4 kali pengalaman ummi bersama dengan orang sakit, rohnya dijemput dihadapannku cukup menginsafkan diri ini. Tapi entri ini hanya 2 cerita pengalaman saja ummi paparkan. Kisah yang 2 lagi ummi tulis pada masa akan datang , insyaAllah.
Kali pertama, ketika di hospital menjaga Najdah sakit, tiba-tiba seorang wanita di sebelah katil merayu di berikan air, ummi yang tiada pengalaman apa, tidak berani memberikan apa-apa, takut memudaratkan pesakit. Sekadar duduk di sebelah dan memicit tangannya sahaja, sambil mulut perempuan itu berkata " cuba lihat di atas tu, ramainya orang datang" sambil jarinya menunjuk ke atas. Ummi turut memandang tempat yang ditunjukannya, tapi tiada apa yang ummi lihat.Bila datang seorang sister( ketua jururawat) dia terus bertanya ummi, "dia ada minta apa?" "Dia minta air". "Berikan sahaja" kata sister. "Ajar dia mengucap." sambung sister itu sambil berlalu pergi.
Ummi pun memberikan air minuman ( air biasa) , setelah itu terus mengajar dia mengucap. Selepas dia minum air, mulutnya terus senyap dan hanya gerak anak matanya sahaja yang mengikuti ucapan syahadah yang ummi bacakan. Beberapa kali ummi ulang hingga akhirnya nafas terhenti dan matanya kaku. Subhanallah...kali pertama aku berhadapan dengan orang yang rohnya di cabut di depan ku.
Kali ke2, berhadapan kematian dengan ibu sendiri. Hari itu hari raya haji yang ke dua. Hari Tasyrik. Semalamnya hari raya Aidil Adha, ummi menguruskan korban 2 ekor lembu di rumah ummi Johor Bahru. Selesai urusan pengagihan daging-daging di sekitar taman perumahan, bakinya tulang-tulang, ummi masak sup dan buat daging goreng kunyit untuk menjamu pelajar-pelajar UTM yang tidak pulang berhari raya di kampung halaman.
Mereka tidak pulang kerana, selalunya apabila hari raya haji, cuti umum hanya satu hari sahaja, maka terlalu singkat untuk pulang, tambahan kali ini cuti hari raya aidil adha jatuh pada hari Selasa. Jadi cutinya memang satu hari sahaja. Keesokan nya hari Rabu, sepatutnya ummi bekerja juga, tetapi malam itu, mungkin keletihan, ummi demam dan migrain. Pagi-pagi ummi terus ke Klinik Norila untuk mengambil ubat dan diberikan sijil cuti sakit selama 2 hari, untuk hari Rabu dan Khamis.
Ummi pun berehat saja di rumah sambil melayan pelajar-pelajar UTM yang datang menjamu selera. Kebanyakkan pelajar tahu, bila ada jemputan rumah terbuka di rumah ummi, mereka perlu layan diri, makan kena ambil sendiri dari periuk besar yang memang tersedia di depan rumah, dan pinggan pun mereka kena cuci selepas makan. Semua makanan dan minuman sudah disediakan dalam bekas besar, cuma perlu ambik dan cuci semula. Memang tidak ada sesiapa untuk melayan mereka makan kecuali ummi sahaja.
Tiba-tiba ummi mendapat panggilan telefon dari adik Na di Perak, mengkhabarkan mak jatuh pengsan di bilik air pada jam 8:30 pagi. Bukan mak tidak sedar, cuma mak rasa lemah dan tidak boleh bergerak. Badan mak sebelah kanan tiba-tiba mati sebelah. Terus adik Na menjerit panggil tok Ngah Dah untuk membantu adik Na. Waktu tu adik Na tengah hamil 5 bulan, mana larat nak angkat mak sorang-sorang. Bila Aie, suami adik Na balik, terus mereka bawa mak ke hospital Parit Buntar.
Di sana pemeriksaan dibuat,tetapi mereka tiada kepakaran, sebab hospital Parit Buntar cuma hospital daerah sahaja, maka mak dihantar dengan ambulance ke Hospital Taiping. Adik Suhana yang menemankan mak di dalam ambulance itu. Sampai di Hospital Taiping, setelah pemeriksaan lengkap dijalankan ke atas mak, mereka dapati terdapat pendarahan di otak mak. Ada 3 spot tempat pendarahan terjadi. Mereka juga tidak ada kepakaran dalam merawat orang yang kena storke/angin ahmar, jadi mereka pun menghantar mak ke Hospital Besar Ipoh. Oleh kerana adik Suhana tiada anak kecik, maka sekali lagi dia yang temankan mak dalam ambulance ke Hospital Ipoh.
Abah, mak muda, kakak dan adik-adik yang lain seramai 7 orang pergi menaiki kereta masing-masing mengiringi ambulance ke Hospital Ipoh. Mereka menyampaikan khabaran pada ummi yang mak ada di Hospital Ipoh ,maka ummi tidak perlulah ke Parit Buntar. Ummi masih di rumah ketika itu, sebelum ummi bergerak memulakan perjalanan, ummi perlu ke sekolah dahulu untuk ambik surat jaminan untuk mak(GL), perlu maklumkan pada pengetua tentang cuti.
Terdetik di hati ummi ketika itu, sebab kebiasaannya, orang yang sakit angin ahmar akan mengambil masa yang lama untuk sedar atau sembuh, maka ummi terus memaklumkan pada pengetua, hasrat ingin bercuti panjang kerana mahu menjaga mak yang sakit di hospital. Mulanya ummi mahu naik bas sahaja, kerana ummi nak balik lama jaga mak sakit, tapi zauj tak beri izin naik bas, maka zauj yang hantar ummi ke Ipoh.
Bergerak dari rumah jam 4 petang, perjalanan agak lambat kerana bertembung dengan hari raya aidil adha yang ke2, maka banyak kereta di lebuh raya. Ummi berhenti solat asar di R&R Ayer Keroh dan berhenti solat jamak takhir maghrib Isyak di R&R Tapah. Ummi sampai di Hospital Ipoh jam 11:30 malam dan jumpa adik-adik sebentar sambil bermesyurat pendek, dan memutuskan menyuruh semua adik-adik dan kakak balik berehat kerana mereka telah seharian di hospital bersama-sama mak .
Kini tiba giliran ummi, dan ummi memutuskan buat permulaan , ummi yang akan teman mak di wad. Tepat jam 12:00 malam baru ummi dapat naik ke wad, kawalan dan peraturan hospital Ipoh agak ketat juga,maka perlu melalui beberapa prosedur untuk dapat kebenaran menemankan mak di wad. Masa ummi nak ke Ipoh dari JB, ummi dah bawa segala kelengkapan untuk menjaga mak dalam jangka masa yang panjang. Tiba di katil ibu, jam 12 tengah malam, bersalam dengan mak dan berbisik di telinganya, " mak, kalau mak dengar dan faham apa yang muna cakap, mak genggam ya,tangan muna." Mak memberi respon dan mengenggam tangan kiri yang masih boleh bergerak itu. Seluruh badan di sebelah kanan mak telah tidak bergerak lagi.(mati sebelah). Mata mak sentiasa terpejam, jadi tidak pasti adakah mak tidor atau sedar.
Sepanjang setengah malam itu, mak genggam tangan ummi, hingga masuk waktu subuh. Bila terdengar azan, ummi berbisik ke telinga mak, "mak, subuh dah masuk". Tujuan ummi beritahu agar, mak mengerjakan solat di dalam hati sahaja kerana dia masih boleh memahami dan mendengar suara ummi melalui respon gengaman tangan. Selepas solat subuh, ummi kembali ke tepi katil, tiba-tiba ummi terdengar seperti bunyi berdenguran sebanyak 3 kali. Ummi ingat mak tidur. Ummi pun teruskan membaca surah Yasin berseorangan diri.
Kebetulan lalu seorang doktor, dan menyapa, sudah lamakah perempuan ini berkeadaan begini? Ummi jawap,"baru sekitar 10 minit". Terus doktor memanggil petugas lain memberitahu bahawa mak tenat dan perlukan bantuan pernafasan. Memang ummi tidak tahu keadaan mak tenat kerana dipenglihatan ummi , mak dalam keadaan tenang sahaja, dan wajahnya seperti orang tidor.
Mereka berusaha selama satu jam, untuk memberikan bantuan kecemasan, kemudian doktor memanggil ummi dan memaklumkan bahawa keadaan mak sangat lemah, mereka mahu memasang mesin pernafasan bagi membantu menyambung hayat mak, tetapi ummi bertanya doktor, "berapa lamakah mesin itu boleh membantu memanjangkan hayat mak?" Doktor pun menjawap "tidak pasti". "Oh...jika doktor sendiri kata tidak pasti,tak payah lah doktor, beri masa yang ada ini, untuk saya berdua dengan mak saya.". kata ummi. Monitor masih menunjukkan hayat mak masih ada, yang lemah cuma dengupan jantung sahaja. Doktor pun membenarkan ummi berada berdua dengan mak tanpa gangguan sesiapa, ummi genggam tangan mak (masa ini mak masih memberi respon pada genggaman tangan ummi ) dan sambil berbisik di telinganya, menyebut khalimah syahadah. Ummi dapat mengulangi beberapa kali khalimah syahadah sehingga badan ummi dipegang oleh doktor, "kakak, mak kakak telah tiada". Ummi pandang pada monitor dan skrin....semuanya telah berhenti dan garisan lurus yang terpapar. Genggaman di tangan ummi sudah longgar dan terkulai.
Ummi hanya terdiam. Sedari mula ummi tidak menitiskan setitik airmata pun. Semua situasi saat itu ummi hadapi sendirian sahaja. Hati ummi berbisik, mudahnya makku pergi. Tanpa menyusahkan kami, walaupun sedikit. Kiranya mak meninggal dalam tempoh 24 jam serangan angin ahmar. Ketika itu jam menunjukkan 8:34 pagi. Wajah mak sangat tenang, putih bersih seperti wajah orang tidor sahaja. Sedangkan dari awal berita menyatakan mak sakit, ummi telah tekad untuk menjaga mak, sebagai bakti seorang anak. Namun Allah telah memudahkan segala urusan.
Disaat mak di bawa balik ke rumah, hanya ummi berdua dengan jenazah mak saja di dalam kereta jenazah. Sampai di rumah, adik-adik telah menyiapkan semua peralatan memandikan jenazah, ummi bersama adik adik memandikan mak, kemudian mengkapan, seterus selesai di sembahyangkan. Selepas jenazah di bawa ke tanah perkuburan, barulah ummi menangis sendiri mengenangkan anugerah Allah kepada ummi.
Ummi seorang sahaja anaknya yang tinggal jauh dari mak (mak selalu kata ummi tinggal di hujung dunia, sebab jauh ke selatan ), ummi selalu bermonolog pada Allah, "aku tinggal jauh dari rumah mak, adakah disaat akhir hayat mak, aku dapat bersama dengannya?" Sedangkan semua adik beradik yang lain tinggal dekat dengan mak kecuali Saleha di Perlis dan Salbiah di Selangor. Ummi memang rapat dengan mak sejak kecik lagi. Walaupun ummi kahwin awal tapi hubungan ummi dengan mak tetap rapat sebab hari-hari ummi telefon mak untuk berbual-bual macam berada di rumah. Rupanya Allah maha mengetahui isi hati ummi, dikurniakan kenangan indah ummi untuk bersama mak di kala rohnya dijemput Ilahi. Saat dan kenangan itu masih tergambar hingga hari ini, seeolah baru semalam berlaku sedangkan peristiwa ini 4 tahun telah berlalu. Mak pergi pada 12 Zulhijjah 1426 H.
Selepas mak meninggal, baru adik-adik bercerita keadaan akhir hayat mak untuk makluman ummi. Kami menyingkap kenangan apa yang mak pernah kata sebaik dia balik dari mengerjakan umrah,mak ada berkata, " kumpul lah duit , pergi Makkah, seronok di sana, mak dah tak mahu pergi lagi."
Sebulan sebelum itu , ummi buatkan kad ATM mak, supaya mudah mak nak keluarkan duit, mak kata "dah tak payah muna masukkan duit lagi, dah tak payah beri mak duit lagi lepas ni". Ummi pun tidak lah ambik kisah sangat kenapa mak cakap macam tu, sebab cara mak cakap, bukan cara orang kecik hati atau apa-apa ke. Lagipun ummi dengan mak tidak pernah bergaduh atau berbahasa yang kurang enak. Masa ini ummi balik rumah mak, ummi tidur berdua dengan mak. Tak tahu, jarang ummi balik rumah mak lebih dari 2 kali setahun, kali ini ummi balik bersama zauj sahaja, tanpa anak-anak kerana ikut zauj kerja luar.
Dan memang tidak pernah pun sejak kahwin ummi tidor dengan mak, tapi kali itu ummi tidor berdua dengan mak sahaja selama 3 malam berturut -turut. Kebetulan pula giliran abah berada di rumah mak muda. Seminggu sebelum itu mak ada berkata pada adik Kamal, "tanamlah pokok sawit ini, mak tak sempat makan hasilnya , bila dapat hasilnya nanti beri kat mak sikit ya." Pun adik kamal tak faham apa maksud mak cakap begitu, buat tak kisah saja dengan kata-kata mak tu.
3 hari sebelum itu, datang seorang perempuan menziarahi mak, bertanya bagaimana penyakit kulit psorisis mak boleh sembuh dan kulit mak sangat licin dan putih bersih. Mak jawap "muna, yang tolong belikan ubatnya, tapi ubatnya dah habis, ini penghabisan stok nak makan, habis ni dah tak payah makan ubat lagi"
Sehari sebelum meninggal mak berkata pada tetamu yang datang menziarahi mak pada hari raya korban tu, "jemputlah makan tengah hari, ini penghabisan makan nasi tau, lepas ni dah tak makan lagi."
Pagi esoknya , belum pun bersarapan, jam 8:30 pagi ketika mak nak mandi, mak terkena serangan angin ahmar dan terus meninggal dunia keesokkannya. Itu sahaja tanda-tanda mak mahu meninggal dunia yang kami sedari tentang ucap-ucapannya. Tentang pengabdiannya pada Allah, semasa akhir-akhir hayatnya, dia kerap bangun malam dan sentiasa lidahnya berzikir dan membaca Al-Quran.
Mak meninggal 6 bulan selepas kembali dari mengerjakan umrah. Ummi pernah cakap selepas adik bongsu kahwin, nak ajak mak pergi umrah, namun bila tiba masa zauj pergi bawa mak mentua dan angah (anak kedua ummi) ke Makkah, bila ummi khabarkan mak tentang nak pergi umrah ni, mak jawap, "mak tak cukup duit, sebab duit mak dah guna untuk adik kahwin hari tu, muna pergi sajalah" Bila ummi dengar mak cakap macam tu, ummi pun cakap pada zauj, " abang boleh bawa mak?, muna tak payah pergi, bawa mak dulu, jadi duit perbelanjaan ummi tu berikan pada mak saja."
Zauj pun setuju bawa mak, dan bila khabar itu disampaikan pada mak, mak sangat suka dan gembira. Tahun 2006 tu, zauj pergi umrah bawa mak, mak mertua dan angah. Ummi tidak jadi ikut. Tapi ummi tahu, walau tidak mengerjakan umrah, ummi juga dapat sesuatu buat bekalan di alam barzakh nanti. Kegembiraan mak dapat pergi umrah mengatasi segalanya buat ummi. Semoga roh mak sentiasa di dalam rahmat Allah, dan mak, "muna tidak pernah lupa untuk memberi hadiah buat mak setiap hari. Muna harap, anak-anak muna pun begitu jua nanti."
No comments:
Post a Comment