankan kepalanya dari memikirkaan hal aku dan keluarga. Jika dia tidak setuju, dia boleh berikan pandangan dan pendapat, namun selama ini, dia lebih suka ikut apa yang telah aku rancangkan. Sebab itu juga, walau ke pasar untuk membeli barang dapor atau ikan, suami suka bersama aku, sebab dia tak payah fikir apa yang nak dibeli...
Bagi aku urusan rumahtangga, anak-anak, aku yang fikirkan, cukuplah dia dengan bebanan untuk memikir, merancang berkaitan kerjaya dan jamaah. Jadi bila dia balik ke rumah, kepalanya lapang, ringan dan tenang. Sebab itu kalau ditanya, tempat mana yang paling di sukainya, pasti jawapannya adalah di rumah. Tidak ada tempat lain yang paling menyenangkan hati dan jiwanya melainkan rumahku, yang dianggapnya syurga dunia. Inilah lafaz yang selalu disebutnya dari dulu hingga sekarang.
Rumahku ini sangat meyenangkannya, kalau di ajak keluar, rasa bercinta sangat sebab sayang nak tinggalkan rumah. Rumah yang kami duduki ini, aku ibaratkan seperti hadiah dia kepada ku. Masih tergiang di telingaku ini, suatu hari dia mengajak aku tengok -tengok rumah.
Katanya "bukan nak beli, tengok-tengok je".
Aku pun pergi dibawanya ke satu taman perumahan yang baru siap, rumahnya telah tersergam lengkap. Aku ditunjukkan sebarisan rumah 3 tingkat yang berwarna putih dan tiang roman, batu botolnya berwarna ungu.
" Cantik macam kek", kataku padanya.
Aku bertanya, "kalau abang ada rezeki , nak beli ke rumah tu?"
Dia diam sahaja, cuma dijawapnya, "sayang lah rumah tu, besar dan luas" depannya pula tanah lapang, dan pemandangan dari tingkat 2 dan tingkat 3 adalah Pulai Spring Resort. Memang menawan dan mengasyikkan pemandangan nya, udara segar dan tenang mendamaikan.
Selepas itu, aku balik rumah, 3 hari aku bersolat istiharah, sehingga aku merasa berkeinginan untuk memiliki rumah itu, dan aku nyatakan hasratku pada suami. Bila dia dengar, terus sahaja dia pergi ke pejabat SUK negeri Johor untuk menempahnya. Slepas itu, apa yang ku lakukan pula ialah bersolat hajat mohon dipermudahkan urusan pembelian kerana tika mahu mendaftar tempahan sedikit wang pun tak ada, sedangkan pemaju minta 10% harga rumah. Alhamdullilah segalanya memang dipermudahkan Allah dengan berlakunya kejaiban yang tidak diduga kepada kami. Rumah ini kami diami pada Ramdahan tahun 1999, 3 bulan sebelum aku dan suami pergi menunaikan haji ke Makkah.
Doaku " Wahai Tuhan yang maha Penagasih, jadikan lah rumah ini, rumah yang Engkau redhai, limpahkan rahmat, kasih sayang, kurniaan dan keredhaan MU ke atas rumah ini dan penghuninya, serta sesiapa sahaja yang memasuki rumah ini."
Rumah ini kami cat sendiri, decoration dan hiasan kami berdua yang pilih. Barulah aku dapat mengesan citarasa suami ku sendiri dan bertambah mnegenalinya selepas bernikah selama hampir 15 tahun. Rupanya suami ku ini suka dengan hiasan yang santai,kreatif dan inovatif. Sangat terujanya aku dengan citarasa hiasan dari tangannya. Sejak itu aku mula membeli majalah Anjung Seri untuk panduan menghias rumah, laman, bilik dan dapur. Oh..rupanya suami ku ini bercitarasakan rumah ibarat resort, suka tema tropika. Patut pun tunjukkan rumah yang depannya ada padang Golf...
Saat paling indah bagiku yang puncak kebahagiaan berumahtangga bersama suami ku ini ialah sewaktu pergi menunaikan haji kali pertama tahun 2000. Saat itu kami merasakan ibarat berbulan madu. Nikmat dan bahagianya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, syukur "ya Allah kerana melimpahkan rasa itu dihati ku ketika aku di dunia lagi". Haji 2009 pula , aku mengibaratkan seperti berada di syurga. Walaupun aku dengan serba kekurangan, tapi nikmat dan kemudahan yang Allah limpahkan kepada aku berganda-ganda. Selama kami berada di Tanah Haram, kemana jua melangkah sentiasa bersama. Ke masjid, tawaf, saie, kami berpimpinan tangan. Melontar jamrah, kami berpelukkan agar tidak terlepas, bimbang jika setakat berpegang tangan bila rempuhan manusia, akan terlepas. Syukur, segalanya di lalui dengan manis dan membahagiakan.
Aku mengharap mati dalam redha suami di pangkuannya...
No comments:
Post a Comment