Sunday, 6 September 2009

Hukum Tarikan

Berdebar hati ku suatu hari bila menerima surat rasmi dari Tabung Haji Malaysia. Eh..surat apa ya? Segera aku buka surat itu, dan alangkah bahagianya hati apabila isi kandungan berbunyi "Tawaran mengerjakan haji pada tahun 1420 H bersamaan musim haji tahun 2000 masihi." Tidak ku duga secepat ini aku dipanggil untuk menjadi tetamu Allah. Terus aku bersujud kesyukuran dengan berita itu, dan aku panjatkan doa agar aku dapat sampai ke sana dalam keadaan sihat, baik dan selamat. "Ya Allah, permudahkan lah urusan ku ini, kuserah diri, hati dan jiwa ragaku pada MU, maka Kau tentukan lah yang terbaik buat diriku ini."

Maka aku mula mengatur rancangan, menyusun jadual agar urusan ku mudah dilaksanakan. Siapa yang akan menjaga anak-anak, menjaga rumah dan menguruskan perbelanjaan. Ketika itu anak yang sulong, Ali Akbar baru berusia 14 tahun, dan yang ke dua Ali Mahfuz berusia 12 tahun berada di Madrasatul Quran Kubang Bujuk Terengganu. Yang kecik sekali ialah Abdullah Mubarak yang berusia 5 bulan, masih menyusu ibu. Pada siapa nak ku titip anak-anak ini?


Fikiran ku terlayang jauh, bila teringat 10 tahun dahulu, ketika aku diterima bekerja sebagai guru dan dihantar mengajar di Kulai Besar ,Johor, Di kala aku mula dibayar gaji setelah 8bulan berkhidmat, baru aku dibayar gaji (masa tu perkhidmatan perkeranian kurang efisyen, gaji guru lambat dapat). Mujurlah aku dah berkahwin,maka ada lah zauj beri makan, kalau orang bujang, maknanya puaslah meminjam sana sini nak hidup 8 bulan tidak bergaji.

Bila dapat duit tunggakan 8 bulan gaji, terus hatiku terdetik, kalau macam ni rezeki ku, 10 tahun kerja kau mesti pergi haji. Terdetik saja begitu, ku pinta zauj bawa aku ke Tabung Haji untuk buka akaun supaya mudah aku membuat potongan gaji melalui tabung haji.
3 Tahun selepas itu, zauj bawa aku sekali lagi ke tabung haji, "jom daftar haji..." Aku pun apa lagi, bergegas siap untuk pergi daftar haji. sekadar daftar saja lepas tu dah tidak fikir apa-apa. Ya lah tika itu baru kerja, duit pun tak banyak mana, sekadar potongan yg dibuat setiap bulan tu, banyak manalah jumlahnya, lepas tu dengan anak-anak yang masih kecik-kecik, maka aku pun sibuk dengan urusan dunia dan jamaah.

Ke sana-sini ada program, oleh kerana tidak ada pembantu, anak-anak diangkut bersama.
Tiba-tiba, masa yang berlalu tidak terasa, aku sudah dipanggil untuk pergi menjadi tetamu Allah, dan bila aku lihat semula tarikh aku berkata 10 tahun kerja aku nak pergi haji, dengan tarikh penerbangan, genap 10 tahun. MasyaAllah, kebetulan kah ini? Sebelum tu aku teringat semula, saat aku menerima tawaran belajar di UTM, bila aku terima tawaran terus ku lafazkan, aku ke UTM bukan saja menuntut ilmu dunia, aku akan mencari Islam untuk ku jadi cara hidupku.

Itu lah lafaz niat ku ketika surat tawaran ku terima. Apa yang Allah berikan pada ku? Seorang muslimin yang sukar untuk bercakap dengan perempuan dan memandang perempuan untuk dijadikan suami. Berkali-kali aku bersujud syukur atas anugerahnya. Aku teringat masa aku di tingkatan 5, aku pernah melafazkan pada seorang kawan, kiranya tahun itu sekitar 1982, "kawan tanya, muna, kau dah ada pak we?" sedangkan aku bersekolah perempuan sahaja, boleh kawan tu tanya aku macam tu. Aku pun dengan nada gurauan jawap , " ada, sekarang kat Mesir, belajar , beza umur aku dengan dia 7 tahun, 2 tahun lagi dia balik la." ( Padahal tak ada pun, aku tidak kenal sapa-sapa pun, sekadar cakap saja.) Rupanya benar, bila tanya zauj selepas bernikah, masa tahun 1982 dia ada di mana, jawap zauj "masa tahun tu baru pergi Mesir, 1984 baru balik." MasyaAllah betul seperti yang aku pernah katakan. Dan beza umur aku dengan zauj pun memang 7 tahun. Kiranya masa bernikah dengan zauj umur aku 19 tahun, umur zauj 26 tahun, bulan Februari 1984 zauj balik ke Malaysia, bulan September terjumpa aku dan bulan Disember kami bernikah, mudah benar urusannya.

Bila mana aku sentiasa berfikiran positif, maka apa yang aku hajatkan rupanya Allah sampaikan...
Suatu hari, semasa aku menyelongkar di google, aku terjumpa satu artikel yang menarik dan membuat aku berfikir banyak kali, melihat, muhasabah diri... Apakah benar ini? Kenapa kajian ini dilakukan oleh orang kafir, sedangkan ia telah terjadi sejak azali lagi. Dalam buku The Secret (karya Rhonda Byrne) dan Law of Attraction (karya M. J. Losier) ada menerangkan mengenai hukum tarikan. Satu ilmu yang ajaib . Ajaran yang terdapat dalam kedua-dua buku itu sebenarnya diajarkan Allah dan Rasulullah beberapa abad yang lalu.

Malah, sekiranya kita perhatikan dan fahami Quran serta sunah nabi, kita tentu dapat menemukan banyak Hukum Tarikan di dalamnya. Penjelasan dan bukti-bukti Hukum Tarikan dalam Quran jauh lebih baik, lebih sempurna dan tidak menyesatkan. Quran juga membimbing kita memanfaatkan Hukum Tarikan dengan baik dan sederhana. Semua orang dapat mempraktikkannya. Sekiranya kita berjaya mencapai tahap ini, saya yakin kita terbimbing menuju ‘stesen’ kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Apakah sebenarnya Hukum Tarikan itu? Segala perkara yang kita fikirkan dengan seluruh perhatian, tenaga dan fikiran samada perkara positif ataupun negetif, akan datang dalam kehidupan kita. Itulah definisi Hukum Tarikan.
Hukum Tarikan memberi tindak balas pada segala perkara yang kita pancarkan dengan menghasilkan getaran (fikiran dan perasaan) yang lebih banyak, samada positif mahupun negetif. Hukum itu hanya bertindak balas dengan getaran kita. Dengan perkataan lain, ‘ketika kita memikirkan sesuatu’ hukum itu mengatakan 'kita sedang menarik sesuatu kearah diri kita.' Melalui Hukum Tarikan, kita menarik apa yang sering kita fikirkan, samada kita menginginkan atau pun tidak.

Jadi, jika kita selalu memikirkan perkara-perkara yang kita suka, kehidupan kita akan dipenuhi dengan perkara-perkara itu. Sebaliknya, apabila jika kita memikirkan perkara yang tidak kita sukai, perkara itu bakal memenuhi kehidupan kita.
Justeru, kita mesti berhati-hati ketika memikirkan mengenai kehidupan. Jika kita fikir yang kita tidak mungkin mendapat kebahagiaan dalam kehidupan hanya kerana kita dilahirkan dalam keluarga miskin, persekitaran kita bertindak balas pada ucapan kita itu. Tanpa disedari, kita mengundang tenaga negetif memasuki alam ketidaksedaran kita. Akibatnya, kehidupan kita tidak mengalami apa-apa perubahan dan kita terus hidup dalam kemiskinan. Kita tidak mahu perkara ini berterusan dalam hidup kita, bukan?

Saya mahu memberi satu contoh yang dapat menunjukkan Hukum Tarikan itu wujud dan nyata. Mungkin ada di antara kita yang pernah mengalami kejadian seluk saku di pasar ataupun di pusat-pusat membeli belah. Selalunya kejadian ini berlaku kepada kaum wanita. Ini kerana, sebelum keluar dari rumah, kita selalu membayangkan dan fikiran kita dihantui bayangan penyeluk saku. Tanpa disedari, kita mengundang penyeluk saku mendekati kita dan akhirnya kita pun menjadi mangsa penyeluk saku itu. (Semuanya ini atas kehendak Allah jua).

Aku juga pernah merasakan proses Hukum Tarikan berlaku dalam kehidupan nyata. Seperti yang aku ceritakan di awalnya, masa kali pertama menerima gaji, yang terungkap dimulut dan hati ialah, genap 10 tahun kerja, nak pergi haji, maka ianya terjadi . Dan yang paling aku syukurkan, dan hingga kini aku amat merasakan bahawa aku disayangi Allah kerana setiap kali aku teringin mendapat anak, sebelum ada tanda hamil, aku telah pun berdoa setiap detik (seseolah memikir) aku nak anak lelaki. Maka dari mula bersama dengan zauj, selagi belum disahkan hamil, doa aku ialah "Ya Allah. kurniakan aku anak lelaki." Aku akan terus berdoa begini hingga anak ku lahir, dan aku memang yakin seseolah tahu, jantina anak yang lahir itu lelaki sebelum diberitahu oleh zauj. Begitulah anak-anak seterusnya.

Dan dari semua 8 yang lahir hidup doaku bertepatan dengan rancangan Allah. Bagai disusun, aku mahu ramai anak lelaki, dan aku hanya mahu 2 anak perempuan, maka itu yang Allah berikan. Perkara ini memang pernah aku fikirkan sebelum lagi aku mempunyai anak.
Begitu juga selepas kelahiran Baihaqi, anak ke 5, aku bertekad mahu anak lagi setelah berehat selama 3 tahun, aku pernah lafazkan, lepas ni nak anak berturut tahun, kerapkan hamil supaya tak sakit sangat masa bersalin kerana jarak tak jauh. Benar, lepas tu aku hamil kan Omar Abdul Aziz, genap setahun penyusuan, aku hamil lagi dan tak sempat selang tahun hanya beza 1 tahun 9 bulan, Abdullah Mubarak lahir dengan mudah sekali.(apa tak mudahnya, bersalin atas troli saja, masa nurse2 sedang menyorong masukke Dewan Bersalin, kalau Omar Abdul Aziz dulu bersalin di katil wad saja.)

Selepas saja aku mendapat Najdah dan Nazihah, memang aku cuma mahu anak lelaki sahaja selepas itu. Hingglah yang hamil yang ke 10, anakku lelaki juga, Muhamad Imran.
Selepas itu, Hukum tarikan nyata yang aku alami ialah, tentang perkahwinan Najdah. Aku merasakan yang Najdah akan kahwin dalam usia muda sahaja, memang tak sangka, betul Najdah berkahwin masa usia 17 tahun sebaik habis paper SPM Syariah Islamiah.

Masa aku menghantar kad jemputan kahwin, selanjur nak jemput najdah balik ke rumah dari asrama, pengetua SMKA tu tanya, anak belajar di sini tahun bila dan sekarang sambung belajar di mana? Bila aku jawap, anak saya sedang ambik SPM kat Dewan tu, SPM tahun nilah....mak ai..terkejut pengetua tu, dan pengetua tu hadir masa walimah Najdah. Masa walimah Najdah musim hujan, banjir besar merata alam, hinggakan Kota Tinggi dilanda gelombang kedua...
tapi Skudai tenang sahaja. Masa sebelum hari walimah memang hujan setiap hari, namun doaku siang malam, memang aku sebut minta hari-hari tertentu tidak hujan, maka itu yang terjadi.

Selepas aku jumpa artikel tentang Hukum Tarikan ini, baru aku imbas semula, Hukum Tarikan ini benar dan ia memang telah ada diajar oleh Allah kepada Rasullulah. Sebab itu aku selalu menasihati anak-anak atau siapa sahaja selalulah berdoa dan berfikiran positif, Allah hampir dengan kita dan mendengar permohonan kita.
Sebab itu bila aku selalu sakit, aku tidak pernah mengeluh atau merintih , sebaliknya aku anggapkan ini adalah anugerah Allah kerana jika dibandingkan nikmat dan permintaanku yang selari dengan ketetapan Tuhan , nikmat itu lebih banyak lagi aku dapat.

Dan aku tahu kerana kasih sayang Allah jua aku diberikan berbagai ujian kesakitan dan penyakit agar aku selalu dekat denganNYA. Mana mungkin kita bila terlalu sakit nak sebut perkataan lain selain "
لا إله إلاَّ الله " secara tak langsung hati dan lidah kita sentiasa berzikir.

Ketika sakit, hati kita memang bulat menumpukan kepada Allah sahaja, minta dikurangkan rasa sakit itu, sebab memang tiada siapa dapat mengurangkan rasa sakit yang datang berbisa melainkan Allah.
Doa minta sembuh kan penyakit? Ketika di hadapan Kaabah pun aku tidak berdoa begitu, hanya doa ku, "Ya Allah ringankan kesakitan ini dan kurniakan aku kesabaran, ketabahan dan kekuatan menghadapi ujianMU kepada ku." Rasa malu nak mohon bila teringatkan banyak nikmat Allah kepada ku.

Aku telah memiliki segala yang diimpikan oleh manusia, zauj yang baik,anak-anak permata hati,keluarga bahagia, harta seadanya, kerjaya yang bermanafaat buat aku dan sahabat-sahabat yang menceriakan , mengingatkan kematian bukan sahabat yang melalaikan. Jadi , apa lagi yang aku mahu? Makanya ujian yang ini, sakit dan penyakit aku anggap adalah anugerah Allah kepada aku, tanda sayangNYA Allah kepada ku...


Moga aku terus kuat, tabah dan sabar dengan segala ujiannya...

Penawar hati ku
...
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."
-Surah Al-Baqarah ayat 286


No comments:

Post a Comment