Saturday, 22 August 2009

Pergi Tak Kembali Lagi


Sesungguhnya saat ini, aku merasa pilu bila mengingati mati. Air mata ku terus mengalir menghayati bait-bait lirik ini. Suatu ketika dulu , tahun 2001, aku amat gemar mendengar bait-bait ini di nyanyikan oleh kumpulan Rabbani. Ketika itu , aku dah memang sering berulang alik masuk wad di HSAJB.

Semasa aku dimaklumkan kenapa aku perlu jalani biopsy hati, aku selongkar buku-buku dari khazanah aku tentang patalogi perubatan. Aku study, kenapa aku perlu jalani biopsy hati. Bagi aku, setiap inci tubuh badan aku yang diusik oleh doktor, aku perlu tahu kenapa dan apa sebabnya. Selepas dari beberapa kali aku keluar masuk wad, aku pernah membuang diri sendiri, menjauhkan diri dari anak-anak semata - mata aku tidak sanggup anak-anak terasa kehilangan aku secara mengejut. Begitu dasyatnya perasaan aku ketika itu, tidak sanggup menanggung rasa kerana mengenangkan anak akan kehilangan ibu.

Syukur hingga hari ini masih bernyawa, namun bayangan kematian dan sakaratul maut tidak pernah padam dari bayangan dan ingatan aku. Pernah, disaat aku sarat mengandungkan Muhammad Imran, aku di dalam kereta bersama zauj untuk ke bandaraya, dipertengahan jalan, aku terdengar bunyi siren ambulan, zauj memandu ketepi untuk memberi laluan kepada ambulan itu, yang aku disebelahnya menangis teresak-esak, zauj tanya kenapa?
"ummi bayangkan yang dalamambulan tu, diri ummi"

Begitu rapuh jiwa aku ketika itu...

Satelah bertahun aku diuji dengan berbagai penyakit dan kesakitan, aku telah jadi tegar, kuat dan redha dengan anugerah Allah yang istimewa ini. Sekarang aku menganggap segala penyakit dan kesakitan ini adalah anugerah istimewa Allah kepada aku. Sebab, jarang ketemu seseorang itu diuji dengan pelbagai penyakit serentak, namun, aku masih kuat dan sihat. Aku masih mampu tersenyum, dan ketawa, hidup dalam ceria. Sungguh aku katakan, Allah menghendaki aku merasai nikmat ceria itu sekarang, agar aku rasa tenang dan bersemangat menjalani kehidupan ini. Ketenangan dan keceriaan ini bukan untuk diri aku sahaja, tetapi untuk zauj dan anak-anak juga. Sebab bila aku tersenyum, dan leka membaca, mengadap halaqahnet, mereka juga akan merasai ketenangan dan keceriaan hati aku.

Cuba kalau aku sentiasa sedih, hiba dan pilu mengenang kesakitan yang ditanggung, mereka juga susah hati sebab, mereka tidak merasakan apa yang aku rasa, tapi sebagai makhluk yang mereka sayangi, mereka juga akan terasa pedihnya. Maka itu, aku mesti=wajib menceriakan diri dan hati aku demi kepentingan orang-orang yang aku sayangi.

Aku mesti kuat , tabah , sabar dan bersemangat untk meneruskan kehidupan ini. Teman ku setiap hari hanyalah alunan suara bacaan Quran Maqra' alhaudhie dan halaqahnet. Jika blog ini hanyalh luahan hati aku sahaja, jika mahu mencari ilmu yang ilmiah , selongkarlah tulisan dan kiriman aku di halaqahnet , permata hati , anugerah yang ku terima dan seharum jannah. Blog yang ini, memang khusus luahan hati aku sahaja. Sebab itu aku tidak berapa publish pada ramai orang. Kalau terjumpa, jumpalah. Catatan aku disini hanya sebagai kenangan buat anak-anak cucu aku suatu hari nanti untuk mereka mengenali siapa opah mereka.

Rasanya cukup catatan hari pertama Ramadhan, hari yang aku mulakan dengan tangisan sendu sebaik lepas solat subuh tadi kerana hati ku tersentuh dengan bait-bait pergi tak kembali lagi.

"Pergi Tak Kembali Lagi"
Setiap insan pasti merasa,
Saat perpisahan terakhir,
Dunia yang fana akan ditinggalkan,
Hanya amalan yang dibawa.
Terdengar sayup surah dibaca,
Sayunya alunan suara,
Cemas di dada...lemah tak bermaya,
Terbuka hijab di depan mata.
Selamat tinggal pada semua,
Berpisah kita selamanya,
Kita tak sama nasib di sana,
Baikkah atau sebaliknya.
Amalan dan takwa jadi bekalan,
Sejahtera bahagia pulang...ke sana.
Sekujur badan berselimut putih,
Rebah bersemadi sendiri,
Mengharap kasih anak dan isteri,
Apa mungkin pahala dikirim.
Terbaring sempit seluas pusara,
Soal-bicara terus bermula,
Sesal dan insaf tak berguna lagi,
Hancurlah jasad dimamah bumi.
Berpisah sudah segalanya,
Yang tinggal hanyalah kenangan,
Diiring doa dan air mata,
Yang pergi takkan kembali lagi.

No comments:

Post a Comment